Wednesday, July 15, 2009

TAWARAN ISRAEL UMPAMA PENJARA - KHALED MESH'AAL

DAMASCUS - Pemimpin Hamas, Khaled Mesh'aal menyifatkan tawaran Israel untuk menubuhkan negara Palestin yang bebas tentera sebagai 'sebuah penjara besar' dan menegaskan bahawa hanya perjuangan senjata mampu mengembalikan hak rakyat Palestin.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu baru-baru ini dalam satu kenyataan menyokong usaha Amerika Syarikat untuk menjadikan Palestin sebagai sebuah negara bebas tentera tetapi negara itu perlu menerima Israel sebagai negara Yahudi.
"Negara yang dimaksudkan oleh Netanyahu itu, yang ruang udara, darat dan lautnya dikawal, merupakan satu entiti yang pelik dan penjara yang besar, bukan sebuah negara yang sesuai untuk orang-orang yang hebat," kata Mesh'aal ketika berucap di ibu negara Syria kepada penyokong-penyokong Hamas yang memenangi pilihan raya Palestin pada 2006.
Tegas Mesh'aal lagi, "idea untuk mewujudkan sebuah negara eksklusif Yahudi dikecam oleh rakyat Palestin, seolah-olah menyerah diri dan apa yang digambarkannya sebagai menafikan hak enam juta rakyat Palestin yang menjadi pelarian untuk kembali ke tanah air mereka sekarang yang kini menjadi negara Israel. Kita memberi amaran sekali lagi, terhadap sikap lembut negara-negara Arab berhubung isu ini. Gesaan oleh pemimpin-pemimpin Israel adalah bersifat perkauman, tidak ada perbezaan dengan fahaman fasis Itali dan diktator Nazi, Adolf Hitler."

AMERIKA SYARIKAT -IRAN BERPERANG MULUT

WASHINGTON - White House menuduh Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahamdinejad cuba memburuk-burukkan Amerika Syarikat yang didakwa sebagai penyangak politik di Iran, selepas pilihan raya Presiden Iran pada 12 Jun lalu, yang mencetuskan perang mulut dengan Teheran.
Komen terbaru Amerika Syarikat itu diutarakan kepada kerajaan Iran, selepas Ahmadinejad menuduh Washington dan Barat suka campur tangan di Iran dan cuba membangkitkan pergolakan dalaman.

Tuesday, July 14, 2009

72 LAGI PENGIKUT MAZHAB AHLUL BAIT SYAHID DALAM SERANGAN BOM DI SADR CITY

*Gambar : Ahli-ahli keluarga meratap semasa mengusung keranda mayat mangsa serangan bom yang turut mengorbankan sekurang-kurangnya 72 orang di sebuah pasar sibuk di Sadr City, Iraq baru-baru ini.

BAGHDAD - Sebuah bom kuat yang diletupkan di sebuah pasar sibuk di timur Sadr City, di sini baru-baru ini, mengorbankan sekurang-kurangnya 72 nyawa, enam hari sebelum tentera Amerika Syarikat dijadual berundur daripada pekan-pekan dan bandar-bandar di Iraq.
Kira-kira 127 orang lagi dilaporkan cedera dalam insiden yang berlaku di kawasan miskin yang dihuni penduduk bermazhab Ahlul Bait.
Seorang saksi berkata, letupan tersebut merobek sebahagian kawasan Pasar Mraidi yang menjual burung-burung, menyebabkan gerai-gerai terbakar.
Insiden pertumpahan darah berkurangan mendadak di seluruh Iraq dalam masa beberapa tahun lepas, namun pejuang termasuk al-Qaeda terus melancarkan serangan pengeboman kereta dan serangan berani mati yang bertujuan melemahkan kerajaan dan meningkatkan konflik antara puak.
Serangan ke atas pasar tersebut itu berlaku empat hari selepas tentera Amerika Syarikat secara rasmi menyerahkan kawalan keselamatan Sadr City kepada tentera tempatan, yang pernah menjadi lokasi pertempuran sengit tentera Amerika Syarikat dan Iraq dengan pejuang bermazhab Syiah pada 2008.
Ra'ad Latif, pemilik sebuah kedai berdekatan lokasi letupan berkata, bom itu kemungkinan dipasang pada sebuah motosikal yang ditempatkan dalam sebuah treler.
''Letupan itu sangat besar dan kuat. Selepas mendengarnya, kami menutup kedai dan bergegas membantu mereka yang cedera,'' kata Latif.
Dia berkata, pada mulanya, pasukan keselamatan meminta orang ramai berundur bagi membolehkan ambulans dan kenderaan polis memasuki kawasan berkenaan.
''Selepas itu, pasukan keselamatan akhirnya membenarkan kami membantu setakat yang termampu. Lokasi kejadian sangat menakutkan,'' ujarnya.
Sementara itu, penganalisis berpendapat, serangan-serangan yang berlaku di Iraq mungkin akan menjadi bertambah hebat menjelang pilihan raya Parlimen Januari depan, yang menjadi ujian penting sama ada puak yang bertelingkah di Iraq boleh hidup bersama selepas beberapa tahun terheret dalam pembunuhan sesama mereka yang dicetuskan oleh serangan Amerika Syarikat pada 2003.
Jurucakap tentera memaklumkan, hanya sebilangan kecil tentera Amerika Syarikat akan tinggal di Iraq selepas tarikh akhir pengunduran 30 Jun, namun jumlah sebenar masih belum diketahui. Sebahagian tentera Amerika Syarikat akan kekal di pusat bandar iaitu di Stesen Keselamatan Bersama bagi melatih dan menasihatkan tentera keselamatan tempatan.

