Wednesday, July 22, 2009

DAULAH ISLAMIYYAH - DULU DAN SEKARANG

Oleh : DR MOHD ASRI ZAINAL ABIDIN (Bekas Mufti Perlis).

Kebangkitan rakyat Iran membantah keputusan pilihan raya mereka baru- baru ini menjadi berita hangat di seluruh dunia. Anggapan bahawa pilihan raya mereka tidak telus dan adanya unsur penipuan dikongsi jutaan rakyat negara tersebut. Ini merupakan kebangkitan yang terbesar sejak revolusi negara 'clergy' tersebut. Sudah pasti ada asas tertentu kepercayaan rakyat terhakis terhadap keputusan pilihan raya mereka atau ada isu lain yang mendesak mereka bangkit, sama ada isu ekonomi, kezaliman, penindasan dan seumpamanya.
Saya bukan ingin mengulas tentang pergolakan politik negara Syiah Imamiyyah tersebut. Namun adalah penting untuk kita tahu bahawa kebangkitan Revolusi Iran 1979 mempunyai peranan yang penting mempengaruhi perjuangan gerakan Islam di seluruh dunia dalam memperjuangkan apa yang diistilahkan sebagai 'Daulah Islamiyyah' (Islamic State).
Kejayaan Iran membentuk negara yang dikuasai kelompok mullah atau ulama membakar semangat Islam ramai pejuang Daulah Islamiyyah. Banyak pihak kagum dan menyanjung tinggi Ayatullah Khomeini dan pemikiran revolusinya. Sehinggalah isu-isu berkaitan Syiah timbul dengan jelas dan para penyanjung Khomeini seperti tokoh al-Ikhwan al-Muslimin Sa'id Hawwa mula menarik diri disebabkan perbezaan kefahaman aliran Sunnah dan Syi'ah. Beliau menulis buku 'al-Khumainiyyah : Syuzuz fi al-'Aqaid wa Syuzuz fi al-Mawaqif' (Khomeinisme : Pelik Dalam Akidah dan Pendirian). Ini kerana atas semangat revolusi tersebut, buku-buku Khomeini seperti Hukumah Islamiyyah, Kasyf al-Asrar dan lain-lain mula dibaca oleh para pencinta Islamic State dan mereka mula mendapati perkara-perkara yang amat sukar untuk diterima seperti menyandarkan zindiq dan kekufuran kepada Saiyyidina 'Umar bin al-Khattab (ra). Apapun Iran telah melakukan usaha yang hebat dalam menempatkan pemikiran politik agama dalam dunia ini.
Apa pun, Iran dengan aliran Syiah Imamiyyah ada keistimewaan yang tersendiri. Mazhab Syiah adalah mazhab politik. Ia tercetus hasil dari pertelingkahan politik lalu dibentuk menjadi mazhab akidah dengan dimasukkan dogma dan elemen akidah. Ayat-ayat al-Quran dan nas-nas Nabi (saw) ditafsirkan menurut asas kepercayaan politik tertentu. Tokok-tambah nas-nas Nabi (saw) begitu lama dan banyak sehingga menyebabkan mazhab itu stabil sebagai sebuah aliran politik agama. Hal ini tidak jauh dari apa yang berlaku kepada sesetengah gerakan atau parti politik agama dalam dunia ini. Pertelingkahan yang bermula dengan isu-isu politik dibentuk menjadi isu-isu akidah sehingga ke peringkat mengkafir dan menyesatkan antara satu sama lain. Namun Syiah Imamiyyah jauh lebih stabil disebabkan usia dan pengalamannya yang panjang. Begitu banyak hadis-hadis yang telah diwujudkan sepanjang tempoh kempen politik mereka yang berlarutan sejak hampir empat belas kurun lamanya. Hadis-hadis 'keluaran baru' politik memenuhi mazhab mereka. Ini seperti kononnya Nabi saw bersabda : "Sesiapa yang suka hidup seperti hidupku, mati seperti matiku, tinggal di syurga 'Adn yang ditanam oleh Tuhanku, maka hendaklah dia mengangkat 'Ali selepasku. Juga mengangkat penggantinya. Hendaklah dia mengikut para imam selepasku, kerana sesungguhnya mereka adalah kaum keluargaku, diciptakan daripada asal-usulku, direzekikan kefahaman dan ilmuku. Celakalah golongan umatku yang membantah kelebihan mereka dan memutuskan hubungan denganku. Semoga Allah tidak memberikan mereka syafaatku". Pada nilaian ulama hadis aliran Ahli Sunnah hadis ini palsu, sanadnya (rangkaian rawinya) gelap, kesemua para perawinya tidak dikenali dengan pasti kecuali seorang iaitu Ibn Abi Rawwad. Nama-nama para perawi lain tidak pernah disebut oleh para ulama al-Jarh wa at-Ta'dil. Apapun hadis ini disanjung oleh Syiah kerana ia penting dalam kempen politik yang dibawa oleh aliran tersebut.
Berbalik kepada isu pembentukan negara agama, Syiah nampaknya jauh lebih berpengalaman disebabkan itulah perjuangannya sejak awal kewujudannya. Perjuangan merebut kerajaan dari tangan pemerintah-pemerintah Muslim yang pernah ada sepanjang sejarah untuk membentuk negara yang tersendiri pada aliran dan pegangannya.
Adapun aliran muktabar Ahli Sunnah, mereka lebih cenderung menyerahkan urusan politik kepada sesiapa sahaja di kalangan umat Islam, dengan mereka mensyaratkan agar tidak menyanggahi al-Quran dan as-Sunnah, berlaku keadilan dan memerintah atas asas kemaslahatan rakyat. Sesiapa sahaja yang sanggup melakukan demikian dipuji dan disokong oleh para ulama Ahli Sunnah yang ikhlas, jika tidak amar makruf nahi munkar akan dijalankan. Bukan kecenderungan mereka mempolitikkan agama atau terlibat dengan politik agama. Inilah yang kita lihat dihayati oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam asy-Syafi'i, al-Imam Ahmad, al-Imam Ibnu Taimiyyah dan lain-lain. Ya, mereka merupakan pengkritik yang tegas dan berani, namun mereka tidak pernah menyeru untuk diberikan 'kerusi' kepada mereka. Berdasarkan kepada tulisan dan kenyataan mereka, ternyata mereka ingin mengelakkan penumpahan darah sesama kaum muslimin. Ya, politik itu penting namun bukanlah segala-galanya dalam kehidupan muslim. Juga politik bukan seperti ibadah khusus yang tetap dan tidak boleh diubah. Politik itu begitu anjal (fleksibel), terdedah kepada keadaan dan perubahan atas asas maslahah rakyat.
Apabila jatuh Khalifah di Turki dan kuasa-kuasa Barat menjajah dunia Islam, kesedaran umat Islam tentang tanggungjawab jihad membebaskan tanah air Islam berkembang. Selepas penjajah dihalau keluar, umat Islam memerintah negara sendiri. Kali ini tiada lagi negara khalifah seperti yang ditulis dalam buku-buku Fekah lama. Apa yang wujud adalah Nation State atau negara bangsa yang mempunyai kedaulatan tersendiri. Dalam proses menstabilkan negara masing-masing inilah munculnya istilah 'Daulah Islamiyyah' (Islamic State atau Negara Islam). Ini adalah reaksi kepada penjajahan dan selepas penjajahan di dunia Islam. Padahal istilah ini tidak dikenali sebelum ini. Dahulu yang ada dalam Fekah sarjana silam (sebelum penjajahan) hanyalah istilah 'Darul Islam' iaitu 'Wilayah Islam'. Ini merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam dan zahir syiar Islam. Sementara 'Darul Harb' atau disebut juga 'Darul Kufr' merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh bukan muslim dan bermusuhan dengan Darul Islam. Dalam erti kata lain, nilaian terhadap sesebuah wilayah atau negara itu berdasarkan penguasaan umat Islam ke atas wilayah tersebut dan wujudnya syiar Islam. Adapun soal sejauh manakah komitmen seseorang pemerintah itu, ia diuruskan oleh umat Islam di bawah tanggung jawab menasihati pemerintah juga Amar Makruf dan Nahi Munkar. Namun apabila istilah Daulah Islamiyyah muncul, maka lahir segelintir kelompok umat Islam yang mengkafirkan negara sendiri, bahkan mengkafirkan sesama muslim. Mereka seakan menjadikan Darul Islam yang diistilah oleh sarjana Fekah silam sebagai Darul Kufr atau Darul Harb yang wajib diperangi hanya disebabkan beberapa isu. Adaptasi ini sebenarnya lebih mirip kepada apa yang dilakukan oleh Khawarij dalam sejarah awal krisis antara umat Islam. (sila lihat : Fazlur Rahman, Revival And Reform in Islam, 33-43, England : Oneworld Publications).
Bagi kelompok ekstremis ini, untuk mencari definasi yang tersendiri bagi Daulah Islamiyyah agak sukar. Jika mereka memakai penafsiran silam yang memberi maksud wilayah yang dikuasai oleh umat Islam, mereka terpaksa mengiktiraf negara-negara umat Islam sekarang adalah Daulah Islamiyyah. Sudah pasti mereka enggan. Jika mereka memakai takrif lain yang dibuat oleh sesetengah sarjana silam iaitu negara yang zahir padanya syiar Islam seperti azan dan solat dan amalan-amalan Islam yang lain, sudah pasti mereka juga terpaksa mengiktiraf kebanyakan negara umat Islam hari ini sebagai Daulah Islamiyyah. Jika mereka menyatakan negara yang sempurna perlaksanaan Islamnya, sudah pasti tidak ditemui dalam sejarah umat Islam melainkan beberapa khalifah sahaja. Akhirnya, mereka menetapkan negara Islam adalah negara yang melaksanakan hudud.
Dengan kemunculan Iran, mereka menetapkan satu hal yang lain, negara yang dikuasai oleh golongan 'mullah' (ulama). Hari ini, disebabkan perkembangan globalisasi dan politik setempat, sebahagian gerakan politik Islam sudah enggan lagi berbicara tentang hudud dan hasrat untuk menegakkan hudud. Bahkan, pandangan bahawa golongan mullah mestilah menjadi pemerintah mulai lemah. Iran sendiri sudah goyah akibat rakyat yang tidak lagi hanya mahu melihat pakaian dan slogan agama semata, tetapi mereka inginkan kemaslahatan dan hak mereka dipelihara. Hari ini sebahagian gerakan politik mungkin terpaksa memberikan takrif baru untuk 'Daulat Islamiyyah' atau Negara Islam!

