Showing posts with label Isu Israel...6 Dis 2008. Show all posts
Showing posts with label Isu Israel...6 Dis 2008. Show all posts

Friday, December 5, 2008

POLIS ISRAEL USIR PENDATANG YAHUDI DI HEBRON

*Gambar : Pendatang Yahudi bertempur dengan polis Israel kerana membantah keputusan mahkamah memerintahkan mereka keluar dari kawasan penempatan Arab di Hebron.

HEBRON : Polis Israel terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan kayu belantan bagi mengusir sekumpulan pendatang haram Yahudi daripada sebuah bangunan di Hebron, Tebing Barat. Kejadian itu menyebabkan pendatang haram Yahudi mengamuk dan merusuh, termasuk melepaskan tembakan rambang di beberapa kawasan sekitar wilayah Palestin berkenaan dan mencederakan sekurang-kurangnya lapan warga Palestin. Operasi sejam oleh anggota polis dan tentera itu menyebabkan 30 orang pendatang haram Yahudi cedera ringan, kebanyakannya akibat terhidu asap gas pemedih mata.
Kumpulan pendatang yang ada di antaranya bersenjata, bertindak ganas membakar kereta dan harta benda lain berhampiran bangunan itu. Lapan warga Palestin cedera, termasuk tiga akibat ditembak. Malah salah satu kejadian menembak itu sempat dirakam oleh seorang ahli kumpulan aktivis. Keganasan oleh pendatang haram Yahudi dengan pantas turut menular ke kawasan lain di Tebing Barat yang diduduki oleh tentera Israel sehingga memaksa anggota keselamatan bergegas bagi menghalangnya.
Penduduk Palestin berkata, pendatang haram itu menghalang laluan dan melontar batu ke arah kereta mereka dan menyebabkan kerosakan.
Selepas rusuhan beberapa jam di Hebron, pada tengah malam, sekumpulan penduduk mendakwa keadaan mulai reda dan jurucakap tentera berkata tiada sebarang kejadian ganas dilaporkan berlaku di Tebing Barat. Keadaan tegang itu semakin ketara selepas keputusan sebuah Mahkamah Tinggi Israel memerintahkan sekumpulan pendatang haram Yahudi keluar daripada sebuah bangunan yang diduduki mereka sejak Mac 2007. Baru-baru ini, sekurang-kurangnya 13 orang rakyat Palestin cedera selepas lebih 1,000 orang pendatang haram Israel mengamuk dan merusuh dengan membaling batu ke arah penduduk, kediaman dan jip polis di kawasan penempatan Arab di Hebron.
Ia menyusuli beberapa tindakan biadap pendatang berkenaan sebelum ini, termasuk mencemari sebuah masjid dan tanah perkuburan Islam.

ISRAEL LANGGAR HAK ASASI SECARA SISTEMATIK

GENEVA - Israel mendapat kritikan keras ketika berlangsungnya forum anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila jiran-jirannya menuduh negara Yahudi itu melakukan pelanggaran hak asasi secara sistematik terhadap penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
Delegasi dari Syria, Mesir dan Iran menyuarakan kebimbangan mengenai tembok keselamatan Israel, penahanan pemuda-pemuda Palestin dan kawasan penempatan haram Yahudi semasa ulasan rutin Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
Negara-negara Barat seperti Australia, Britain, Kanada, Perancis dan Jerman mendesak Israel menghentikan segera sekatan ke atas Genting Gaza yang dikawal oleh Hamas kerana ia memburukkan lagi situasi kemanusiaan di sana.
Duta Palestin ke PBB di Geneva, Ibrahim Mohammad Khraisi, menuntut Israel menghentikan penjajahan ke atas tanah Palestin, menghentikan sekatan Gaza dan tidak lagi menjalankan 'hukuman kolektif' ke atas penduduk Palestin.
Duta Iran, Ali Reza Moaiyeri pula menyatakan, perdebatan tidak memberi tumpuan kepada 'pelanggaran hak asasi sistematik dan menjijikkan yang digunakan' termasuk pembunuhan, penyeksaan dan pemusnahan kediaman serta amalan perkauman dan diskriminasi.
Namun Duta Israel, Aharon Leshno Yaar dalam sesi Tinjauan Berkala Menyeluruh (UPR) berkata, "Terdapat 'satu nilai kebanggaan' dalam budaya hak asasi manusia yang terbentuk sejak enam dekad penubuhan negara kami. Rekod kami tidak sempurna namun kelebihan amalan demokrasi adalah pelbagai mekanisme wujud untuk dialog kritikal dan pengawasan. UPR adalah salah satu mekanisme tersebut," katanya lagi.