LEBIH 140 AKTIVIS DIPENJARA DI IRAN

TEHERAN - Iran telah memenjarakan lebih 140 aktivis politik, wartawan dan pensyarah universiti sejak pilihan raya yang dipertikaikan menyaksikan Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad kembali berkuasa.
Akhbar E'temad menyiarkan senarai 71 nama pemimpin terkenal reformis, wartawan dan pekerja kempen kepada calon Presiden yang kalah, Mir Hossein Mousavi, yang menganggap pilihan raya tersebut sebagai 'penipuan memalukan'.
Menurut laman web Mousavi, 'Kalemeh Sabz', seramai 70 pakar akademik dan ahli-ahli persatuan Islam dari pelbagai universiti turut ditahan selepas bertemu dengan pemimpin itu.
Iran turut menahan dua wartawan yang bertugas dengan syarikat penerbitan Amerika Syarikat di tengah-tengah larangan yang ditingkatkan terhadap media asing, yang dilarang membuat liputan tentang bantahan jalanan.
Sementara itu, Ahmadinejad turut menuduh Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berkelakuan sama seperti bekas Presiden, George W. Bush dan menggesa beliau meminta maaf atas apa yang dianggapnya sebagai campur tangan Amerika Syarikat semasa pilihan raya Iran.
Obama sebelum ini berkata, beliau 'gerun dan terkejut' dengan tindakan tegas terhadap bantahan yang berlaku di Iran selepas pemilihan semula Ahmadinejad sebagai Presiden.
''Beliau membuat kesilapan dengan mengatakan perkara-perkara itu. Soalan kami ialah mengapa beliau masuk campur dalam hal ini dan menyatakan perkara-perkara yang sama seperti yang sering dikatakan oleh Bush? Saya harap anda (Obama) akan mengelak daripada hal ehwal Iran selain menyatakan kekesalan,'' tegas Ahmadinejad lagi.
Sekurang-kurangnya 20 maut dan beratus-ratus yang lain telah ditahan dalam beberapa pertempuran di antara penunjuk perasaan dan tentera keselamatan sejak bantahan ekoran pilihan raya tercetus.

IRAN PERHEBATKAN TINDAKAN

*Gambar : Dr Mahmoud Ahmadinejad (kiri) menghadiri perhimpunan ahli-ahli parlimen di Teheran, Iran baru-baru ini.

TEHERAN - Kerajaan Iran memperhebatkan tindakan terhadap Mir Hossein Mousavi dengan penangkapan 25 kakitangan syarikat akhbar milik ketua pembangkang itu.
Selain itu, serangan kata-kata pedas dari media pro-kerajaan juga dilemparkan selepas Mir Hossein bersumpah untuk meneruskan kempen menentang keputusan pilihan raya presiden.
Tindakan terbaru itu dibuat ketika hubungan Iran dengan Barat semakin tegang selepas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mempersoalkan kesahihan pilihan raya dan menyatakan rasa kecewa berhubung kekerasan ke atas penunjuk perasaan.
Iran enggan mengubah keputusan pilihan raya yang membolehkan Dr Mahmoud Ahmadinejad kekal sebagai Presiden namun pemimpin tertingginya, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei melanjutkan lagi lima hari tempoh untuk memeriksa aduan pengundian.
Seorang daripada calon yang kalah, bekas ketua Pengawal Revolusi, Mohsen Rezai telah menarik balik bantahan dalam pilihan raya, sekali gus menjadi tamparan kepada pembangkang yang mengadakan demonstrasi hampir setiap hari sejak pengundian dimulakan 12 Jun lalu.
"Situasi politik, sosial dan keselamatan telah memasuki fasa sensitif dan penting, perkara yang lebih penting berbanding pilihan raya" kata Mohsen dalam sepucuk surat kepada Majlis Pengawal yang merupakan badan tertinggi pilihan raya.
Mir Hossein yang pernah menjadi Perdana Menteri semasa era selepas revolusi, meminta penyokongnya agar terus berdemonstrasi tetapi mengawal keadaan agar tidak berlaku lagi pertumpahan darah sementara seorang lain calon yang tewas, Mehdi Karroubi meminta penduduk berkabung di atas kematian penunjuk perasaan.
Polis telah menahan 25 wartawan dan beberapa kakitangan akhbar 'Kalemeh Sabz' milik Mir Hossein yang telah ditutup sebelumnya, kata seorang pengarangnya baru-baru ini.
Polis perisik menyatakan yang mereka telah menemui 'bukti plot yang membahayakan keselamatan negara' di pejabat kempen seorang calon yang digunakan dalam 'perang psikologi' namun calon tersebut tidak dinamakan.
Media asing terus diharam dari membuat liputan sejak kekecohan tercetus, namun imej-imej keganasan polis telah tersebar di seluruh dunia melalui video amatur dalam internet.