Wednesday, July 15, 2009

SEORANG LAGI RAKYAT IRAN DITANGKAP KERANA BAWA SYABU BERNILAI RM5.75 JUTA

*Gambar :Md. Hassim Pardi (tengah) bersama Timbalan Pengarah Kastam cawangan Narkotik, Mohd. Subri Awang (kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas di Nilai baru-baru ini.

SEREMBAN - Percubaan seorang lelaki warga asing untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai transit penyeludupan dadah, gagal lagi.
Ini berikutan kejayaan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menahan seorang lelaki warganegara Iran dan merampas dadah jenis syabu di lapangan terbang itu baru-baru ini. Lelaki warga Iran itu ditahan ketika cuba membawa masuk dadah jenis syabu di lapangan terbang berkenaan.
Penolong Ketua Pengarah KDRM (Penguatkuasaan), Datuk Md. Hassim Pardi berkata, lelaki Iran yang baru tiba dari Dubai itu ditahan pada pukul 3.40 petang oleh anggota KDRM.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan terhadap dua bagasi yang dibawa, pihaknya menemui 23 kilogram dadah jenis cecair dipercayai syabu yang dimuatkan dalam lima tin jeruk timun.
"Dadah syabu itu dianggarkan bernilai RM5.75 juta mengikut harga pasaran ketika ini," katanya pada sidang akhbar di pejabat KDRM Cawangan Narkotik di Kampung Jijan, Nilai dekat sini.
Difahamkan, ini merupakan rampasan dadah jenis syabu terbesar yang diperoleh KDRM tahun ini.
Pada 6 Jun lalu, 2 lelaki warga Iran ditahan di KLIA ketika cuba menyeludup masuk 20.4 kilogram dadah yang sama bernilai RM5.1 juta.
Menurut Md. Hassim, penyeludupan syabu dalam bentuk cecair ini merupakan kali pertama dikesan oleh pihaknya.
Beliau berkata, cecair jenis ini apabila terdedah kepada udara akan bertukar menjadi hablur kristal. Saringan awal pihaknya mengesahkan ia adalah dadah jenis methamphetamine atau syabu.
Berdasarkan siasatan awal, kata Md. Hassim, dokumen perjalanan lelaki Iran itu menunjukkan ia pernah memasuki negara ini sebanyak tiga kali.
Katanya, lelaki Iran itu kini ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, di mana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

TAWARAN ISRAEL UMPAMA PENJARA - KHALED MESH'AAL

DAMASCUS - Pemimpin Hamas, Khaled Mesh'aal menyifatkan tawaran Israel untuk menubuhkan negara Palestin yang bebas tentera sebagai 'sebuah penjara besar' dan menegaskan bahawa hanya perjuangan senjata mampu mengembalikan hak rakyat Palestin.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu baru-baru ini dalam satu kenyataan menyokong usaha Amerika Syarikat untuk menjadikan Palestin sebagai sebuah negara bebas tentera tetapi negara itu perlu menerima Israel sebagai negara Yahudi.
"Negara yang dimaksudkan oleh Netanyahu itu, yang ruang udara, darat dan lautnya dikawal, merupakan satu entiti yang pelik dan penjara yang besar, bukan sebuah negara yang sesuai untuk orang-orang yang hebat," kata Mesh'aal ketika berucap di ibu negara Syria kepada penyokong-penyokong Hamas yang memenangi pilihan raya Palestin pada 2006.
Tegas Mesh'aal lagi, "idea untuk mewujudkan sebuah negara eksklusif Yahudi dikecam oleh rakyat Palestin, seolah-olah menyerah diri dan apa yang digambarkannya sebagai menafikan hak enam juta rakyat Palestin yang menjadi pelarian untuk kembali ke tanah air mereka sekarang yang kini menjadi negara Israel. Kita memberi amaran sekali lagi, terhadap sikap lembut negara-negara Arab berhubung isu ini. Gesaan oleh pemimpin-pemimpin Israel adalah bersifat perkauman, tidak ada perbezaan dengan fahaman fasis Itali dan diktator Nazi, Adolf Hitler."

AMERIKA SYARIKAT -IRAN BERPERANG MULUT

WASHINGTON - White House menuduh Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahamdinejad cuba memburuk-burukkan Amerika Syarikat yang didakwa sebagai penyangak politik di Iran, selepas pilihan raya Presiden Iran pada 12 Jun lalu, yang mencetuskan perang mulut dengan Teheran.
Komen terbaru Amerika Syarikat itu diutarakan kepada kerajaan Iran, selepas Ahmadinejad menuduh Washington dan Barat suka campur tangan di Iran dan cuba membangkitkan pergolakan dalaman.

Tuesday, July 14, 2009

72 LAGI PENGIKUT MAZHAB AHLUL BAIT SYAHID DALAM SERANGAN BOM DI SADR CITY

*Gambar : Ahli-ahli keluarga meratap semasa mengusung keranda mayat mangsa serangan bom yang turut mengorbankan sekurang-kurangnya 72 orang di sebuah pasar sibuk di Sadr City, Iraq baru-baru ini.

BAGHDAD - Sebuah bom kuat yang diletupkan di sebuah pasar sibuk di timur Sadr City, di sini baru-baru ini, mengorbankan sekurang-kurangnya 72 nyawa, enam hari sebelum tentera Amerika Syarikat dijadual berundur daripada pekan-pekan dan bandar-bandar di Iraq.
Kira-kira 127 orang lagi dilaporkan cedera dalam insiden yang berlaku di kawasan miskin yang dihuni penduduk bermazhab Ahlul Bait.
Seorang saksi berkata, letupan tersebut merobek sebahagian kawasan Pasar Mraidi yang menjual burung-burung, menyebabkan gerai-gerai terbakar.
Insiden pertumpahan darah berkurangan mendadak di seluruh Iraq dalam masa beberapa tahun lepas, namun pejuang termasuk al-Qaeda terus melancarkan serangan pengeboman kereta dan serangan berani mati yang bertujuan melemahkan kerajaan dan meningkatkan konflik antara puak.
Serangan ke atas pasar tersebut itu berlaku empat hari selepas tentera Amerika Syarikat secara rasmi menyerahkan kawalan keselamatan Sadr City kepada tentera tempatan, yang pernah menjadi lokasi pertempuran sengit tentera Amerika Syarikat dan Iraq dengan pejuang bermazhab Syiah pada 2008.
Ra'ad Latif, pemilik sebuah kedai berdekatan lokasi letupan berkata, bom itu kemungkinan dipasang pada sebuah motosikal yang ditempatkan dalam sebuah treler.
''Letupan itu sangat besar dan kuat. Selepas mendengarnya, kami menutup kedai dan bergegas membantu mereka yang cedera,'' kata Latif.
Dia berkata, pada mulanya, pasukan keselamatan meminta orang ramai berundur bagi membolehkan ambulans dan kenderaan polis memasuki kawasan berkenaan.
''Selepas itu, pasukan keselamatan akhirnya membenarkan kami membantu setakat yang termampu. Lokasi kejadian sangat menakutkan,'' ujarnya.
Sementara itu, penganalisis berpendapat, serangan-serangan yang berlaku di Iraq mungkin akan menjadi bertambah hebat menjelang pilihan raya Parlimen Januari depan, yang menjadi ujian penting sama ada puak yang bertelingkah di Iraq boleh hidup bersama selepas beberapa tahun terheret dalam pembunuhan sesama mereka yang dicetuskan oleh serangan Amerika Syarikat pada 2003.
Jurucakap tentera memaklumkan, hanya sebilangan kecil tentera Amerika Syarikat akan tinggal di Iraq selepas tarikh akhir pengunduran 30 Jun, namun jumlah sebenar masih belum diketahui. Sebahagian tentera Amerika Syarikat akan kekal di pusat bandar iaitu di Stesen Keselamatan Bersama bagi melatih dan menasihatkan tentera keselamatan tempatan.

