Sunday, May 31, 2009

SAINTIS IRAN BERJAYA LAHIR KAMBING KLON

ESFAHAN – Saintis Institut Penyelidikan Royyan berjaya mengklon seekor kambing sekali gus merancang untuk mengadakan eksperimen yang diharap dapat membawa kepada penemuan rawatan penyakit angin ahmar.
Ketua kumpulan itu, Dr Mohammed Hossein berkata, anak kambing yang diberi nama 'Hana' itu dilahirkan baru-baru ini di sini.
Iran adalah antara lima negara yang berjaya mengklon anak kambing” kata Mohammed.

PENUNJUK PERASAAN DIKEJAR PENDUDUK

KABUL – Lebih 500 penduduk Afghanistan mengejar kumpulan 50 aktivis yang mengkritik undang-undang baru yang mengenakan peraturan ala-Taliban terhadap wanita Syiah.
Kumpulan yang terdiri daripada sejumlah ahli Parlimen dan aktivis hak asasi manusia itu berarak di luar Universiti Kabul sambil menuntut keadilan dengan mengedar deklarasi yang menyatakan 'Undang-Undang Status Peribadi Syiah' sebenarnya mencabul kehormatan wanita.
Mereka kemudian dikepung oleh 200 wanita Syiah dan 300 lelaki yang menyokong undang-undang itu
.

Saturday, May 30, 2009

VARIASI KEBAB DI RESTORAN IRAN 'TAKTAZ'

'Kebab' (atau di sesetengah tempat disebut sebagai kabab, kebob, kabob, kibob, kebhav atau kephav) merujuk kepada hidangan pelbagai jenis daging yang dilumur dengan rempah tertentu dan dicucuk pada sebatang besi lalu dipanggang.
Menurut sejarah, 'kebab' mula sekali dihasilkan di Turki, yang mana askar di situ menghasilkannya dengan mencucuk daging pada pedang mereka lalu dipanggang pada api yang membakar kawasan padang rumput. Sehinggalah resipi ini dibawa ke seluruh pelosok negara Asia Barat, Mediterranean, Asia Selatan dan Afrika, pelbagai versi dihasilkan dari generasi ke generasi sehinggalah kini ia popular di seluruh dunia.
Kesempatan berkunjung ke Restoran Taktaz yang menghidangkan masakan Iran dan Parsi, pasti rambang mata untuk memilih 'kebab' yang terdapat di sini. Pemiliknya, Ali Amini berkata, masyarakat Iran sangat menggemari 'kebab' yang dimakan bersama nasi saffron atau roti dan hidangan ini agak berbeza daripada hidangan negara Asia Barat yang lain terutama dari segi rasanya yang lebih berperisa.
"Hidangan Iran atau lebih sesuai disebut Parsi adalah kombinasi klasik dan menyihatkan. Setiap hidangan pasti dinikmati bersama salad segar, minyak zaitun dan juga yogurt," katanya yang sudah sembilan tahun menetap di Malaysia.
Ali yang pernah bertugas sebagai tukang masak di beberapa hotel terkenal di Iran dan juga kedutaan Iran di Malaysia sentiasa memastikan hidangan yang dihasilkannya asli dan menepati cita rasa pelanggan.
"Setiap bahan seperti saffron (yang sangat mahal dan sukar didapati), beras, rempah dan herba tertentu diimport dari Asia Barat bagi mengekalkan keaslian hidangan," ujarnya.
Antara hidangan yang lazat ialah pembuka selera 'kashk o bazenjan' (terung hancur dimasak bersama rempah khas). Ia sangat enak dimakan dengan roti. Hidangan lain yanh boleh dicuba ialah 'Juje kebab' (anak ayam), 'koobideh kebab' (kambing), 'bakhtiary kebab' (kambing campur ayam) dan 'koobideh murgh' (ayam campur sayur-sayuran). Keenakan hidangan ini terletak pada tekstur dagingnya yang lembut dan berperisa, tambahan pula tatkala ia dinikmati bersama hidangan nasi saffron yang enak.
Menurut Ali, nasi ini dimasak dua kali iaitu kali pertama dimasak bersama air dan selepas beberapa ketika airnya dibuang. Kemudian ia dimasak sekali lagi, bagi menghasilkan tekstur nasi yang halus, tidak melekit dan enak. Nasi saffron juga enak andai digaul bersama mentega ketika masih panas untuk rasa lemak-lemak masin dan rasanya tidak ubah seperti nasi minyak namun teksturnya berbeza.
Semangkuk salad segar untuk hidangan yang seimbang dan jangan lupa mencuba 'mastokhiar' iaitu salad yogurt yang memberi kelainan rasa.
Mengenai minuman, boleh mencuba minuman malt tanpa alkohol yang juga digelar 'bir halal'. Atau seteko teh pudina panas pasti memberi kepuasan setiap kali menghirupnya. Ada cara tersendiri menikmati teh ini yang mana ia disediakan tanpa gula. Menurut Ali, masyarakat Iran menikmati teh pudina dengan cara memasukkan kiub gula terlebih dahulu ke dalam mulut, kemudian baru meneguk teh yang masih panas.
Dalam pada itu, kata Ali, 'Taktaz' dalam bahasa Parsi bermaksud 'penunggang unik'. Sesuai dengan nama, pastinya restoran ini mempunyai keunikan tersendiri untuk dikunjungi. Jom kita ke sana!!!
Alamat : TAKTAZ RESTAURANT, No.B-G-3, Block B, Persiaran Serdang Perdana, Taman Serdang Perdana, 43300 Seri Kembangan, Selangor. (Tel : 03-89413364)

GANJARAN TANGKAP MILITAN TALIBAN

*Gambar : Helaian akhbar yang memaparkan gambar-gambar pemimpin Taliban termasuk ketuanya, Maulana Fazlullah (gambar kecil), digantung pada sebatang pokok bersebelahan sebuah gerai di Islamabad, Pakistan.

LAHORE - Pakistan menawarkan ganjaran antara USD12,400 (RM43,400) dan USD62,250 (RM217,875) kepada mana-mana pihak yang berjaya menangkap 21 pemimpin Taliban termasuk pemimpin Taliban di Lembah Swat, Maulana Fazlullah.
Kerajaan Pakistan menyiarkan nama serta gambar 18 daripada 21 pemimpin Taliban berkenaan dalam beberapa akhbar utama di Pakistan. Turut tersenarai ialah jurucakap Taliban di Lembah Swat, Muslim Khan.
Semua pemimpin terlibat dikehendaki sama ada hidup atau mati ketika tentera melancarkan serangan berbulan-bulan ke atas militan tersebut di bahagian barat laut negara ini.
Serangan di Lembah Swat, 130 kilometer dari barat laut Islamabad itu dilihat sebagai satu ujian kepada komitmen kerajaan dalam berdepan pemberontakan Taliban yang semakin meningkat.
Ia dilancarkan selepas Amerika Syarikat menuduh Pakistan 'melepaskan' militan Taliban.
Pemberontakan di Lembah Swat muncul pada tahun 1990-an apabila seorang ulama, Sufi Mohammad mengangkat senjata bagi melaksanakan undang-undang Syariah di lembah itu dan wilayah Malakand yang berhampiran.

ROXANA BUAT PENGAKUAN PALSU DISEBABKAN KETAKUTAN

WASHINGTON - Wartawan Amerika Syarikat kelahiran Iran, Roxana Saberi berkata, ketakutan menyebabkan dia terpaksa mengaku menjadi pengintip Amerika Syarikat. Beliau berkata demikian, selepas 100 hari dibebaskan dari penjara Evin selepas sebuah mahkamah Iran mengurangkan hukuman penjara ke atasnya atas kesalahan mengintip.
Roxana berada di Iran selama enam tahun dan berkerja sebagai wartawan untuk agensi media barat di negara itu.
Menurut National Public Radio (NPR), agensi itu tidak melihat mana-mana individu ditahan bersama Roxana di rumahnya pada 31 Januari lalu oleh empat lelaki daripada Kementerian Perisikan Iran.
Kata agensi berita itu, Roxana tidak dibenarkan menghubungi rakan-rakan serta ahli keluarganya ketika beliau dibawa ke penjara Evin pada hari yang sama.
"Selepas saya menyedari tidak ada sesiapa yang mengetahui di mana saya berada, saya menjadi takut, disoal siasat serta menerima pelbagai ancaman dan dipaksa supaya mengaku menjadi pengintip Amerika Syarikat. Anda mungkin berada di sini selama 10 hari atau 20 tahun dan berhadapan dengan hukuman mati. Saya berfikir, jika sesuatu yang buruk berlaku ke atas saya, ahli keluarga tidak mengetahui di mana saya berada, mungkin mereka tidak pernah mengetahui mengenai perkara itu, saya telah membuat pengakuan palsu berhubung perkara itu, jadi saya mengaku : 'Ya saya seorang pengintip Amerika Syarikat'. Saya masih tidak pasti kenapa mereka menahan saya, ia bukan disebabkan membeli arak dan juga laporan akhbar," kata Roxana kepada NPR.
Roxana ditahan sejak akhir Januari lalu, kerana membeli minuman keras, iaitu satu perbuatan yang salah di sisi undang-undang di negara Islam tersebut dan dibicarakan secara tertutup atas tuduhan mengintip bagi pihak Amerika Syarikat.
Pada 11 Mei lalu, mahkamah membebaskan Roxana dengan mengurangkan hukuman penjara ke atasnya atas kesalahan mengintip. Roxana, dijatuhkan hukuman lapan tahun penjara pada bulan lalu oleh mahkamah revolusi atas dakwaan mengintip bagi pihak Amerika Syarikat.

Wednesday, May 27, 2009

ISRAEL BENTANG UNDANG-UNDANG TAAT SETIA

*Gambar : Avigdor Lieberman, Menteri Luar Israel.

BAITULMAQDIS - Parti ultra nasionalis pimpinan Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman merancang untuk membentangkan rang undang-undang di Parlimen bagi mewajibkan rakyat mengangkat sumpah taat setia kepada negara Yahudi itu.
Langkah itu dikecam oleh pengkritik sebagai menjejaskan hak rakyat Israel berketurunan Arab. Parti Yisrael Beitenu merancang mendapatkan kelulusan Kabinet sebelum membentangkan rang undang-undang berkenaan di Parlimen.
Jurucakap parti, Tal Nahum berkata, langkah itu akan mewajibkan semua rakyat Israel mengikrarkan kesetiaan 'kepada negara Israel sebagai sebuah negara Yahudi, Zionis dan demokratik' sebelum mereka boleh diberi kad pengenalan. Undang-undang menghendaki semua rakyat Israel berusia 16 tahun ke atas membawa kad pengenalan sepanjang masa.
Usul tersebut perlu melepasi tiga pengundian di Parlimen dan dikaji oleh sebuah jawatankuasa sebelum boleh berkuatkuasa, kata seorang jurucakap parti hari ini.
Peluang Parlimen meluluskan rang undang-undang tersebut belum dapat dipastikan tetapi tentunya lebih cerah berbanding pada 2007 apabila usul serupa yang dibentangkan oleh ahli Parlimen parti Lieberman tidak diluluskan.
Yisrael Beitenu menjadi parti politik ketiga terbesar di Israel selepas pilihan raya Februari lalu, mencerminkan peralihan sokongan rakyat Israel kepada kem pelampau berhaluan kanan.
Parti Lieberman menjadi parti komponen dalam kerajaan berhaluan kanan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang dijangka menyokong rang undang-undang tersebut.

