Showing posts with label Isu Gaza...25 Jan 2009. Show all posts
Showing posts with label Isu Gaza...25 Jan 2009. Show all posts

Sunday, January 25, 2009

BBC DICEMUH, AL-JAZEERA TARIK PENONTON AMERIKA SYARIKAT

*Gambar : Kanak-kanak Palestin bermain dekat kawasan kediaman mereka yang musnah dalam serangan Israel di Jabaliya, Gaza.

LONDON : Keengganan menyiarkan rayuan mengumpul dana untuk penduduk Palestin menyebabkan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) dikecam hebat manakala al-Jazeera mendapat perhatian penduduk Amerika Syarikat kerana menjadi stesen TV tunggal melaporkan serangan Israel di Gaza dari wilayah itu.
Dalam satu blog di laman webnya, Ketua Pengarah BBC, Mark Thompson menulis : "Gaza masih menjadi satu cerita besar yang berterusan di mana isu kemanusiaan menjadi cerita utama dan terus dibahaskan. Kadang kala ia bukan tempat yang sesuai tetapi kami mempunyai satu tugas untuk memastikan bahawa tiada risiko yang terpaksa diambil. Ia bertujuan melindungi dan kami membuat keputusan sukar berkenaan," kata Thompson.
*Gambar : Dua orang lelaki memakai topeng Presiden Mahmoud Abbas (kanan) dan Ismail Haniyeh, pemimpin Hamas, bersalam sebagai simbol menggesa puak Palestin bersatu di perkampungan Bilin, Ramallah di Tebing Barat.

Sementara itu, bilangan penonton Amerika bagi rangkaian al-Jazeera versi Inggeris meningkat secara mendadak ketika kempen serangan Israel ke atas Hamas berikutan hanya stesen itu mempunyai wartawan yang melaporkan perkembangan secara langsung dari Gaza. Penonton menontonnya melalui internet dengan memanfaatkan kemunculan media online seperti halaman web Twitter yang menyediakan maklumat terkini mengikut masa sebenar. Ketika konflik selama 22 hari itu berakhir hujung minggu lalu, stesen berkenaan dan rangkaian berbahasa Arab stesen itu menyiarkan lebih banyak gambar berbanding media Amerika mengenai bilangan kematian serta kecederaan wanita dan kanak-kanak Palestin.

*Gambar : Para penunjuk perasaan membawa sepanduk mengecam pendirian BBC tetapi memuji al-Jazeera dalam isu membantu penduduk Palestin di Gaza ketika membantah di London.

Secara keseluruhan video halaman web stesen itu menyaksikan kenaikan sehingga 600 peratus dari segi jumlah penonton di seluruh dunia ketika serangan Gaza dan kira-kira 60 peratus datangnya dari Amerika sendiri, berdasarkan bilangan dalaman stesen berkenaan sendiri.

KERAJAAN BRITAIN KECAM BBC

*Gambar : Para penunjuk perasaan berhimpun di hadapan bangunan BBC di London.

LONDON – Stesen Perbadanan Penyiaran British (BBC) dikecam hebat oleh kerajaan Britain dan para aktivis kerana berkeras dengan pendiriannya untuk tidak menyiarkan rayuan bantuan kecemasan bagi penduduk Palestin di Genting Gaza.
BBC yang memberi alasan penyiaran rayuan tersebut boleh menjejaskan sikap berkecualinya, juga mempersoalkan sama ada bantuan boleh disalurkan dengan berkesan kepada penduduk di Gaza. Bagaimanapun keputusan BBC itu mencetuskan kritikan hebat daripada kerajaan Perdana Menteri, Gordon Brown dan pertubuhan-pertubuhan Islam, sementara beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di luar pejabat BBC untuk memprotes pendirian tersebut.
BBC yang mendapat pembiayaan kerajaan kini satu-satunya stesen penyiaran bukan satelit yang enggan menyiarkan rayuan bantuan oleh Jawatankuasa Kecemasan Bencana (DEC).
Ketiga-tiga pesaing BBC menyatakan mereka akan menyiarkan rayuan tersebut
. DEC yang menggabungkan beberapa badan kebajikan seperti Palang Merah Britain dan Oxfam menekankan ia bukan sebuah pertubuhan politik dan usahanya semata-mata untuk memenuhi keperluan kemanusiaan.
Setiausaha Pembangunan Antarabangsa, Douglas Alexander menggesa BBC mengubah pendiriannya itu. “Saya fikir rakyat Britain boleh membezakan antara sokongan untuk bantuan kemanusiaan dengan sikap berat sebelah dalam sesuatu konflik,” katanya di radio BBC.
Alexander menambah, beliau mendapati sukar untuk mempercayai hujah BBC itu apabila melihat penderitaan penduduk yang sangat dahsyat di Gaza sekarang. Majlis Muslim Britain pula menyifatkan keputusan BBC itu sebagai pengabaian kewajipan yang sangat serius.