LEBIH 140 AKTIVIS DIPENJARA DI IRAN

TEHERAN - Iran telah memenjarakan lebih 140 aktivis politik, wartawan dan pensyarah universiti sejak pilihan raya yang dipertikaikan menyaksikan Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad kembali berkuasa.
Akhbar E'temad menyiarkan senarai 71 nama pemimpin terkenal reformis, wartawan dan pekerja kempen kepada calon Presiden yang kalah, Mir Hossein Mousavi, yang menganggap pilihan raya tersebut sebagai 'penipuan memalukan'.
Menurut laman web Mousavi, 'Kalemeh Sabz', seramai 70 pakar akademik dan ahli-ahli persatuan Islam dari pelbagai universiti turut ditahan selepas bertemu dengan pemimpin itu.
Iran turut menahan dua wartawan yang bertugas dengan syarikat penerbitan Amerika Syarikat di tengah-tengah larangan yang ditingkatkan terhadap media asing, yang dilarang membuat liputan tentang bantahan jalanan.
Sementara itu, Ahmadinejad turut menuduh Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berkelakuan sama seperti bekas Presiden, George W. Bush dan menggesa beliau meminta maaf atas apa yang dianggapnya sebagai campur tangan Amerika Syarikat semasa pilihan raya Iran.
Obama sebelum ini berkata, beliau 'gerun dan terkejut' dengan tindakan tegas terhadap bantahan yang berlaku di Iran selepas pemilihan semula Ahmadinejad sebagai Presiden.
''Beliau membuat kesilapan dengan mengatakan perkara-perkara itu. Soalan kami ialah mengapa beliau masuk campur dalam hal ini dan menyatakan perkara-perkara yang sama seperti yang sering dikatakan oleh Bush? Saya harap anda (Obama) akan mengelak daripada hal ehwal Iran selain menyatakan kekesalan,'' tegas Ahmadinejad lagi.
Sekurang-kurangnya 20 maut dan beratus-ratus yang lain telah ditahan dalam beberapa pertempuran di antara penunjuk perasaan dan tentera keselamatan sejak bantahan ekoran pilihan raya tercetus.

IRAN PERHEBATKAN TINDAKAN

*Gambar : Dr Mahmoud Ahmadinejad (kiri) menghadiri perhimpunan ahli-ahli parlimen di Teheran, Iran baru-baru ini.

TEHERAN - Kerajaan Iran memperhebatkan tindakan terhadap Mir Hossein Mousavi dengan penangkapan 25 kakitangan syarikat akhbar milik ketua pembangkang itu.
Selain itu, serangan kata-kata pedas dari media pro-kerajaan juga dilemparkan selepas Mir Hossein bersumpah untuk meneruskan kempen menentang keputusan pilihan raya presiden.
Tindakan terbaru itu dibuat ketika hubungan Iran dengan Barat semakin tegang selepas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mempersoalkan kesahihan pilihan raya dan menyatakan rasa kecewa berhubung kekerasan ke atas penunjuk perasaan.
Iran enggan mengubah keputusan pilihan raya yang membolehkan Dr Mahmoud Ahmadinejad kekal sebagai Presiden namun pemimpin tertingginya, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei melanjutkan lagi lima hari tempoh untuk memeriksa aduan pengundian.
Seorang daripada calon yang kalah, bekas ketua Pengawal Revolusi, Mohsen Rezai telah menarik balik bantahan dalam pilihan raya, sekali gus menjadi tamparan kepada pembangkang yang mengadakan demonstrasi hampir setiap hari sejak pengundian dimulakan 12 Jun lalu.
"Situasi politik, sosial dan keselamatan telah memasuki fasa sensitif dan penting, perkara yang lebih penting berbanding pilihan raya" kata Mohsen dalam sepucuk surat kepada Majlis Pengawal yang merupakan badan tertinggi pilihan raya.
Mir Hossein yang pernah menjadi Perdana Menteri semasa era selepas revolusi, meminta penyokongnya agar terus berdemonstrasi tetapi mengawal keadaan agar tidak berlaku lagi pertumpahan darah sementara seorang lain calon yang tewas, Mehdi Karroubi meminta penduduk berkabung di atas kematian penunjuk perasaan.
Polis telah menahan 25 wartawan dan beberapa kakitangan akhbar 'Kalemeh Sabz' milik Mir Hossein yang telah ditutup sebelumnya, kata seorang pengarangnya baru-baru ini.
Polis perisik menyatakan yang mereka telah menemui 'bukti plot yang membahayakan keselamatan negara' di pejabat kempen seorang calon yang digunakan dalam 'perang psikologi' namun calon tersebut tidak dinamakan.
Media asing terus diharam dari membuat liputan sejak kekecohan tercetus, namun imej-imej keganasan polis telah tersebar di seluruh dunia melalui video amatur dalam internet.

SARKOZY DIBIDAS KERANA HINA PURDAH

PARIS – Kumpulan Islam utama di Britain mengecam Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy yang mendakwa pakaian purdah yang menutup badan dan muka wanita Islam menjadikan mereka seakan banduan.
Di Paris, Parlimen secara rasmi mewujudkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji pemakaian purdah di Perancis, sehari selepas Sarkozy memberitahu penggubal undang-undang bahawa purdah tidak diterima di negara tersebut.
Seorang pengawai tertinggi Majlis Islam Britain, mendakwa Sarkozy melakukan ‘politik memecah-belah’ dan komennya boleh menimbulkan tindak balas 'Islamophobic' di Eropah.
Ia seperti telah merendah-rendahkan umat Islam dan serangan untuk mengatakan pemakaian purdah oleh wanita Islam disebabkan oleh paksaan atau penindasan oleh lelaki atau penjaga mereka,” kata Penolong Setiausaha Agung Majlis, Reefat Drabu.
‘‘Pernyataan demikian boleh dianggap satu bentuk penentangan terhadap Islam,’’ katanya lagi.
Seorang ahli politik Islam berprofil tinggi juga menyertai perdebatan tersebut menyatakan ia bukanlah tugas kerajaan untuk menentukan pemakaian rakyat.
Kebebasan memilih adalah satu nilai terhebat bagi negara ini dan mengapa kita disegani di seluruh dunia,” kata Menteri Komuniti, Shahid Malik.
Tidak ada sebarang undang-undang yang menyatakan apa pakaian yang boleh diterima sama ada seseorang itu memilih memakai purdah, skirt mini atau pakaian goth adalah mengikut budi bicara individu itu sendiri,” katanya lagi.
Seramai 32 anggota suruhanjaya ditubuhkan oleh parlimen yang terdiri daripada empat ahli parti politik utama Perancis akan mengadakan perbahasan yang mungkin membawa kepada pengharaman pemakaian purdah di khalayak ramai.

Monday, July 13, 2009

PERANCIS HARAMKAN PURDAH

PARIS - Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy baru-baru ini mengisytiharkan purdah yang dipakai oleh wanita Islam sebagai pakaian yang tidak diingini di negara tersebut. Beliau mengecap pakaian yang menyelubungi seluruh badan wanita Islam itu, sebagai simbol tunduk, yang menghalang identiti wanita serta menjadikan mereka sebagai 'tahanan di sebalik tabir'.
Namun, di sebalik kata-kata tegas itu, terdapat juga pengakuan bahawa prinsip 'asimilasi etnik' negara itu yang menuntut pendatang menyingkirkan tradisi mereka dan menyesuaikan diri dengan budaya Perancis telah menemui kegagalan kerana tidak memberi peluang saksama kepada pendatang dan anak-anak mereka yang lahir di negara tersebut.
Dalam ucapan kepada ahli Parlimen di Versailles, Sarkozy menyifatkan pakaian purdah yang lebih dikenali sebagai 'burka' di kalangan etnik Arab sebagai bercanggah dengan nilai-nilai hidup masyarakat Perancis.
Kenyataan Sarkozy menentang burka itu adalah yang paling keras pernah disuarakan oleh seorang pemimpin Eropah ketika beberapa pemimpin Barat sedang berusaha untuk meredakan ketegangan dengan dunia Islam.
Perancis mempunyai penduduk Islam paling ramai di Eropah dengan jumlah dianggarkan 5 juta orang.
Sebilangan kecil wanita Islam Perancis memakai 'burka' seperti wanita Islam di Afghanistan dan 'niqab' yang menyelubungi seluruh badan kecuali mata.
Pengkritik khuatir isu pakaian yang menutup seluruh tubuh itu yang setakat ini hanya membabitkan minoriti kecil penduduk Islam Perancis boleh meningkatkan diskriminasi terhadap seluruh umat Islam di negara itu.
Pengarah masjid terbesar di Paris, Dalil Boubakeur berkata, kenyataan Sarkozy yang menolak burka itu mencerminkan budaya Perancis tetapi beliau menghadapi risiko memarakkan ketegangan dengan penduduk Islam.

BAN KI-MOON DITUDUH CAMPUR TANGAN DI IRAN

*Gambar : Para penyokong pembangkang mengangkat sepanduk dan gambar Neda Agha Soltani semasa mengadakan tunjuk perasaan di luar bangunan Persekutuan di Los Angeles baru-baru ini. Neda (gambar kecil) terbunuh akibat terkena peluru sesat ketika mengadakan tunjuk perasaan di Teheran dan wanita itu telah dijadikan oleh penyokong pembangkang sebagai simbol bagi menentang kerajaan Iran.

TEHERAN - Iran menuduh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon campur tangan dalam hal ehwal di negara tersebut apabila mengeluarkan kenyataan mengulas mengenai pilihan raya Presiden yang diadakan pada 12 Jun lalu.
Ki-Moon menggesa supaya pihak berkuasa Iran menghentikan tindakan kekerasan terhadap orang awam di Iran dan menggesa pihak berkuasa menghormati hak asasi ketika mengendalikan penunjuk perasaan yang membantah keputusan pilihan raya Presiden di negara itu.
"Encik Ki-Moon dipengaruhi oleh kuasa besar, menafikan realiti yang berlaku semasa pilihan raya Presiden Iran dan kenyataannya itu jelas bercanggah dengan tugasnya dan secara jelas telah campur tangan dalam hal ehwal Iran," tegas jurucakap Kementerian Luar Iran, Hasan Qashqavi.
Iran telah meningkatkan kecamannya terhadap campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman negara tersebut.
Para penyokong pembangkang dilaporkan telah berkumpul hampir setiap hari di Teheran bagi mengadakan tunjuk perasaan sejak pihak berkuasa mengumumkan Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad mencatat kemenangan besar pada pilihan raya tersebut dengan menewaskan tiga calon lain, terutama pencabar kuat Ahmadinejad iaitu Mir Hossein Mousavi.
Mousavi mendakwa wujud penyelewengan undi yang dinafikan oleh pihak berkuasa.