Tuesday, May 26, 2009

IRAN SEKAT AKSES KEPADA FACEBOOK

TEHERAN - Keputusan Iran menyekat akses untuk melayari laman web Facebook tidak sampai tiga minggu sebelum pilihan raya kebangsaan, telah mengundang kritikan hebat daripada pembangkang yang ingin menyingkirkan Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad.
Para pengkritik berkata, keputusan tersebut akan mendorong rakyat Iran beralih kepada media tempatan dan sumber-sumber kerajaan menjelang pilihan raya pada 12 Jun ini. Ia secara langsung akan memberi kesan kepada undi golongan muda yang boleh memberi kesan kepada cubaan Ahmadinejad untuk mengekalkan jawatan pada pilihan raya kali ini.
Lebih separuh daripada penduduk Iran lahir selepas Revolusi Islam 1979 dan pengundi muda membentuk jumlah yang terbesar, yang berperanan membantu bekas pemimpin pembaharuan, Presiden Mohammad Khatami bersaing rapat pada tahun 1997 dan 2001 tetapi tewas kepada Akhbar Hashemi Rafsanjani, pesaing Ahmadinejad pada pilihan raya empat tahun lalu.
Pengundi muda kini memberi sokongan kepada calon pembaharuan, Mir Hossein Mousavi yang menjadi penyebab kepada sekatan tersebut dilaksanakan.
"Mana-mana media yang dilihat memberi tentangan kepada Ahmadinejad, kini menghadapi risiko akan ditutup," kata Shahab Thabathabai, penyokong kuat Mousavi, calon pembaharuan paling popular.
Menurutnya lagi, "Tindakan bagi mengurangkan saingan merupakan keutamaan kerajaan pada masa ini."
Shahab berkata, blok Facebook telah 'mengubah reaksi' golongan muda kepada pro-Mousavi apabila ramai golongan muda berhimpun di sebuah stadium sukan di Teheran termasuk kehadiran Khatami dengan memakai skaf dan mengibarkan sepanduk hijau yang menjadi warna rasmi kempen Mousavi bagi menghadiri rapat umum yang dianjurkan oleh Mousavi.
Pihak berkuasa Iran didakwa sering menyekat laman web tertentu dan blok yang dianggap kritikal terhadap Republik Islam itu dan keputusan terbaru menyekat akses kepada Facebook dan beberapa laman web popular yang lain, bermakna penduduk Iran terpaksa bergantung kepada maklumat daripada kerajaan.
"Facebook adalah satu-satunya sumber bebas yang digunakan oleh golongan muda untuk berkomunikasi ," kata Mohammed Ali Abtahi, bekas Naib Presiden dan sekarang penasihat kepada salah seorang calon pro pembaharuan, Syeikh Mahdi Karoubi, yang juga bekas Speaker Parlimen.
Para pegawai Iran bagaimanapun enggan mengulas mengenai sekatan tersebut.

Monday, May 25, 2009

DI SEBALIK 'CHADOR' WANITA IRAN

Dengan langkah yang panjang dan pantas, seorang wanita berjalan di celah-celah orang ramai yang berkumpul di Dataran Azadi untuk meraikan ulang tahun ke-30 Revolusi Islam Iran. Mereka berjalan untuk mencari jalan keluar.
Samaneh Rooh, 25, yang berpakaian jubah hitam 'chador' dan begitu menawan, memegang erat lengan serta membimbing saya berjalan keluar dari dataran tersebut. Ketika itu, beratus ribu warga Iran berkumpul di Teheran bagi meraikan ulang tahun itu.
Beliau menapak di sepanjang laluan pejalan kaki dengan mudah. Jelas sekali 'chador' (kain luar atau jubah terbuka yang dipakai oleh wanita Iran di luar rumah) yang dipakainya tidak menghalang kepantasan Samaneh mengatur langkah walaupun dikibas angin.
Wanita muda yang bertenaga itu ditugaskan sebagai penterjemah bagi sekumpulan wartawan wanita yang dijemput oleh Pertubuhan Budaya dan Hubungan Islam (ICRO) bersempena dengan ulang tahun itu. Katanya, beliau berasa bebas walaupun memakai 'chador'.
"Saya boleh berbuat apa sahaja memandangkan saya tidak banyak menarik perhatian, terutama kaum lelaki apabila memakai 'chador'," kata Samaneh yang bagaikan penterjemah peribadi dan jurupandu penulis semasa sambutan ulang tahun ini.
"Saya suka bahasa Inggeris. Sebagai penterjemah, saya berpeluang bertemu dengan ramai orang dari pelbagai negara dan belajar budaya mereka," katanya yang hobinya bermain gitar dan melukis.
Dilahirkan di Teheran, hab rangkaian komunikasi dan pengangkutan, gadis yang petah berkata-kata ini suka tinggal di bandaraya itu walaupun kehidupan di situ bukanlah mudah.
"Saya terpaksa mengharungi pencemaran udara tetapi saya masih suka tinggal di sini kerana ini tempat kelahiran saya. Kehidupan yang saya lalui sekarang adalah hasil daripada apa yang saya usahakan selama ini. Saya ke universiti, bermain muzik dan melakukan apa sahaja yang saya mahu. Saya benar-benar menikmati kebebasan. Tetapi mungkin matlamat saya berlainan daripada wanita lain di negara ini. Mereka mungkin mempunyai matlamat lain dan oleh itu, mereka berasa tiada kebebasan," katanya apabila ditanya bagaimana rasanya tinggal di Iran dan bagaimana kedudukan wanita di negara itu.
Bagi ahli psikologi, Maryam Namayeshi, 40, tiada perbezaan jika bekerja dengan lelaki ataupun wanita di Iran.
Maryam yang ditemui di dalam pesawat semasa dalam penerbangan ke Assaluyeh, berkata, perjalanan satu setengah jam dari Teheran itu menjelaskan tentang pekerjaannya. Tugasnya adalah memberi kaunseling kepada lelaki, wanita dan keluarga mereka.
Assaluyeh merupakan 'dunia lelaki', apabila anda melangkah keluar dari lapangan terbang. Apa yang anda lihat ialah lelaki. Tetapi itu jelas tidak memberi kesan kepada Maryam.

*Gambar : Kompleks Sukan Enqelab turut menyediakan kemudahan untuk bermain boling bagi wanita Iran.

Beliau yang bertugas dengan Pars Oil and Gas Company (POGC) terbang ke Assaluyeh, sebuah bandar di selatan Iran, untuk menyampaikan kaunseling dan menjalankan bengkel bagi kakitangan POGC dan keluarga mereka di situ.
Menurutnya, kebanyakan lelaki yang bekerja dalam sektor gas sudah berkeluarga tetapi meninggalkan keluarga masing-masing apabila bekerja di situ.
"Mereka boleh mengalami kemurungan apabila berjauhan dari keluarga untuk tempoh yang lama dan ini boleh menimbulkan masalah besar, lebih-lebih lagi tempat itu adalah sebuah kawasan industri dan tidak mempunyai banyak kemudahan seperti di bandaraya. Pada waktu-waktu seperti ini, mereka memerlukan kaunseling. Kebanyakan aduan yang diterima berkaitan dengan kemurungan," kata beliau.
"Saya tidak menghadapi sebarang masalah berhubung kerja saya di sini," tambah Maryam sambil menuding ke arah hijab yang dipakainya.
"Ini sesuatu yang saya pakai sebagai wanita Islam dan ia tidak menjejaskan kerja saya," ujarnya.


Wanita Dan Lelaki Bekerjasama :

Anggota Parlimen, Dr Zahreh Elahiar berkata, hanya terdapat lapan anggota Parlimen wanita di Iran tetapi itu tidak menjadi masalah kerana mereka menerima sokongan daripada anggota Parlimen lelaki.
Menurutnya, rakyat Iran percaya wanita harus dilantik sebagai wakil rakyat berdasarkan keupayaan mereka dan bukan mengikut sistem kuota.
Seorang hakim, Dr Fatemah Bodaghi pula berkata, banyak perubahan berkaitan institusi keluarga dan wanita berlaku selepas Revolusi Iran dan pencapaian utamanya adalah penubuhan Mahkamah Keluarga dan hakim-hakim wanita ditugaskan menjaga hal ehwal wanita.
Selepas revolusi itu, beberapa perubahan turut dilaksanakan seperti memberikan hak kepada wanita untuk memfail penceraian dalam keadaan tertentu, sebagai contoh jika suami dipenjarakan dan wanita boleh menuntut separuh daripada harta selepas bercerai
.
Dr Fatemah juga berkata, terdapat peningkatan dalam bilangan hakim wanita di Iran, selain wanita kini mempunyai pelbagai peranan dalam masyarakat. Undang-undang Islam diperkenalkan dalam sistem perundangan Iran ekoran Revolusi Islam pada 1979. Iran juga terus berusaha untuk memperkasa kedudukan wanita luar bandar, dengan memperkenalkan skim kredit mikro bagi membolehkan mereka memulakan aktiviti menjana pendapatan.
Menteri Penasihat bagi Hal Ehwal Wanita Luar Bandar, Dr T. Daniali berkata, pinjaman kecil diberi bagi membolehkan wanita menjalankan perniagaan atau meningkatkan perusahaan sedia ada.
"Pengalaman menunjukkan capaian wanita kepada sumber pendapatan bukan sahaja membawa kepada peningkatan dalam kehidupan individu dan keluarga, malah ia memberi kesan positif kepada komuniti, ekonomi tempatan dan kebangsaan," tambahnya.
Katanya, antara keputusan positif itu ialah kecenderungan yang lebih ke arah celik huruf, tahap kebersihan tempatan dan keluarga serta peluang untuk merealisasi dengan lebih baik potensi mereka.