Saturday, January 24, 2009

HAMAS KEMBALI AKTIF SEMULA

*Gambar : Ketua Pertahanan Sivil Hamas, Yousef Zahar (tengah, bertopi), pada sidang media di Deir El-Balah, selatan Gaza, memaklumkan rancangan pergerakan itu.

GAZA : Pergerakan Hamas yang mendapat sokongan penduduk Gaza kembali aktif selain berjanji menjaga kebajikan warga wilayah itu bagi membina semula kehidupan penduduknya. Saksi berkata, dalam satu kes, seorang anggota Hamas berjanggut memberi lima wang keping USD100 (RM1,793.65) kepada seorang wanita yang rumahnya di Beit Lahiya musnah ketika serangan Israel baru-baru ini, bayaran bantuan pertama seperti dijanjikan oleh kumpulan itu. Di tempat lain, sebuah jentolak membersihkan runtuhan dan menimbus sebuah lubang akibat bom di mana seminggu sebelumnya seorang pemimpin atasan Hamas terbunuh dalam serangan udara Israel.
Sejak perjanjian damai mengambil alih minggu ini, mengakhiri kekejaman tiga minggu Israel, pemerintah Hamas di sini mengisytiharkan kejayaan dan bertindak sendiri bagi menunjukkan mereka berkuasa semula. Mereka sudah berjanji memberi bantuan berjumlah USD52 juta (RM186.54 juta) daripada dana kumpulan itu untuk membantu memulihkan semula kehidupan rakyat, wang yang diagihkan mengikut kategori. Hamas, dipercayai dibiayai hasil sumbangan dari dunia Islam dan Iran berkata, bantuan kecemasan termasuk USD1,300 (RM4,663.49) bagi satu kematian dalam keluarga, USD650 (RM2,331.74) bagi setiap kecederaan, USD5,200 (RM18,653.96 ) bagi sebuah rumah yang musnah dan USD2,600 (RM9,326.98) bagi sebuah rumah yang musnah.
Lebih 4,000 rumah musnah dan kira-kira 20,000 rosak, menurut anggaran pihak bebas. "Kami berkuasa dan kami pemenang," kata pembuat dasar Hamas, Mushir al-Masri mengisytiharkan minggu ini, selepas menghadiri pengebumian empat lelaki bersenjata Hamas. Namun, serangan Israel memusnahkan semua perkarangan keselamatan Hamas dan kebanyakan bangunan kerajaan. Dua pemimpin atasannya, Mahmoud Zahar dan Perdana Menteri Gaza, Ismail Haniyeh, masih tidak muncul di khalayak ramai. Israel mendakwa membunuh lebih 700 pejuang Hamas, sementara pejuang terbabit mengatakan mereka kehilangan kira-kira 280 lelaki bersenjata, majoriti besar anggota polis terbunuh dalam pengeboman mengejutkan pada hari pertama perang.

PERKAHWINAN DEMI DENDAM TERHADAP ISRAEL

*Gambar : Aida (kiri) ditemani rakannya menunggu ketibaan pengantin lelaki di sebuah pusat kecantikan di Bandar Gaza.