CHAVEZ : HORMATI KEMENANGAN AHMADINEJAD

*Gambar : Para penyokong pembangkang memegang poster semasa mengadakan tunjuk perasaan di hadapan bangunan Parlimen Austria di Vienna baru-baru ini, bagi membantah keputusan pilihan raya Presiden Iran.

CARACAS – Presiden Venezuela, Hugo Chavez berkata, seluruh dunia perlu menghormati Iran serta kemenangan Presidennya, Dr Mahmoud Ahmadinejad dalam pilihan raya Presiden baru-baru ini.
Kami menggesa seluruh dunia supaya menghormati Iran kerana terdapat percubaan untuk melemahkan kekuatan revolusi Iran,” kata Chavez dalam ucapan mingguannya di radio dan televisyen baru-baru ini.
Kenyataannya itu bertentangan dengan kritikan Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah terhadap tindakan yang diambil oleh kerajaan Iran untuk menghentikan protes dan menyekat liputan media terhadap kekacauan yang meletus.
Media rasmi Iran melaporkan, sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh sejak keganasan tercetus berikutan keputusan pilihan raya 12 Jun yang dipertikaikan oleh kem yang tewas.
Kemenangan Ahmadinejad adalah kemenangan mutlak. Mereka cuba memburuk-burukkan kemenangan Ahmadinejad dan dengan itu cuba melemahkan kerajaan dan revolusi Islam. Saya tahu mereka tidak akan berjaya,” tegas Chavez.
Pemimpin Venezuela yang berhaluan kiri itu berkata, beliau telah menelefon Ahmadinejad selepas pilihan raya untuk menyuarakan sokongannya.
Kementerian Luar Venezuela mengeluarkan satu kenyataan yang membidas ‘kempen hebat dan tidak berasas oleh pihak luar untuk memburuk-burukkan’ Presiden Iran itu.

KEKACAUAN DI IRAN, 19 MAUT

TEHERAN – Sekurang-kurangnya 457 orang ditangkap berikutan pertempuran ganas, yang telah menyebabkan sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh di ibu negara Iran baru-baru ini.
Tangkapan itu dilakukan semasa penunjuk perasaan pro-pembangkang dan pasukan keselamatan bertempur di sekitar dataran Azadi di Teheran.
Pembangkang yang diketuai calon Presiden yang tewas, Mir Hossein Mousavi tidak mempedulikan tindakan pihak berkuasa untuk membendung protes, sebaliknya bekas Perdana Menteri itu menggesa para penyokongnya supaya jangan patah semangat.
Dalam ucapan yang jelas menyokong demonstrasi diteruskan, Mousavi berkata, “Jauhi keganasan semasa anda mengadakan protes. Saya sebagai salah seorang yang berkabung (atas kematian penunjuk perasaan), menggesa penyokong supaya mengawal tindak-tanduk masing-masing. Negara ini milik anda.”
Dalam berdepan dengan protes besar-besaran sejak keputusan pilihan raya Presiden pada 12 Jun lalu yang dipertikaikan, para pemimpin Iran menyelar negara-negara Barat, media asing dan penentang di luar negara.
Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad yang diisytiharkan menang pada pilihan raya tersebut dengan memperolehi majoriti 63 peratus undi, menggesa Amerika Syarikat dan Britain supaya menghentikan campur tangan dalam urusan dalaman Iran.
Sebelum itu Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki menuduh London berkomplot sejak dua tahun lalu untuk mensabotaj pilihan raya itu.
Dengan membuat kenyataan terburu-buru, kamu tidak akan mendapat tempat di kalangan sahabat Iran. Kerana itu saya menggesa kamu menghentikan campur tangan,” kata Ahmadinejad dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sunday, July 12, 2009

LEBIH 70 PENGIKUT MAZHAB AHLUL BAIT SYAHID, 200 CEDERA DI IRAQ

*Gambar : Penduduk Kirkuk berusaha mencari mangsa atau harta benda yang boleh diselamatkan di atas runtuhan bangunan yang musnah akibat letupan bom yang dipasang di atas sebuah trak.

BAGHDAD - Sebuah bom yang diletakkan dalam sebuah trak meletup ketika pengikut-pengikut bermazhab Ahlul Bait meninggalkan sebuah masjid di utara Iraq baru-baru ini, mengorbankan lebih 70 orang dan mencederakan hampir 200 yang lain dalam kejadian serangan bom paling dahsyat pada tahun ini.
Kejadian letupan itu berlaku berdekatan Kirkuk, bandar yang mengalami ketegangan etnik, beberapa jam selepas Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki memberi amaran kepada rakyatnya mengenai lebih banyak keganasan dijangka tercetus selepas Amerika Syarikat mengundurkan tenteranya dari bandar-bandar di Iraq untuk menamatkan misi ketenteraan di negara itu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tarikh pengunduran itu akan mengikut jadual 'tidak kira apa pun yang berlaku'.
Amerika Syarikat telah mula mengundurkan tenteranya dari pos-pos kawalan di tengah bandar Baghdad, Mosul dan kawasan bandar lain yang berakhir pada 30 Jun, dalam satu perjanjian keselamatan pengunduran sepenuhnya tentera Amerika Syarikat dari Iraq sehingga 2012.
Namun kejadian pembunuhan dan serangan bom berprofil tinggi yang berterusan, menimbulkan kebimbangan terhadap pihak berkuasa Iraq yang mungkin tidak bersedia untuk mengambil alih kawalan keselamatan dalam negara mereka sendiri.
Menurut polis dan saksi, trak itu meletup ketika para pengikut bermazhab Ahlul Bait meninggalkan sebuah masjid di Taza, 20 kilometer dari selatan Kirkuk, selepas menunaikan solat Zohor sehingga menyebabkan kerosakan teruk pada masjid dan rumah-rumah di sepanjang jalan di tempat kejadian.
Pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa sehingga pada waktu malam untuk mengesan mangsa-mangsa yang terperangkap dan tertimbus di bawah runtuhan di dalam kejadian letupan tersebut. Tentera Amerika Syarikat berkata, pihaknya telah menyediakan lampu dari janakuasa dan air di lokasi kejadian.
Menurut polis dan pegawai hospital, jumlah angka kematian meningkat dan sekurang-kurangnya 72 mayat telah ditemui di bawah serpihan-serpihan bangunan yang runtuh itu.
Brigedier Jeneral Polis Kirkuk, Sarhat Qadir berkata, maklumat awal yang diterima, sekurang-kurangnya 63 orang terbunuh dan 170 yang lain cedera, tetapi menjangka jumlah kematian dan cedera akan terus meningkat.
Saksi-saksi berkata, sebuah trak telah diletakkan di seberang jalan masjid itu dan mereka menganggap pemandu itu meletakkan kenderaan di situ untuk bersembahyang.
Bagaimanapun, Ketua Polis Kirkuk, Mejar Jeneral Jamal Tahir memberitahu, penyiasat tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh penyerang berani mati.
"Trak itu diletakkan berhampiran dengan beberapa buah rumah dan kebanyakan mangsa yang ditemui berada di bawah runtuhan rumah-rumah itu, mangsa yang terkorban kebanyakan terdiri daripada wanita dan kanak-kanak," kata seorang saksi kejadian.

MOUSAVI SEDIA SYAHID

TEHERAN - Pemimpin pembangkang Iran, Mir Hossein Mousavi mendakwa sudah 'bersedia untuk mati syahid' dalam mengetuai protes yang telah menggegarkan Republik Islam itu baru-baru ini dan mencetuskan amaran keras daripada pemimpin tertingginya (Rahbar), Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei.
Mousavi turut menggesa mogok umum dilancarkan di seluruh negara jika beliau ditangkap.
Sebaik sahaja senja berlabuh, laungan 'Allahu Akbar' bergema dari atas bumbung bangunan di seluruh utara Teheran selama hampir sejam baru-baru ini, sama seperti cara yang pernah digunakan semasa Revolusi Islam 1979 yang menjatuhkan Shah Iran.
Dalam tindakan penuh simbolik, seorang pengebom berani mati meletupkan diri di makam bapa Revolusi Islam Iran, Imam Khomeini (qs), sementara kekacauan terus merebak di seluruh Teheran tanpa menghiraukan larangan ke atas demonstrasi. Sekurang-kurangnya 19 orang maut dan lebih 100 lagi cedera dalam kekacauan tersebut.
Polis pencegah rusuhan yang dikerahkan secara besar-besaran melepaskan tembakan gas pemedih mata serta menggunakan belantan dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Saksi berkata, dianggarkan 2,000 hingga 3,000 orang membanjiri jalan raya dalam tindakan yang jelas mencabar Rahbar yang menggunakan ucapannya dalam khutbah Jumaat baru-baru ini untuk mengesahkan kemenangan besar Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad dalam pilihan raya yang dipertikaikan.
Pencabar beliau yang tewas, Mousavi berikrar bahawa beliau tidak akan mengalah.
"Dalam ucapan di barat daya Teheran, Mousavi berkata, beliau bersedia untuk mati syahid dan akan terus mengikut jalan perjuangan ini," kata seorang sekutu rapat bekas Perdana Menteri itu semasa perhimpunan di Jalan Jehyun di Teheran.
Menurut saksi, Mousavi juga dipercayai sudah bersedia untuk menghadapi sebarang tindakan terhadap dirinya.
"Mousavi menggesa penduduk melancarkan mogok umum jika beliau ditangkap," kata saksi itu.
Mousavi mengulangi tuntutannya agar keputusan pilihan raya tersebut dibatalkan dan pengundian diadakan semula.
"Langkah-langkah jelik (penipuan dalam pilihan raya) sudah dirancang berbulan-bulan sebelum pengundian. Disebabkan semua pencabulan yang dilakukan, pilihan raya itu patut dimansuhkan," kata Mousavi dalam suratnya kepada badan perundangan tertinggi Iran, Majlis Penjaga.