Wanita Aktif Bersukan :

Pegawai Perhubungan Raya Enqelab Sports Complex International, Marjan Mass'oudi berkata, berbanding 15 tahun yang lalu, bilangan wanita Iran yang bersukan telah meningkat.
"Sedikit demi sedikit, wanita mula bersukan memandangkan mereka kini mempunyai lebih kesedaran terhadap kesihatan," katanya.
Kompleks Sukan Enqelab yang terletak di kawasan seluas 84 hektar dikelilingi kehijauan. Antara lain, ia mempunyai padang golf, lorong boling, kolam renang tertutup berasingan bagi lelaki dan wanita, kelab kecergasan, kelab paintball, kelab snuker, akademi luncur ais dan kafeteria serta kemudahan perbankan.
"Mereka yang tidak berminat dalam mana-mana sukan boleh bersiar-siar di pejalan kaki sepanjang 2,590 meter yang sesuai untuk mereka yang sudah berusia dan kurang sihat," kata Marjan.
Dari bidang politik, kehakiman, kerjaya sehinggalah sukan, kehadiran wanita Iran terus dirasai.
Ia mungkin bukan sesuatu yang mudah tetapi wanita Iran bertekad untuk berganding bahu dengan lelaki demi manfaat Republik Islam Iran, sebuah negara dengan penduduk seramai 70 juta yang menjiwai ajaran Islam yang sebenarnya.

ISRAEL SERANG KONVOI IRAN DI SUDAN

LONDON – Israel menggunakan pesawat kawalan jauh untuk menyerang beberapa konvoi Iran di Sudan yang disyaki cuba menyeludup roket ke Gaza, lapor sebuah akhbar Britain.
Akhbar berkenaan melaporkan diplomat-diplomat Barat mengesahkan Israel menyerang konvoi trak Iran pada hujung Januari lepas dan pada minggu pertama Februari.
Ketika kejadian, konvoi itu berada di kawasan padang pasir di pinggir bandar pelabuhan Port Sudan berdekatan Laut Merah.

AHLI PARANORMAL BERBOHONG?

*Gambar hiasan : Tabur beras kunyit - adakah suatu syarat yang berfungsi atau sekadar gimik?
Seorang gadis yang mengadu sering sakit kepala diminta duduk dan memejamkan mata. Setelah disuruh bertenang dan mengosongkan fikiran, dia dibimbing secara lisan untuk cuba tidur dalam kiraan tiga berserta petikan jari. Gadis itu kemudiannya terlena.
"Dia sebenarnya masih dapat mendengar arahan saya dan boleh mengatasi sendiri masalahnya," terang pengamal terapi minda Aura Syifa' dari Bandung, Indonesia, Rachmat Setiawan.
Selepas memberi arahan khusus tentang sesuatu, gadis tersebut dilihat merapatkan kedua tangannya seperti hendak menangkap sesuatu di belakang kepalanya. Kemudian dia membuat pergerakan tangan seperti mencampakkan sesuatu ke hadapannya. Dahinya tidak lagi berkerut selepas itu. Dia lebih tenteram dan kemudian dikejutkan semula dalam kiraan tiga dan petikan jari.
Ini adalah apa yang diberitahu gadis itu, "Saya terlihat ada seekor burung besar yang mencengkam kepala dan tengkuk saya. Saya telah membuangnya ke laut. Selepas itu, sakit kepala saya beransur-ansur reda."
"Sebagai cabang ilmu hipnosis, itu adalah antara kaedah rawatan yang boleh anda temui dalam teknik terapi minda. Selalunya, sebarang bentuk gangguan kesihatan boleh diatasi sendiri oleh pesakit sementara pengamal kaedah ini hanya memberi bimbingan," kata Rachmat yang meminta penulis mengetepikan dahulu spekulasi tentang bayangan burung besar itu.
Lazimnya, masyarakat kita terlalu cepat mengaitkan masalah kesihatan dengan gangguan entiti atau jin, hingga ramai yang 'tunduk' padanya tanpa mengetahui bahawa sesiapa pun mampu mengatasinya sendiri.
Melalui teknik seperti ini, penyelesaian bukan milik mutlak pengamal terapi. Keyakinan dan pena'akulan logik pesakit dipertingkat ketika pesakit diprogram semula dalam keadaan 'alpha' iaitu 'minda bawah sedar'.
*Gambar hiasan : Ketika dibimbing pengamal terapi, minda seseorang boleh memasuki fasa 'alpha', seterusnya mampu mena'akul sesuatu yang luar biasa.

"Kita sering mendengar ahli paranormal yang melakukan pelbagai ritual pelik, mereka-reka cerita yang menakutkan serta kemudiannya mengenakan bayaran yang melampau. Dan kita mempercayai mereka," ujarnya yang hadir ke pejabat Aura Syifa' Malaysia di Shah Alam, Selangor.
Beliau juga tidak bersetuju dengan ahli paranormal yang berselindung di sebalik imej alim ulama seperti berserban, bercelak atau membawa tasbih di tangan tetapi 'menipu' apabila mengubati pesakit. Imej itu, kata Rachmat hanya akan memburukkan lagi pemahaman tentang Islam.
Kaedah rawatan di Aura Syifa' bukan sahaja boleh digunakan untuk menangani masalah jiwa dan 'gangguan' makhluk halus. Malah, pendekatannya boleh membantu individu membina keyakinan diri, mencetus potensi rohani dan jasmani, seterusnya diperkembangkan dalam realiti hidup dan dunia kerjaya.
Rachmat dan rakan pengamal terapi di cawangan Malaysia itu, Noor Azizan Abdul Majid, pernah digegaskan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, Kuantan, untuk menawarkan khidmat mereka ketika kes histeria kronik mengganggu ketenteraman guru dan pelajar sekolah berkenaan beberapa bulan yang lepas.
"Individu yang dirasuk atau histeria tidak dapat dirawat hanya dengan membacakan zikir atau ayat al-Quran sebagai kaedah utama. Ikhtiar lain perlu disertakan," kata Rachmat.
Bersetuju dengan pendapat Rachmat, Noor Azizan menambah bahawa bacaan zikir dan ayat-ayat suci tidak dapat diproses oleh seseorang pesakit yang terlalu hanyut dibawa emosi akibat pengaruh 'entiti' tersebut.
"Ayat-ayat suci al-Quran bersifat 'preventif' sebelum berlakunya sebarang kecelaruan jiwa yang mungkin disebabkan oleh gangguan entiti," kata Noor Azizan.
Tetapi ketika dirasuk, tindakan dan pendekatan lain perlu segera diambil. Pemikiran manusia pula perlu 'dibersihkan' melalui kaedah terapi minda.
"Contohnya, sebuah komputer yang terjejas fungsi akibat jangkitan virus tidak akan pulih jika pengguna sekadar mengulang salin data anti virus yang sama. Komputer itu perlu diprogram semula dan dimasukkan paten anti virus baru. Barulah menampakkan hasil," jelas Rachmat.
Tambahnya, rawatan hadir dalam pelbagai sumber dan cara yang boleh disepadukan. Selain pemantapan rohani melalui konsep ibadah, seseorang perlu mencapai status minda yang ideal melalui terapi. Jika perlu, rawatan perubatan termasuk rujukan pakar psikiatri.
Mengulas tentang kes individu atau keluarga yang mengadu tentang kehadiran 'entiti' dalam kediaman mereka, Rachmat menerangkan bahawa ia perkara yang boleh diatasi.
"Mereka boleh dibimbing untuk berdialog dengan entiti tersebut. Kami yang akan menyelia sebarang maklum balas daripada apa yang 'dilihat' oleh mereka ketika minda mereka dilaras ke keadaan bawah sedar," terang Noor Azizan.
Namun tidak dinafikan terdapat entiti degil yang melambatkan proses pengusiran atau berkeras tidak mahu berpindah. Jika itu berlaku, pemikiran manusia dalam rumah itu akan diprogram semula menggunakan teknik terapi minda untuk memutuskan semua hubungan komunikasi di antaranya.
"Ini bermakna, entiti masih berada dalam rumah itu bersama keluarga manusia. Masing-masing menjalani kehidupan tersendiri tetapi kedua-dua pihak tidak bertembung atau mempunyai sebarang medium komunikasi," terangnya.
Menurut Rachmat, "Orang yang sentiasa ceria mempunyai semangat yang kuat dan sihat. Kesihatan minda dan tubuhnya tidak mudah mengalami gangguan. Sebaliknya, mereka yang suka bersendiri, penyedih, sugul, pemarah, berprasangka atau sering rasa terpinggir dan tidak disayangi, akan berhadapan dengan masalah. Ketika itulah, entiti akan cuba mempengaruhi minda bawah sedar."

TEH PANAS DIKAITKAN DENGAN KANSER KERONGKONG

PARIS - Menurut satu kajian yang disiarkan British Medical Journal, penggemar minuman teh panas berisiko menghidap kanser kerongkong. Kajian yang disiarkan dalam jurnal itu menyatakan risiko itu tidak berlaku terhadap peminum teh yang lebih sejuk. Kanser kerongkong dikaitkan dengan tabiat merokok dan minuman keras tetapi minuman panas turut dianggap sebagai satu risiko kerana ia merosakkan tisu kerongkong.
Sekumpulan penyelidik Iran sanggup pergi ke Golestan bagi mendapat hasil kajian itu kerana wilayah itu mempunyai penghidap kanser oesophageal paling tinggi di dunia. Penduduk di wilayah itu minum teh panas dalam kuantiti yang banyak. Pada kebiasaannya, mereka minum lebih satu liter sehari.
Kajian itu diketuai oleh Reza Malekzadeh dari Pusat Penyelidikan Penyakit Penghadaman, Universiti Perubatan Sains Teheran. Menurut kajian itu, mereka yang minum teh panas berisiko menghidap kanser kerongkong dua kali lebih tinggi berbanding peminum teh suam.

HIZBULLAH BIDAS MAJALAH JERMAN

BEIRUT – Pergerakan Hizbullah di Lebanon membidas sebuah majalah Jerman berikutan laporannya yang mendakwa sebuah suruhanjaya siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) percaya Hizbullah menjadi dalang di sebalik pembunuhan bekas Perdana Menteri, Rafiq Hariri pada 2005.
Majalah 'Der Spiegel' melaporkan suruhanjaya PBB yang menyiasat pembunuhan Hariri menemui bukti baru yang menunjukkan pasukan khas Hizbullah ‘merancang dan melaksanakan’ serangan dengan meletupkan bom kereta yang membunuh Hariri dan 22 orang lain.
Ini cerita rekaan semata-mata bertujuan mempengaruhi kempen pilihan raya dan mengalihkan perhatian daripada laporan mengenai pembongkaran rangkaian pengintip yang bekerja untuk Israel,” kata Hizbullah dalam kenyataannya.
Laporan 'Der Spiegel' itu disiarkan dua minggu sebelum pilihan raya umum Lebanon pada 7 Jun ini apabila blok majoriti Parlimen yang disokong oleh Amerika Syarikat bakal ditentang oleh perikatan yang diketuai oleh Hizbullah dengan sokongan Syria dan Iran.
Hizbullah menyatakan bahawa dakwaan 'Der Spiegel' menjejaskan kredibiliti Tribunal Khas bagi Lebanon dan meminta mahkamah di The Hague bertindak mendedahkan dalang di sebalik ‘pembohongan’ tersebut.

