Showing posts with label Iran...23 Jun 2009. Show all posts
Showing posts with label Iran...23 Jun 2009. Show all posts

Monday, July 13, 2009

CHAVEZ : HORMATI KEMENANGAN AHMADINEJAD

*Gambar : Para penyokong pembangkang memegang poster semasa mengadakan tunjuk perasaan di hadapan bangunan Parlimen Austria di Vienna baru-baru ini, bagi membantah keputusan pilihan raya Presiden Iran.

CARACAS – Presiden Venezuela, Hugo Chavez berkata, seluruh dunia perlu menghormati Iran serta kemenangan Presidennya, Dr Mahmoud Ahmadinejad dalam pilihan raya Presiden baru-baru ini.
“Kami menggesa seluruh dunia supaya menghormati Iran kerana terdapat percubaan untuk melemahkan kekuatan revolusi Iran,” kata Chavez dalam ucapan mingguannya di radio dan televisyen baru-baru ini.
Kenyataannya itu bertentangan dengan kritikan Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah terhadap tindakan yang diambil oleh kerajaan Iran untuk menghentikan protes dan menyekat liputan media terhadap kekacauan yang meletus.
Media rasmi Iran melaporkan, sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh sejak keganasan tercetus berikutan keputusan pilihan raya 12 Jun yang dipertikaikan oleh kem yang tewas.
“Kemenangan Ahmadinejad adalah kemenangan mutlak. Mereka cuba memburuk-burukkan kemenangan Ahmadinejad dan dengan itu cuba melemahkan kerajaan dan revolusi Islam. Saya tahu mereka tidak akan berjaya,” tegas Chavez.
Pemimpin Venezuela yang berhaluan kiri itu berkata, beliau telah menelefon Ahmadinejad selepas pilihan raya untuk menyuarakan sokongannya.
Kementerian Luar Venezuela mengeluarkan satu kenyataan yang membidas ‘kempen hebat dan tidak berasas oleh pihak luar untuk memburuk-burukkan’ Presiden Iran itu.

KEKACAUAN DI IRAN, 19 MAUT

TEHERAN – Sekurang-kurangnya 457 orang ditangkap berikutan pertempuran ganas, yang telah menyebabkan sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh di ibu negara Iran baru-baru ini.
Tangkapan itu dilakukan semasa penunjuk perasaan pro-pembangkang dan pasukan keselamatan bertempur di sekitar dataran Azadi di Teheran.
Pembangkang yang diketuai calon Presiden yang tewas, Mir Hossein Mousavi tidak mempedulikan tindakan pihak berkuasa untuk membendung protes, sebaliknya bekas Perdana Menteri itu menggesa para penyokongnya supaya jangan patah semangat.
Dalam ucapan yang jelas menyokong demonstrasi diteruskan, Mousavi berkata, “Jauhi keganasan semasa anda mengadakan protes. Saya sebagai salah seorang yang berkabung (atas kematian penunjuk perasaan), menggesa penyokong supaya mengawal tindak-tanduk masing-masing. Negara ini milik anda.”
Dalam berdepan dengan protes besar-besaran sejak keputusan pilihan raya Presiden pada 12 Jun lalu yang dipertikaikan, para pemimpin Iran menyelar negara-negara Barat, media asing dan penentang di luar negara.
Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad yang diisytiharkan menang pada pilihan raya tersebut dengan memperolehi majoriti 63 peratus undi, menggesa Amerika Syarikat dan Britain supaya menghentikan campur tangan dalam urusan dalaman Iran.
Sebelum itu Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki menuduh London berkomplot sejak dua tahun lalu untuk mensabotaj pilihan raya itu.
“Dengan membuat kenyataan terburu-buru, kamu tidak akan mendapat tempat di kalangan sahabat Iran. Kerana itu saya menggesa kamu menghentikan campur tangan,” kata Ahmadinejad dalam satu kenyataan baru-baru ini.