Monday, June 9, 2008

Isu Politik Di Lebanon

Penyokong setia kerajaan daripada ‘Al-Mustaqbal’ (Future Movement)membakar tayar untuk menyekat laluan daripada Beirut ke Saida.

ISU POLITIK DI LEBANON : PERTIKAIAN SISTEM TELEKOMUNIKASI DI LEBANON

Oleh : NICHOLAS BLANFORD / BEIRUT – Wartawan Majalah Time

Hiruk-pikuk bunyi tembakan senjata dan ledakan daripada roket-roket yang mengejutkan kawasan jalanan yang hampir kosong di Beirut seperti mengisyaratkan kehadiran pertempuran yang memang sudah lama dijangkakan antara sebuah kerajaan dokongan barat dan seteru utamanya yang diketuai Hizbullah. Kepulan asap yang berterbangan daripada hadangan-hadangan tayar yang dibakar menimbulkan suasana yang sugul di ibukota itu dengan kebanyakan warga Lebanon mula terfikir samada para pemimpin yang terlibat dalam pertikaian ini akan mampu untuk mengeluarkan mereka daripada kemelut ini.

“Kedua-dua pihak sedang berusaha keras kini”, kata Amal Sa'ad Ghorayeb, seorang penganalisis
politik dan amat mahir dengan hal ehwal Hizbullah. “ Saya jangkakan akan berlaku sebuah pertempuran untuk merebut takhta kerajaan negara ini”. Yang jelas, penyebab utama yang mencetuskan konflik terbaru ini adalah hasil daripada cubaan kerajaan untuk mengatur sistem telekomunikasi di Lebanon.

Negara ini sudah lumpuh politiknya selama 16 bulan, gagal untuk melantik seorang Presiden baru disebabkan oleh pertikaian yang berlaku antara kerajaan dengan pihak pembangkang dengan kedua-duannya gagal untuk mempengaruhi satu sama lain. Kemudian datang pula krisis komunikasi... Walid Jumblatt, pemimpin kepada puak minoriti Druze dan musuh utama kepada Hizbullah, menuduh parti Syiah itu menjalankan rangkaian telekomunikasinya sendiri serta menggunakan kamera keselamatan untuk memantau lapangan terbang Beirut dengan kemungkinan bertujuan untuk melancarkan serangan atau penculikan.

Akhirnya, kerajaan bertindak dengan mengisytiharkan bahawa rangkaian telekomunikasi tersebut adalah tidak sah dan melanggar undang-undang. Ia turut melancarkan sebuah siasatan ke atas dakwaan pemantauan terhadap lapangan terbang itu dan seterusnya memecat Ketua Keselamatan lapangan terbang tersebut, Jeneral Wafiq Shuqeir, atas tuduhan bersimpati dengan pihak pembangkang.

Hizbullah yang enggan tunduk begitu sahaja, dengan tegas mengumumkan bahawa rangkaian telekomunikasi itu adalah sebahagian daripada sayap ketenteraannya, seterusnya menjustifikasikan bahawa ia adalah amat perlu untuk mempertahankan Lebanon daripada serangan Israel dan memberi amaran bahawa sesiapa sahaja yang ingin menyekatnya akan dianggap sama seperti pengintip Israel. Dalam beberapa hari sahaja, kedua-dua pihak itu sudah bertempur sesama sendiri.

Walaupun Hizbullah diketahui mempunyai sistem kebajikan sosial besar-besaran hasil daripada bantuan Iran yang menyediakan berbagai kemudahan daripada hidangan sup hinggalah ke pendidikan, bahan-bahan binaan dan perkhidmatan menemukan jodoh untuk masyarakat kelas bawahan, namun perkhidmatan telekomunikasi adalah bukan sebahagian daripada pakejnya, kecuali untuk mereka yang menyertai pasukan tentera.

Sebagai sebuah organisasi yang paling canggih teknologinya disertai dengan berbagai kelengkapan yang lain, Hizbullah telah mula memasang rangkaian kabel gentian optiknya sendiri beberapa tahun yang lalu, menghubungkan ibu pejabatnya di pinggir selatan Beirut dengan pejabat-pejabatnya yang lain, pos-pos kawalan tentera dan sehingga kepada para pejuangnya yang duduk nun jauh di selatan bersempadan dengan Israel. Sewaktu perang 2006 yang lalu, Israel telah memadatkan talian telefon di seluruh selatan Lebanon serta memantau sistem telekomunikasi Lebanon (dengan bantuan kerajaan Siniora), namun saluran komunikasi dalaman Hizbullah telah terselamat daripada tindakan tersebut , terima kasih kepada sistem gentian optiknya yang tersendiri.

Sejak daripada perang itu, Hizbullah telah memperluaskan rangkaiannya untuk meliputi barisan-barisan hadapan ketenteraannya yang baru yang terletak di utara kawasan kawalan pasukan pengaman PBB di sepanjang sempadan selatan negaranya dan hingga ke Lembah Bekaa di Timur. Sebahagian daripada sistemnya itu turut mempunyai rangkaian WiMAX yang membekalkan talian tanpa wayar jarak jauh untuk kegunaan internet dan telefon bimbit.

Keganasan yang terbaru ini membayangi sesuatu yang sepatutnya hanya sekadar mogok umum pekerja yang diisytiharkan oleh kesatuan sekerja Lebanon untuk menuntut kenaikan gaji dan memprotes kenaikan harga barang. Namun secara tiba-tiba ia berubah menjadi sebuah konfrontasi antara para penyokong kerajaan dengan pembangkang. Ratusan tentera Lebanon kelihatan memenuhi Beirut setelah para pendemonstrasi menyekat laluan jalan-jalan utama dengan tayar yang terbakar dan longgokan tanah yang dibawa lori.
Pertempuran itu akhirnya agak reda tetapi kedua-dua pihak enggan menyerah kalah. Para penyokong Hizbullah boleh dilihat membawa khemah-khemah ke jalan-jalan menuju lapangan terbang untuk meneruskan sekatan sehingga kerajaan menarik balik pengharamannya ke atas sistem telekomunikasi mereka dan melantik semula Jeneral Shuqeir. Menurut sebuah sumber yang rapat dengan Hizbullah, pejuang-pejuang bersenjata telah dikerah ke pusat bandar, tempat di mana para penyokong pembangkang telah berkhemah selama 18 bulan sebagai suatu tanda bantahan kepada kerajaan. Pejuang-pejuang tersebut akan duduk di sana sebagai langkah berjaga-jaga ke atas kemungkinan akan berlakunya serangan daripada penyokong kerajaan.

# Sumbangan : Abu Mardhiah