Friday, May 22, 2009

PENGUMUMAN !!!

Gambar : Ustaz Mohd Samsuddin Harun, penulis blog www.tenteradajjal.blogspot.com yang memperkenalkan dirinya sebagai "Syiah Tentera Dajjal".

KULIAH MAGHRIB :
Penceramah : Ustaz Mohd Samsuddin Harun (B.A. Hons, UKM)
Tajuk : "Peranan Syiah Di Timur Tengah" (Khusus Kepada Kejatuhan Afghanistan dan Iraq).
Tarikh : 22 Mei 2009 (Jumaat).
Tempat : Dewan Solat Utama, Surau al-Mawaddah, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Masa : Selepas Solat Maghrib.
* Tayangan slide disediakan & risalah akan diberi semasa kuliah.

PENGINTIP ISRAEL DIBONGKAR

*Gambar : Antara peralatan yang digunakan oleh ejen-ejen yang direkrut oleh Zionis Israel untuk mengintip pergerakan Hizbullah, Palestin dan tentera Lebanon, seperti kotak penyejuk air, bekas minyak hitam, cakera padat, kamera, radio, pasport, pengecas bateri kereta dan sejenis alat khas untuk menghantar mesej kepada pegawai di Israel atau menafsir kod rahsia yang diberikan.

BEIRUT - Wanita jelita, pelancongan ke luar negara dan melarikan diri melalui sempadan yang penuh dengan periuk api. Semua ini adalah aspek yang didakwa ada dalam rangkaian pengintipan Israel di Lebanon dan sesuai untuk dijadikan novel perisikan.
Hampir 20 suspek pengintipan termasuk pemotong daging, jurujual telefon bimbit dan jeneral bersara, telah ditahan sejak beberapa bulan lalu dalam usaha berterusan perisikan Lebanon untuk menjejaki kumpulan pengintipan rahsia negara Yahudi itu. Pegawai keselamatan berkata, lebih banyak tangkapan akan dibuat.
Kepantasan siasatan meningkat terutama bulan lalu selepas penyiasat membongkar satu kumpulan yang merancang untuk menyusup masuk ke dalam kumpulan pejuang Hizbullah yang pernah berperang dengan Israel pada 2006.
Pegawai perisikan yang khuatir dengan operasi Israel terhadap Hizbullah berkata, mereka telah memaklumkan mengenai penemuan mereka kepada kumpulan pejuang bermazhab Ahlul Bait tersebut dan sejak itu rangkaian perisikan Israel mulai runtuh satu demi satu.
"Kesemua suspek yang ditahan adalah dari kumpulan berbeza dengan tiga anggota paling ramai dan mereka tidak ada hubungan dengan kumpulan yang lain. Apa yang membantu kami ialah kami berjaya membongkar rahsia teknologi yang membolehkan kami menyelesaikan teka-teki," kata Ketua Pasukan Keselamatan Dalam Negeri, Jeneral Ashraf Rifi.
Ejen-ejen perisik Israel itu yang menjalankan misi mengumpul maklumat berhubung kedudukan Hizbullah, kumpulan pejuang Palestin dan tentera Lebanon, akan berkomunikasi dengan bos mereka di Israel melalui peralatan satelit atau mesej komputer berkod.
Ashraf berkata, kumpulan rahsia itu menggunakan peralatan teknologi tinggi yang disembunyikan dalam kotak penyejuk air, bekas minyak hitam dan pengecas bateri kereta.
Tambahnya, ejen-ejen itu kemudian akan terbang ke Paris, Turki, Hungary atau negara-negara lain untuk menghantar maklumat dan mereka akan ke Israel sekurang-kurangnya sekali dengan menggunakan pasport palsu bagi menjalani latihan dan mendapatkan maklum balas.
Katanya, Israel merekrut kebanyakan ejen (Kristian, Sunni atau Syiah) pada 1980-an dan 1990-an semasa tempoh 22 tahun penaklukan Zionis di wilayah selatan Lebanon yang berakhir pada tahun 2000.
Israel menggunakan wanita jelita, wang dan umpan-umpan lain untuk mempengaruhi mereka bekerja untuk Zionis. Israel akan membayar mahal iaitu antara USD5,000 (RM17,000) hingga RM7,000 (RM24,500) bagi misi pertama mereka. Selepas itu, Israel akan menurunkan nilainya pada kadar yang besar kerana mereka telah berjaya memerangkap ejen dan mengugut akan mendedahkan tindakan mereka.
Lebanon kekal dalam status berperang dengan Israel dan mana-mana warganya yang didapati bersalah melakukan pengkhianatan berdepan dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

PELURU BERPANDU IRAN LEBIH CANGGIH

WASHINGTON - Peluru berpandu yang dilancarkan dalam ujian terbaru oleh Iran adalah peluru berpandu pendorong pepejal dengan jarak yang paling jauh pernah dicatatkan, demikian menurut seorang pegawai kerajaan Amerika Syarikat.
Ia sekaligus menimbulkan kebimbangan mengenai teknologi peluru berpandu Iran yang dilihat semakin meningkat. Pegawai Amerika Syarikat yang enggan dikenali ketika membincangkan perincian teknikal program peluru berpandu Iran, menyatakan bahawa Teheran sebelum ini hanya mempunyai peluru berpandu jenis itu untuk jarak yang dekat.
Roket yang menggunakan pendorong pepejal menjadi kebimbangan kerana ia boleh dihasilkan sebelum disimpan atau disorok berbanding roket menggunakan pendorong cecair yang perlu dilancarkan segera selepas bahan api diisi, seterusnya menjadikan ia lebih mudah dipantau dan dipatahkan.
Namun menurut Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates, yang memberikan pengesahan pertama berhubung ujian peluru berpandu oleh Iran, menyatakan yang peluru berpandu milik negara itu mampu terbang sejauh 2,000 hingga 2,500 kilometer. Ini bermakna ia mampu mengenai Israel, pangkalan-pangkalan Amerika Syarikat di Asia Barat dan sebahagian daripada Eropah Timur.
"Maklumat yang saya terima menunjukkan ujian tersebut adalah berjaya," kata Gates kepada House Appropriations Committee, lapan jam selepas ujian itu diumumkan oleh Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad.

40 TEBUNUH DI BAGHDAD

BAGHDAD - Lebih 40 orang maut dan 83 lagi cedera dalam satu letupan bom kereta di sebatang jalan di Baghdad yang penuh sesak dengan penduduk yang keluar untuk makan malam.
Letupan itu yang disifatkan paling dahsyat di ibu negara Iraq dalam tempoh beberapa minggu ini berlaku ketika penduduk mengunjungi persimpangan as-Sadrain, barat laut Baghdad, yang menjadi tumpuan kerana terdapat gerai-gerai makan dan kedai-kedai runcit.
Serangan di kawasan Syiah itu menyebabkan bilangan korban terbesar di kawasan itu sejak 29 April lalu, apabila lebih 50 orang, juga di kawasan kediaman Syiah, terbunuh dalam beberapa letupan bom yang berlaku hampir serentak.
Sekalipun keganasan melonjak sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kerajaan Iraq tetap menegaskan jadual waktu untuk askar Amerika Syarikat berundur dari negara ini tidak akan terjejas. Jadual pengunduran tersebut termaktub dalam perjanjian keselamatan yang dimeterai dengan Washington pada November lalu. Tentera Amerika Syarikat dijadual meninggalkan bandar dan pekan di negara ini pada 20 Jun ini sebelum berundur sepenuhnya dari negara ini selewat-lewatnya pada akhir 2011.
Kebanyakan serangan di Baghdad kebelakangan ini ditujukan ke atas masyarakat Syiah yang merupakan penduduk majoriti di Iraq. Keganasan sedemikian mencetuskan kebimbangan berulangnya serangan ganas ala al-Qa'eda yang bertujuan untuk memarakkan semula sengketa Sunnah-Syiah yang melanda negara ini dua tahun lalu.
Keadaan keselamatan di Iraq secara keseluruhan bertambah baik sejak kabilah tempatan dan bekas gerila berganding bahu dengan tentera Amerika Syarikat untuk memerangi al-Qa'eda pada akhir 2006, tetapi serangan masih kerap berlaku.

4 TOKOH IRAN LAYAK BERTANDING JAWATAN PRESIDEN

TEHERAN - Badan pengawas Perlembagaan Iran meluluskan pencalonan empat tokoh utama, termasuk Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad untuk bertanding pada pilihan raya Presiden pada bulan depan.
Selain Ahmadinejad, dua calon berfahaman sederhana iaitu bekas Perdana Menteri, Mir Hossein Mousavi dan bekas Speaker Parlimen, Hujjatul Islam Syeikh Mehdi Karoubi turut layak untuk bertanding pada pilihan raya itu yang dijadual pada 12 Jun ini.
"Nama calon-calon yang diluluskan oleh 'Syuro Negahbon' (Majlis Penjaga) ialah Ahmadinejad, Karoubi, Mousavi dan bekas Ketua Pengawal Revolusi, Mohsen Rezai," menurut satu kenyataan Kementerian Dalam Negeri.
Majlis Penjaga yang terdiri daripada 12 anggota itu mempunyai kuasa untuk menapis calon yang ingin bertanding pada pilihan raya umum di Iran. Keempat calon tersebut mendapat kelulusan untuk bertanding selepas disahkan kesetiaan mereka terhadap sistem kerajaan Islam Iran dan 'kepatuhan mutlak' mereka kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei.
Majlis Penjaga telah menolak 471 calon yang ingin bertanding, termasuk beberapa petani buta huruf, seorang budak lelaki berusia 12 tahun dan 42 wanita. Kem pembaharuan percaya calon mereka berpeluang lebih cerah untuk memenangi pilihan raya, jika ramai yang keluar mengundi. Namun, mereka mendakwa media rasmi tidak memberi liputan secukupnya mengenai pilihan raya bagi menggerakkan pengundi di seluruh Iran.
Kira-kira 46 juta rakyat Iran berusia 18 tahun ke atas layak mengundi pada pilihan raya Presiden yang ke-10 di Iran, sejak Revolusi Islam 1979.

Wednesday, May 20, 2009

ISRAEL RAI PERJANJIAN DAMAI ARAB

*Gambar menunjukkan Anwar Sadat (kiri), Jimmy Carter(tengah) dan Menahem Begin (kanan) di White House pada 26 Mac 1979.

