Showing posts with label Isu Gaza...8 Jan 2009. Show all posts
Showing posts with label Isu Gaza...8 Jan 2009. Show all posts

Friday, January 9, 2009

HIZBULLAH BALAS SERANGAN ISRAEL?

*Gambar : Orang ramai membantu seorang penduduk Palestin yang cedera parah setelah kawasan rumahnya di Beit Lahiya, utara Genting Gaza dibedil peluru berpandu tentera rejim Israel.

BEIRUT - Tiga roket Katyusha dilancarkan ke utara Israel dari selatan Lebanon, disusuli dengan tentera rejim Zionis membalas serangan itu dengan tembakan mortar ke seberang sempadan Lebanon.
Pertempuran singkat itu adalah yang pertama di kawasan sempadan Israel-Lebanon sejak Israel mula melancarkan serangan besar-besaran ke atas kedudukan Hamas di Genting Gaza pada 27 Disember lalu, dalam keganasan yang telah membunuh lebih 700 rakyat Palestin.
Sementara itu, Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) menghentikan semua operasi bantuan di Genting Gaza berikutan serangan tentera Yahudi yang semakin mengganas. Serangan Israel turut mengorbankan dua orang pekerja bantuan UNRWA dalam satu konvoi bantuan. Sekolah yang diuruskan UNRWA turut musnah dibedil oleh Israel yang mengorbankan 48 orang.
Dalam pada itu, media Israel melaporkan pejuang Palestin di Lebanon melancarkan satu lagi serangan roket ke utara Israel. Belum dapat dikenal pasti pihak yang melancarkan roket dari Lebanon itu dan sama ada insiden tersebut menandakan permulaan konflik lebih luas.
Namun, pertempuran itu sudah pasti meningkatkan ketegangan antara pergerakan Hizbullah di Lebanon dengan Israel, selepas kedua-dua pihak sejak beberapa hari lalu hanya menyuarakan ancaman terhadap satu sama lain tanpa melancarkan serangan.
Kerajaan Lebanon sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pihak yang melancarkan roket tersebut. Pegawai Beirut berkata, roket Katyusha itu dilancarkan ke Israel dari kawasan di sebelah utara Kampung Naqoura di tepi pantai Lebanon. Tentera Israel membalas serangan itu dengan melepaskan enam tembakan mortar ke selatan Lebanon tetapi belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa.
Stesen televisyen melaporkan, peluru mortar itu mengenai sebuah lembah dekat sebuah kampung kira-kira tiga kilometer ke utara sempadan Israel. Polis Israel berkata, sekurang-kurangnya tiga roket mengenai kawasan di sekitar pekan Nahariya, utara Israel. Pasukan penyelamat melaporkan sekurang-kurangnya seorang cedera ringan. Belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab melancarkan roket tersebut.
Hizbullah yang merupakan sekutu rapat Hamas tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan stesen televisyennya hanya menyiarkan laporan mengenai insiden pertempuran itu.
Beberapa kumpulan pejuang Palestin juga berpangkalan di Lebanon. Barisan Rakyat bagi Pembebasan Palestin-Pemerintah Am memberi amaran akan membuka barisan hadapan baru bagi memerangi Israel jika Israel terus mengganas di Gaza.
Kawasan sempadan di selatan Lebanon dikawal oleh askar Lebanon dan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak berakhirnya perang 33 hari antara Hizbullah dengan Israel pada 2006. Konflik tersebut menyebabkan lebih 1,000 rakyat Lebanon dan 160 rakyat Israel terbunuh.

10,000 PENDUDUK GAZA DIANCAM BANJIR NAJIS

BAITULMAQDIS - Puluhan ribu penduduk menghadapi risiko lemas dalam banjir najis kerana sistem kumbahan Gaza terdedah kepada serangan udara Israel serta ketidakmampuan penduduk untuk mengoperasikan sistem pam kumbahan.
Bank Dunia dalam kenyataannya berkata, pam yang memindahkan kumbahan dari kolam takungan najis ke fasiliti tapisan di utara Gaza tidak beroperasi akibat kekurangan elektrik dan minyak. Pam tersebut penting untuk mengurangkan tekanan tinggi yang ditanggung oleh dinding loji kumbahan di Beit Lahiya yang turut berdepan dengan ancaman impak letupan serta hujan lebat.
"Struktur takungan najis menghadapi risiko pecah menyebabkan kira-kira 10,000 penduduk mungkin maut dan boleh menimbulkan masalah alam sekitar dan bencana kesihatan awam," demikian menurut kenyataan itu lagi.
Pada Mac 2007, lima orang penduduk Palestin terbunuh akibat banjir kumbahan yang turut menyebabkan 1,500 yang lain kehilangan tempat tinggal apabila dinding takungan najis runtuh.
Bank Dunia turut menekankan mengenai kekurangan bekalan air minuman dengan utiliti air hanya cukup untuk beroperasi selama sehari, namun bekalan tidak dapat disambung sekiranya serangan Israel berterusan.