ISRAEL MAHU LUASKAN LAGI PENEMPATAN HARAM

Gambar : Pembinaan kawasan perumahan diteruskan oleh rejim Zionis seperti di Har Homa di timur Baitulmaqdis.
Baitulmaqdis - Israel merancang untuk memperuntukkan dana sebanyak USD250 juta (RM900 juta) dalam tempoh dua tahun akan datang bagi membina kawasan penempatan Yahudi di wilayah Palestin di Tebing Barat tanpa mempedulikan tekanan Amerika Syarikat supaya aktiviti tersebut dihentikan.
Peruntukan itu terkandung dalam bajet 2009-2010 yang melepasi bacaan pertama di Knesset (parlimen) baru-baru ini.
Kira-kira USD125 juta (RM450 juta) akan digunakan untuk pelbagai perbelanjaan berhubung keselamatan manakala selebihnya akan membiayai pembinaan kawasan perumahan.
Pertubuhan Israel yang menentang penempatan Yahudi, 'Peace Now' melaporkan, perbelanjaan pembinaan kawasan penempatan dalam bajet 2009-2010 itu dijangka lebih tinggi dan 'diagih-agihkan dalam beberapa bahagian bajet'.
"Angka rasmi itu jauh lebih kecil daripada jumlah sebenar dan rakyat Israel bukan sahaja akan menanggung akibat politik kerana meneruskan kegiatan pembinaan penempatan tetapi akan turut menanggung kos ekonominya," kata ketua Peace Now, Yariv Oppenheimer.
Amerika Syarikat telah menggesa Israel menghentikan semua aktiviti pembinaan di kawasan penempatan Yahudi di Tebing Barat.
Masyarakat antarabangsa menyifatkan kawasan penempatan Israel itu sebagai menyalahi undang-undang antarabangsa dan antara halangan utama dalam menggerakkan proses damai Asia Barat.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu enggan tunduk kepada tuntutan Washington dan sebaliknya menyatakan aktiviti pembinaan bagi menampung pertumbuhan penduduk Yahudi akan diteruskan.
Lebih 280,000 rakyat Israel mendiami kawasan penempatan Yahudi di Tebing Barat, wilayah Palestin yang ditawan oleh Israel daripada Jordan dalam Perang Enam Hari 1967.

OBAMA INGATKAN IRAN

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengingatkan Iran bahawa 'dunia sedang memerhatikan' tindak-tanduk negara itu dan Amerika Syarikat akan menyokong mana-mana pihak yang berusaha mencari 'perdamaian' yang adil selepas pilihan raya Iran, yang didakwa berlaku huru-hara.
Pesanan Presiden itu ditujukan kepada penunjuk perasaan pro pembangkang beberapa jam selepas pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei meminta bantahan jalanan dihentikan baru-baru ini.
Meskipun di sebalik jaminan pegawai atasan Amerika Syarikat bahawa negara tersebut tidak akan campur tangan dalam krisis di Iran, kedua-dua dewan perwakilan Kongres Amerika Syarikat memilih untuk mengutuk keganasan kerajaan Iran terhadap penunjuk perasaan.
''Pendekatan dan cara Iran mengendalikan pihak-pihak yang mencari perdamaian serta ingin kehendak mereka didengari, akan menunjukkan kepada komuniti antarabangsa siapa Iran sebenarnya,'' kata Obama melalui satu wawancara dengan CBS.
Ketika ditanya apakah beliau mempunyai pesanan kepada penunjuk perasaan di Iran, Obama berkata, ''Ya, sudah tentu. Kami sentiasa berdiri di belakang mereka yang mencari keadilan secara aman. Kami menyokong mana-mana pihak yang mencari resolusi perdamaian kepada konflik dan kami percaya bahawa suara rakyat perlu didengar, itulah nilai universal yang dipegang oleh rakyat dan pentadbiran Amerika Syarikat.''
Badan perundangan tertinggi Iran baru-baru ini mengambil keputusan mengira semula 10 peratus daripada jumlah undi pada pilihan raya Presiden negara itu. Walaupun berdasarkan peraturan, Majlis Penjaga tidak diwajibkan berbuat demikian, namun ia bersedia mengira semula 10 peratus daripada undian secara rawak dengan kehadiran wakil tiga calon Presiden yang kalah, kata seorang jurucakap majlis tersebut.
Majlis Penjaga turut mengadakan mesyuarat dengan tiga calon Presiden yang kalah pada pilihan raya tersebut, iaitu Mohsen Rezaie, Mir Hossein Mousavi dan Mehdi Karoubi bagi mendengar pandangan mereka. Bagaimanapun hanya Mohsen Rezaie menghadiri mesyuarat tersebut.