BAITULMAQDIS - Israel baru-baru ini meraikan perjanjian damai pertama dengan sebuah negara Arab menerusi ucapan yang mengiktiraf penyelesaian permusuhan di Camp David, Amerika Syarikat.
Dalam satu majlis di Universiti Hebrew, Baitulmaqdis, duta-duta Mesir, Israel dan Amerika Syarikat mempunyai tugas untuk memastikan kebijaksanaan dan misi bekas Presiden Mesir, Anwar Sadat.
Namun, masih terdapat keraguan berhubung perjanjian damai itu walaupun tiga dekad sudah berlalu sejak Perdana Menteri Israel, Menahem Begin dan Presiden Mesir, Anwar Sadat berjabat tangan di laman White House dan disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Jimmy Carter.
Hubungan dua negara berjiran itu 'dingin' walaupun Israel mencapai perjanjian damai dengan Jordan pada 1994 kerana harapan damai menyeluruh dengan semua negara Arab masih kabur.
Kementerian Luar Israel menyatakan pihaknya akan mengadakan majlis khas meraikan ulang tahun perjanjian itu tetapi Mesir menyatakan tidak ada majlis istimewa diadakan.
Perjanjian pada 26 Mac 1979 itu menyaksikan Anwar dan Begin menandatangani perjanjian yang mengakhiri pemulauan Asia Barat terhadap Israel berikutan empat peperangan dengan negara Arab.
Langkah itu turut membuka pintu terhadap bantuan ketenteraan dan awam yang besar dari Amerika Syarikat atau sebanyak USD2 bilion (RM7.2 bilion) setahun sejak 1979.
Anwar akhirnya membayar perjanjian itu dengan nyawanya sendiri setelah ditembak oleh seorang anggota tentera, Khalid Islamboli ketika menyaksikan perbarisan pada 1981.

ZAHRA MASOUMAH SAHUT CABARAN SEBERANGI SELAT INGGERIS

PUTRAJAYA - Perenang muda, Zahra Masoumah Abdul Halim, 18, akan menyahut cabaran menyeberangi Selat Inggeris sejauh 34 hingga 37 kilometer (km) dalam misinya menjadi perenang wanita pertama berjaya melepasi selat yang sejuk dan berarus deras itu pada 2 hingga 6 Julai ini.
Sekiranya berjaya menamatkan cabaran merentasi selat itu dari Dover, Selatan United Kingdom ke Calais, Utara Perancis, Zahra turut bakal melakarkan sejarah sebagai perenang termuda Islam di dunia yang berjaya melepasi selat itu. Usaha luar biasa yang cuba direalisasikan oleh remaja tersebut mendapatkan sokongan padu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Zahra yang akan melanjutkan pengajiannya ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Sains Sukan memberitahu, dia akan ke Dover pada 27 Mei ini dan berada di sana selama sebulan bagi membiasakan diri dengan keadaan suhu air laut yang sejuk.
Adiknya, Salman Ali Syariaati, 12, juga akan ke sana bagi didedahkan dengan pengalaman berenang dalam air sejuk sebelum mengambil ujian kelayakan ke Selat Inggeris pada pertengahan Jun ini.
''Walaupun jarak renangan Selat Inggeris adalah lebih pendek daripada renangan yang pernah saya lakukan sebelum ini, cabaran besarnya adalah cuaca sejuk yang mencecah 15 darjah celsius selain arus air laut yang kuat. Latihan saya di sana nanti adalah membiasakan diri dengan keadaan air. Sebelum ini saya tumpukan kepada aspek jarak renangan dan saya perlu melepasi syarat kelayakan iaitu berada dalam air sekurang-kurangnya enam jam," kata Zahra.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang dan tajaan kepada Ekspedisi Tujuh Benua Tujuh Nilai (EE7B7N) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri di pejabatnya di sini.
Pada 23 Ogos 2007, Zahra bersama adiknya, Salman yang ketika itu berusia 16 dan 10 tahun hampir memecahkan rekod perenang marathon negara, Datuk Abdul Malik Maidin apabila mengharungi renangan dari Langkawi ke Kuala Perlis sejauh 43 km dalam lingkungan masa 14 jam. Ketika berusia lapan tahun, Salman dan kakaknya berjaya merenangi Selat Dinding sejauh 8.9 km.
Kedua-dua perenang muda itu adalah anak kepada pasangan, Abdul Halim Abdul Manaf dan Haniza Mohamed yang masing-masing adalah pensyarah UiTM Cawangan Perak dan Politeknik Ungku Omar, Ipoh.
Pada 3 Ogos 2003, Abdul Malik muncul sebagai rakyat Malaysia pertama berjaya merentasi Selat Inggeris apabila menamatkan renangan selama 17 jam 30 minit dan 15 saat. Selepas itu, seorang rakyat Malaysia, Lennard Lee yang juga pelajar perubatan Cambridge University berenang tanpa henti menyeberangi selat itu sejauh 33.6 km dalam tempoh sembilan jam 45 minit pada 15 Julai 2004.
Sementara itu, Abdul Halim berkata, setakat ini dia berasa yakin Zahra mampu menjayakan misi menyeberangi Selat Inggeris berdasarkan keupayaan stamina dari segi jarak renangan.
''Ini kerana setiap hujung minggu Zahra melakukan latihan sejauh 20 km di Lumut, dari segi kekuatan fizikalnya dia bersedia. Jadi cabaran sekarang ialah soal cuaca sejuk," katanya.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih belum mendapat keputusan muktamad tentang penyertaan Salman untuk turut sama menyertai misi kakaknya.
''Saya difahamkan masalahnya dari segi umur tetapi hairannya mengapa ia hanya membabitkan perenang dari Asia," katanya.
Dalam pada itu, Salman yang tetap bersemangat dengan misi untuk menjadi perenang termuda menyeberangi Selat Inggeris berkata, dia perlu meningkatkan berat badannya bagi menjayakan misi tersebut.
''Cabarannya ialah suhu air laut yang sejuk, jadi saya kena tambah berat untuk menambahkan lemak, kalau tidak nanti tidak tahan sejuk," katanya.

Tuesday, May 19, 2009

AYATULLAH AL-UZMA SYEIKH BAHJAT DIKEBUMIKAN DI QOM

Jenazah marji' taqlid, Ayatullah al-Uzma Mohammad Taqi Bahjat Fumani, telah selamat dikebumikan di kawasan makam suci Sayyidah Fathimah Ma'sumah (as) di Qom, Iran. Jutaan manusia mengiringi jenazah Ayatullah Bahjat dari rumahnya menuju ke kawasan pengkebumian tersebut.
Solat jenazah ke atas beliau telah diimamkan oleh Ayatullah al-Uzma Syeikh Javadi Amoli. Jenazah 'arif' dan 'alim besar' itu dikebumikan di samping makam para maraji' dan ulama di kawasan makam Sayyidah Fathimah Ma'sumah (as).
Upacara pengkebumian Ayatullah al-Uzma Mohammad Taqi Bahjat turut disertai para maraji', para pemimpin eksekutif, legislatif dan kehakiman Iran, wakil Presiden, Ketua Pejabat Rahbar dan beberapa orang anggota Parlimen Iran.

Monday, May 18, 2009

AYATULLAH AL-UZMA SYEIKH BAHJAT MENINGGAL DUNIA, DUNIA ISLAM BERKABUNG

*Gambar : Al-Marhum Ayatullah al-Uzma Syeikh Muhammad Taqi Bahjat.

Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran atau Rahbar, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei menyampaikan ucapan belasungkawa atas kewafatan salah seorang marji' besar dunia Ahlul Bait, Ayatullah al-Uzma SyeikhMuhammad Taqi Bahjat. Dalam perutusannya, Rahbar menyatakan bahawa dunia Islam kehilangan seorang ulama yang 'arif'.
Sementara itu, ucapan belasungkawa juga terus datang dari berbagai tokoh dan ulama Iran.
Ketua Mahkamah Agung Iran; Ayatullah Sayyid Hashemi Shahrudi, Ketua Parlimen Iran, Ali Larijani dan Presiden Republik Islam Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad turut menyampaikan rasa dukacita dan belasungkawa kepada dunia Islam dan rakyat Iran di atas pemergian marji' besar tersebut.
Ayatullah al-Uzma Syeikh Muhammad Taqi Bahjat meninggal dunia hari Ahad, 17 Mei 2009 akibat sakit dan akan dimakamkan di Haram Hazrat Ma'sumah (as) di kota suci Qom pada hari Selasa, 19 Mei 2009.

video

MEHDI KAROUBI KRITIK AHMADINEJAD

TEHERAN - Calon bagi merebut jawatan Presiden Iran, Hujjatul Islam Syeikh Mehdi Karoubi mengkritik tindakan Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad yang menafikan berlakunya pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi di Eropah atau 'Holocaust', kerana disifatkan hanya menguntungkan Israel.
''Ahmadinejad telah memberi pertolongan besar kepada Israel apabila menafikan 'Holocaust' kerana sekarang dunia telah bangkit menyokong Israel,'' kata Karroubi.
''Kenapa kita perlu bercakap mengenai 'Holocaust', apakah kita hendak mempertahankan Hitler?,'' kata Karoubi sambil menambah kenyataan Ahmadinejad itu telah mengukuhkan penyisihan Iran di peringkat antarabangsa.
Beliau yang merupakan bekas Speaker Parlimen yang menyokong pembaharuan, adalah antara sebilangan kecil ahli politik Iran yang sebelum ini berani mengkritik Ahmadinejad kerana mendakwa 'Holocaust' hanyalah sebuah 'mitos'.
Karoubi, 72, adalah antara tokoh sederhana bersama bekas Perdana Menteri, Mir Hossein Mousavi, yang merancang untuk mencabar Ahmadinejad dalam pilihan raya umum 12 Jun ini.
Beliau tewas dalam pilihan raya Presiden pada 2005 kepada Ahmadinejad dan awal bulan ini, telah mendaftarkan pencalonannya dengan menyatakan beliau 'bertanding untuk perubahan' dan menyifatkan pentadbiran Ahmadinejad sebagai 'tidak berdaya dan tidak layak' menguruskan Republik Islam itu.
Dalam tempoh empat tahun sebagai Presiden, Ahmadinejad menerima kritikan daripada Barat kerana sikap anti-Israel dan kesungguhannya meneruskan program tenaga nuklear yang dicurigai oleh kuasa dunia sebagai program membuat bom nuklear.

NAJIB ANGGAP ZAHRA MASOUMAH CONTOH REMAJA NEGARA

*Gambar : Zahra Masoumah.
PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata cabaran yang akan dihadapi Zahra Masoumah Abdul Halim, 18, untuk berenang merentasi Selat Inggeris harus dijadikan pendorong kepada generasi muda masa kini untuk terus tampil dengan pelbagai kejayaan luar biasa.
*Gambar : Zahra Masoumah dan adiknya, Salman.
Perdana Menteri berkata walaupun kebolehan mencipta kejayaan luar biasa tidak dimiliki oleh semua orang, namun ia adalah cabaran yang sebenarnya boleh diatasi jika aspek itu dijadikan amalan dan kebiasaan dalam kehidupan.
*Gambar : Zahra Masoumah dan adiknya, Salman.
Adalah menjadi harapan saya agar usaha Zahra Masoumah dijadikan pemangkin kepada cabaran kepada generasi muda. Kita juga mahukan remaja ini dijadikan contoh untuk remaja negara kita,” katanya semasa berucap pada majlis penyerahan bendera dan tajaan Ekspedisi Ekstrem 7 Benua 7 Nilai (EE7B7N) di Pejabat Perdana Menteri di sini.
*Gambar : Zahra dan adiknya, Salman.
Pada majlis itu, Zahra yang merupakan perenang EE7B7N fasa ketiga menerima Jalur Gemilang dan wang tajaan berjumlah RM155,000 untuk projek menyeberangi Selat Inggeris pada Julai nanti.

