Tuesday, July 17, 2012
Akibat Desakan Masyarakat Syiah, Kerajaan WAHABI Arab Saudi Terpaksa Mengizinkan Keluarga Syeikh Nemr Menemuinya
-Akibat desakan berterusan masyarakat Syiah di Arab Saudi, pihak kerajaan WAHABI Arab Saudi terpaksa mengizinkan keluarga Syeikh Nemr al-Nemr menemuinya di hospital.
-Buntu dengan desakan para penunjuk perasaan dan protes bertali arus mereka ke atas penangkapan Syeikh Nemr, seorang ulama terkemuka WAHABI telah menggesa para pegawai kerajaan WAHABI Arab Saudi untuk mengizinkan sebahagian ahli keluarga Syeikh Nemr untuk menemuinya di hospital tentera.
-Menurut maklumat daripada salah seorang ahli keluarganya, Syeikh Nemr telah menjalani pembedahan akibat kecederaan yang dialaminya dan beliau kini berada dalam keadaan yang baik.
-Pada 8 Julai 2012 yang lalu, pihak polis Arab Saudi telah menembak kenderaan yang dinaiki oleh Syeikh Nemr al-Nemr di Qatif. Akibat tembakan tersebut, kereta beliau telah merempuh salah sebuah rumah penduduk lalu pihak polis menangkapnya serta merta di tempat kejadian.
-Syeikh al-Nemr adalah seorang pengkritik keras terhadap dasar-dasar rejim kerajaan WAHABI Arab Saudi dan sering mengecam langkah-langkah keselamatan yang zalim dan diskriminasi terhadap masyarakat Arab Saudi yang bermazhab Ahlul Bait.
-Dalam khutbah-khutbahnya, beliau sering menuntut kepada pemerintah Arab Saudi supaya menamatkan diskriminasi terhadap para penduduk di wilayah timur negara itu.
Penterjemah : ROHAIZAD IBRAHIM
Monday, February 20, 2012
ALI STONE : SAYA AKAN MEMBUAT FILEM MENGENAI TRAGEDI KARBALA
Ali Stone, pengarah filem Hollywood yang baru sahaja memeluk agama Islam di Iran baru-baru ini mengatakan, "Di Iran ini saya memiliki perancangan untuk membuat lima filem dokumentari dan masih lagi dalam peringkat tinjauan dan penelitian."
"Di antara filem yang ingin saya buat adalah mengenai biografi Maulana Rumi, seorang tokoh besar Iran yang amat dikagumi di dunia Barat. Maulana Rumi memiliki ramai peminat di seluruh dunia dan tentu sekali sangat bermanfaat jika biografinya difilemkan. Namun bagi saya peristiwa 'Asyura jauh lebih menakjubkan, lebih banyak memiliki pencinta di seluruh dunia dan manfaat pembikinan filemnya jauh lebih besar. Justeru saya bertekad untuk membuat filem mengenai 'Asyura suatu hari nanti."
Sean Stone, 27 tahun yang setelah memeluk Islam menggantikan namanya menjadi Ali Stone mengakui banyak mengenali para mahasiswa Iran dari jurusan Sejarah dan Perbandingan Agama.
Katanya, "Tugas saya ketika di Iran memerlukan banyak interaksi dengan mereka. Sebelum ini saya sudah mengenali agama Yahudi dan Kristien kerana saya membesar dari keluarga yang memadukan antara dua agama besar tersebut. Yang menarik dari ajaran Islam adalah penjelasan mengenai hubungan antara Tuhan dan manusia. Dalam Islam manusia mampu berhubung secara langsung dengan Tuhan tanpa melalui perantaraan. Hal ini sangat menakjubkan bagi saya."
Sewaktu ditanya mengenai ketertarikannya untuk membuat filem mengenai 'Asyura, beliau menegaskan, "Islam tidak boleh dipisahkan dari peristiwa 'Asyura. Oleh kerana itu, umat Islam di Iran sentiasa menghidupkan 'Asyura dengan pelbagai majlis dan perayaan. Dari peristiwa 'Asyuralah saya melihat semangat pembebasan dan cinta keadilan itu lahir dan tumbuh."
Tegas beliau lagi, "Saya kagum terhadap negara Iran yang memberikan kebebasan untuk memiliki keyakinan terhadap setiap rakyatnya. Meskipun majoriti rakyat Iran adalah bermazhab Syiah, namun ada rakyat negara ini yang berpegang dan beramal dengan mazhab lain. Setiap orang melaksanakan sesuatu amalan berdasarkan keyakinan masing-masing tanpa perlu bersengketa. Jika ada yang berselisih faham, ianya bukan disebabkan oleh perbezaan mazhab tetapi sekadar perselisihan peribadi."
Ketika ditanya mengapa beliau memilih nama Ali sebagai nama barunya, Ali Stone menjelaskan, "Imam Ali as adalah tokoh pembebasan yang sangat diagungkan dalam mazhab Syiah. Saya sejak dahulu lagi telah memakai rantai yang berbentuk pedang kecil yang tertulis nama Ali. Saya sudah mengkaguminya sejak sekian lama."
Terjemahan : Rohaizad Ibrahim
ALI STONE : KETIKA MENGUCAPKAN DUA KALIMAH SYAHADAH, AKU MERASA SEDANG BERHADAPAN DENGAN MANUSIA SUCI
Setelah memeluk Islam dan menggantikan namanya daripada Sean Stone kepada Ali Stone mengatakan,"Menurut saya, sebagaimana pemerintahan Babylon musnah, kekuatan dunia saat ini juga bakal hancur. Masyarakat dengan keimanannya telah memulakan kebangkitan di Timur Tengah."
