Friday, October 17, 2008

MOTTAKI : IRAN BEBAS DARI KRISIS EKONOMI DUNIA KERANA MILIKI SISTEM MANDIRI

Iran menganggap Amerika Syarikat sebagai penyebab utama berlakunya krisis ekonomi yang merebak ke seluruh dunia. Sikap hegemoni ekonomi Amerika turut mempengaruhi perjalanan ekonomi global.
Menurut Menteri Luar Republik Islam Iran, Manouchehr Mottaki, "Sudah sampai waktunya dunia membentuk sebuah sistem kewangan antarabangsa yang lebih adil bagi mencegah kesan krisis ekonomi di Amerika terhadap kewangan dunia. Krisis ekonomi di Amerika memberi pengaruh secara langsung terhadap ekonomi negara lain. Kami yakin dan percaya bahawa krisis ini terjadi akibat dasar Amerika yang ingin menerapkan sikap hegemoni ekonominya terhadap negara lain. Sebagai sebuah negara pengeksport minyak, Iran yakin mampu menghadapi krisis ekonomi global kerana memiliki sistem ekonomi yang lebih bebas dan mandiri."

ARAB SAUDI PUJUK RUSIA HENTI BERI SOKONGAN PADA IRAN


*Gambar : Putera Bandar bin Sultan.

Kerajaan Arab Saudi menawarkan pembelian senjata Rusia bernilai USD 2.4 bilion dengan syarat Moskow berhenti memberi sokongan dan kerjasama terhadap Iran.
Tawaran itu dibuat sewaktu pertemuan di antara Perdana Menteri Rusia Vladimir Putin dengan Ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan Arab Saudi, Putera Bandar bin Sultan.
Arab Saudi bersedia membeli sekurang-kurangnya 100 buah kereta kebal BMP-3, 150 buah kereta kebal T-90 dan 160 buah helikopter Mi-17, Mi-26 dan Mi-35.
Moskow menentang hukuman antarabangsa terhadap Iran kerana alasan lapuk cuba menghasilkan bom nuklear sedangkan Tehran seringkali menegaskan bahawa ianya adalah untuk memenuhi keperluan negaranya.
Hubungan antara Rusia dan Arab Saudi yang merupakan sekutu akrab dan tradisi Amerika Syarikat mula terjalin sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

TV AL-MANAR : ARAB SAUDI JADI EJEN MOSSAD ISRAEL

*Keterangan Gambar : Meir Dagan-Ketua Mossad Israel (kiri) dan Imad Mughniyah (kanan).

Ejen Perisikan Mossad Israel telah menggunakan maklumat perisikan yang dibekalkan oleh sebuah negara Arab untuk melaksanakan sesuatu operasi pembunuhan di Timur Tengah.
Sumber dari Israel mengesahkan bahawa kerjasama yang dijalin oleh Ketua Mossad, Meir Dagan dengan sebuah negara Arab merupakan bukti jelas disebalik kejayaan yang dicapai hasil dari beberapa operasi Israel di beberapa buah negara Arab yang tidak memiliki hubungan diplomatik dengan Israel.
Di antara operasi-operasi yang dikaitkan dengan regim Zionis Israel ialah pembunuhan Komandan Tertinggi Hizbullah Lebanon, 'Imad Mughniyah dan pegawai tentera Syria, Brigedier Jeneral Mohammad Suleiman. Israel turut dituduh terlibat melakukan pengeboman di Syria dan Lebanon baru-baru ini.
Stesen Televisyen al-Manar di Lebanon melaporkan bahawa Arab Saudilah negara yang membekalkan maklumat perisikan kepada pihak Mossad Israel dan turut menamakan Ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan Arab Saudi, Putera Bandar bin Sultan sebagai dalang yang memainkan peranan utama dalam memberikan kerjasama terhadap pihak musuh.

