Showing posts with label Iran...16 Jun 2009. Show all posts
Showing posts with label Iran...16 Jun 2009. Show all posts

Tuesday, June 30, 2009

IRAN KUTUK MEDIA ANTARABANGSA

*Gambar : Para penyokong Ahmadinejad mengibarkan bendera Iran dan bendera lambang agama ketika meraikan kemenangan presiden itu di tengah Teheran baru-baru ini.

KAHERAH - Pihak berkuasa Iran mengkritik laporan media antarabangsa dan mengambil langkah mengawal aliran maklumat daripada sumber berita bebas, ketika rusuhan anti kerajaan menular di negara tersebut.
Syarikat penyiaran British Broadcasting Co. (BBC) memaklumkan bahawa laporan berita elektroniknya mengalami kesesakan dan ia semakin serius, sekali gus mengakibatkan gangguan perkhidmatan kepada penonton serta pendengar BBC di Iran, Asia Barat dan Eropah.
BBC melaporkan bahawa pihaknya turut mengesan sekatan pada isyarat satelit yang menyiarkan perkhidmatan dalam bahasa Parsi ke satu lokasi di Iran.
Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad, menyelar media sejurus memenangi pilihan raya Presiden, setelah pengkritik menegaskan ia melibatkan penipuan pengundi. Pada satu sidang media baru-baru ini, Ahmadinejad menuduh media antarabangsa melancarkan 'perang psikologi' terhadap Iran.
Selain perkhidmatan telefon bimbit yang telah dibaik pulih selepas terganggu selama beberapa hari di Teheran, jaringan komunikasi turut terjejas sejak hari pengundian, termasuk yang boleh digunakan untuk menganjurkan tunjuk perasaan.

RAPAT UMUM PEMBANGKANG DIHARAMKAN DI IRAN

TEHERAN - Kementerian Dalam Negeri Iran mengharamkan rapat umum yang dianjurkan oleh para penyokong calon Presiden yang tewas, Mir Hossein Mousavi.
Keputusan kementerian tersebut dibantah keras oleh Mousavi dalam satu laman web kendalian penyokong beliau.
Kekacauan menggegarkan Teheran dan bandar-bandar lain apabila Kementerian Dalam Negeri menyiarkan keputusan yang menunjukkan Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad mengalahkan Mousavi dengan kelebihan undi yang besar dalam pilihan raya Presiden baru-baru ini.

MEDIA BARAT KECEWA AHMADINEJAD MENANG

*Catatan Abu Wajihah : Berikut saya paparkan sebuah rencana berkaitan isu terkini di Iran yang ditulis oleh Ismail Hashim Yahaya, seorang pensyarah di Pusat Pengajian Komunikasi, USM, Pulau Pinang. Meskipun saya kurang bersetuju dengan beberapa pandangannya tentang Mir Hussein Mousavi yang jelas menunjukkan kekeliruannya berhubung perjuangan Mousavi, namun beliau jujur ketika membicarakan berkenaan Ahmadinejad. Selamat Membaca!

