Showing posts with label Iran...18 Jun 2009. Show all posts
Showing posts with label Iran...18 Jun 2009. Show all posts

Friday, July 3, 2009

TUNJUK PERASAAN DI IRAN

*Gambar : Ribuan penyokong Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad mengadakan demonstrasi di Teheran baru-baru ini sebagai tanda sokongan atas kemenangan beliau dalam pilihan raya presiden yang lalu.

TEHERAN - Ribuan penunjuk perasaan pro-reformis berarak di jalan-jalan raya ibu negara Iran dalam demonstrasi besar-besaran baru-baru ini, menolak kerajaan walaupun ia menyatakan untuk mengira semula undi yang menimbulkan persoalan dalam pilihan raya presiden.
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei meminta rakyat mematuhi undang-undang negara ketika tunjuk perasaan dan pertempuran berlaku.
Beliau turut menyatakan bahawa wakil kesemua empat calon perlu hadir ketika sebahagian undi dikira semula.
"Dalam pilihan raya, pengundi mempunyai kecenderungan berlainan namun mereka sama-sama percaya dengan sistem pemerintahan dan menyokong Republik Islam," tegas beliau lagi.
Penyokong calon reformis, Mir Hossein Mousavi berarak di satu lokasi berasingan ketika perarakan anjuran kerajaan turut menarik ribuan rakyat yang mengibarkan bendera Iran dan potret Sayyid Ali Khamenei dalam cubaan menguasai jalan raya untuk kerajaan.

AMERIKA SYARIKAT TERUS TEGAS TERHADAP IRAN

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berkata, beliau akan meneruskan dasar 'diplomasi tegas' terhadap Iran tanpa mengambil kira keputusan pilihan raya negara itu yang didakwa huru-hara dan memberi amaran campur tangan Amerika Syarikat dalam politik Teheran boleh menimbulkan kesan.
Obama tidak menekankan perbezaan antara Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad dan pesaingnya, Mir Hossein Mousavi sebagai menunjukkan tindakan tidak mahu campur tangan dalam tunjuk perasaan yang semakin menjadi-jadi dan ketegangan di Iran selepas pilihan raya Presiden lalu.
Presiden itu menjelaskan, beliau percaya pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei menyedari terdapat kebimbangan mendalam di Iran tentang pilihan raya yang dipertikaikan, ketika tunjuk perasaan terbesar sejak revolusi Islam 1979 itu bertambah buruk baru-baru ini.
''Penting untuk difahami bahawa walaupun berlaku pergolakan di Iran, perbezaan antara Ahmadinejad dan Mousavi dalam polisi sebenar mereka tidaklah sehebat seperti yang dihebahkan. Apa-apa pun, kita bakal berdepan dengan rejim Iran yang telah lama bermusuhan dengan Amerika Syarikat, yang telah menyebabkan masalah di rantau tersebut dan menjalankan program senjata nuklear,'' katanya kepada televisyen CNBC.