Showing posts with label Iran...15 Jun 2009. Show all posts
Showing posts with label Iran...15 Jun 2009. Show all posts

Monday, June 29, 2009

KEMENANGAN YANG "TULUS DAN BEBAS" - AHMADINEJAD

TEHERAN - Dr Mahmoud Ahmadinejad berkata, pemilihannya semula sebagai Presiden Iran adalah 'tulus dan bebas' dan tidak boleh dipertikaikan. Ahmadinejad mengeluarkan kenyataan itu pada sidang akhbar pertamanya sejak kerajaan mengumumkan beliau dipilih semula menjadi Presiden untuk penggal yang kedua.
Kira-kira 1.6 kilometer daripada tempat sidang akhbar diadakan, sekumpulan para pemuda Iran merusuh sambil membakar bekas sampah dan tayar, manakala pasukan polis menggunakan kayu belantan untuk menyuraikan mereka.
Ahmadinejad turut menuduh media luar melancarkan 'perang psikologikal' menentang negaranya.
Sementara itu, Ahmadinejad terus menerima ucapan tahniah daripada beberapa pemimpin serantau dan sekutu rapat.
Speaker Parlimen, Ali Larijani mengucapkan tahniah kepada Ahmadinejad dan menyatakan akan memberi kerjasama kepada kerajaan baru itu. Menurutnya, ini adalah peluang bagi Ahmadinejad untuk menyelesaikan beberapa masalah dalaman.
Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad as-Sabah turut mengucapkan tahniah kepada Ahmadinejad dan menyifatkan Iran sebagai negara rakan.
Pergerakan Hizbullah juga sempat mengutus mesej tahniah kepada Ahmadinejad, pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei dan seluruh rakyat Iran.
President Iraq, Jalal Talabani tidak ketinggalan mendoakan kejayaan buat Iran dan kerajaan barunya.
Ahmadinejad turut menerima ucap tahniah daripada Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari dan Perdana Menterinya, Yousuf Reza Gilani.
Ucapan tahniah turut diterima daripada sekutu rapat beliau, Presiden Venezuela, Hugo Chavez.

AMERIKA SYARIKAT TIDAK IKTIRAF KEMENANGAN AHMADINEJAD

NIAGARA FALLS, Kanada - Amerika Syarikat enggan menerima kemenangan besar Dr Mahmoud Ahmadinejad dalam pilihan raya Presiden Iran dan menyatakan yang ia akan menyiasat dakwaan berlakunya penipuan undi.
Sebarang harapan pentadbiran Presiden Barack Obama untuk memperoleh keputusan serupa dengan pilihan raya Lebanon baru-baru ini yang dimenangi pakatan sederhana yang mendapat sokongan Barat, nampaknya tidak menjadi kenyataan.
"Kita sedang memantau situasi di Iran, namun kami, seperti mana semua pihak di seluruh dunia, sedang menunggu dan melihat keputusan rakyat Iran," kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton pada satu sidang akhbar bersama Menteri Luar Kanada, Lawrence Cannon.
Beberapa minit kemudian, White House mengeluarkan kenyataan dua baris ayat yang memuji 'perbincangan sihat dan minat yang tercetus daripada pilihan raya ini, terutamanya di kalangan golongan muda Iran', namun menyatakan kebimbangan mengenai 'beberapa perkara yang tidak kena'.

Sunday, June 28, 2009

100 REFORMIS IRAN DITAHAN

*Gambar : Para penyokong Mir Hossein Mousavi membakar sampah dan motosikal di sebatang jalan di Teheran bagi membantah kekalahan calon mereka pada Pilihan Raya Presiden Iran baru-baru ini.

TEHERAN - Lebih 100 reformis, termasuk Mohammad Reza Khatami, adik kepada bekas Presiden Iran, Mohammad Khatami telah ditahan baru-baru ini selepas satu tunjuk perasaan yang dilancarkan oleh golongan reformis ekoran kekalahan calon pilihan mereka, Mir Hossein Mousavi pada pilihan raya Presiden.
Menurut pemimpin reformasi yang juga bekas Timbalan Presiden, Mohammad Ali Abtahi, anggota-anggota reformis daripada Parti Mosharekat itu ditahan di rumah mereka. Seorang anggota Barisan Penyertaan Islam Iran (IIPF), Rajab Ali Mazroei pula berkata, sekurang-kurangnya 10 pemimpin daripada dua kumpulan reformasi Iran IIPF dan Organisasi Mujahidin Revolusi Islam (IRMO) turut ditahan. Beberapa orang yang ditahan itu pernah memegang jawatan kanan dalam kerajaan semasa pentadbiran Khatami dari tahun 1997 hingga 2005.
Antara mereka yang ditahan ialah bekas Timbalan Speaker Parlimen, Behzad Nabavi; ketua IIPF, Mohsen Mirdamadi dan jurucakap Khatami, Abdollah Ramezanzadeh. Pegawai-pegawai lain yang turut ditahan ialah Mostafa Tajzadeh, Mohsen Aminzadeh, Zoherh Aghajari, Saeed Shariati dan Zahra Mojaradi.
Sementara itu, agensi berita IRNA melaporkan, dua daripada mereka yang ditahan iaitu Tajzadeh dan Aminzadeh didapati terlibat merancang bantahan besar-besaran di seluruh Teheran, yang dilancarkan selepas keputusan pilihan raya diketahui.
Pesaing-pesaing Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad menyifatkan, pemilihan semula pemimpin itu melalui undian yang dimanipulasikan, telah membawa kepada rusuhan pada skala yang tidak pernah dilihat di Iran sejak sedekad lalu.
Kumpulan reformasi menyatakan sokongan padu mereka terhadap Mir Hossein setelah keputusan pilihan raya yang dipertikaikan itu menyaksikan bekas Perdana Menteri tersebut hanya memperoleh 34 peratus undian berbanding 63 peratus yang dimenangi Ahmadinejad.
Sementara itu, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei meminta rakyat Iran supaya menghormati kemenangan Ahmadinejad pada pilihan raya presiden itu.
Mir Hossein dalam pada itu turut menggesa penyokongnya mengelakkan kekacauan selepas satu tunjuk perasaan yang dilancarkan. ''Pencabulan dalam pilihan raya adalah sesuatu yang amat serius. Namun saya menyeru kepada anda semua supaya jangan mendatangkan bahaya kepada mana-mana individu atau kumpulan,'' katanya menerusi satu kenyataan yang dipaparkan dalam laman web kempennya.