Thursday, October 16, 2008

IRAN ADAKAN LATIHAN PERANG UNTUK ANGKATAN TENTERA UDARANYA

Latihan perang Angkatan Tentera Udara Republik Islam Iran yang diberi nama 'Pembela Kehormatan Wilayah' telah diadakan di Tabriz, barat laut Iran.
Jurucakap latihan perang tersebut, Brig Jen Chit Furoush menyatakan, "Latihan selama 6 hari itu merupakan sebahagian dari latihan intensif untuk mereka. Para pemandu pesawat-pesawat tempur seperti Sukhoi dan F-14 turut dikerahkan dalam latihan tersebut."
Tambahnya lagi, "Seluruh tahap perancangan, bentuk latihan, operasi dan penembakan dalam latihan tersebut ditangani secara langsung oleh para pakar dari Iran sendiri."

FIDEL CASTRO : NEGARA-NEGARA BARAT BANKRAP

Mantan Presiden Cuba, Fidel Castro menyatakan, negara-negara kapitalis Barat yang sedang ditimpa krisis kewangan yang meruncing, tidak akan dapat mengalihkan situasi dan bebanan itu ke negara-negara lain. Beliau menambah, negara-negara kapitalis di Eropah tidak akan mampu menyelesaikan masalah-masalah yang menimpa mereka kini.
Mereka gagal dalam menghadapi pengangguran, masalah para pelabur yang kehabisan wang dan sektor pertanian yang menuju kemusnahan. Untuk itu, Barat cuba mengalihkan situasi dan penyelesaian masalah-masalah tersebut ke negara-negara lain.

HARGA MINYAK DUNIA TERUS MENJUNAM...OPEC AKAN KURANGKAN PENGELUARANNYA

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) dalam sebuah kenyataannya menyatakan, mesyuarat tergempar pertubuhan itu akan dipercepatkan dari jadual asalnya. Tarikh asal mesyuarat tergempar itu ialah pada 18 November 2008 di Vienna, Austria namun dipercepatkan pada 24 Oktober 2008.
Perubahan ini disebabkan penurunan mendadak harga minyak mentah di pasaran dunia. Pada bulan Julai 2008 yang lalu, harga minyak mentah dunia mencecah USD147 setong namun kini menjunam kepada USD67 sahaja setong.
Setiausaha Agung OPEC, Abdullah Salem El-Bardi dalam sebuah kenyataannya menjelaskan, perubahan jadual mesyuarat tergempar itu ditetapkan setelah diadakan perbincangan di kalangan para pemimpin OPEC.
Sementara itu, Menteri Minyak Qatar, Abdullah al-'Attiyah menyatakan, mesyuarat tergempar OPEC tersebut dijangka mengurangkan pengeluaran minyaknya sebanyak satu juta tong sehari.

RAJA BAHRAIN : IRAN ADALAH KUNCI KEAMANAN DAN KESTABILAN DI TIMUR TENGAH

Raja Bahrain, Raja Hamad bin 'Isa al-Khalifah menganggap kekuatan, kestabilan dan ‎keamanan Iran mampu mempengaruhi keamanan dan kestabilan di rantau Timur Tengah. Beliau berkata demikian sewaktu mengadakan pertemuan dengan Menteri Minyak Iran, Gholam Hossein Nozari di ‎Manama, Bahrain.
Tambahnya lagi, "Pihak musuh sentiasa berusaha untuk memecahbelahkan perpaduan di kalangan negara-negara ‎di rantau Timur Tengah. Oleh itu setiap negara perlu berwaspada untuk menangkis segala rancangan jahat musuh itu."‎
Raja Bahrain itu juga turut menekankan tentang perlunya dipertingkatkan kerjasama di antara kedua belah ‎negara. Beliau menyatakan bahawa negaranya sedang berusaha gigih untuk mewujudkan ‎kepercayaan dua hala dengan Iran dan Manama tidak akan terpengaruh dengan ‎propaganda anti-Iran yang disebarkan oleh negara-negara Barat. Beliau turut memuji sikap Iran yang membela nasib rakyat Palestin ‎di samping menyokong penuh usaha Iran membangunkan program nuklearnya.‎