Sewaktu majlis pembacaan dua kalimah syahadah berlangsung di Esfahan, Sean Stone akhirnya memilih nama Ali Stone setelah memeluk Islam.
Ali Stone turut menegaskan bahawa Gerakan Occupy Wall Street tidak akan padam kerana ia berada di hati setiap orang.
"Agama Islam adalah lanjutan dari 'firman Tuhan'. Allah swt telah mengutuskan Nabi Ibrahim as dan Musa as serta menyatukan seluruh mazhab dan prinsip-prinsip agama," jelas Ali Stone mengenai alasan mengapa ia memeluk Islam.
Seniman Amerika Syarikat ini juga memaparkan bahawa Nabi Muhammad saw telah berjaya menyatukan seluruh masyarakat yang pada waktu itu penuh dengan kekufuran. Menurutnya lagi,"Saya dapat memahami keberanian dan ketulusan Nabi Muhammad saw. Itulah sebab mengapa saya memeluk Islam."
Ujarnya lagi,"Agama-agama lain menyembah Allah swt sama dengan Islam. Kalimah 'Laa Ilaaha Illa Allah' bukan pengertian yang baru. Kalimah ini sentiasa ada bersama agama-agama yang ada. Perbezaannya hanya pada cara penjelasannya."
Ketika ditanya apakah keluarganya mengetahui tentang hasratnya untuk memeluk Islam dan apa reaksi mereka, Ali Stone mengatakan, "Tidak, mereka tidak banyak mengetahui tentang hal ini. Dengan memeluk Islam, pada dasarnya saya mengikuti seluruh agama. Kita semua satu di mata Allah yang Maha Berkuasa."
Ketika Ali Stone ditanya mengapa di usia 27 tahun ia memutuskan untuk memeluk Islam, beliau tuntas menjawab, "Saya telah membaca al-Quran. Tapi tentu saja orang tidak mungkin menjadi seorang Muslim hanya dengan membaca al-Quran semalaman. Setiap orang harus membaca al-Quran sepanjang hidupnya. Proses saya memeluk Islam merupakan perintah Allah. Saya bukan seorang yang menentukan bila saya perlu menjadi seorang Muslim," ujar anak sutradara terkenal Amerika Syarikat, Oliver Stone.
Ketika menyentuh berkaitan perasaannya sewaktu mengungkapkan dua kalimah syahadah, Ali Stone mengatakan,"Saya berhadapan dengan seorang alim rabbani dan suci. Saya fikir ia memiliki hubungan yang khusus dengan Allah."
Ketika berbicara mengenai masa depan umat Islam di Timur Tengah, Ali Stone menjelaskan,"Sebagaimana kemusnahan yang menimpa pemerintahan Babylon, kekuatan dunia juga akan tumbang. Di sinilah perbezaan antara seorang yang beriman dengan Barat yang tidak memiliki keimanan."
Ketika ditanya mengenai masa depan gerakan Occupy Wall Street, Ali Stone menegaskan, "Occupy Wall Street merupakan sebuah gerakan yang tidak pernah padam kerana ia sentiasa ada di hati setiap orang."
Terjemahan oleh : Rohaizad Ibrahim
AYATULLAH SYEIKH KASHANI : YANG AMAT DIPERLUKAN SAAT INI ADALAH PERPADUAN
Solat Jumaat di Tehran pada 17 Februari 2012 telah dipimpin oleh Ayatullah Syeikh Muhammad Imami Kashani.
Dalam khutbahnya, Ayatullah Kashani menyatakan, "Yang paling diperlukan oleh seluruh rakyat Iran pada ketika ini adalah perpaduan dan perhatian terhadap seluruh ucapan Rahbar. Memelihara perpaduan dan menjauhi perpecahan akan memuliakan bangsa."
Dalam khutbah keduanya, Ayatullah Kashani mengatakan, "Para musuh berniat untuk mengurangkan penyertaan rakyat dalam pilihanraya umum melalui pelbagai analisa mereka."
Beliau turut merujuk pada khutbah Imam Ali as yang ke 127 dalam Nahjul Balaghah berkenaan pentingnya perpaduan dan solidariti. Beliau turut menegaskan, "Ketika rakyat bersatu padu dan menginginkan kebaikan, musuh akan takut dan mundur. Oleh kerana itu Imam Ali as menekankan bahawa "tangan Allah" sentiasa akan bersama rakyat. Oleh kerana rakyat Iran bergerak dengan satu slogan menuju satu tujuan, maka mereka harus berhati-hati dan menghindari perpecahan serta masalah-masalah remeh."
Ketika menyentuh mengenai penyertaan meluas rakyat dalam perhimpunan agung 22 Bahman (11 Februari) bagi memperingati kemenangan Revolusi Islam Iran, Ayatullah Kashani mengatakan, "Kita melihat media-media asing khususnya Amerika Syarikat dan Israel sering menganalisa masalah-masalah remeh dan tidak mendedahkan penyertaan meluas rakyat Iran yang merupakan perkara paling utama."
Tegas beliau lagi, "Perkara terpenting dalam perhimpunan agung 22 Bahman adalah perpaduan dan solidariti rakyat. Meskipun demikian, ada sebahagian media massa asing yang mengungkapkan perkara yang menarik dari perhimpunan agung 22 Bahman itu. Mereka mengakui bahawa keagungan Revolusi Islam dan gelora 22 Bahman itu muncul kerana wujudnya demokrasi di Iran."
Terjemahan oleh : Rohaizad Ibrahim
Subscribe to:
Posts (Atom)