Friday, November 13, 2009

JAIS TOLAK 7 PENCERAMAH WAHABI?

Tujuh ilmuan Islam yang tidak diberikan tauliah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) beberapa bulan lalu dipercayai kerana mereka disyaki membawa aliran Wahabi dan dekat dengan Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Penolakan terhadap permohonan ketujuh-tujuh mereka, selepas diwawancara sebelum bulan Ramadhan lalu, bagaimanapun tidak menyatakan sebarang alasan. Soalan-soalan tiga pegawai JAIS yang menemuduga mereka menjurus kepada usaha menyelidik sikap mereka terhadap beberapa isu fekah dan akidah yang boleh dikaitkan dengan aliran Wahabi.
Soalan-soalan itu, antaranya, isu lafaz niat solat, marhaban dibolehkan atau tidak, aliran teologi asy-Asy'ari dan perdebatan isu 13 sifat-sifat Allah yang menjadi pengetahuan umum bagi para penganut Ahlus Sunnah Wal Jama'ah. Ketujuh-tujuh diwawancara pada hari yang sama setelah permohonan mereka untuk mendapatkan tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) disokong oleh ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib. Menurutnya, pada 19 Ogos lalu, JAIS mengeluarkan surat menolak permohonan tauliah mengajar atau berceramah kepada tujuh pemohon ini.
Dalam persidangan DUN Selangor baru-baru ini, wakil rakyat PAS itu mendedahkan nama tujuh penceramah agama tersebut, yang dipercayai daripada aliran pemikiran agama yang sama iaitu Fathul Bari Mat Jahya - kelulusan BA Hadis (Universiti Madinah), MA (Universiti Yarmouk, Jordan), sedang menamatkan PhD di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Mohd Khairi Anwar Abdul Latif - BA al-Quran dan Sunnah (UIA), MA Hadis (UIA), bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Abdul Razak Mutalib - BA Usul Fiqh (UIA), MA Hadis, bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Muzairi Mustafa - BA Tafsir, Usul dan Dakwah (Al-Azhar, Kaherah), sedang menuntut di peringkat Sarjana, Fathlan Mohd Osman - BA Dakwah, MA Tafsir (UKM), sedang menyiapkan PhD Hadis di UIA, Dr Azwira Abd Aziz - BA (Univeristi Madianah) MA (Universiti Madinah), PhD (Universiti Jordan), Ketua Jabatan al-Quran dan Sunnah di UKM, Mohd Roesfan Sazzerin Mohamad Sufi - BA Hadis, Diploma Dakwah (Universiti Madinah), MA Hadis (UIA).
Saari, mantan Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), mencadangkan anggota majlis fatwa dan ahli akademik ini dikecualikan daripada tauliah seperti diperuntukkan dalam bahagian kesembilan Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008. Dalam ucapan sama, beliau mendedahkan Fathul Bari pernah ditahan kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah tiga tahun lalu.
Fathul Bari, anak bekas Mufti Perlis, Datuk Mat Jahya Hussin dan Dr Azwira, ahli Majlis Fatwa Perlis yang pernah dicalonkan untuk memegang jawatan Mufti di negeri itu, dikenali rapat dengan Dr Mohd Asri. Bekas Mufti Perlis yang kontroversi itu sering dikaitkan dengan aliran Wahabi walaupun beliau berkali-kali menafikannya. Penangkapannya awal bulan ini dan pendakwaannya di mahkamah minggu depan, atas kesalahan mengajar tanpa tauliah turut membangkitkan semula isu Wahabi.
Dr Azwira juga terlibat dalam Kelompok Intelektual Muslim Muda (KIMM), kumpulan untuk membela Dr Mohd Asri yang turut disertai bekas Menteri Besar Perlis dan ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim. KIMM mengemukakan lapan tuntutan, antaranya:
1-Meminta layanan yang adil kepada semua pendakwah tanpa prasangka seperti menolak permohonan tauliah dan ceramah tanpa sebab.
2-Meminta supaya dibuang senjata tuduhan Wahabi kepada golongan agama atau tokoh agama hanya kerana berbeza pendapat.
3-Mendesak stigma negatif terhadap aliran Wahabi, yang dipelopori oleh Syeikh Muhammad Abdul Wahab dan juga ulama-ulama lain dari Arab Saudi dihentikan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIS, Ahmad Zaki Arshad menafikan ketujuh-tujuh ilmuan Islam ditolak tauliah mereka kerana disyaki beraliran Wahabi. Jelasnya, permohonan itu ditolak kerana ia dibuat tanpa mengikut "prosedur mengisi borang" yang tepat, antaranya, ia seharusnya disokong oleh Ketua Jabatan jika kakitangan awam, Penghulu atau Ketua Pegawai Eksekutif jika bekerja swasta. Permohonan melalui ADUN tidak mengikut peraturan, tambahnya.