Friday, July 10, 2009

MENTAFSIR ERTI RUSUHAN DI IRAN

Tindakan Presiden Republik Islam Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad mengusir beberapa wakil media Barat dari membuat liputan rusuhan di Iran baru-baru ini adalah wajar. Mereka bukan sekadar melaporkan keadaan pilihan raya Presiden tetapi mencipta persepsi supaya dunia melihat serong kepada Iran.
Media Barat melaporkan keadaan di Teheran berada dalam suasana yang amat tegang. Penunjuk perasaan bermaharajalela di jalan-jalan raya dan merosakkan harta benda awam. Semuanya memprotes kemenangan Ahmadinejad.
Sementara itu, Naib Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pula memperlihatkan semacam kebimbangan dengan perkembangan terbaru di Iran dan yakin ada sesuatu yang tidak kena dengan pilihan raya tersebut. Apakah mesej yang hendak disampaikan oleh beliau sebenarnya?
Nada beberapa media Barat kelihatan sangat sehaluan dengan dasar Amerika Syarikat yang awal-awal lagi prejudis terhadap pemimpin yang dikelaskan sebagai 'konservatif'. Amerika Syarikat sebelum ini membayangkan pilihan raya Presiden itu bakal membawa 'perubahan' daripada konservatif kepada reformis.
Penanda aras konservatif dan reformis sangat kabur sebenarnya. Apakah 'konservatif' itu bermaksud tidak toleran terhadap Amerika Syarikat, tegas dalam isu Palestin yang diganyang Israel dan tidak memberi muka kepada Amerika Syarikat? Atau apakah 'reformis' itu bukan saja lebih terbuka tetapi tidak membangkitkan banyak perkara yang menjadi kepentingan negara kerana mahu menjalinkan hubungan yang mesra dengan Amerika Syarikat?
Pasca pilihan raya Presiden digambarkan oleh media Barat sebagai penolakan rakyat terhadap Ahmadinejad. Pilihan raya itu dikatakan penuh dengan penipuan dan dengan lain perkataan, pilihan raya Presiden Iran didakwa tidak demokratik. Rusuhan yang dicetuskan oleh pembangkang dianggap proses mencari demokrasi di Iran. Itulah persepsi buruk yang diwar-warkan oleh media Barat beberapa jam sebelum Ahmadinejad secara rasmi diumumkan sebagai pemenang.
Dunia tidak mendapatkan gambaran yang jelas dan sahih mengenai situasi politik di Iran. Bayangan Amerika Syarikat terlalu tebal untuk melihat adakah rusuhan yang berlaku itu benar-benar memprotes ketelusan sistem pilihan raya atau campur tangan kuasa asing yang menyusup masuk bagi mencetuskan porak peranda? Oleh kerana itu, laporan media Barat amat dicurigai, mereka membawa agenda Amerika Syarikat yang tidak selesa dengan kemenangan Ahmadinejad.
Rusuhan pasca pilihan raya baru-baru ini dieksploitasi untuk memperlihatkan kepada dunia bahawa majoriti rakyat Iran menolak Ahmadinejad walhal apa sebenarnya berlaku adalah sebaliknya. Kalau sekiranya diteliti, para penyokong puak reformis yang diketuai oleh Mir Hossein Mousavi terdiri daripada penduduk di kawasan bandar-bandar utama seperti Teheran. Antara faktor yang mempengaruhi pola pemikiran para penduduk di kawasan tersebut ialah modenisasi dan keterbukaan kepada pengaruh luar yang menyebabkan mereka menganggap Ahmadinejad sebagai 'konservatif'. Mereka tentu saja lebih mementingkan ekonomi dan ketegangan dengan Amerika Syarikat dilihat mampu menjejaskan ekonomi Iran.
Namun di kawasan luar bandar, sokongan terhadap Ahmadinejad tetap kuat dan ampuh. Tuduhan musuh politik bahawa keputusan pilihan raya telah dimanipulasikan bagi memberi kemenangan kepada Ahmadinejad adalah alasan biasa kepada yang tewas. Penglibatan Amerika Syarikat dalam pilihan raya ini juga dilihat begitu ketara kerana sikap Ahmadinejad yang tidak bertolak ansur dengan kehendak Amerika Syarikat mengenai program nuklear Iran.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pula pernah menegaskan bahawa beliau akan meneruskan dasar diplomasi terhadap Iran. Ini membawa maksud Obama tidak mengambil kira keputusan pilihan raya negara itu yang mencetuskan kekecohan. Malah memberi amaran bahawa campur tangan Amerika Syarikat dalam politik di Iran boleh menimbulkan kesan yang lebih buruk.
Secara diplomasi juga, Obama kelihatan tidak mahu terlalu menekankan perbezaan antara Ahmadinejad dan pencabar terdekatnya, Mousavi. Laporan media Barat tentang sikap Obama ini seolah-olah menunjukkan beliau tidak mahu campur tangan dalam tunjuk perasaan yang semakin menjadi-jadi itu.
Akan tetapi, kalau dilihat beberapa kenyataan Obama sebelum ini jelas memperlihatkan harapan supaya pemimpin yang dipilih dalam pilihan raya Presiden yang lalu adalah dari golongan reformis. Beberapa kali Obama menekankan beliau mahu melihat 'perubahan' dalam warna politik di Iran. Semua ini menggambarkan harapan Obama supaya Ahmadinejad kecundang dan pemimpin yang lebih 'toleran' dengan Amerika Syarikat bakal dipilih. Seperti kata Obama, “Kita bakal berdepan dengan rejim Iran yang telah lama bermusuhan dengan Amerika Syarikat. Mereka yang menyebabkan masalah di Asia Barat kerana menjalankan program senjata nuklear.”
Walaupun Ahmadinejad tidak pernah berubah kenyataannya tentang program nuklear untuk tenaga, Obama kelihatan masih terperangkap dengan dasar-dasar Amerika Syarikat sebelum ini yang menganggap program nuklear Iran sebagai 'senjata'.
Kalau dilihat bagaimana penerimaan Amerika Syarikat terhadap pilihan raya Palestin yang memberi kemenangan kepada Hamas, tentu Iran kini berada dalam situasi yang sama. Kelompok harapan Amerika Syarikat kecundang sama seperti kecundangnya Fatah di tangan Hamas biarpun kedua-dua puak ini Islam. Amerika Syarikat dengan angkuh memberi tekanan ekonomi dan politik kepada Hamas walaupun pilihan raya Palestin berlangsung secara demokratik.
Ahmadinejad juga sebelum ini menyokong pergerakan Hizbullah di Lebanon yang dianggap pengganas oleh Barat. Semua ini boleh dijadikan alasan yang menyokong hujah tentang kecenderungan Amerika Syarikat untuk mencari pemimpin yang lebih toleran untuk memudahkan membuat percaturan politik di Asia Barat.
Rakyat Iran harus mengambil iktibar dari sikap Amerika Syarikat yang menyokong sekalipun secara tidak langsung kepada pihak tertentu dalam negara itu. Kalau benar Amerika Syarikat menyanjung demokrasi, mereka telah lama menerima kemenangan Hamas.
Sikap tidak toleran Ahmadinejad malah menjadi 'pengacau' kepada Israel membuatkan Amerika Syarikat tidak selesa dengan keadaan politik semasa Iran. Namun tanpa Iran, tidak ada seorang pun pemimpin-pemimpin dari dunia Arab yang benar-benar kelihatan serius menjadi pembela hak rakyat Palestin yang dianiaya Israel dengan restu Amerika Syarikat.
Tidak lama dulu, Bush pernah menggertak untuk menyerang Iran dengan menggunakan lesen Majlis Keselamatan PBB. Akan tetapi Ahmadinejad tidak mempedulikan gertakan itu sekali pun Iran dilihat jauh lebih kecil kemampuan ketenteraan dan teknologi perang berbanding Amerika Syarikat. Ketika itu Iran memegang kunci Majlis Keselamatan. Gertakan Amerika Syarikat sekadar serangan psikologi untuk melemahkan semangat Iran tetapi Iran mendapat kekuatan daripada Majlis Keselamatan yang sebelum itu diperalatkan oleh Amerika Syarikat.
Kuasa besar yang ada dalam Majlis Keselamatan seperti China dan Rusia serta beberapa negara Eropah antaranya Jerman dan Itali mempunyai hubungan diplomatik dan dagang yang baik dengan Iran. Ini adalah kekuatan Iran pada era kepimpinan Ahmadinejad. Negara kuasa besar ini memberi amaran kepada Amerika Syarikat bahawa sekatan ekonomi ke atas Iran ketika itu lebih membahayakan. Sekatan ke atas Iran lebih memburukkan 'kempen keamanan' yang dijaja oleh Amerika Syarikat.
Maka kalau dilihat rentetan ini, ternyata Amerika Syarikat perlukan seorang pemimpin Iran yang baru dan boleh 'toleran' atau menjadi boneka Amerika Syarikat seperti yang terdapat di Iraq sekarang ini. Amerika Syarikat sebenarnya tidak mempunyai kepentingan di Iran untuk turut bersimpati dengan rakyat Iran kecuali menyekat kemaraan pemimpin yang memberi masalah kepada Israel.
Pencetus rusuhan di Iran yang amat jelas kelihatan sememangnya Mousavi. Namun kalangan pemerhati politik percaya ada tangan-tangan Amerika Syarikat yang turut memainkan peranan untuk memberi tekanan kepada Ahmadinejad. Adegan-adegan penunjuk perasaan adalah pesta menagih demokrasi seperti yang dimahukan oleh Amerika Syarikat.
Untuk memastikan keadilan kepada rakyat, Ahmadinejad tidak boleh toleran dengan pengacau seperti penunjuk perasaan ini. Ketika kuasa ada di tangannya, gunakan untuk memastikan majoriti rakyat yang menerima beliau tidak terganggu. Ya Ali Madad!

Wednesday, July 8, 2009

RAHBAR BELA AHMADINEJAD

*Gambar : Ahmadinejad (depan, dua dari kanan) memberi tumpuan kepada khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei di Universiti Teheran baru-baru ini.

TEHERAN - Pemimpin tertinggi Iran (Rahbar), Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei telah mempertahankan Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad sebagai pemenang yang sah pada pilihan raya presiden baru-baru ini walaupun keputusan pengundian yang dipertikaikan itu telah mencetuskan protes terbesar dalam sejarah Republik Islam itu.
Rahbar dalam ucapan pertamanya ke seluruh negara sejak kekacauan itu meletus menggesa agar demonstrasi dihentikan dan beliau menolak kemungkinan berlakunya penipuan dalam pilihan raya, seperti yang didakwa oleh para penentang Ahmadinejad.
"Keputusan pilihan raya datang daripada peti undi, bukan dari jalan raya. Hari ini negara Iran memerlukan ketenteraman," katanya kepada puluhan ribu jemaah yang berhimpun di Universiti Teheran untuk mengerjakan solat Jumaat.
Beliau menuduh musuh-musuh Iran mahu menyerang kedudukan pemerintahan ulama negara itu dengan mempertikaikan keputusan pilihan raya itu.
Para penyokong pencabar utama Ahmadinejad, Mir Hossein Mousavi telah melancarkan protes terbesar dan paling meluas sejak Revolusi Islam pada 1979.
Rahbar berkata, ahli politik perlu menjauhi sikap ekstremis dan mereka akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang pertumpahan darah yang berpunca daripada 'tindakan ekstremis' tersebut.
Protes jalanan tidak akan memaksa pemerintah menerima 'tuntutan haram' daripada calon-calon yang tewas, kata beliau yang dipercayai merujuk kepada permintaan Mousavi agar keputusan pilihan raya dimansuhkan dan pengundian diadakan semula.

UM TAMBAH PELAJAR ASING 40%

KUALA LUMPUR - Universiti Malaya (UM) akan meningkatkan kuota pengambilan pelajar asing sehingga 40 peratus dalam usaha menaikkan kembali kedudukan universiti itu di peringkat antarabangsa.
Naib Canselor UM, Datuk Dr. Ghauth Jasmon berkata, ini bermakna UM akan mengambil 6,000 pelajar asing dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi berbanding 3,367 orang ketika ini.
"Kita bercadang meningkatkan jumlah pengambilan pelajar daripada 28,000 kepada 30,000 orang. Daripada peningkatan 2,000 pelajar itu, kita harap 40 peratus merupakan pelajar antarabangsa,'' katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi 34 delegasi terdiri daripada Naib-naib Canselor Universiti-universiti Komanwel melawat universiti itu di sini baru-baru ini.
UM sekarang berada di kedudukan ke-280 universiti terbaik dunia dan ke-39 di Asia.
Bagi mempromosikan UM kepada pelajar antarabangsa, Ghauth berkata, universiti itu sudah membuka pejabat di Iran, Beijing dan Nanyuo di China selain merancang membuka pejabat antaranya di Dubai dan Arab Saudi.
Ghauth berkata, terdapat 3,367 pelajar asing dari 82 negara mengikuti pengajian di UM ketika ini dan pelajar asing paling ramai ialah Iran, diikuti China dan Indonesia.
"Mereka kebanyakannya mengambil jurusan sains dan ekonomi,'' katanya.

PESAKIT MENTAL BERTAMBAH DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR - Jumlah pesakit mental di negara ini terus meningkat apabila sebanyak 400,227 kes dicatatkan tahun lalu berbanding 346,196 kes tahun sebelumnya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, statistik juga menunjukkan sebanyak 11.2 peratus daripada pesakit mental terdiri daripada mereka yang berusia 16 tahun ke atas.
"Lebih membimbangkan jumlah kes bunuh diri berpunca daripada sakit mental turut meningkat dari tahun ke tahun,'' katanya dalam teks ucapan perasmian Persidangan Perubatan Psikologi Malaysia 2009 ke-14 di sini baru-baru ini. Ia dibacakan oleh Pengarah Pembangunan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Azmi Shapie.
Daripada 400,227 pesakit mental yang dicatatkan tahun lalu, seramai 379,010 orang terdiri daripada pesakit luar, manakala pesakit mental yang menetap di hospital seramai 21,217 orang.
Beliau juga berkata, jumlah kes bunuh diri turut meningkat daripada lapan kes bagi setiap 100,000 orang pada era 1980-an kepada 12 kes bagi nisbah yang sama ketika ini.
Menurutnya, kaum India paling ramai terlibat dengan kes bunuh diri apabila mencatatkan sebanyak 30 hingga 35 kes bagi setiap 100,000 orang.
Dalam pada itu, Azmi pada sidang akhbar itu berkata, simptom penyakit mental yang paling tinggi dicatatkan ialah 'schizophrenia' berikutan kelewatan keluarga membawa pesakit untuk mendapatkan rawatan di hospital.
"Ramai yang menganggap apabila seseorang itu mengalami simptom kemurungan ia hanya sementara sahaja, sebaliknya ia boleh mengakibatkan seseorang itu berhadapan dengan masalah mental jika tidak dirawat secepat mungkin," katanya.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, ahli keluarga atau rakan-rakan terdekat harus peka dengan perubahan ahli keluarga masing-masing supaya dapat membantu kerajaan menangani masalah pesakit mental.