SARKOZY DIBIDAS KERANA HINA PURDAH

PARIS – Kumpulan Islam utama di Britain mengecam Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy yang mendakwa pakaian purdah yang menutup badan dan muka wanita Islam menjadikan mereka seakan banduan.
Di Paris, Parlimen secara rasmi mewujudkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji pemakaian purdah di Perancis, sehari selepas Sarkozy memberitahu penggubal undang-undang bahawa purdah tidak diterima di negara tersebut.
Seorang pengawai tertinggi Majlis Islam Britain, mendakwa Sarkozy melakukan ‘politik memecah-belah’ dan komennya boleh menimbulkan tindak balas 'Islamophobic' di Eropah.
“Ia seperti telah merendah-rendahkan umat Islam dan serangan untuk mengatakan pemakaian purdah oleh wanita Islam disebabkan oleh paksaan atau penindasan oleh lelaki atau penjaga mereka,” kata Penolong Setiausaha Agung Majlis, Reefat Drabu.
‘‘Pernyataan demikian boleh dianggap satu bentuk penentangan terhadap Islam,’’ katanya lagi.
Seorang ahli politik Islam berprofil tinggi juga menyertai perdebatan tersebut menyatakan ia bukanlah tugas kerajaan untuk menentukan pemakaian rakyat.
“Kebebasan memilih adalah satu nilai terhebat bagi negara ini dan mengapa kita disegani di seluruh dunia,” kata Menteri Komuniti, Shahid Malik.
“Tidak ada sebarang undang-undang yang menyatakan apa pakaian yang boleh diterima sama ada seseorang itu memilih memakai purdah, skirt mini atau pakaian goth adalah mengikut budi bicara individu itu sendiri,” katanya lagi.
Seramai 32 anggota suruhanjaya ditubuhkan oleh parlimen yang terdiri daripada empat ahli parti politik utama Perancis akan mengadakan perbahasan yang mungkin membawa kepada pengharaman pemakaian purdah di khalayak ramai.

Monday, July 13, 2009

PERANCIS HARAMKAN PURDAH

PARIS - Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy baru-baru ini mengisytiharkan purdah yang dipakai oleh wanita Islam sebagai pakaian yang tidak diingini di negara tersebut. Beliau mengecap pakaian yang menyelubungi seluruh badan wanita Islam itu, sebagai simbol tunduk, yang menghalang identiti wanita serta menjadikan mereka sebagai 'tahanan di sebalik tabir'.
Namun, di sebalik kata-kata tegas itu, terdapat juga pengakuan bahawa prinsip 'asimilasi etnik' negara itu yang menuntut pendatang menyingkirkan tradisi mereka dan menyesuaikan diri dengan budaya Perancis telah menemui kegagalan kerana tidak memberi peluang saksama kepada pendatang dan anak-anak mereka yang lahir di negara tersebut.
Dalam ucapan kepada ahli Parlimen di Versailles, Sarkozy menyifatkan pakaian purdah yang lebih dikenali sebagai 'burka' di kalangan etnik Arab sebagai bercanggah dengan nilai-nilai hidup masyarakat Perancis.
Kenyataan Sarkozy menentang burka itu adalah yang paling keras pernah disuarakan oleh seorang pemimpin Eropah ketika beberapa pemimpin Barat sedang berusaha untuk meredakan ketegangan dengan dunia Islam.
Perancis mempunyai penduduk Islam paling ramai di Eropah dengan jumlah dianggarkan 5 juta orang.
Sebilangan kecil wanita Islam Perancis memakai 'burka' seperti wanita Islam di Afghanistan dan 'niqab' yang menyelubungi seluruh badan kecuali mata.
Pengkritik khuatir isu pakaian yang menutup seluruh tubuh itu yang setakat ini hanya membabitkan minoriti kecil penduduk Islam Perancis boleh meningkatkan diskriminasi terhadap seluruh umat Islam di negara itu.
Pengarah masjid terbesar di Paris, Dalil Boubakeur berkata, kenyataan Sarkozy yang menolak burka itu mencerminkan budaya Perancis tetapi beliau menghadapi risiko memarakkan ketegangan dengan penduduk Islam.