Showing posts with label Malaysia...13 Mei 2009. Show all posts
Showing posts with label Malaysia...13 Mei 2009. Show all posts

Tuesday, May 12, 2009

MICSB NAFI CUBA PROMOSI PRODUK 'BIR HALAL'

PUTRAJAYA - Malaysian Iranian Corporation Sdn. Bhd. (MICSB), pemegang hak eksklusif pengedaran minuman malt tanpa alkohol jenama 'Istak' dari Iran menafikan syarikat itu cuba mempromosi produknya sebagai 'bir halal'.
Pengarah Eksekutifnya, Azizi Ahmad berkata, pihaknya menyedari istilah 'bir' mempunyai konotasi negatif di kalangan masyarakat Islam meskipun ia berasal daripada perkataan Jerman iaitu 'bavarian malt', merujuk kepada semua jenis minuman berasaskan bijirin barli.
''Minuman malt jenama Istak telah memperoleh sijil halal daripada kerajaan Iran sejak 10 tahun lalu dan seperti mana kita tahu Republik Islam itu mempunyai syarat 'halal dan tayyibah' yang ketat termasuk melibatkan produk untuk dieskport. Malah Pameran Halal Antarabangsa 2009 (MIHAS 2009) mempunyai peraturan ketat membabitkan soal halal, kalau meragukan sudah tentu syarikat kami tidak dibenarkan menyertai pameran itu," katanya lagi.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin baru-baru ini yang tidak bersetuju dengan penggunaan istilah 'bir halal' kerana dikhuatiri akan mengelirukan masyarakat Islam.
Katanya, PPIM menerima aduan daripada pengguna Islam mengenai 'bir halal' yang dijual di MIHAS 2009 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC) di Kuala Lumpur minggu lalu dan mereka berasa kurang senang dengan istilah berkenaan.
MICSB yang merupakan pengedar tunggal produk 'Istak' bagi rantau Asia-Pasifik sebelum ini dilaporkan bercadang membuat pelaburan hampir RM50 juta bagi membina kilang mengeluarkan minuman malt tanpa alkohol di negara ini.
Menurut Azizi, pihaknya akan segera menghubungi PPIM bagi menjelaskan perkara tersebut supaya orang ramai tidak terkeliru. Ini kerana katanya, MICSB tidak pernah mengeluarkan sebarang risalah dengan menggunakan istilah 'bir halal' sepanjang pameran MIHAS sebaliknya menyebut sebagai 'minuman malt'.
Dalam hal ini, pihaknya mengakui terdapat keraguan di kalangan umat Islam terhadap minuman malt yang dikeluarkan oleh syarikat minuman keras memandangkan sebahagian besar produk mereka adalah arak.
''Sedangkan produk Istak tidak mengamalkan proses penapaian yang biasa dilakukan bagi menghasilkan arak tetapi menggunakan kaedah yang halal daripada awal hingga akhir. Sekiranya minuman malt Istak telah luput tarikhnya sekalipun, ia tidak akan berubah sifat menjadi arak dan memabukkan sebaliknya hanya berubah warna dan rasa," katanya.
Tambah beliau, penyertaan MICSB dalam MIHAS ternyata mendapat sambutan termasuk di kalangan bukan Islam yang mendapati minuman malt tanpa alkohol mampu menjadi alternatif bagi mereka yang menghadapi masalah ketagihan alkohol.
''Dari segi corak, warna botol dan tin minuman malt 'Istak' yang dikatakan menyerupai bir, itu hanyalah satu persepsi kerana kami menggunakan bentuk botol dan tin yang standard bagi semua minuman malt dan cola. Produk kami mempunyai 10 warna yang mewakili perisa minuman malt yang berbeza, kalau kami gunakan warna putih sekali pun, syarikat bir pun ada menggunakan warna putih, jadi kami hendak guna warna apa?," katanya.

ISTILAH 'BIR HALAL' KELIRUKAN UMAT ISLAM

KUALA LUMPUR - Penggunaan istilah 'bir halal' bukan sahaja mengelirukan, malah menyakitkan hati umat Islam, kata Timbalan Presiden Persatuan Ulama Malaysia, Salleh Ahmad. Menurutnya, penggunaan istilah tersebut memberi maksud yang buruk dan boleh menimbulkan syak serta prasangka buruk bagi umat Islam yang meminumnya.
''Pihak berwajib harus mengambil tindakan segera agar isu tersebut tidak dimanipulasikan oleh pihak yang hanya memikirkan kepentingan untuk diri sendiri,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaei Ahmad berkata, istilah 'bir' tidak wajar digunakan kerana ia sinonim dengan benda yang memabukkan.
"Istilah 'bir halal' tidak boleh digunakan kerana ia seolah-olah memberi gambaran bahawa umat Islam menggemari arak,'' katanya.
Beliau diminta mengulas kenyataan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang tidak bersetuju dengan penggunaan istilah 'bir' kerana dikhuatiri mengelirukan masyarakat Islam.
Baru-baru ini, 'Istak', sejenis minuman malt yang disahkan 100 peratus halal tanpa alkohol diperkenalkan di Pameran Halal Antarabangsa 2009 (Mihas 2009).
Sementara itu, Pensyarah Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Petaling Jaya, Dr. Azhar Yaakob berkata, istilah 'bir' memang tidak sesuai digunakan bagi benda atau makanan yang halal.
''Perkara ini bukan sahaja mengelirukan tetapi dalam ajaran Islam itu sendiri melarang kita daripada menggunakan istilah-istilah yang tidak baik,'' katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Shaani Abdullah menjelaskan, penggunaan istilah tersebut tidak seharusnya dipandang ringan.
"Penggunaan istilah itu seolah-olah salah satu cara halus untuk menghakis nilai dan kesucian Islam itu sendiri," katanya.