Friday, May 8, 2009

MINUMAN MALT TANPA ALKOHOL DI MIHAS

KUALA LUMPUR - Malt adalah salah satu ramuan dalam pembuatan minuman beralkohol. Biarpun begitu, anda berpeluang untuk menikmati 'Istak', minuman malt yang disahkan 100 peratus halal tanpa alkohol di Pameran Halal Antarabangsa 2009 (Mihas 2009).
Ketua Pengarah Malaysian Iranian Corporation (MIC) Sdn. Bhd., Mahdi Bagherian berkata, minuman malt yang dibuat di Iran itu mempunyai 10 perisa termasuk perisa asli malt, epal, mangga, nenas, lemon, buah pear, strawberi dan delima.
Menurutnya, "Kami berbangga kerana syarikat ini merupakan satu-satunya wakil tunggal eksklusif di Asia Pasifik yang bertanggungjawab memasarkan 'Istak' yang dihasilkan oleh Arpanoosh Industrial Company, syarikat pembuatan Iran. 'Istak' diproses di Iran menggunakan Bavarian malt dan teknologi terkini dari Jerman."
Sementara itu, Ketua Eksekutifnya, Qutren Nada Ahmad berkata, Malaysia dipilih sebagai hab pemasaran antarabangsa bagi memasarkan 'Istak'. Malaysia ialah sebuah negara Islam moden yang mempunyai lebih 13 juta penduduk Islam. Kami melihat Malaysia sebagai destinasi terbaik untuk memasarkan 'Istak' ke negara jiran berhampiran termasuk Brunei dan Indonesia. Selain itu, konsep halal juga diterima oleh semua Muslim dan bukan Muslim di negara ini," katanya.
Qutren Nada menambah, konsep pemasaran yang dibawa 'Istak' adalah 'Drink & Drive' yang mana pemandu tidak perlu risau untuk memandu sekiranya meminumnya kerana ia tidak memabukkan.
"Malah, 'Istak' kaya dengan vitamin, dapat mencegah pembentukan batu karang, mengurangkan tekanan, membina tenaga, membakar lemak dan mengurangkan 10 hingga 15 peratus kolesterol dalam darah," jelasnya.
Sehubungan itu, MIC akan menaja pasukan rali SR Motorsport dalam Malaysian Rally Championship yang dijadualkan berlangsung di Perlis selama dua hari bermula 30 Mei ini sebagai usaha untuk meningkatkan publisiti 'Istak'.
Mihas 2009 berjaya menarik penyertaan 30 buah negara termasuk Iran, China, Palestin, Indonesia, Singapura, Thailand, Mesir , Afrika Selatan, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

1 comment:

ibnu marzuki al firdaus said...

http://warisan-marzuki.blogspot.com/2009/05/arak-halal-malt-yg-x-haram-lah-so-jgn.html