BANDAR GAZA : Tiada sebarang majlis keraian atau sambutan apabila Aida al-Qaddumi yang berusia 22 tahun berkahwin minggu ini. Malah, beliau langsung tidak menunjukkan rasa kesal sebaliknya berkata, bahawa perkahwinan beliau adalah semata-mata untuk menambahkan bilangan 'pejuang' dan hanya mahukan beliau mati sebagai seorang 'syahid' di Israel. Tiga minggu serangan maut Israel terhadap Semenanjung Gaza memaksa perkahwinan beliau yang sepatutnya berlangsung 7 Januari lalu ditangguhkan, tetapi tidak sedikitpun mengubah keinginan itu.
Pengantin perempuan itu, sebaliknya tetap ke sebuah salun kecantikan di daerah tengah bandar, Rimal untuk dandanan rambut dan solekan sempena hari bersejarahnya pada 22 Januari lalu. Manakala, pengantin lelaki, Fadel al-Ghul, yang juga adik Menteri Kehakiman Hamas, Faraj menjemput beliau beberapa jam selepas itu. Kedua mereka bersetuju sebagai menghormati kematian lebih 1,300 penduduk Palestin di Gaza untuk tidak mengadakan sebarang acara keraian mengikut tradisi mereka sempena perkahwinan kedua pasangan itu.
Selain angka kematian yang dahsyat itu, dewan perkahwinan yang sepatutnya disewa untuk majlis keraian pula musnah akibat bedilan bom Israel. Di salun, Aida ditemani rakannya yang bertudung litup dari kepala hingga hujung kaki yang hanya duduk di satu sudut. Pengantin perempuan mengenakan gaun labuh dihiasi labuci perak dengan wajahnya ditutup. Dengan suara perlahan, Aida menyatakan rasa gembira untuk berkahwin, tetapi sedih dengan kehancuran dan kematian yang berlaku. "Saya kehilangan abang dan beberapa sepupu. Kebanyakan keluarga kehilangan anak," katanya.
Kuarters Shujaiya yang menjadi tempat tinggal beliau adalah kubu kuat Hamas yang menjadi sasaran utama serangan tentera Israel. Berpuluh-puluh penduduk kebanyakannya adalah orang awam terbunuh, manakala puluhan rumah musnah. Mengikut adat tempatan, pasangan baru itu akan tinggal di rumah keluarga suami di daerah Nasser. "Ketika serangan, beberapa bangunan di sekeliling kami dibom. Syukur kepada Tuhan, rumah kami tidak kena bom. Kami tinggal dalam ketakutan setiap hari," kata Aida. Ketika ditanya impian kehidupan beliau, Aida hanya berkata: "Kehidupan saya di tangan Tuhan." Bagaimanapun setiap kali menyebut Israel, wanita itu meninggikan suaranya. "Mereka adalah pembohong. Tiada senjata di masjid atau sekolah, tetapi mereka masih mengebom di sana. Mereka membunuh kanak-kanak. Seluruh dunia melihat gambar, tetapi langsung tidak berbuat apa-apa," katanya. Israel mendakwa, pejuang Hamas bersembunyi di kalangan penduduk awam untuk melancarkan roket dan menyimpan senjata di masjid.
Aida berkata, anak beliau akan dibesarkan untuk menghormati Islam dan diajar dengan cara berkenaan supaya dapat memasuki syurga dengan mudah. "Saya mahukan anak saya menjadi pejuang di jalan Allah. Jika saya diberi peluang, saya akan mati ketika satu operasi di Israel," katanya. Fadel, 35, tiba tidak lama selepas itu memakai sepasang sut gelap. Beliau bekerja selama beberapa tahun dengan sebuah pertubuhan kebajikan utama yang ditubuhkan oleh pengasas Hamas, Sheikh Ahmed Yassin pada 1970-an.
Menentang Israel adalah satu tugas, kata Fadel. Menurutnya lagi, "Kami tinggal di tanah kami, tanah yang dipenuhi pejuang. Mereka mahu membunuh kami tetapi kami akan bunuh mereka terlebih dulu. Ketika operasi mereka akan memusnahkan bangunan, masjid dan rumah tetapi mereka tidak akan dapat memusnahkan kumpulan yang membawa penentangan."
Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat menyenaraikan Hamas sebagai sebuah pertubuhan pengganas dan enggan berunding dengan kumpulan yang memenangi pilihan raya Februari 2006 mengalahkan kumpulan Fatah yang diketuai Presiden Mahmoud Abbas.

KAPAL PERANCIS KE GAZA BANTERAS SELUDUP SENJATA

PARIS – Sebuah kapal tentera laut Perancis yang membawa sebuah helikopter sedang dalam perjalanan ke perairan antarabangsa di pesisiran pantai Genting Gaza untuk menyertai misi menangani penyeludupan senjata ke wilayah Palestin itu.
Kapal itu dihantar atas arahan Presiden Nicolas Sarkozy dalam satu kerjasama dengan Israel dan Mesir yang merupakan sebahagian usaha 'tindakan segera menentang penyeludupan senjata ke Gaza.'
Tentera Perancis berkata, kapal fregate Germinal itu yang menyertai misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertolak dari Lebanon. Perancis, Britain dan Jerman telah menawarkan bantuan untuk menghalang aktiviti penyeludupan ke Genting Gaza supaya gencatan senjata dapat diteruskan.

SAH! ISRAEL GUNA BOM KIMIA

*Gambar : Seorang kanak-kanak Palestin yang memulakan persekolahan semalam sedih melihat keadaan kelasnya yang musnah apabila sekolah milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dibom oleh tentera Israel, baru-baru ini.

Israel tolak permintaan antarabangsa untuk membuka sepenuhnya sempadan di Genting Gaza bagi memudahkan bantuan disalurkan. Amnesty International mengesahkan terdapat bukti tentera Israel menggunakan bom mengandungi 'fosforus putih' semasa menyerang Gaza.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama meminta Raja Arab Saudi, Raja Abdullah membantu menghentikan penyeludupan senjata ke Gaza.