ISRAEL SERAH PETA BOM

BEIRUT - Israel telah menyerahkan kepada pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) peta lokasi di mana bom-bom berangkai digugurkan semasa perang dengan para pejuang Hizbullah di Lebanon pada 2006, kata Pasukan Interim PBB di Lebanon (UNIFIL).
PBB dan kerajaan Lebanon telah menggesa berulang kali kepada Israel untuk menyerahkan peta-peta lokasi di mana bom-bom itu digugurkan, yang kebanyakannya dilepaskan dalam tempoh 72 jam terakhir dalam pertempuran selama 33 hari itu.
"UNIFIL telah menerima daripada Pasukan Pertahanan Israel (IDF), data serangan teknikal dan peta berkaitan serangan bom berangkai yang digunakan oleh IDF sepanjang konflik di Lebanon pada 2006. Pakar teknikal daripada UNIFIL kini sedang memeriksa dan menilai data yang diterima itu," kata UNIFIL dalam satu kenyataan.
Jurucakap tentera Israel berkata, peta-peta itu menunjukkan lokasi-lokasi bom berangkai telah diberi kepada UNIFIL pada tahun lepas.
Jurucakap itu turut berkata, dia tidak dapat mengesahkan segera jika terdapat peta-peta baru yang diserahkan baru-baru ini.
Beribu-ribu orang awam terbunuh dan beberapa ratus yang lain cedera terutamanya di pendalaman selatan Lebanon akibat bom-bom yang ditinggalkan oleh tentera Zionis dalam perang 2006 itu.
Resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menghentikan serangan itu, meminta Israel menyerahkan kepada PBB semua peta-peta yang menunjukkan tempat periuk api di Lebanon.
"Peta-peta ini dan lokasi-lokasi itu sepatutnya diserahkan secepat mungkin sebaik sahaja resolusi antarabangsa dikeluarkan," kata Perdana Menteri Lebanon Fouad Siniora dalam satu kenyataan.
Peperangan itu tercetus apabila Hizbullah, yang disokong oleh pergerakan tentera dan politik, menahan dua tentera Israel dalam satu serbuan di Israel.

Wednesday, May 13, 2009

PELAN RAHSIA ISRAEL DI BAITULMAQDIS

*Gambar fail menunjukkan kawasan pekarangan Masjid al-Aqsa dalam kawasan Bandar Lama di Baitulmaqdis Timur.

BAITULMAQDIS - Israel mempunyai pelan rahsia yang merancang pelbagai pembinaan di sekeliling kawasan Bandar Lama di sini dengan binaan-binaan Yahudi bagi mengukuhkan pendudukan rejim Zionis di bandar berkenaan, lapor sebuah pertubuhan hak asasi.
"Matlamat mereka adalah untuk menyelaraskan binaan bagi peneroka-peneroka haram Yahudi di sepanjang lokasi bersejarah yang pernah disebut dalam kitab perjanjian lama (Taurat dan Zabur) di bandar itu," kata pengasas pertubuhan Ir Amim, Daniel Seidemann.
"Pelan tersebut turut melibatkan kemusnahan kediaman Palestin dan pemencilan kawasan bersejarah Islam di Baitulmaqdis," tambahnya.
Menurutnya, perancangan itu yang mendapat sokongan pejabat Datuk Bandar Baitulmaqdis dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, bertujuan untuk membina beberapa taman, laluan dan kawasan pelancongan di sekeliling Bandar Lama bagi mengubah kedudukan sedia ada bandar raya tersebut.
Sehingga kini, status Baitulmaqdis merupakan antara topik paling sensitif dalam konflik Timur Tengah sejak beberapa dekad lalu dengan Israel mendakwa bandar itu sebagai ibu kota miliknya tanpa pengiktirafan masyarakat antarabangsa.
Sebelum ini, kerajaan Palestin berharap kawasan Baitulmaqdis Timur yang memiliki ramai penduduk Arab tetapi diduduki Israel sejak lebih empat dekad lalu akan dijadikan ibu kota negara Palestin yang merdeka. Kawasan itu mengandungi banyak tempat suci kepada umat Islam, Kristian dan Yahudi.
"Pelan itu ditaja secara rahsia oleh pejabat Datuk Bandar dan Perdana Menteri tanpa melalui perbincangan atau pendedahan kepada umum," jelasnya.
Projek haram itu dijadual dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Baitulmaqdis dalam tempoh terdekat selepas ia menghantar laporan mengenainya kepada pejabat Perdana Menteri pada September tahun lalu.
"Dasar ini tidak ubah seperti mencurah petrol ke dalam api sekali gus mengubah pertelagahan yang selama ini bersifat nasional menjadi konflik agama," ujar Siedemann.
Apabila ditanya mengenai laporan tersebut, seorang jurucakap pejabat Perdana Menteri Israel mengulas : "Baitulmaqdis sudah menjadi ibu kota bangsa Yahudi selama 3,000 tahun dan akan kekal selama-lamanya sebagai ibu negara Israel."

475 DAFTAR CALON PRESIDEN IRAN

*Gambar : Dari atas kiri, ikut arah jam : Mahmoud Ahmadinejad, Mir Hossein Mousavi, Mohsen Rezai dan Mehdi Karoubi.

TEHERAN - Sebanyak 475 penduduk Iran sudah mendaftarkan diri sebagai calon presiden, kata Ketua Jawatankuasa Pilihan Raya Iran, Kamran Daneshjoo.
"Daripada 475 yang menandatangani dokumen sebagai calon, 433 merupakan lelaki manakala wanita sebanyak 42 orang," katanya lagi.
Empat calon utama dalam pilihan raya itu yang akan diadakan pada 12 Jun depan ialah Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad, bekas Perdana Menteri, Mir Hossein Mousavi, bekas Speaker Parlimen, Hujjatul Islam Syeikh Mehdi Karroubi dan bekas Ketua Pengawal Revolusi, Mohsen Rezai. Bagaimanapun, hanya sebahagian kecil calon dijangka dibenarkan bertanding. Majlis Pengawal Iran akan meneliti dan menyaring calon sebelum memutuskan siapa yang layak bertanding.
Pada 2005, majlis itu meluluskan hanya lapan calon daripada 1,014 orang yang mendaftarkan diri bertanding pada pilihan raya presiden. Kamran berkata, calon paling tua yang mendaftarkan diri ialah seorang lelaki berumur 86 tahun manakala seorang remaja berusia 19 tahun merupakan calon paling muda.
Berdasarkan perlembagaan Iran, calon-calon bertanding perlu mempunyai latar belakang politik dan agama, memegang kerakyatan Iran dan percaya terhadap prinsip Republik Islam serta agama rasmi negara itu. Calon-calon juga perlu berumur sekurang-kurangnya 18 tahun tetapi had umur lanjutan tidak ditetapkan. Nama-nama calon yang berjaya bertanding akan diumumkan pada 20 dan 21 Mei depan.

ROXANA GEMBIRA BERTEMU KELUARGA

*Gambar : Roxana Saberi dan bapanya melambaikan tangan ke arah jurugambar di luar rumah mereka di Teheran.

TEHERAN - Wartawan Amerika Syarikat, Roxana Saberi menyatakan dia berasa gembira setelah dibebaskan dan disatukan dengan keluarganya. Bercakap kepada sekumpulan wartawan di Teheran buat kali pertama sejak pembebasannya, Roxana masih belum mempunyai rancangan, apa yang hendak dilakukannya buat masa ini. Katanya, dia hanya mahu meluangkan masa bersama keluarganya.
"Saya sangat gembira kerana disatukan kembali bersama ibu dan bapa. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang mengenali atau tidak mengenali saya serta membantu pembebasan saya," katanya.
Bapa Roxana, Reza Saberi berkata, mereka berhasrat untuk pulang ke Amerika Syarikat secepat mungkin.
Washington sebelum ini menyelar pertuduhan mengintip yang dikenakan terhadap Roxana dan berulang kali meminta wanita berketurunan Iran itu dibebaskan. Kes berkenaan menjadi ujian terbaru terhadap hubungan Amerika-Iran ketika Presiden Barack Obama membuat tawaran dialog setelah berdekad-dekad hubungan diplomatik antara kedua-dua negara terputus.
Roxana dibebaskan selepas sebuah mahkamah rayuan mengurangkan hukuman penjara lapan tahun yang dijatuhi terhadapnya dikurangkan kepada hukuman penjara tertangguh dua tahun.
Bekas ratu cantik North Dakota 1997 itu berpindah ke Iran enam tahun lalu dan bekerja sebagai wartawan bebas untuk beberapa organisasi termasuk NPR dan Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Tuesday, May 12, 2009

MICSB NAFI CUBA PROMOSI PRODUK 'BIR HALAL'