Kemenangan besar Dr Mahmoud Ahmadinejad yang dilantik semula sebagai Presiden Iran nampaknya tidak disukai Barat. Malah banyak fitnah disebarkan oleh media Barat berhubung dengan perjalanan pilihan raya yang didakwa sebagai tidak bersih dan penuh dengan penipuan.
Tujuan media Barat ialah menabur fitnah dan keraguan di kalangan masyarakat antarabangsa mengenai ketulusan pilihan raya tersebut. Sebagai contohnya, Bill Schneider, penganalisis politik kanan CNN dalam liputannya menyoal kesahihan kerajaan Iran.
Walaupun mungkin terdapat beberapa penipuan semasa proses pilihan raya, tetapi media Barat tidak berhak mempertikaikan kesahihan keseluruhan kerajaan Iran. Bagaimanakah jika kita pula mempertikaikan keseluruhan kabinet dan kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Presiden Barack Obama?
Nampaknya kempen Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat yang menabur fitnah ke atas kemenangan Hamas dalam pilihan raya Palestin akan menjalar ke Iran pula. Sebagaimana mereka tidak menerima hakikat kemenangan Hamas dan kekalahan Fatah, mereka tidak dapat menerima kenyataan kemenangan Ahmadinejad dalam suatu proses pengundian demokrasi.
Laporan-laporan cetek yang sekadar memaparkan demonstrasi, kebakaran sampah dan tayar di jalan-jalan raya Teheran oleh penyokong reformasi yang kecewa di atas kekalahan calon mereka tidak mewakili keseluruhan pengundian rakyat Iran.
Media Amerika Syarikat dan Barat telah membesar-besarkan peristiwa tersebut dan tindakan polis ke atas perusuh. Laporan lintas langsung wartawan BBC, John Simpson membesarkan kejadian dengan menyebut, adakah apa yang beliau lihat sekarang merupakan awal kepada revolusi menentang rejim memerintah - daripada perusuh sekitar 3,000 orang itu?
Terdapat laporan bahawa 100 orang ditahan termasuk 10 orang pemimpin dua kumpulan yang mendukungi Mir Hussein Mousavi. Pada satu ketika dilaporkan Mousavi telah ditahan tetapi dinafikan isterinya.
Para pegawai pilihan raya mengisytiharkan Ahmadinejad meraih 62.6 peratus undi hampir dua kali ganda daripada Mousavi yang mendapat 33.75 peratus undi.
Perkataan reformis atau pembaharu yang diletakkan kepada Mousavi oleh media Barat, seorang calon yang mencabar Ahmadinejad tidak bererti beliau akan pro-Barat atau menjadi boneka Barat.
Ini juga tidak bermakna Mousavi akan menghentikan program nuklear Iran dan tunduk kepada Amerika Syarikat dan Israel dalam semua dasar jika menang jawatan presiden. Apakah maksud reformis kepada media Barat dan kepada rakyat Iran?
Reformasi kepada warga Iran atau kepada Mousavi sendiri bermakna membaiki ekonomi Iran dan bukan berada di bawah telunjuk Barat.
Mungkin para penyokong Iran bertindak di luar batasan adalah kerana kekalahan teruk calon mereka bahkan Mousavi telah meminta penyokong bertenang tetapi corak pemaparan media Barat seolah-olah menunjukkan Mousavi adalah calon boneka Barat.
Media Barat juga tidak melaporkan cara hidup sederhana presiden Ahmadinejad yang serius menangani rasuah semasa menjadi Datuk Bandar Teheran dahulu. Kekecewaan media Barat terutamanya Amerika Syarikat dapat dilihat apabila Amerika Syarikat enggan menerima kemenangan besar Ahmadinejad dalam pilihan raya Presiden Iran dan menyatakan yang ia akan menyiasat dakwaan berlakunya penipuan undi.
Sebarang harapan pentadbiran Presiden Obama untuk memperoleh keputusan serupa dengan pilihan raya Lebanon baru-baru ini yang dimenangi pakatan sederhana yang mendapat sokongan Barat, nampaknya tidak menjadi kenyataan.
"Kita sedang memantau situasi di Iran, namun kami, seperti mana semua pihak di seluruh dunia, sedang menunggu dan melihat keputusan rakyat Iran," kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton pada satu sidang akhbar bersama Menteri Luar Kanada, Lawrence Cannon.
Beberapa minit kemudian, White House mengeluarkan kenyataan dua baris ayat yang memuji 'perbincangan sihat dan minat yang tercetus daripada pilihan raya ini, terutamanya di kalangan golongan muda Iran', namun menyatakan kebimbangan mengenai 'beberapa perkara yang tidak kena'.
Ahmadinejad berkata, pemilihannya semula sebagai Presiden Iran adalah 'tulus dan bebas' dan tidak boleh dipertikaikan.
Ahmadinejad mengeluarkan kenyataan itu pada sidang akhbar pertamanya sejak kerajaan mengumumkan beliau dipilih semula menjadi Presiden untuk penggal yang kedua. Beliau turut menuduh media luar melancarkan 'perang psikologi' menentang negaranya.