Monday, July 6, 2009

WASHINGTON POST - RAKYAT IRAN MELANTIK SEMULA AHMADINEJAD

Akhbar 'Washington Post' telah menerbitkan sebuah analisa yang mengejutkan baru-baru ini dengan keyakinan bahawa keputusan pilihan raya presiden yang berlangsung di Iran berkemungkinan besar mencerminkan kehendak sebenar rakyat Iran, tidak seperti mana yang didakwa oleh para penganalisa dan pemerhati bahawa jurang kemenangan besar Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad terhasil daripada penipuan atau manipulasi, sedangkan pungutan suara di seluruh negara yang telah mereka lakukan tiga minggu sebelum pengundian sebenar secara jelas menunjukkan Ahmadinejad mendahului dengan nisbah 2:1, jumlah yang lebih besar daripada keputusan sebenar yang dicapainya dalam pilihan raya hari Jumaat itu (12 Jun 2009).
Ketika pelbagai laporan media barat sebelum bermula proses pengundian sering menggambarkan keghairahan warga Iran terhadap pencabar utama Ahmadinejad, Mir Hossein Mousavi, namun pungutan suara yang mereka lakukan di seluruh 30 wilayah Iran dengan jelas menunjukkan bahawa Ahmadinejad jauh mendahului Mousavi.
Menurut Washington Post lagi, “Pungutan suara yang dilakukan oleh organisasi-organisasi bebas milik kami daripada 11 Mei hingga 20 Mei adalah merupakan yang ketiga daripada beberapa siri yang dilakukan sepanjang 2 tahun yang lalu. Sokongan besar terhadap Ahmadinejad adalah begitu jelas sekali dalam bancian pra-pilihan raya kami. Sewaktu kempen berlangsung, sebagai contohnya, Mousavi menekankan identitinya sebagai seorang yang berbangsa 'Azeri', yang merupakan etnik kedua terbesar di Iran selepas bangsa 'Parsi', untuk menarik sokongan para pengundi berbangsa 'Azeri'. Bancian yang kami jalankan bagaimanapun menunjukkan bahawa para pengundi berbangsa 'Azeri' lebih ramai yang memilih Ahmadinejad dengan nisbah 2:1 berbanding Mousavi.”
Washington Post turut menegaskan, “Kebanyakan komentar menggambarkan golongan belia Iran dan juga internet sebagai faktor penentu di dalam pilihanraya tersebut. Namun bancian kami mendapati, hanya 1/3 sahaja rakyat Iran yang mempunyai akses ke internet, sementara golongan belia yang berusia di antara 18-24 tahun mewakili blok undian yang terbesar untuk Ahmadinejad berbanding kumpulan umur yang lain. Satu-satunya kumpulan dalam bancian kami yang menunjukkan penguasaan Mousavi atau setahap dengan Ahmadinejad adalah di kalangan para penuntut universiti dan golongan berpendapatan tinggi. Sewaktu proses bancian kami dijalankan, terdapat juga hampir 1/3 warga Iran yang masih belum membuat sebarang keputusan muktamad. Namun asas pengiraan yang kami perolehi adalah menyamai keputusan yang diumumkan oleh pihak berkuasa Iran. Ini adalah petunjuk jelas bahawa keputusan undian tersebut tidak mungkin terhasil daripada penipuan besar-besaran.”
Menurut laporan itu lagi, “Warga Iran melihat sokongan mereka itu cenderung ke arah sebuah sistem yang lebih demokratik, menekankan sebuah hubungan yang normal dengan Amerika Syarikat, selari dengan sokongan mereka terhadap Ahmadinejad. Mereka tidak mahu beliau meneruskan polisi-polisi kerasnya. Namun begitu, jelas kelihatan bahawa warga Iran masih melihat susuk Ahmadinejad sebagai perunding mereka yang paling tegas, seorang yang berkedudukan terbaik untuk membawa pulang perjanjian-perjanjian yang berbaloi.”
Laporan Washington Post itu menyimpulkan, “Tuduhan-tuduhan penipuan dan manipulasi pengundian hanya akan lebih mengasingkan Iran serta menambahkan ketegasan dan ketegarannya ke atas dunia luar. Sebelum negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat membuat kesimpulan melulu bahawa pilihan raya Presiden di Iran telah dicemari dengan penipuan, dengan mengambil kira pelbagai faktor buruk yang bakal berlaku hasil daripada dakwaan itu, mereka seharusnya turut menimbangkan maklumat-maklumat daripada pihak ketiga. Hakikatnya, pelantikan semula Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad adalah sesuatu yang sebenarnya dikehendaki oleh rakyat Iran.”

PROTES TERHADAP AHMADINEJAD DI ALAM SIBER IRAN

*Gambar : Seorang daripada calon Presiden Iran, Mehdi Karroubi (berserban putih) menyertai tunjuk perasaan membantah kemenangan Ahmadinejad di Teheran baru-baru ini.
SAN FRANCISCO - Penyokong dan mereka yang bersimpati dengan penunjuk perasaan Iran di alam siber seluruh dunia baru-baru ini, berganding bahu membantu mereka menghindar penapisan, mengeluarkan berita pertempuran ganas dan mengelakkan tangkapan dalam dunia sebenar.
Gambar, video dan berita terkini dari jalan-jalan raya Teheran dihantar secara berterusan, dalam laman web rangkaian sosial dan perkongsian imej seperti Twitter, Facebook, YouTube dan Flickr walaupun pegawai-pegawai Iran cuba menyekat talian telefon bimbit dan Internet.
"Revolusi mungkin tidak dipaparkan di kaca televisyen Iran namun ia tersebar meluas di seluruh dunia," kata seorang pengguna yang memakai nama 'Kaplanmyrth' dalam satu daripada ribuan mesej ringkas berhubung pilihan raya Presiden Iran dalam satu laman blog.
Sekutu maya telah mewujudkan komputer-komputer berinternet yang dipanggil 'pelayan proksi' yang boleh digunakan penduduk Iran untuk mengelak halangan penyebaran berita mengenai demonstrasi yang mendakwa Dr Mahmoud Ahmadinejad menipu dalam pilihan raya Presiden yang lalu.
"Ia seperti jarum dalam timbunan rumput kering atau lebih teruk lagi daripada itu. Ramai orang telah menubuhkan proksi," kata perunding teknologi Amerika Syarikat yang mempunyai kepakaran dalam pencarian data sosial, Nitin Borwankar.
Laman web Twitter dipenuhi dengan mesej dan sambungan oleh mereka yang mendakwa telah mendedahkan penipuan dalam gambar perarakan kemenangan Ahmadinejad yang diubah suai agar kelihatan seperti ramai.
Sementara itu di Seoul, Korea Selatan, beberapa pemain bolasepak skuad kebangsaan Iran memakai lilitan hijau pada lengan mereka sebagai tanda sokongan kepada calon presiden yang tewas, Mir Hossein Mousavi semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia 2010 baru-baru ini.
Sekurang-kurangnya enam daripada 11 pemain Iran memakai lilitan hijau tersebut semasa perlawanan menentang Korea Selatan yang berlangsung di Stadium Piala Dunia Seoul itu.
Mereka termasuk pemain tengah Ali Karimi, Masoud Shojaei yang kini bermain untuk kelab Osasuna di Sepanyol dan Mehdi Mahdavikia dari kelab Eintracht Frankfurt, Jerman.
Walaupun kebanyakan daripada mereka kemudiannya menanggalkan lilitan berkenaan, namun ketua pasukan, Mahdavikia terus memakainya sehingga tamat perlawanan.

Friday, July 3, 2009

TUNJUK PERASAAN DI IRAN

*Gambar : Ribuan penyokong Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad mengadakan demonstrasi di Teheran baru-baru ini sebagai tanda sokongan atas kemenangan beliau dalam pilihan raya presiden yang lalu.

TEHERAN - Ribuan penunjuk perasaan pro-reformis berarak di jalan-jalan raya ibu negara Iran dalam demonstrasi besar-besaran baru-baru ini, menolak kerajaan walaupun ia menyatakan untuk mengira semula undi yang menimbulkan persoalan dalam pilihan raya presiden.
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei meminta rakyat mematuhi undang-undang negara ketika tunjuk perasaan dan pertempuran berlaku.
Beliau turut menyatakan bahawa wakil kesemua empat calon perlu hadir ketika sebahagian undi dikira semula.
"Dalam pilihan raya, pengundi mempunyai kecenderungan berlainan namun mereka sama-sama percaya dengan sistem pemerintahan dan menyokong Republik Islam," tegas beliau lagi.
Penyokong calon reformis, Mir Hossein Mousavi berarak di satu lokasi berasingan ketika perarakan anjuran kerajaan turut menarik ribuan rakyat yang mengibarkan bendera Iran dan potret Sayyid Ali Khamenei dalam cubaan menguasai jalan raya untuk kerajaan.