PUTRAJAYA - Malaysian Iranian Corporation Sdn. Bhd. (MICSB), pemegang hak eksklusif pengedaran minuman malt tanpa alkohol jenama 'Istak' dari Iran menafikan syarikat itu cuba mempromosi produknya sebagai 'bir halal'.
Pengarah Eksekutifnya, Azizi Ahmad berkata, pihaknya menyedari istilah 'bir' mempunyai konotasi negatif di kalangan masyarakat Islam meskipun ia berasal daripada perkataan Jerman iaitu 'bavarian malt', merujuk kepada semua jenis minuman berasaskan bijirin barli.
''Minuman malt jenama Istak telah memperoleh sijil halal daripada kerajaan Iran sejak 10 tahun lalu dan seperti mana kita tahu Republik Islam itu mempunyai syarat 'halal dan tayyibah' yang ketat termasuk melibatkan produk untuk dieskport. Malah Pameran Halal Antarabangsa 2009 (MIHAS 2009) mempunyai peraturan ketat membabitkan soal halal, kalau meragukan sudah tentu syarikat kami tidak dibenarkan menyertai pameran itu," katanya lagi.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin baru-baru ini yang tidak bersetuju dengan penggunaan istilah 'bir halal' kerana dikhuatiri akan mengelirukan masyarakat Islam.
Katanya, PPIM menerima aduan daripada pengguna Islam mengenai 'bir halal' yang dijual di MIHAS 2009 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC) di Kuala Lumpur minggu lalu dan mereka berasa kurang senang dengan istilah berkenaan.
MICSB yang merupakan pengedar tunggal produk 'Istak' bagi rantau Asia-Pasifik sebelum ini dilaporkan bercadang membuat pelaburan hampir RM50 juta bagi membina kilang mengeluarkan minuman malt tanpa alkohol di negara ini.
Menurut Azizi, pihaknya akan segera menghubungi PPIM bagi menjelaskan perkara tersebut supaya orang ramai tidak terkeliru. Ini kerana katanya, MICSB tidak pernah mengeluarkan sebarang risalah dengan menggunakan istilah 'bir halal' sepanjang pameran MIHAS sebaliknya menyebut sebagai 'minuman malt'.
Dalam hal ini, pihaknya mengakui terdapat keraguan di kalangan umat Islam terhadap minuman malt yang dikeluarkan oleh syarikat minuman keras memandangkan sebahagian besar produk mereka adalah arak.
''Sedangkan produk Istak tidak mengamalkan proses penapaian yang biasa dilakukan bagi menghasilkan arak tetapi menggunakan kaedah yang halal daripada awal hingga akhir. Sekiranya minuman malt Istak telah luput tarikhnya sekalipun, ia tidak akan berubah sifat menjadi arak dan memabukkan sebaliknya hanya berubah warna dan rasa," katanya.
Tambah beliau, penyertaan MICSB dalam MIHAS ternyata mendapat sambutan termasuk di kalangan bukan Islam yang mendapati minuman malt tanpa alkohol mampu menjadi alternatif bagi mereka yang menghadapi masalah ketagihan alkohol.
''Dari segi corak, warna botol dan tin minuman malt 'Istak' yang dikatakan menyerupai bir, itu hanyalah satu persepsi kerana kami menggunakan bentuk botol dan tin yang standard bagi semua minuman malt dan cola. Produk kami mempunyai 10 warna yang mewakili perisa minuman malt yang berbeza, kalau kami gunakan warna putih sekali pun, syarikat bir pun ada menggunakan warna putih, jadi kami hendak guna warna apa?," katanya.

ISTILAH 'BIR HALAL' KELIRUKAN UMAT ISLAM

KUALA LUMPUR - Penggunaan istilah 'bir halal' bukan sahaja mengelirukan, malah menyakitkan hati umat Islam, kata Timbalan Presiden Persatuan Ulama Malaysia, Salleh Ahmad. Menurutnya, penggunaan istilah tersebut memberi maksud yang buruk dan boleh menimbulkan syak serta prasangka buruk bagi umat Islam yang meminumnya.
''Pihak berwajib harus mengambil tindakan segera agar isu tersebut tidak dimanipulasikan oleh pihak yang hanya memikirkan kepentingan untuk diri sendiri,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaei Ahmad berkata, istilah 'bir' tidak wajar digunakan kerana ia sinonim dengan benda yang memabukkan.
"Istilah 'bir halal' tidak boleh digunakan kerana ia seolah-olah memberi gambaran bahawa umat Islam menggemari arak,'' katanya.
Beliau diminta mengulas kenyataan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang tidak bersetuju dengan penggunaan istilah 'bir' kerana dikhuatiri mengelirukan masyarakat Islam.
Baru-baru ini, 'Istak', sejenis minuman malt yang disahkan 100 peratus halal tanpa alkohol diperkenalkan di Pameran Halal Antarabangsa 2009 (Mihas 2009).
Sementara itu, Pensyarah Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Petaling Jaya, Dr. Azhar Yaakob berkata, istilah 'bir' memang tidak sesuai digunakan bagi benda atau makanan yang halal.
''Perkara ini bukan sahaja mengelirukan tetapi dalam ajaran Islam itu sendiri melarang kita daripada menggunakan istilah-istilah yang tidak baik,'' katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Shaani Abdullah menjelaskan, penggunaan istilah tersebut tidak seharusnya dipandang ringan.
"Penggunaan istilah itu seolah-olah salah satu cara halus untuk menghakis nilai dan kesucian Islam itu sendiri," katanya.

AKHIRNYA ROXANA SABERI DIBEBASKAN

TEHERAN - Wartawan Amerika Syarikat kelahiran Iran, Roxana Saberi akan dibebaskan selepas sebuah mahkamah Iran mengurangkan hukuman penjara ke atasnya atas kesalahan mengintip.
Roxana yang turut memiliki kerakyatan Iran, dijatuhkan hukuman lapan tahun penjara pada bulan lalu oleh mahkamah revolusi atas dakwaan mengintip bagi pihak Amerika Syarikat, akan dibebaskan, kata peguam belanya, Saleh Nikbakht.
"Keputusan mahkamah sebelum ini telah terbatal. Hukuman itu sudah ditukar kepada hukuman penjara dua tahun penjara yang ditangguhkan dan dia akan keluar dari penjara dalam masa satu setengah jam," kata Saleh lagi.
Keputusan itu dibuat sehari selepas sebuah mahkamah Teheran mendengar rayuan Roxana yang ditahan pada Januari lalu kerana dilaporkan membeli alkohol, iaitu satu kesalahan di Republik Islam tersebut.
Kes berkenaan mencetuskan kebimbangan di Washington, yang menafikan tuduhan intipan ke atas wartawan wanita berusia 32 tahun dan menyifatkan ia sebagai tidak berasas.
Roxana yang juga bekas ratu cantik Amerika Syarikat, melancarkan mogok lapar sejak 21 April lalu sebagai membantah hukuman yang dikenakan ke atasnya, dengan hanya minum air dan air gula, namun terpaksa dibawa ke klinik penjara kerana kesihatannya terjejas.
Hukuman ke atasnya adalah yang paling keras pernah dikenakan ke atas seseorang yang memegang dua kerakyatan di Iran, dan ia berlaku selang beberapa minggu selepas Presiden AS, Barack Obama mengusulkan untuk menjernihkan hubungan antara kedua-dua negara.
Iran yang tidak mengiktiraf kerakyatan dua negara, mendakwa Roxana bekerja secara haram selepas kad medianya ditarik balik pada 2006. Roxana yang juga mempunyai darah Jepun, pernah bekerja untuk Radio Awam Kebangsaan AS, BBC dan Fox News, menetap di Iran sejak enam tahun lalu.

OBAMA DITAWAR BERUCAP DI UNIVERSITI AL-AZHAR

KAHERAH - Ulama dan pemimpin tertinggi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, Syeikh Mohammed Sayyed At-Tantawi menawarkan pusat keilmuan terunggul Islam, Universiti al-Azhar di sini sebagai tempat untuk Presiden Amerika Syarikat menyampaikan ucapan sulungnya kepada umat Islam ketika memulakan lawatannya ke dunia Islam bulan depan.
Kata Tantawi, sebagai pusat ketamadunan Islam dan berhaluan sederhana, al-Azhar adalah lokasi terbaik bagi Obama menyampaikan ucapannya kepada umat Islam seluruh dunia.
Obama yang berjanji untuk merapatkan hubungan antara Amerika dengan dunia Islam melalui dialog merancang akan menyampaikan ucapannya kepada umat Islam pada 4 Jun ini.
Baru-baru ini, White House mengumumkan bahawa Obama akan memulakan usaha meningkatkan keyakinan dan hubungan antara Amerika Syarikat dan umat Islam, tetapi tidak menyebut kenapa Mesir menjadi pilihan bagi menyampaikan ucapannya itu.

Monday, May 11, 2009

BIR HALAL KELIRUKAN MASYARAKAT ISLAM

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak bersetuju dengan penggunaan istilah 'bir halal' kerana istilah tersebut dikhuatiri akan mengelirukan masyarakat Islam.
Pengarah Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, mereka telah menerima aduan daripada pengguna Islam mengenai 'bir halal' yang dijual di Pameran Halal Antarabangsa 2009 (Mihas 2009).
"Pengguna Islam berasa kurang selesa tentang perkara ini kerana istilah 'bir halal' yang digunakan agak keterlaluan. Kami mencadangkan satu garis panduan pengiklanan yang lebih ketat mengenai penjenamaan makanan dan juga minuman yang boleh menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini,’’ katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Noor Nirwandy, syarikat yang bertanggungjawab mengedarkan 'bir halal' tersebut perlu dilarang menggunakan penjenamaan 'bir halal' untuk tujuan promosi di negara ini.

IKHWANUL MUSLIMIN KRITIK OBAMA

KAHERAH - Pembangkang utama Mesir, Ikhwanul Muslimin menyifatkan rangka lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sebagai 'tidak berguna' kecuali Amerika menunjukkan perubahan dramatik dalam polisinya terhadap negara Arab dan dunia Islam.
White House baru-baru ini mengumumkan bahawa Obama akan berucap di Mesir mengenai hubungan Amerika dengan dunia Islam pada 4 Jun ini dalam usaha beliau untuk memulihkan ketegangan antara negara kuasa besar dunia itu dengan negara-negara Islam.
Timbalan Ketua Ikhwanul Muslimin, Mohammed Habib bagaimanapun sangsi dengan niat Obama, berdasarkan ulasan beliau yang disertakan dalam laman web kumpulan itu.
"Pentadbiran Amerika Syarikat sedang cuba merekrut negara Arab untuk melaksanakan agenda lamanya yang memihak kepada entiti Zionis," tegas Habib merujuk kepada hubungan erat Amerika dengan Israel.
Sejak beberapa tahun lalu, kerajaan Mesir telah mengambil langkah untuk mengekang pengaruh Ikhwanul Muslimin dengan memenjarakan beratus-ratus anggotanya, selain larangan daripada melibatkan diri dengan politik secara rasmi.

ROXANA : PENJARA MUNGKIN DIKURANG

TEHERAN - Seorang peguam kepada wartawan Amerika Syarikat, Roxana Saberi optimis, mahkamah rayuan akan mengurangkan tempoh penjara lapan tahun wartawan berkenaan atas dakwaan mengintip untuk Amerika Syarikat.
Peguam Roxana, 32, bercakap kepada pemberita selepas sesi perbicaraan tertutup selama lima jam dijalankan. Beliau berkata, mahkamah membenarkannya mempertahankan Roxana dan menjangka mahkamah akan mengeluarkan perintah dalam masa beberapa hari lagi.
''Saya berharap dan optimis bahawa akan berlaku perubahan luar biasa kepada keputusan mahkamah sebelum ini. Saya dan rakan-rakan juga dibenar mempertahankan Roxana dalam suasana positif,'' kata Abdolsamad Khorramshahi di luar mahkamah.
Terdahulu, jurucakap badan kehakiman Iran, Ali Reza Jamshidi berkata, mahkamah rayuan akan bersidang, namun masih belum jelas sama ada mahkamah akan mengeluarkan perintah.
''Saya percaya perintah oleh mahkamah rayuan bersifat adil dan dibuat berdasarkan undang-undang,'' katanya.

Friday, May 8, 2009

ISRAEL TIDAK MAHU MINTA MAAF

NEW YORK - Presiden Israel, Shimon Peres menyifatkan siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuduh Israel bertindak membabi-buta ketika menyerang Gaza sebagai 'melampau' dan menyatakan negara Yahudi itu sekali-kali tidak akan meminta maaf kerana mempertahankan penduduknya dari serangan roket Hamas.
Beliau mengakui tentera Israel ada melakukan kesalahan, seperti yang dilakukan oleh semua tentera semasa perang. Peres bagaimanapun menyatakan bahawa peluang damai Asia Barat 'semakin meningkat' selepas pertemuan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama baru-baru ini.
Siasatan PBB yang memberi tumpuan kepada sembilan serangan ke atas sekolah milik badan dunia itu, sebuah klinik kesihatan dan ibu pejabatnya di Gaza, mendapati senjata Israel bertanggungjawab terhadap tujuh fasiliti.
PBB menuduh Israel sebagai mengambil sikap tidak peduli dan semberono selain menegaskan bahawa PBB menuntut pampasan atas kerosakan harta benda dan mereka yang terkorban serta terbunuh.

SYARIKAT IRAN MAHU BUKA KILANG BIR TANPA ALKOHOL DI MALAYSIA

*Gambar : Pengunjung Mihas mencuba 'Istak', minuman bir tanpa alkohol keluaran Arpanoosh di Pameran Halal Antarabangsa 2009 di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Malaysian Iranian Corporation Sdn. Bhd. (MICSB), pemegang hak eksklusif bagi pengedaran minuman bir tanpa alkohol jenama 'Istak' dari Iran, bakal membuka sebuah kilang di negara ini dengan pelaburan hampir RM50 juta.
Pengarah Urusan MICSB, Mahdi Bagherian berkata, pelaburan itu merupakan langkah pertama untuk produknya meneroka pasaran Malaysia dan Asia Tenggara.
Tiga lokasi yang dicadangkan bagi pembinaan kilang itu ialah di Pelabuhan Klang, Melaka dan Johor Bahru, katanya.
"Minuman tanpa alkohol atau halal ini merupakan produk terbaru yang dipasarkan ke negara ini malah permintaan terhadapnya amat menggalakkan terutamanya bagi pelanggan bukan Islam dan penggemar minuman alkohol yang mahu mencari alternatif lain," katanya lagi.
Istak dihasilkan melalui pemilihan malt (bijirin biasanya barli yang diperam) paling berkualiti dan dikeluarkan menerusi syarikat yang berpengkalan di Iran, Arpanoosh Industrial Co. yang berpangkalan di Iran.
Syarikat dengan keupayaan pengeluaran 35,000 botol sejam itu memiliki barisan pengeluaran terbesar di samping keupayaan teknologi mesin paling terkini dari Jerman.
Menurut Bagherian, produk tersebut masih baru di pasaran tempatan namun produk tersebut akan dijual di pasar raya besar, pasar raya dan hotel-hotel di seluruh negara.
Katanya, ketika ini syarikat yang beroperasi di Putrajaya itu mengimport kira-kira 20 buah kontena yang mengandungi 1.2 juta botol minuman Istak untuk dipasarkan ke Malaysia.
Melalui pembinaan kilang yang bakal dibina itu, beliau memberitahu, keupayaan untuk mengeluarkan minuman itu boleh mencapai dua kali ganda jika penggunaan teknologi sama seperti di Iran diguna di negara ini.
"Jenama 'Istak' ini bukan jenama asing di luar negara kerana Arpanoosh telah mengeksport minuman itu ke Jerman, Afghanistan, Palestin, Lebanon, Azerbaijan dan Australia," katanya.
Jika perancangan untuk membuka kilang baru di negara ini menjadi kenyataan, 'Istak' akan dieksport ke Indonesia, Thailand, Singapura manakala di Vietnam jenama minuman tersebut telah pun dijual baru-baru ini.
Bagi mengukuhkan jenama itu di rantau ini, MICSB telah menaja sebuah pasukan rali-SR Motorsports bagi meningkatkan kesedaran jenama itu di kalangan pengguna, selain meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna remaja tentang kebaikan minuman tanpa alkohol di dalam sukan.
Selain itu, minuman itu didakwa baik untuk kesihatan termasuk mampu mengelakkan sakit buah pinggang, mengurangkan tekanan, membina tenaga dan mampu mengurangkan kolesterol.

MINUMAN MALT TANPA ALKOHOL DI MIHAS

KUALA LUMPUR - Malt adalah salah satu ramuan dalam pembuatan minuman beralkohol. Biarpun begitu, anda berpeluang untuk menikmati 'Istak', minuman malt yang disahkan 100 peratus halal tanpa alkohol di Pameran Halal Antarabangsa 2009 (Mihas 2009).
Ketua Pengarah Malaysian Iranian Corporation (MIC) Sdn. Bhd., Mahdi Bagherian berkata, minuman malt yang dibuat di Iran itu mempunyai 10 perisa termasuk perisa asli malt, epal, mangga, nenas, lemon, buah pear, strawberi dan delima.
Menurutnya, "Kami berbangga kerana syarikat ini merupakan satu-satunya wakil tunggal eksklusif di Asia Pasifik yang bertanggungjawab memasarkan 'Istak' yang dihasilkan oleh Arpanoosh Industrial Company, syarikat pembuatan Iran. 'Istak' diproses di Iran menggunakan Bavarian malt dan teknologi terkini dari Jerman."
Sementara itu, Ketua Eksekutifnya, Qutren Nada Ahmad berkata, Malaysia dipilih sebagai hab pemasaran antarabangsa bagi memasarkan 'Istak'. Malaysia ialah sebuah negara Islam moden yang mempunyai lebih 13 juta penduduk Islam. Kami melihat Malaysia sebagai destinasi terbaik untuk memasarkan 'Istak' ke negara jiran berhampiran termasuk Brunei dan Indonesia. Selain itu, konsep halal juga diterima oleh semua Muslim dan bukan Muslim di negara ini," katanya.
Qutren Nada menambah, konsep pemasaran yang dibawa 'Istak' adalah 'Drink & Drive' yang mana pemandu tidak perlu risau untuk memandu sekiranya meminumnya kerana ia tidak memabukkan.
"Malah, 'Istak' kaya dengan vitamin, dapat mencegah pembentukan batu karang, mengurangkan tekanan, membina tenaga, membakar lemak dan mengurangkan 10 hingga 15 peratus kolesterol dalam darah," jelasnya.
Sehubungan itu, MIC akan menaja pasukan rali SR Motorsport dalam Malaysian Rally Championship yang dijadualkan berlangsung di Perlis selama dua hari bermula 30 Mei ini sebagai usaha untuk meningkatkan publisiti 'Istak'.
Mihas 2009 berjaya menarik penyertaan 30 buah negara termasuk Iran, China, Palestin, Indonesia, Singapura, Thailand, Mesir , Afrika Selatan, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Tuesday, May 5, 2009

PEMBUNUHAN GAZA ADALAH PERANG SUCI YAHUDI

*Gambar : Seorang kanak-kanak Pelestin duduk di atas runtuhan bangunan setelah ia musnah dibedil tentera Israel di Gaza Januari lalu.

BAITULMAQDIS - Paderi-paderi Yahudi memberitahu anggota tentera Israel yang terlibat dalam serangan ke atas Gaza pada Januari lalu bahawa peperangan tersebut adalah perang suci agama untuk menentang orang bukan Yahudi, demikian menurut kenyataan seorang pemerintah tentera.
"Kami orang Yahudi, Tuhan membawa kami kembali ke bumi ini (Palestin) dan kini kami perlu memerangi dan mengusir orang-orang bukan Yahudi yang cuba merosakkan pegangan kami ke atas tanah suci ini," katanya.
Kenyataan oleh pegawai tentera yang menggunakan nama samaran Ram itu disiarkan oleh akhbar Haaretz pada hari kedua ia menyiarkan beberapa pendedahan yang menjerumuskan tentera Israel dalam kontroversi.
Maklumat itu dibocorkan ketika satu pertemuan anggota tentera pada 13 Februari untuk bersama-sama berkongsi pengalaman mereka dalam perang Gaza. Beberapa veteran perang itu memberitahu, tentera Israel dengan sengaja membunuh orang awam dan kebencian terhadap penduduk Palestin tersemat dalam hati askar-askar rejim Zionis tanpa mengira pangkat.
Kata Ram pula, setiap anggota pasukannya diberikan kitab suci Yahudi dan mereka diberitahu perang ke atas Gaza itu adalah perang suci. Kenyataannya itu bertentangan dengan dasar kerajaan Israel sebelum ini bahawa perang terhadap Palestin bermotifkan politik dan keselamatan. "Kami diberitahu supaya membunuh setiap orang yang kami temui di Gaza, setiap penduduk wilayah itu ialah pengganas," kata seorang lagi anggota tentera.

BEKAS PRESIDEN ISRAEL TIDAK MENGAKU BERSALAH

*Gambar : Katsav (kiri) dan isterinya, Gila berjalan sebelum sidang akhbar diadakan di Kiryat Malachi, Israel pada 12 Mac lalu.

BAITULMAQDIS - Bekas Presiden Israel, Moshe Katsav baru-baru ini didakwa merogol dan melakukan beberapa kesalahan seksual lain selepas beliau membatalkan satu perjanjian pengakuan bersalah bagi mengelak dihukum penjara.
Katsav didakwa merogol seorang wanita yang pernah bekerja dengannya selain terlibat dalam jenayah seks dengan dua lagi bekas kakitangannya. Pendakwaan itu difailkan di sebuah mahkamah daerah Tel Aviv. Peguam Negara, Meni Mazuz memberitahu Katsav dua minggu lalu bahawa beliau akan didakwa.
Beberapa hari kemudian, Katsav menyampaikan ucapan selama dua setengah jam menerusi televisyen di mana beliau menafikan semua tuduhan itu. Wanita-wanita yang terlibat dalam kes rogol itu bekerja dengan Katsav ketika beliau menjadi Menteri Pelancongan.
Katsav dituduh memaksa seorang daripada wanita itu baring di lantai pejabatnya di Kementerian Pelancongan. Menurut kertas pendakwaan, beliau menarik seluar dalam perempuan itu dan merogolnya. Katsav kemudian memanggil wanita itu ke sebuah hotel di Baitulmaqdis dengan alasan untuk meneliti kertas kerja tetapi beliau merogolnya di katil, kata dokumen pendakwaan tersebut.
Bekas presiden itu yang berumur 63 tahun meletakkan jawatan dua minggu sebelum penggal pemerintahannya selama tujuh tahun berakhir pada 2007. Setakat ini, tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan.
Dakwaan yang dikenakan terhadap Katsav adalah yang paling serius pernah dikemukakan terhadap seorang pemimpin Israel. Katsav kemudian digantikan Simon Peres yang masih menjadi Presiden Israel sehingga kini.