Thursday, January 8, 2009

VENEZUELA USIR DUTA ISRAEL

CARACAS - Venezuela mengusir Duta Israel ke negara tersebut sebagai protes terhadap serangan rejim itu ke atas Genting Gaza. Kementerian Luar dalam satu kenyataan menjelaskan, tindakan mengusir Shlomo Cohen dan beberapa kakitangan di Kedutaan Israel itu merupakan 'seruan ke arah keamanan dan kehormatan terhadap undang-undang antarabangsa'.
Pengusiran tersebut dibuat ketika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meneruskan perdebatan mengenai prospek gencatan senjata di Genting Gaza. Ketika ini usaha diplomatik antarabangsa giat dijalankan bagi mendesak Israel menghentikan serangan yang masuk hari ke-12 dan telah meragut 660 nyawa itu.
Venezuela menuduh Israel 'melanggar undang-undang antarabangsa secara terang-terangan' dan 'merancang menggunakan kekerasan' ke atas penduduk Palestin. Dalam saat tragis ini, rakyat Venezuela menunjukkan rasa hormat kepada penduduk Palestin yang mempunyai semangat wira," tegas kenyataan itu lagi.
Misi Venezuela ke PBB juga akan mendesak Majlis Keselamatan mengambil 'tindakan segera untuk menghentikan pencerobohan oleh Israel ke atas kawasan Palestin'. Venezuela mengutuk serangan Zionis ke atas Genting Gaza dan Presiden Hugo Chavez sendiri menyifatkan apa yang berlaku sebagai 'penghapusan bangsa'. Beliau yang terkenal dengan semangat anti-Amerika turut menuduh negara tersebut menyokong serangan berkenaan.

PENDUDUK GAZA TIADA TEMPAT UNTUK SELAMATKAN DIRI

DUBAI - Ketika Gaza terus dibedil, seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjalankan pemerhatian di darat mendapati tiada sebuah rumah mahupun tempat perlindungan PBB selamat bagi hampir 1.5 juta penduduk di perkampungan pesisir itu.
"Tidak ada tempat selamat untuk melarikan diri. Kami menyeru semua pihak mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan melindungi orang awam," kata Penyelaras Kemanusiaan PBB bagi Wilayah Palestin yang diduduki, Maxwell Gaylard.
Sebagai salah sebuah tempat kediaman yang paling sesak di dunia, kata beliau, adalah jelas lebih ramai orang awam akan terbunuh dan lebih banyak rumah, bangunan dan infrastruktur awam akan musnah jika konflik itu berterusan.
"Saya mengulangi desakan Setiausaha Agung PBB supaya dihentikan segera keganasan ini. Manusia mempunyai hak untuk hidup, mendapatkan kebebasan dan keselamatan tidak kira siapa mereka dan di mana mereka tinggal" kata Gaylard dalam komennya.
Laporan menyatakan kira-kira 15,000 rakyat Palestin sesak memenuhi 23 buah sekolah PBB di Gaza kerana rumah mereka musnah atau mahu menyelamatkan diri daripada keganasan Israel.
"Lama sebelum pertempuran sekarang berlaku, PBB telah memberikan pihak berkuasa Israel GPS yang menyelaras semua instalasinya di Gaza," kata Gaylard, merujuk kepada bedilan hebat Israel ke atas beberapa kemudahan PBB di sana.
Beliau berkata, jika undang- undang kemanusiaan antarabangsa telah dilanggar, mereka yang melakukannya mesti diminta bertanggungjawab.

ISRAEL TERUS BEDIL GAZA...AMERIKA SYARIKAT SOKONG GENCATAN SENJATA

GENTING GAZA – Jet-jet pejuang Israel terus membedil Genting Gaza dan kereta kebal negara Yahudi itu terus melepaskan tembakan ke arah pejuang Palestin ketika Amerika Syarikat menyokong usul gencatan senjata yang mungkin menamatkan konflik berkenaan.
Penduduk Gaza menyifatkan serangan Israel di bahagian timur bandar itu sebagai yang paling dahsyat sejak 13 hari lalu sementara di kawasan selatan, barisan kereta kebal mara ke arah bandar Khan Younis.
Walaupun Israel meneruskan serangan, ia menyatakan telah menerima 'prinsip' cadangan gencatan senjata oleh Eropah-Mesir malah Amerika sendiri mendesak Israel mengkaji cadangan tersebut.
“Kami menyokong inisiatif tersebut. Saya telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan dari negara-negara Arab dan juga Israel mengenai kepentingan gencatan senjata,” kata Setiausaha Jabatan Negara Amerika, Condoleezza Rice.