AMERIKA SYARIKAT TERUS TEGAS TERHADAP IRAN

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berkata, beliau akan meneruskan dasar 'diplomasi tegas' terhadap Iran tanpa mengambil kira keputusan pilihan raya negara itu yang didakwa huru-hara dan memberi amaran campur tangan Amerika Syarikat dalam politik Teheran boleh menimbulkan kesan.
Obama tidak menekankan perbezaan antara Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad dan pesaingnya, Mir Hossein Mousavi sebagai menunjukkan tindakan tidak mahu campur tangan dalam tunjuk perasaan yang semakin menjadi-jadi dan ketegangan di Iran selepas pilihan raya Presiden lalu.
Presiden itu menjelaskan, beliau percaya pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei menyedari terdapat kebimbangan mendalam di Iran tentang pilihan raya yang dipertikaikan, ketika tunjuk perasaan terbesar sejak revolusi Islam 1979 itu bertambah buruk baru-baru ini.
''Penting untuk difahami bahawa walaupun berlaku pergolakan di Iran, perbezaan antara Ahmadinejad dan Mousavi dalam polisi sebenar mereka tidaklah sehebat seperti yang dihebahkan. Apa-apa pun, kita bakal berdepan dengan rejim Iran yang telah lama bermusuhan dengan Amerika Syarikat, yang telah menyebabkan masalah di rantau tersebut dan menjalankan program senjata nuklear,'' katanya kepada televisyen CNBC.

ROGOL : 90% KES LIBATKAN PELAJAR BAWAH 16 TAHUN

KUANTAN – Mengejutkan! Perangkaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang menunjukkan kira-kira 90 peratus kes jenayah rogol dan seksual di kalangan murid sekolah di negeri ini melibatkan pelajar berusia di bawah 16 tahun.
Ketika mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani berkata, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 89 kes jenayah rogol melibatkan remaja sekolah direkodkan.
Apa yang membimbangkan ialah, kes tersebut menunjukkan peningkatan pada setiap tahun sejak 2005 lalu. Kita perlu tahu puncanya sama ada disebabkan sikap ibu bapa yang tidak kisah membiarkan anak di luar sehingga pukul 12 tengah malam, agama atau moral dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Beliau menyatakan demikian selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Permuafakatan Tindakan Antara Jabatan Pelajaran Pahang (JPP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bagi Mencegah Jenayah Melibatkan Murid Sekolah di JPP di sini.
Menurut Robiah, dalam sesuatu kes jenayah seksual bawah umur, sama ada mangsa memberi persetujuan ataupun tidak, ia masih disifatkan sebagai rogol.
Robiah berkata, selain jenayah seksual, penglibatan remaja sekolah dalam penyalahgunaan dadah turut menunjukkan peningkatan sebanyak 330 peratus daripada hanya tiga kes pada Januari hingga Mei 2008 kepada 13 kes untuk tempoh yang sama tahun ini.

GADIS DIKURUNG 12 HARI DAN DIROGOL OLEH 7 LELAKI

KUANTAN - Bahana termakan pujukan teman lelaki, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun menjadi mangsa nafsu serakah tujuh lelaki yang mengurung mangsa selama 12 hari di sebuah rumah untuk memuaskan nafsu mereka.
Episod hitam remaja tersebut hanya berakhir apabila mangsa berjaya melarikan diri dari rumah terbabit yang terletak di kawasan perumahan Taman Indera di sini.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, segala-galanya bermula apabila mangsa menerima pelawaan teman lelakinya untuk menghantarnya pulang.
Katanya, sebelum itu, remaja perempuan tersebut dipercayai baru selesai menonton wayang bersama seorang rakannya di sebuah kompleks membeli-belah kira-kira pukul 11 malam, 5 Jun lalu.
Katanya, bagaimanapun rakan mangsa telah pulang terlebih dahulu dan semasa menunggu bas, dia didatangi sebuah kereta yang dinaiki lima orang termasuk seorang teman lelakinya.
"Teman lelaki mangsa lalu menawarkan diri untuk menghantarnya pulang ke rumah kakaknya di Inderapura di sini," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini baru-baru ini.
Kamaruzzaman memberitahu, remaja berkenaan yang berasal dari Pekan kemudian bersetuju lalu menumpang kereta terbabit. Bagaimanapun katanya, ketika dalam perjalanan, teman lelakinya itu tidak menghantar remaja terbabit terus ke rumah kakaknya sebaliknya mengajak mangsa ke rumah abangnya yang terletak di taman yang sama.
"Apabila sampai, dia mengunci mangsa di dalam rumah dan datang enam lagi lelaki ke rumah itu lalu merogol mangsa bergilir-gilir. Mereka kemudian tidak melepaskan mangsa sebaliknya mengurung remaja perempuan itu selama 12 hari untuk memuaskan nafsu mereka," ujarnya.
Beliau berkata, mangsa berjaya melarikan diri dari rumah itu, semasa kesemua suspek sedang tidur.
Kata beliau lagi, remaja perempuan itu yang pulang ke rumahnya telah menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya yang kemudian membuat laporan di IPD Kuantan.
Menurut Kamaruzzaman, susulan laporan itu, polis telah melancarkan gerakan memburu kesemua suspek dan berjaya menahan empat lelaki. Katanya, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 19 dan 36 tahun yang masing-masingnya berasal dari Taman Inderapura, Inderasempurna, Taman Sri Mahkota dan Taman Baru Seri Meranti, di sini.
"Ekoran tangkapan itu, polis percaya akan dapat menahan tiga lagi suspek yang terlibat dalam tempoh terdekat," katanya.

Wednesday, July 1, 2009

RAPAT UMUM BERTUKAR GANAS DI IRAN

*Gambar : Beribu-ribu penyokong Mir Hossein Mousavi mengadakan tunjuk perasaan di Teheran baru-baru ini bagi membantah kemenangan Ahmadinejad yang didakwa berlaku penyelewengan pada pilihan raya Presiden.

TEHERAN - Tujuh orang terbunuh apabila keganasan tercetus semasa rapat umum besar-besaran anjuran pembangkang di tengah ibu negara Iran baru-baru ini bagi membantah kemenangan Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad dalam pilihan raya Presiden.
Tayar, tong sampah dan motosikal dibakar oleh penunjuk perasaan apabila ratusan ribu rakyat Iran membanjiri jalan raya bagi meluahkan kemarahan dengan kekalahan calon yang mereka sokong, Mir Hossein Mousavi.
Radio kerajaan melaporkan, sekurang-kurangnya tujuh orang maut apabila 'samseng' menyerang dan merosakkan bangunan-bangunan kerajaan pada akhir rapat umum itu yang telah diharamkan oleh pihak berkuasa.
"Sebuah pos tentera diserang dengan tujuan untuk merampas senjata yang ada di situ," menurut laporan tersebut.
Berdepan dengan protes yang semakin hebat itu, pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei mengarahkan siasatan dijalankan mengenai dakwaan penipuan undi yang dibangkitkan oleh Mousavi.
"Insya-Allah, kita akan mengambil balik hak kita," teriak Mousavi dari bumbung sebuah kereta di tengah-tengah lautan ratusan ribu penduduk Iran yang mengadakan tunjuk perasaan tidak menghiraukan pengharaman itu. Kira-kira 1.5 juta hingga dua juta penunjuk perasaan dianggarkan membanjiri bahagian tengah Teheran.

AHMADINEJAD SINDIR AMERIKA SYARIKAT

YEKATERINBURG - Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad menyertai para pemimpin dunia pada satu sidang kemuncak serantau di Rusia baru-baru ini sambil menyindir Amerika Syarikat, dengan mengisytiharkan zaman empayar sudah berakhir.
Ahmadinejad dalam ucapannya pada sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) itu tidak menyentuh tentang keganasan yang meletus di negaranya atau kemenangan beliau yang dipertikaikan pada pilihan raya Presiden Iran baru-baru ini.
"Sistem kapitalis antarabangsa semakin merosot. Sudah nyata bahawa zaman empayar sudah berakhir dan kebangkitan semulanya tidak akan berlaku," kata Ahmadinejad kepada barisan pemimpin dunia yang termasuk Presiden Rusia, Dmitry Medvedev dan Presiden China, Hu Jintao di bandar ini.
Sebelum itu kehadiran Ahmadinejad telah menimbulkan tanda tanya selepas beliau menangguhkan pemergiannya berikutan kekacauan di Iran. Beliau pada awalnya dijadual mengadakan rundingan dua hala dengan Medvedev tetapi jurucakap Kremlin berkata, pertemuan itu dibatalkan disebabkan jadual yang terlalu ketat.
Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergei Ryabkov sebelum itu menyifatkan pilihan raya Iran sebagai 'urusan dalaman rakyat Iran', dalam reaksi rasmi pertama Moscow terhadap kontroversi kemenangan Ahmadinejad.
Presiden Iran itu menghadiri sidang kemuncak SCO dalam kedudukan Iran sebagai pemerhati pertubuhan tersebut dan Teheran pernah melahirkan hasrat untuk menjadi anggota penuh.
Lawatan ke Rusia adalah lawatan pertama Ahmadinejad ke luar negara selepas kemenangan besar beliau dalam pilihan raya tersebut.
Rusia berharap untuk menggunakan sidang kemuncak SCO dan sidang kemuncak pertama Brazil, Rusia, India dan China (BRIC) di sini untuk menaikkan statusnya sebagai pencatur kuasa berpengaruh.
SCO ditubuhkan pada 1996 sebagai alternatif kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi membolehkan Rusia dan China menangkis pengaruh Amerika Syarikat di Asia.
Selain Rusia dan China, pertubuhan itu juga dianggotai oleh Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan.