Friday, October 31, 2008

KOTA QOM PERINGATI KELAHIRAN SAYYIDAH FATHIMAH MAKSUMAH (AS)

Kota Qom di Iran hari ini (31 Oktober 2008 bersamaan 1 Zulqa'edah 1429) memperingati tahun kelahiran wanita suci Sayyidah Fathimah Masumah (as), adik kepada Imam Ridha (as). Upacara khusus sempena kelahiran Sayidah Fathimah Maksumah (as) telah diadakan di makam sucinya yang terletak di kota suci Qom.
Peringatan itu sekaligus menandakan bermulanya sepuluh hari 'penuh barakah dan karamah'. 10 hari itu dikira dari hari lahir Sayyidah Fathimah Maksumah (as) sehingga tarikh 11 Zulqa'edah iaitu hari kelahiran saudaranya, Imam kelapan dalam mazhab Ahlul Bait, Imam Ali ar-Ridha (as).
Beberapa orang penceramah dari kalangan para ulama dan pembaca puisi Ahlul Bait turut memeriahkan peringatan ini dengan mengungkapkan keutamaan dan fadhilat Sayyidah Fathimah Maksumah (as).

KRISIS EKONOMI DUNIA TIDAK PENGARUHI PERDAGANGAN IRAN

Timbalan Menteri Perdagangan dan Ketua Pertubuhan Promosi Perdagangan Iran, Mehdi Ghazanfari menyatakan, krisis ekonomi dunia ketika ini tidak memberi kesan terhadap eksport dan perdagangan Iran. Menurutnya, pelbagai kaedah dilakukan untuk turut melibatkan Iran termasuk ancaman, namun sehingga kini krisis tersebut belum mampu mempengaruhi eksport dan perdagangan Iran.
Sewaktu menyentuh tentang harga minyak dunia yang semakin menurun, Mehdi menyatakan bahawa ianya bakal memberi kesan terhadap pendapatan dan kuasa membeli. Katanya lagi, akibat krisis ekonomi dunia itu juga, ramai para pelabur asing yang memiliki perancangan untuk menanam modal di Iran. Ini disebabkan oleh keyakinan mereka terhadap bank-bank Iran yang disifatkan sebagai lebih selamat.

PUNCA YIGAL AMIR BUNUH BEKAS PM ISRAEL

BAITULMAQDIS - Pembunuh bekas Perdana Menteri Israel Yitzhak Rabin, Yigal Amir menyatakan dia bertindak membunuhnya selepas mendengar amaran daripada tiga bekas jeneral tentera.
Rabin dibunuh oleh Amir dalam satu perhimpunan keamanan pada 4 November 1995 di Israel.
Bagaimanapun, dia mendedahkan punca dia bertindak membunuh Rabin dalam satu temu ramah yang dijangka disiarkan di televisyen negara berkenaan.
Amir menyatakan dia bertindak membunuh Rabin selepas mendengar komen daripada tiga bekas jeneral tentera Israel iaitu Ariel Sharon, Rehavam Zeevi dan Rafael Eitan. Menurutnya, ketiga-tiga jeneral itu menyatakan perjanjian damai Rabin dengan Palestin akan membawa malapetaka kepada Israel.
Amir kemudian menganggap tindakan untuk membunuh Rabin adalah sesuatu yang boleh dilakukan setelah melihat beliau dikawal oleh seorang pengawal peribadi. Selepas Rabin dibunuh, kebanyakan penduduk di Israel menyalahkan ahli-ahli politik kerana membuat kenyataan yang boleh mencetuskan satu pembunuhan dilakukan.
Amir menyatakan, dia sedar membunuh Rabin merupakan satu perbuatan yang mudah ketika menghadiri satu majlis perkahwinan anak perempuan seorang pemimpin agama Yahudi.
"Jika saya boleh berjabat tangan dengan beliau, saya mungkin menembaknya dengan mudah," kata Amir yang dipenjarakan seumur umur kerana membunuh Rabin.

Thursday, October 30, 2008

AHMADINEJAD : DUNIA SUDAH NAZAK DENGAN SISTEM MATERIALISME BARAT

Presiden Republik Islam Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad mengatakan, seluruh dunia sedang giat mencari dan mengkaji sistem baru dan situasi ini merupakan kesempatan terbaik untuk Iran memperkenalkan Islam dan Revolusi Islam Iran. Dalam pertemuannya dengan para ulama di Wilayah Lorestan, beliau menegaskan, "Dunia sudah nazak dengan sistem Barat bahkan kebencian terhadap sistem ini mulai merebak ke seluruh pelusuk dunia."
Tambahnya lagi, "Ini adalah kesempatan terbaik untuk memperkenalkan ajaran suci Islam kerana pintu kesedaran masyarakat dunia telah terbuka. Sudah sampai masanya para ulama menggemblengkan tenaga dan usaha mereka dalam melaksanakan tugas suci untuk memperkenalkan Islam kepada dunia."
Menurutnya lagi, sistem materialisme dunia kini menemui jalan buntu. Kegagalan sistem itu adalah berpunca dari sikap menjauhkan diri dari ajaran Ilahi.

AHMADINEJAD : AMERIKA CUBA GLOBALKAN KRISIS EKONOMI NEGARANYA







Presiden Republik Islam Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad menyifatkan Amerika Syarikat sebagai punca krisis ekonomi di seluruh dunia ketika ini. "Krisis ini terjadi akibat tindakan Amerika dan negara-negara Barat selama ini ke atas negara-negara lemah, sikap menjauhi ajaran Tuhan dan pengabaian akhlak. Sekarang ini yang berlaku sebenarnya bukan krisis ekonomi global tetapi adalah krisis ekonomi Amerika Syarikat. Di Amerika kini terdapat 80 juta orang rakyatnya yang hidup di bawah paras kemiskinan," kata Ahmadinejad di kota Khorramabad, Wilayah Larestan, di bahagian barat Iran.
"Setelah kegagalan politik di Iraq dan Afghanistan, dasar-dasar luar Amerika yang mengelirukan turut memberi kesan terhadap sistem ekonomi mereka sendiri," kata Ahmadinejad dalam pidato yang disiarkan secara langsung oleh televisyen Iran ke seluruh negara.
Katanya, "Hasrat Amerika dan negara-negara Barat atas dasar hegemoni telah menyebabkan terjadinya krisis ekonomi dunia ketika ini. Amerika adalah punca segala kerosakan di dunia dan tidak ada jalan keluar dari semua masalah tersebut kecuali kembali ke jalan spiritual, akhlak dan keadilan."
Beliau turut mengingatkan kepada negara-negara membangun bahawa Amerika kemungkinan besar akan berusaha untuk menggantikan kerugian besar ekonominya dengan melaksanakan dasar-dasar imperialisme baru.
Tegasnya lagi, "Iran akan terus berusaha ke arah menghentikan agenda jahat Amerika dan negara-negara Barat untuk mengekspoitasi negara-negara lain untuk menyelesaikan krisis ekonomi yang mereka hadapi."
Beliau turut mengecam Bank Dunia yang menolak permohonan pinjaman dari negara-negara dunia ketiga, padahal ia dengan mudah menyerahkan bantuan kewangan yang amat besar kepada negara-negara Barat yang telah maju.

ISRAEL GAGAL TARIK MINAT PENDATANG YAHUDI BARU

Jabatan Pengurusan Pendatang regim Zionis Israel mengakui kegagalan regim tersebut dalam menarik imigran baru Yahudi untuk datang ke Israel. Menurut jabatan itu, akibat meningkatnya krisis ekonomi, promosi kerajaan Israel untuk menarik lebih kurang 15,000 orang imigran Yahudi sejak setahun yang lalu tidak membuahkan hasil yang memuaskan.
Para pegawai regim Zionis Israel menyifatkan krisis ekonomi dan meningkatnya keganasan di kawasan-kawasan yang diduduki menjadi punca utama menurunnya kedatangan para imigran di samping makin bertambahnya penghijrahan warga Yahudi ke luar negara.

KEDUTAAN AMERIKA DI DAMSYIK, SYRIA DITUTUP

*Beberapa anggota polis berdiri berdekatan dengan Kedutaan Amerika Syarikat di Damsyik, Syria.

DAMSYIK – Bangunan kedutaan Amerika Syarikat di Syria terpaksa ditutup setelah beribu-ribu penduduk menyertai tunjuk perasaan di Damsyik bagi membantah serangan Amerika di sebuah kampung. Para penunjuk perasaan itu terdiri daripada pekerja awam dan pelajar. Mereka mengibar bendera Syria serta membawa kain rentang yang mempunyai slogan seperti 'tidak kepada keganasan Amerika'. Tunjuk perasaan itu berlangsung selama beberapa jam tetapi tidak ada keganasan dilaporkan berlaku.
Dalam kejadian baru-baru ini, sebanyak lapan orang awam termasuk kanak-kanak terbunuh selepas sebuah helikopter Amerika menggempur sebuah kawasan perkampungan di Syria. Bagaimanapun, tentera Amerika mempertahankan tindakan itu kerana ia mendakwa serangan tersebut bertujuan untuk menghentikan penyeludupan senjata. Kedutaan Amerika mengumumkan dalam laman webnya bahawa kedutaan itu ditutup kerana kemungkinan satu tunjuk perasaan diadakan. Ia juga memberi amaran kepada rakyat Amerika supaya menjauhi kawasan kedutaan.

Wednesday, October 29, 2008

SYRIA ARAH SEKOLAH DAN PUSAT KEBUDAYAAN AMERIKA SYARIKAT DITUTUP

*Seorang anggota polis Syria berdiri di hadapan sebuah sekolah milik kerajaan Amerika Syarikat di Damsyik, Syria pada 28 Oktober 2008.

Damsyik - Kerajaan Syria telah mengarahkan sebuah sekolah dan sebuah pusat kebudayaan Amerika Syarikat di sini ditutup sebagai tindak balas terhadap serangan tentera Amerika ke atas sebuah perkampungan di wilayah negara itu berhampiran sempadan Iraq baru-baru ini.
Syria juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan bagi mengelakkan berulang serangan tersebut dan mendesak Amerika supaya bertanggungjawab.
Amerika enggan mengesahkan atau menafikan secara rasmi penglibatan tenteranya dalam serangan di kawasan tersebut, namun beberapa penduduk dan pegawai Syria menyatakan askar Amerika dibawa dengan helikopter sebelum mendarat dan membunuh lapan orang awam.
Di luar 'Sekolah Komuniti Damsyik' atau lebih popular sebagai 'Sekolah Amerika' di Maliki dan kawasan berdekatan, segalanya berjalan lancar dengan pemandu menunggu untuk mengambil pelajar asing dan tempatan.
Beberapa orang pelajar dan guru warga asing menyatakan bahawa mereka tidak tahu mengenai arahan penutupan tersebut dan enggan mengulas lanjut.
Tiada tanda-tanda kawalan keselamatan lebih ketat dan hanya kontinjen polis biasa seramai tiga anggota berkawal di pintu pagar sekolah tersebut.
Seorang pekerja tempatan di pusat kebudayaan Amerika itu juga menyatakan bahawa kakitangan akan tetap hadir kerana mereka tidak mendapat sebarang arahan berbuat demikian. Sekolah dan pusat kebudayaan yang mempunyai kaitan dengan Kedutaan Amerika itu menyediakan kemudahan kepada komuniti kecil warga Amerika di Syria dan warga asing lain.
Kabinet Syria mengutuk serangan tersebut dan menyifatkan ia sebagai 'tindakan pengganas'.
"Jenayah kejam ini merupakan kemuncak kepada keganasan yang diamalkan oleh Amerika," demikian menurut sebuah kenyataan Kabinet.
Keputusan mengarahkan sekolah dan pusat kebudayaan Amerika itu ditutup dibuat dalam mesyuarat Kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri, Naji Otaro.

JALILI : LEBANON ADALAH SIMBOL PERJUANGAN

Setiausaha Majlis Tertinggi Keselamatan Nasional Iran, Sa'eed Jalili memuji peranan yang dimainkan oleh mantan Presiden Lebanon, Emile Lahoud dalam mendukung perjuangan rakyat Lebanon dan pendiriannya yang berani dalam menghadapi musuh. Beliau berkata demikian sewaktu bertemu dengan mantan Presiden Lebanon itu baru-baru ini. Jalili mengatakan, "Musuh Lebanon sentiasa berusaha untuk mewujudkan krisis, namun kini mereka akhirnya menemui jalan buntu."
Sambil mengisyaratkan kemenangan gemilang rakyat Lebanon dalam menghadapi pencerobohan regim Zionis Israel dalam perang musim panas 2006, Jalili menambahkan, "Arus perjuangan di seluruh dunia dan penentangan hebat rakyat Lebanon ketika menghadapi kekejaman Israel membuatkan para elit politik Amerika Syarikat terpaksa mengakui kegagalan dasar luarnya."
Jalili turut berpuas hati dengan situasi terkini di Lebanon khususnya yang berkaitan dengan usaha-usaha pemulihan semula di peringkat nasional. Beliau turut menyatakan kesediaan Iran untuk terus membantu Lebanon. Tegasnya, Iran akan sentiasa berada di pihak Lebanon dan mendukung penuh negara tersebut.
Sementara itu, Emile Lahoud menyifatkan betapa pentingnya keberadaan Hizbullah di Lebanon, khususnya dalam menghadapi pencerobohan Israel. Tegasnya, meskipun Israel mengalami kekalahan teruk dalam perang musim panas yang lalu, namun regim haram itu masih terus rakus dan bernafsu besar untuk melanjutkan rancangan jahatnya di Lebanon dengan mewujudkan perpecahan dan menyebarkan fitnah di kalangan kumpulan-kumpulan yang berbeza pendapat.

Tuesday, October 28, 2008

GOLONGAN ELIT ARAB SAUDI BERPESTA KERETA MEWAH

*Sekumpulan pengunjung melihat kereta 'Koenigsegg CCXR' yang dipamerkan di Jeddah (kanan). Para pelawat meninjau pameran kereta mewah di Jeddah baru-baru ini (kiri).

ARAB SAUDI - Ramalan bahawa sistem kewangan antarabangsa akan runtuh yang diikuti dengan gelombang kemelesetan ekonomi global membimbangkan banyak pihak tetapi keadaan sebaliknya berlaku di Arab Saudi.
Di negara pengeksport minyak nombor satu dunia itu, aktiviti ekonomi berjalan lancar, malah penjual-penjual kereta mewah meramalkan pasaran segmen itu akan pesat berkembang.
Pandangan positif itu dikongsi pengeluar-pengeluar kereta utama dunia ketika mereka menyertai pameran kereta mewah di bandar raya Jeddah baru-baru ini.
"Pasaran kereta mewah di Arab Saudi adalah yang terbesar di rantau Teluk dan bagi kumpulan BMW. Oleh itu kami akan memberi tumpuan lebih terhadap potensi pasarannya," kata pengarah pemasaran sebuah syarikat pengimport kereta BMW, Reiner Braun.
"Benar, krisis kredit global akan memberikan kesan ke atas semua pasaran di dunia tetapi Asia Barat berkemungkinan besar kekal sebagai (pasaran) yang paling stabil," tambahnya.
Arab Saudi, negara dengan 25 juta penduduk mencatatkan kemakmuran ekonomi memberangsangkan sejak beberapa tahun lalu kesan lonjakan harga minyak dunia.
Di sebalik pendapatan tinggi itu harga minyak susut di bawah paras USD 70 (RM250.80) setong pada bulan Oktober 2008 selepas menjunam 50 peratus dari tahap tertinggi pada Julai 2008.
Kemerosotan harga itu mencetuskan kebimbangan pendapatan negara akan menyusut namun kerajaan kekal positif bahawa ekonomi Arab Saudi akan terus berkembang untuk tahun semasa dan 2009.
"Kebanyakan pelanggan kami di rantau ini tidak dipengaruhi oleh trend negatif itu," kata pemilik Koenigsegg Automotive, Christian von Koenigsegg.
Syarikat itu mengeluarkan kereta sports dengan kelajuan mencecah 380 kilometer sejam dan beliau berada di Jeddah untuk mempamerkan sebuah kereta 'Koenigsegg' dengan tanda harga USD 1.87 juta (RM6.7 juta).
"Saya berpendapat pasaran kenderaan akan stabil dalam tempoh beberapa bulan lagi dan saya berharap segmen kereta mewah tidak akan terjejas akibat situasi ekonomi sekarang," tambahnya.
Ketika kehidupan rakyat jelata di Arab Saudi terjejas ekoran peningkatan mendadak inflasi sepanjang tahun lalu hingga mencecah rekod tertinggi dalam tempoh 30 tahun, ia langsung tidak menjejaskan golongan elit di negara itu.
Malah, mereka bertambah kaya dan terus merasai kemakmuran ekonomi.
Di Jeddah iaitu bandar raya kedua terbesar Arab Saudi dan paling liberal, golongan kaya hidup mewah dan berbelanja besar.
Para penganjur pameran itu menyatakan Mercedes dan BMW merupakan kereta paling popular bagi segmen mewah walaupun jenama Rolls Royce turut dipamerkan.
Golongan muda pula lebih meminati kereta Lexus dan Porshe selain motosikal terkenal buatan Amerika Syarikat, Harley Davidson di mana banyak kelab motosikal itu tumbuh di bandar raya Riyadh dan Jeddah.
Sebuah syarikat yang mengimport dua jenama unggul dari Itali, Ferrari dan Maserati menyatakan tahun ini sahaja, jualan kereta sports Maserati yang setiap satu berharga sekurang-kurangnya USD 186,700 (RM668,874) mencecah sebanyak 118 buah.
Ketua penganjur pameran kereta mewah itu, Abdullah al-Shamasi berkata, pasaran di Arab Saudi akan kekal teguh walaupun harga minyak jatuh pada paras USD 40 (RM143.32) setong.
"Krisis kewangan global memang memberi kesan kepada pameran dan jualan kereta mewah di Eropah dan Amerika Syarikat tetapi tidak di Teluk dan ia adalah kerana tahap pendapatan di rantau ini masih tinggi," jelas Abdullah.

WALID JUMBLATT SEDIA BERTEMU HASAN NASRULLAH

Selepas berlangsungnya pertemuan di antara pemimpin Parti al-Mustaqbal, Sa'ad Hariri dan Sayyid Hasan Nasrullah, Pemimpin Parti Sosialis Progresif Lebanon, Walid Jumblatt turut menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan Pemimpin Tertinggi Hizbullah, Sayyid Hasan Nasrullah. Sambil menyifatkan positif dan pentingnya pertemuan antara Saad Hariri dan Nasrullah, Walid Jumblatt mengatakan, terjadinya pertemuan seumpama itu memberi petunjuk jelas bahawa perselisihan antara kumpulan yang berbeza di Lebanon hanya berlaku di arena politik dan bukan melibatkan pertelingkahan bangsa dan mazhab.
Dalam pertemuan antara Hasan Nasrullah dan Sa'ad Hariri, kedua pihak sepakat untuk mengenepikan sebarang perselisihan yang timbul. Mereka juga menekankan betapa pentingnya perpaduan di peringkat nasional, meningkatkan prestasi kerajaan, komitmen terhadap 'Perjanjian Thaif', pelaksanaan 'Perjanjian Doha', penerusan hubungan antara kedua kumpulan, menggalakkan sidang dialog serta berusaha mewujudkan kestabilan dan keamanan.
Pertemuan antara Hariri dan Nasrullah merupakan pertemuan pertama antara kedua pemimpin politik Lebanon tersebut sejak musim bunga tahun 2006.

SYRIA : TENTERA AMERIKA SYARIKAT PENGGANAS

*Sebahagian penduduk kampung yang menghadiri majlis pengebumian lapan mangsa serangan tentera Amerika ke atas Ladang Sukkariyeh, dekat pekan Abu Kamal, Syria.

WASHINGTON – Tentera Amerika Syarikat di Iraq menyifatkan operasi mereka di Syria terhadap pejuang asing sebagai berjaya, ketika Damsyik mendakwa tindakan Washington itu sebagai 'pencerobohan pengganas'.
Seorang pegawai Amerika yang enggan dikenali berkata, operasi itu turut berjaya membunuh pemimpin pejuang asing yang paling dikehendaki, Abu Ghadiya. "Ini merupakan pengesahan pertama Amerika yang melakukan serangan di wilayah Syria, sekali gus memberi isyarat bahawa Washington mula menggunakan taktik agresif terhadap pemberontak di sepanjang kawasan sempadan Iraq, yang turut digunakan ke atas pengganas di sempadan kawasan kabilah di Pakistan," katanya.
Bagaimanapun Menteri Luar Syria, Walid Mu'allem menyifatkan serangan itu sebagai satu jenayah dan pencerobohan pengganas. "Menurut undang-undang antarabangsa, membunuh orang awam bermakna pengganas," katanya pada sidang akhbar di London selepas mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Luar Britain, David Miliband.
Menurut pegawai media Syria, lapan orang awam terbunuh dalam serangan itu, termasuk kanak-kanak.
Ditanya sama ada Syria akan bertindak balas jika Amerika menyerang lagi, beliau berkata :
"Jika Amerika melakukannya sekali lagi, kami akan mempertahankan wilayah kami." Menteri Syria itu berkata, empat helikopter Amerika telah melintasi sempadan Syria beberapa hari sebelumnya dan dua daripadanya mendarat di timur laut Syria, manakala dua lagi mengawasinya. Askar-askar yang diturunkan kemudiannya menembak orang awam yang sedang berkebun, termasuk seorang nelayan dan tiga orang anaknya. "Mereka semua adalah orang awam yang tinggal di wilayah Syria, tindakan itu tidak berperikemanusiaan," katanya.

Monday, October 27, 2008

PRESIDEN IRAN SAKIT?

*Ahmadinejad (kiri) disambut oleh para penyokongnya dalam satu majlis Ahlul Bait di Tehran.

TEHRAN – Presiden Republik Islam Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad jatuh sakit kesan daripada kerja kuat dan beliau kini kian pulih, kata Menteri Kebudayaan, Mohammad Hossein Saffar Harandi semalam.
"Dia kini berada dalam keadaan baik malah lebih baik daripada saya," katanya kepada para pemberita.
Ketika ditanya sama ada Ahmadinejad yang berumur 52 tahun itu telah jatuh sakit, Mohammad berkata : "Kerana kerja keterlaluan, ia berlaku ke atas dirinya banyak kali."
"Tekanan darahnya menurun dan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) serta menerima rawatan intravena," jelas menteri berkenaan.
Menurutnya, "Bukannya sesuatu yang ganjil bagi Ahmadinejad untuk bekerja selama 21 hari tanpa berehat."
Pada 22 Oktober 2008 baru-baru ini, Ahmadinejad telah membatalkan ucapannya kerana dia berasa tidak sihat. Pembatalan itu mencetuskan spekulasi dalam laman-laman web Iran bahawa beliau mungkin tidak cergas untuk bertanding sekali lagi dalam pilihan raya Presiden pada tahun hadapan.
Seorang Ahli Parlimen, Mohammad Esmail mendakwa bahawa komen 'tidak cergas' itu adalah satu perang psikologi terhadap kem konservatif dalam dunia politik Iran. "Pada akhirnya, Presiden akan berasa sihat dan meneruskan kerjanya dan sebahagian orang akan hanya mendapat malu," katanya.
Penduduk Iran akan mengundi pada tahun depan untuk memilih Presiden baru dan Ahmadinejad masih belum mengumumkan pencalonannya. Presiden Iran itu sebelum ini dikritik kerana caranya mengendalikan ekonomi dan masalah inflasi yang meningkat hampir 30 peratus.

GEMPA BUMI DI EMPAT NEGARA TERMASUK IRAN, SEMBILAN CEDERA

TEHRAN - Empat negara telah digegarkan dengan gempa bumi berukuran antara 4.1 hingga 6.4 pada skala Richter.
Di Iran, seramai sembilan orang cedera apabila gempa bumi sekuat 5.0 pada skala Richter menggegarkan selatan Iran.
Pengarah Jabatan Kecemasan di wilayah Hormozgan, Yasser Hazbavi berkata, gempa bumi tersebut telah menggegarkan bandar pelabuhan Kong.

Gempa bumi tersebut adalah beberapa siri gegaran yang berlaku sejak beberapa bulan lalu.
Sementara itu di Pakistan, satu gempa bumi sekuat 5.6 pada skala Richter turut menggegarkan bandar Peshawar, Chitral dan Dir di barat laut Pakistan.
Pegawai Jabatan Kaji Gempa, Mohammad Ishtiaq berkata, gegaran turut dirasai di Islamabad dan Lahore.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Di Indonesia pula, gegaran sekuat 6.4 pada skala Richter berlaku di Gorontolo, Sulawesi Utara namun tiada sebarang insiden buruk terjadi.
Dua lagi gempa berlaku di utara California, Amerika Syarikat awal pagi tadi dengan kekuatan 5.1 dan 4.1 skala Richter.
Seperti negara-negara lain, dua gempa bumi tersebut juga tidak meragut korban.

PILIHAN RAYA AWAL DI ISRAEL - LIVNI GAGAL CAPAI MANDAT UNTUK BENTUK KERAJAAN BARU

*Livni (tengah) bersama Perdana Menteri, Ehud Olmert (kanan) dan Menteri Pengangkutan, Shaul Mofaz sewaktu menghadiri mesyuarat mingguan Kabinet Israel di Baitulmaqdis.

BAITULMAQDIS – Ketua parti pemerintah Israel, Tzipi Livni bercadang mengadakan pilihan raya Parlimen lebih awal selepas gagal membentuk perikatan baru bagi menggantikan kerajaan bekas Perdana Menteri, Ehud Olmert.
Keputusan tersebut mengesahkan kenyataan yang dibuat oleh pembantu kanan beliau selepas kegagalan rundingan untuk membentuk kerajaan campuran.
"Apabila saya terpaksa memutuskan untuk memilih antara meneruskan peras ugut dan pilihan raya, saya memilih pilihan raya," kata Livni dalam laporan berita akhbar 'Yediot Aharonot'.
Livni masih memegang jawatan Menteri Luar dan mengepalai Parti Kadima sejak bulan lalu selepas Olmert menyatakan kesediaan meletak jawatan berikutan skandal rasuah.
Beliau masih mempunyai mandat Presiden selama seminggu lagi untuk membentuk kerajaan namun memberitahu akhbar 'Maariv' bahawa rundingan telah berakhir.
Halangan untuk membentuk kerajaan campuran baru berlaku apabila Parti Shas yang berfahaman ultra ortodoks enggan menyertai Livni kerana tiada jaminan beliau tidak akan bersetuju untuk berkongsi kawalan ke atas Baitulmaqdis dengan Palestin dan mahu lebih banyak faedah diberikan kepada penduduk miskin.
Tinjauan pendapat menunjukkan Parti Likud yang dipimpin Netanyahu dan menentang pelan damai yang dicadangkan oleh Livni dan Olmert, semakin mendapat tempat di hati penduduk Israel.
Pilihan raya besar kemungkinan bakal diadakan pada penghujung bulan Januari atau Februari 2009, setahun lebih awal daripada yang dijadualkan.

TALIBAN CUNGKIL MATA PETANI YANG DITUDUH SEBAGAI PERISIK KERAJAAN

KANDAHAR - Seorang petani yang dituduh sebagai perisik kerajaan dan tentera antarabangsa telah dicungkil matanya oleh sekumpulan lelaki yang dipercayai pejuang Taliban di selatan Afghanistan.
Petani dari wilayah Helmand itu, Sayyed Ghulam memberitahu, matanya dicungkil dengan pisau di depan ahli keluarganya. Beliau bagaimanapun enggan memberitahu siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam tersebut. Menurutnya, beberapa orang lelaki telah mengheretnya keluar dari rumah sambil menuduhnya sebagai pengkhianat.
"Selepas diheret kira-kira 20 meter dari rumah saya, mereka memegang tangan dan terus mencungkil mata saya. Saya berasa amat sakit dan dunia kemudiannya bertukar menjadi gelap," kata Sayyed dari atas katil hospital tempat dia dirawat di bandar Kandahar. Menurutnya, isteri dan anak-anaknya hanya mampu menjerit melihat kejadian itu.
Sementara itu, jurucakap kerajaan wilayah Helmand, Daud Ahmadi mendakwa perbuatan itu dilakukan oleh anggota Taliban yang bergerak aktif di wilayah itu.
"Mereka telah membunuh ramai orang yang tidak berdosa seperti para petani, kanak-kanak dan wanita kerana menuduh mereka terlibat dalam kerja-kerja perisikan. Namun kali ini mereka bertindak kejam terhadap seorang petani miskin yang tidak berdosa," kata Daud.
Taliban sebelum ini pernah memancung kepala serta memotong telinga dan hidung penduduk yang dituduh menjadi tali barut kerajaan.

Sunday, October 26, 2008

'NATO' AKAN HADAPI NASIB YANG SAMA DENGAN KESATUAN SOVIET DI AFGHANISTAN

Penasihat Pemimpin Tertinggi Republik Islam Iran atau Rahbar dalam urusan antarabangsa, Dr Ali Akhbar Velayati menegaskan, "Sekiranya Amerika Syarikat dan Pakatan Pertahanan Atlantik Utara (NATO) terus berada di Afghanistan, mereka akan pasti menerima akibat yang pernah menimpa Kesatuan Soviet suatu ketika dulu. Kumpulan-kumpulan ekstrim salafi (baca : Wahabi) yang ketika ini sedang pesat berkembang di negara tersebut adalah 'komoditi import' yang didatangkan dari pelbagai negara luar dengan tujuan untuk menyimpangkan matlamat sebenar perjuangan rakyat Afghanistan."
Tambahnya lagi, "Ketika ini NATO tidak memiliki perancangan untuk meninggalkan Afghanistan malah sedang berusaha untuk membentuk kumpulan Taliban yang bersikap neutral sedangkan dalam masa yang sama, kumpulan Taliban yang ekstrim juga merupakan 'produk' ciptaan mereka."
Beliau turut menjelaskan, "Amerika dan sekutunya mempunyai rencana untuk membentuk 'Somalia' besar di Pakistan dan Afghanistan. Namun, akhirnya mereka akan menerima nasib yang sama dengan Kesatuan Soviet sekiranya terus berdegil untuk mempertahankan kewujudan dan keberadaan anggota tenteranya di Afghanistan."

AYATULLAH AL-UZMA MAKARIM SYIRAZI : BERTERUSAN DALAM DOSA AKAN HILANGKAN TAUFIQ PENGHAMBAAN KEPADA ALLAH (SWT)

Ayatullah al-'Uzma Syeikh Nasir Makarim Syirazi, salah seorang marji' dalam dunia Syi'ah menegaskan, "Allah (swt) berdasarkan sifat Maha Bijaksana dan Maha AdilNya akan mencabut taufik penghambaan dan 'ibadah seseorang hambaNya yang terus menerus tenggelam dalam perbuatan dosa dan maksiat kepadaNya."
Beliau berkata demikian dalam kuliah tafsirnya yang diadakan baru-baru ini.
Pengarang kitab 'Tafsir al-Amsal' ini menambah lagi, "Banyak taufik dari sisi Allah (swt) terhalang dari dicapai oleh seseorang manusia kerana perbuatan dan tindakan manusia itu sendiri. Seseorang yang tidak melaksanakan kewajiban seperti menunaikan zakat binatang atau gandumnya, bagaimana mungkin ia mengharapkan Allah (swt) akan mendengar dan mengabulkan doa dan jeritan hatinya yang kotor? Antara perkara yang menghalang taufik dari sisi Allah (swt) ialah sering melakukan dosa, mengelak dari menunaikan kewajiban harta benda (khumus dan zakat) serta mengambil rasuah sedangkan langkah pertama yang akan membawa manusia kepada kesempurnaan dan keredhaan Allah (swt) adalah taufik dari sisiNya, maka bagaimana mungkin seseorang manusia mampu mencapai tahap-tahap kesempurnaan tersebut tanpa taufik dari sisiNya?"

HIZBULLAH KRITIK SIKAP NEGARA-NEGARA ARAB

Hizbullah mengkritik sikap beberapa buah negara Arab yang memberikan bantuan kepada kumpulan tertentu di Lebanon. Salah seorang pemimpin Hizbullah di selatan Lebanon, Sheikh Nabil Kaouk menegaskan, sekiranya 30% dari bantuan negara-negara Arab diperuntukkan untuk membangunkan semula bangunan-bangunan yang rosak teruk akibat perang selama 33 hari, nescaya ianya akan segera membantu dalam memulihkan kerugian akibat peperangan tersebut.
Beliau menganggap ketegangan politik di Lebanon kini adalah berpunca dari kebimbangan beberapa pihak terhadap keputusan pilihanraya parlimen yang akan datang. Pilihanraya tersebut dijangka akan diadakan pada bulan Mei 2009. Pilihanraya parlimen yang akan datang semakin mencabar akibat persaingan yang wujud di antara kumpulan '8 Mac' dan '14 Mac' untuk mencapai kemenangan.

Saturday, October 25, 2008

SAYYID HASAN NASRULLAH NAFI DIRINYA DIRACUN

Pemimpin Tertinggi Hizbullah Lebanon, Hujjatul Islam Sayyid Hasan Nasrullah menafikan khabar angin mengenai dirinya yang kononnya terkena racun. Dalam wawancara ringkasnya dengan Televisyen al-Manar, beliau menegaskan, "Khabar angin mengenai diri saya yang kononnya terkena racun adalah rekaan Zionis Israel yang sebelum ini telah dimalukan oleh penentangan hebat Hizbullah Lebanon."
Tambahnya, berita palsu itu sengaja disebarkan sebagai usaha untuk mewujudkan perpecahan dalam gerakan Hizbullah Lebanon. Menurutnya lagi, media-media massa yang bergabung dengan Zionis Israel sengaja menyampaikan berita-berita palsu dalam usaha untuk menciptakan perang saraf terhadap Hizbullah.
Beberapa hari lalu, beberapa laman web di Timur Tengah melaporkan bahawa Sayyid Hasan Nasrullah telah terkena racun yang diletakkan pada makanan dan pakaiannya.

SEMBANG-SEMBANG TENTANG MAZHAB AHLUL BAIT DI MALAYSIA BERSAMA MAULANA ASRI YUSUF

video

Friday, October 24, 2008

AYATULLAH RAFSANJANI : IRAN TIDAK GENTAR DENGAN ANCAMAN BARAT

Khatib solat Juma'at di Tehran, Ayatullah Syeikh Hashemi Rafsanjani menekankan azam dan tekad Iran untuk mencapai kemajuan dalam bidang teknologi nuklearnya. Sambil mengisyaratkan status nuklear Iran yang bermatlamatkan kepentingan awam, beliau menganggap ancaman Barat yang berterusan terhadap Iran adalah akibat dari sikap sombong dan bongkak negara-negara kuasa besar dunia. Beliau juga menegaskan bahawa sikap Barat dalam menangani isu nuklear Iran amat tidak rasional. Menurutnya lagi, Iran tidak gentar dalam menghadapi ancaman Barat dan akan meneruskan program nuklearnya.
Sewaktu menyentuh isu keselamatan di Baghdad dan tekanan 'White House' terhadap kerajaan Iraq, beliau menjelaskan, sikap sombong dan bongkak Amerika Syarikat telah menyebabkan kedudukannya di Iraq semakin sulit dan terhimpit. Tegasnya, Amerika dan sekutunya sehingga kini tidak memberikan peluang kepada kerajaan Iraq untuk membentuk pasukan tentera dan polis yang kuat. Mereka tidak memperbaiki kemudahan infrastruktur di Iraq yang rosak teruk akibat penjajahan mereka. Beliau turut menyeru semua pihak agar membantu rakyat Iraq untuk keluar dari krisis yang mereka hadapi kini.

BILANGAN RAKYAT ISRAEL YANG MEMBUNUH DIRI SEMAKIN MENINGKAT

Meningkatnya kes bunuh diri di kalangan rakyat Zionis Israel kian membimbangkan para pegawai regim tersebut. Sumber berita Israel melaporkan, jenazah seorang anggota polis Israel bersama isteri dan kedua orang anaknya telah ditemui di rumah mereka. Sumber itu menyebut, setelah membunuh isteri dan kedua orang anaknya, anggota polis tersebut kemudiannya membunuh dirinya.
Berdasarkan laporan pihak hospital di Israel, ribuan rakyat Israel dihidapi penyakit gangguan mental khususnya selepas kekalahan memalukan regim tersebut dalam peperangan selama 33 hari dengan Hizbullah. Gangguan mental itu kini kian berkembang dan menjadi masalah utama terhadap kerajaan Tel Aviv. Ini dibuktikan dengan makin meningkatnya kes lari dari tugas, penagihan dadah dan mudah putus asa dalam meneruskan kehidupan.

TAMPARAN BARU BUAT AMERIKA...IRAN TUBUH MAJLIS KERJASAMA TIGA NEGARA PENGELUAR GAS TERBESAR DUNIA

Tiga buah negara pengeluar gas terbesar di dunia iaitu Iran, Rusia dan Qatar akan mewujudkan pertubuhan yang sama seperti OPEC namun memberi tumpuan khusus pada gas.
Gagasan tersebut disepakati oleh Menteri Minyak Iran, Qatar dan Pengerusi Syarikat Gazprom dari Rusia.
Pertemuan tiga buah negara itu dianggap masih baru dalam konteks kerjasama dalam bidang gas. Sementara itu, Algeria dan Venezuela dijangka akan turut bergabung dalam organisasi baru itu.
Perjanjian seumpama itu tentu bakal ditentang hebat oleh Amerika Syarikat, musuh tradisi Iran yang sedang berkrisis dengan Rusia. Amerika sebagai sebuah negara pengguna gas terbesar di dunia kini sedang mengalami tamparan hebat akibat percaturan politik Iran, setelah sebelumnya mengalami krisis ekonomi yang amat meruncing.

ISRAEL KIRIM 3,OOO EKOR ANJING UNTUK HALAU RAKYAT AFRIKA


Ramai dari kalangan rakyat Afrika yang nekad menceroboh sempadan Mesir-Israel di Sani demi mencari pekerjaan akibat krisis kelaparan yang melanda benua tersebut.
Israel telah mengirimkan lebih kurang 3,000 ekor anjing ke sempadan Mesir-Israel
. Menurut para saksi mata, anjing-anjing itu ditempatkan di bahagian tengah Semenanjung Sinai untuk melindungi sistem radar amaran Israel yang diperolehi baru-baru ini dari Amerika Syarikat.
Anjing-anjing itu turut digunakan bagi menghalang rakyat Afrika dari berhijrah masuk ke Israel untuk mencari pekerjaan.
Sejak awal tahun ini, lebih dari 25 orang rakyat Afrika telah ditembak mati oleh pasukan keselamatan Mesir sementara berpuluh-puluh yang lainnya ditahan kerana cuba menyeberang masuk ke sempadan Israel melalui daerah Sinai Tengah.

Thursday, October 23, 2008

KEMPEN ANTI TUHAN...KUMPULAN ATEIS BRITAIN PASANG IKLAN DI BAS

Perjuangan kumpulan ateis untuk menjayakan kempen 'anti-Tuhan' terus dilakukan. Sekumpulan atheis di Britain dikatakan akan membeli iklan dari syarikat-syarikat bas yang beroperasi di kota London untuk dipasang dengan iklan 'anti-Tuhan'.
Penyelaras kumpulan tersebut telah mengumpulkan dana dengan memasang iklan di sebuah laman web 'amal'. Hasilnya amat luar biasa. Hanya dalam beberapa jam selepas iklan itu dimuatkan, mereka berjaya mengumpulkan dana sebanyak USD 113,000. Jumlah tersebut adalah tujuh kali ganda dari sasaran awal mereka. Para penderma antaranya termasuklah pakar biologi yang berasal dari Universiti Oxford, Richard Dawkins, yang menderma sebanyak USD 9,000.
Dana itu bakal digunakan untuk memasang poster-poster 'anti-Tuhan' di 30 buah bas berwarna merah yang beroperasi di seluruh kota London dengan slogan 'THERE'S PROBABLY NO GOD. NOW STOP WORRYING AND ENJOY YOUR LIFE' (mungkin tidak ada Tuhan. Kini, berhentilah mencemaskan diri dan nikmatilah kehidupan anda).
Iklan itu akan dipamerkan selama empat minggu mulai Januari 2009. Namun, akibat banyaknya dana yang terkumpul, kemungkinan besar tempoh penyiaran iklan itu akan dipanjangkan. "Banyak orang mengatakan, usaha untuk mengendalikan kumpulan ateis adalah seperti memelihara sekumpulan kucing. Dalam beberapa hari terakhir ini menunjukkan bahawa dakwaan itu adalah tidak benar," kata penulis komedi, Ariane Sherine ketika memulakan kempennya.
Biasanya bas-bas di London membawa poster iklan untuk supermarket atau filem Hollywood. Namun, beberapa kumpulan keagamaan mula memanfatkan ruangan iklan itu sejak akhir-akhir ini. Beberapa buah gereja Kristian dan masyarakat Islam pernah memasang poster iklan yang mengandungi seruan beragama.
Rupanya Sherine tidak merasa malu dengan usaha mereka. Perasaan geramnya membuak-buak setelah menyaksikan serangkaian poster kumpulan Kristian di beberapa buah bas awal tahun ini. Tertulis di bas-bas itu bahawa kumpulan ateis akan kekal di dalam siksaan api neraka.
"Saya kira persaingan ini akan menjadi perkara yang positif. Jangan cemas, anda tidak akan masuk neraka. Kami meyakini bahawa ini merupakan satu-satunya cara hidup yang kami miliki dan patut menikmatinya," kata Sherine, 28 tahun.
Pertubuhan Kemanusiaan Britain, kumpulan yang menyelaraskan pengumpulan dana iklan anti-Tuhan itu mengatakan, kempen mereka telah berjalan dengan jayanya. Mereka bahkan telah merancang untuk menganjurkan kempen yang sama di kota Manchester dan Edinburgh.




SAMIR QINTAR : SELAGI MANA WUJUD NAMA ISRAEL, PERJUANGAN AKAN DITERUSKAN

Samir Qintar, tahanan paling lama berada di penjara Zionis Israel yang dibebaskan oleh Hizbullah Lebanon, kembali dengan kenyataannya untuk melanjutkan perjuangan dan penentangan ke atas Zionis Israel. Beliau yang disumbatkan ke penjara Zionis Israel selama 29 tahun menegaskan , "Selagi mana Israel masih ada di rantau ini, perjuangan dan penentangan wajib diteruskan. Saya sedia berkorban untuk perjuangan suci ini dan bersedia untuk dihantar ke mana sahaja."
Qintar yang digelar sebagai Pahlawan Kebangsaan Lebanon menjelaskan tekadnya, "Kini, saya sedia bekerjasama untuk kepentingan Hizbullah dan 'muqawamah' (penentangan)."

LIVNI DITEKAN KUMPULAN RADIKAL...KRISIS DALAMAN ISRAEL KIAN PARAH

Parti-parti radikal Zionis Israel terus menentang keterlibatan mereka dalam kabinet ketua baru Parti Kadima, Tzipi Livni. Sehingga kini, Livni dihadapkan dengan masalah dalaman yang cukup serius. Sumber-sumber berita Zionis Israel melaporkan, seorang pegawai tinggi Parti 'Pencen' regim Zionis Israel, Jacob Ben Yezri dalam satu pertemuannya dengan pendita Yahudi, Ofadia Yossef yang juga ketua parti radikal 'Sash' menyatakan, "Kami tidak tertarik untuk mengambil bahagian dalam kabinet Tzipi Livni."
Selain parti-parti radikal, para pegawai di dalam Parti Kadima itu sendiri yang tersingkir dalam pemilihan parti tersebut turut memulakan rundingan dengan kumpulan-kumpulan radikal untuk melakukan tindakan balas dendam ke atas Livni.
Di tengah situasi yang sukar seperti ini, Livni yang kini memiliki tempoh selama sepuluh hari sahaja lagi untuk membentuk barisan kabinetnya berharap agar lebih dari 60 orang anggota Parlimen Israel (Knesset) bakal memberikan undian kepercayaan kepada para anggota kabinetnya. Knesset mempunyai anggota parlimen seramai 120 orang. Berdasarkan undang-undang regim ini, kabinet perlu mendapat sokongan daripada para anggota parlimen sekurang-kurangnya '50% + 1'.
Oleh kerana Livni tidak mampu untuk membentuk barisan kabinetnya dalam tempoh yang ditetapkan, Presiden Zionis Israel, Shimon Perez telah melanjutkan tempoh pembentukan kabinet beliau sehingga 14 hari lagi.
Tzipi Livni, mantan Menteri Luar Israel telah dipilih sebagai ketua baru Parti Kadima selepas terbongkarnya skandal rasuah yang melibatkan mantan Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert. Sejak bulan September yang lalu, beliau ditugaskan untuk membentuk barisan kabinetnya.

IRAN LEBIH MENYUKAI OBAMA

Speaker Parlimen Republik Islam Iran, Ali Larijani menyatakan, negaranya lebih menyukai calon presiden dari Parti Demokrat, Barack Husein Obama untuk memenangi pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada 4 November 2008 yang akan datang.
"Kami lebih cenderung untuk memilih Barack Obama kerana beliau dilihat lebih fleksibel dan rasional meskipun kami sedar dasar Amerika Syarikat tidak akan banyak berubah," kata Larijani dalam sidang media yang diadakan sempena kunjungannya ke Bahrain.
Iran dan ancaman nuklearnya telah menjadi salah satu topik utama yang disentuh dalam setiap debat pilihanraya Presiden Amerika di antara Obama dan pesaingnya dari Parti Republikan,John McCain, setiap kali berdebat tentang dasar luar Amerika Syarikat.
Larijani, seorang tokoh penting dalam kerajaan Republik Islam itu, juga menyatakan, "Amerika amat sibuk menghadapi krisis kewangan dunia daripada memikirkan untuk melakukan serangan terhadap musuh besarnya itu. Risiko serangan ke atas Iran itu rendah sebelumnya. Namun, sekarang saya yakin 100% bahawa Amerika tidak akan melancarkan perang terhadap Iran. Krisis ekonomi telah membebankan perbelanjaan Amerika sebanyak USD 1,400 bilion dan Washington sedang bekerja keras untuk menyelesaikan masalah dalam negaranya dan tidak mampu lagi berfikir tentang perang."
Washington memutuskan hubungan diplomatiknya dengan Republik Islam Iran pada tahun 1980 sebaik sahaja tercetus Revolusi Islam di Iran. Presiden Amerika Syarikat, George W Bush sering mengecam Iran sebagai sebahagian dari 'Paksi Kejahatan'.
Ketegangan antara kedua negara itu semakin meningkat kerana Iran mengambil pendirian tegas untuk meneruskan program nuklearnya. Namun, Iran sentiasa menegaskan bahawa program nuklearnya adalah untuk perkembangan industri dan bertujuan baik.

Wednesday, October 22, 2008

AHMADINEJAD RASMIKAN KOMPLEKS GAS DI BUSHEHR, IRAN

Presiden Republik Islam Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad telah merasmikan tahap keenam, ketujuh dan kelapan kompleks gas Pars Selatan yang keempat di Assaluoyeh, wilayah Bushehr, Iran Selatan. Sebaik dirasmikan, ia mula beroperasi. Dengan perasmian tersebut, pengeluaran gas Iran akan meningkat. Sebelumnya, tahap pertama sehingga kelima kompleks gas Pars Selatan telah beroperasi dengan lancar.
Dalam majlis perasmian itu juga, beberapa orang Menteri Kabinet Republik Islam Iran seperti Menteri Minyak, Gholam Hossein Nazari, Menteri Perindustrian dan Galian, Ali Akbar Mehrabian, turut bersama dengan Ahmadinejad. Duta Besar Malaysia, Korea Selatan dan Norway juga turut sama menghadiri acara perasmian tersebut.



KERAJAAN MESIR JEMPUT SAYYID HASAN NASRULLAH KUNJUNGI KAHERAH

Kerajaan Mesir mengundang secara rasmi Pemimpin Tertinggi Hizbullah, Hujjatul Islam Sayyid Hasan Nasrullah untuk melawat Kaherah. Ini merupakan undangan yang pertama kali dibuat oleh kerajaan Mesir terhadap pemimpin Hizbullah itu. Beberapa minggu yang lalu, Ketua 'Kumpulan 14 March', Samir Geagea telah berkunjung ke Kaherah. Sementara itu, Ketua Parti Sosialis Progresif, Walid Jumblatt telah merancang untuk mengunjungi Kaherah dan mengadakan dialog dengan Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Tuesday, October 21, 2008

WALID JUMBLATT MENYESAL ATAS SEGALA KENYATAANNYA TERHADAP IRAN DAN HIZBULLAH

Pemimpin Parti Sosialis Progresif Lebanon, Walid Jumblatt mengaku menyesali atas segala kenyataannya terhadap Iran dan Hizbullah. Sewaktu diwawancara oleh Press TV beliau menyatakan, "Kenyataan saya selama ini yang sering dilihat meminggir dan merendahkan Iran dan Hizbullah berlaku di luar kawalan saya. Seorang ahli politik yang berhadapan dengan situasi politik yang tegang mungkin mengabaikan garis sempadan yang tidak boleh dilanggar."
Pada awal Mei 2008, beliau menyatakan bahawa kumpulan pro-pemerintah telah bersiap-sedia untuk melancarkan serangan ke atas Hizbullah. Kenyataan lain beliau yang menuduh Hizbullah memiliki rencana untuk menduduki lapangan terbang antarabangsa Beirut telah mencetuskan ketegangan dan rusuhan di Lebanon.
Dalam temuramah tersebut, beliau menuntut supaya agenda perpaduan ditingkatkan di Lebanon menjelang berlangsungnya pilihanraya umum di negara tersebut. Menurutnya lagi, beliau akan memilih aliran demokrasi untuk mencapai tujuan politiknya dalam pilihanraya parlimen yang akan datang. Beliau juga turut menyambut baik peningkatan hubungan antara Iran dan Lebanon di semua bidang sambil menegaskan bahawa langkah tersebut amat penting sejajar dengan situasi yang agak kritikal di rantau tersebut ketika ini.

Monday, October 20, 2008

IRAN TERUS UJI PERALATAN KETENTERAANNYA DALAM LATIHAN PERANG ANGKATAN TENTERA UDARA

Timbalan Komander Angkatan Tentera Udara Republik Islam Iran, Abdullah Kashani Far menyatakan pemilihan bandar Tabriz sebagai lokasi latihan perang Angkatan Tentera Udara Iran adalah kerana di bandar tersebut terdapat pengkalan udara terbesar. Ia juga menyebut bahawa latihan perang pada kali ini sebagai peluang untuk menguji peralatan-peralatan ketenteraan Iran.
Kashani Far turut mengatakan, "Latihan perang yang menggabungkan di antara Angkatan Tentera Udara dan Angkatan Tentera Darat di bandar Tabriz itu dilaksanakan dalam empat peringkat. Dua peringkat sehingga kini telah berjaya dilaksanakan. Peringkat ketiga telah diadakan pada 20 Oktober 2008 dan peringkat keempat akan menyusul dalam bentuk latihan bersama di antara kedua angkatan tentera tersebut."
Kashani Far menjelaskan bahawa latihan perang Angkatan Tentera Udara yang terbaru itu ditumpukan untuk meningkatkan kemampuan pemanduan, teknikal dan menguji peralatan ketenteraan buatan Iran. Katanya lagi, latihan tersebut adalah sesuatu yang rutin dan tidak bersifat politik. Dalam latihan bersama dengan Angakatan Tentera Darat itu, beberapa pesawat pengebom milik Angkatan Tentera Udara telah melakukan latihan serangan dengan menggunakan senjata buatan Iran dengan mensasarkan pelbagai kawasan yang telah ditentukan.
Tambahnya lagi, ketika ini Angkatan Tentera Udara Iran tidak menghadapi sebarang masalah dengan kemampuan dan bilangan juruterbang pesawat pejuangnya serta peralatan ketenteraannya. Tegasnya, dari aspek latihan pemanduan dan teknikal, Iran tidak memerlukan sama sekali bantuan dan kepakaran dari negara luar bahkan Iran kini telah memiliki pesawat tanpa juruterbang yang telah diuji cuba dalam latihan baru-baru ini.

TENTERA AMERIKA BUNUH DIRI DI IRAQ

Seorang tentera Amerika Syarikat telah ditemui mati di Iraq. Pusat Komando Tentera Amerika Syarikat di Iraq melaporkan bahawa seorang tenteranya telah terbunuh di luar medan perang di pengkalan tentera Amerika yang terletak di barat Iraq. Namun, beberapa sumber maklumat menyatakan bahawa tentera Amerika itu mati kerana membunuh diri.
Berdasarkan maklumat rasmi kerajaan Amerika, seramai 4,186 orang tentera Amerika telah terbunuh di Iraq sejak pencerobohan ke negeri itu pada tahun 2003. Dilaporkan juga, lebih dari 200 orang tentera telah mengambil tindakan membunuh diri kerana tekanan mental.

KETUA PERISIKAN ISRAEL (MOSSAD) DISERANG HENDAP?

Sumber-sumber regim Zionis Israel melaporkan, Ketua Perisikan Israel (Mossad), Meir Dagan telah diserang. Agensi Berita Fars yang menukilkan dari laman web Israel 'Filka' melaporkan, Dagan yang dikawal ketat akibat bimbangkan keselamatannya dari pembalasan Hizbullah dikhabarkan telah diserang di Jordan. Meskipun belum ada kenyataan rasmi mengenai berita tersebut, namun sumber tersebut menyatakan, Dagan diserang sewaktu dalam perjalanan menuju ke kediaman pemimpin Jordan, Raja Abdullah II bagi mengadakan pertemuan rahsia dengan pemimpin negara itu.
'Filka' juga menegaskan bahawa walaupun Dagan tidak terbunuh dalam serangan tersebut, namun percubaan untuk membunuh Dagan itu dianggap sebagai kekalahan besar bagi Mossad. Menurut maklumat dari Jordan, 12 orang cedera dalam kejadian tersebut. Beberapa orang mangsa yang cedera dilaporkan dalam keadaan kritikal dan ada yang tidak dapat diselamatkan. Channel 2 televisyen Israel pada bulan September 2008 telah memilih Meir Dagan sebagai 'Man of The Year' kerana kejayaannya menumpaskan kumpulan pejuang Palestin dan membunuh para pejuang Hizbullah khususnya komandernya, 'Imad Mughniyah.

Sunday, October 19, 2008

RAHBAR : KEMENANGAN HIZBULLAH LEBANON ADALAH BUKTI KEUNGGULAN SPIRITUAL KE ATAS MATERIAL


Pemimpin Tertinggi Republik Islam Iran atau Rahbar, Ayatullah al-'Uzma Sayyid 'Ali Khamenei menyifatkan Angkata Bersenjata Republik Islam Iran sebagai pembela nilai-nilai Islam. Dalam majlis pengangkatan sumpah para mahasiswa Akademi Tentera Republik Islam Iran baru-baru ini, Rahbar menyatakan, "Angkatan bersenjata adalah benteng kukuh negara. Rakyat Iran sentiasa mendukung angkatan bersenjata negara ini. Bahkan mereka merupakan bahagian penting yang tidak boleh dipisahkan dari rakyat negara ini."
Rahbar yang juga Panglima Angkatan Bersenjata Tertinggi Republik Islam Iran juga menyifatkan Angkatan Bersenjata Iran sebagai elemen penting kekuatan dan manifestasi keteguhan rakyat Iran. Tegasnya, "Kekuatan spiritual mereka tercermin berkat kekuatan keimanan dan pembelaan atas nilai-nilai ketauhidan dan kemanusiaan."
Rahbar turut menyentuh kemenangan keimanan para pejuang Hizbullah Lebanon ke atas pasukan tentera penjajah Zionis Israel dan pengakuan para pegawai Tel Aviv di atas kekalahan teruk mereka. Katanya, "Kemenangan ini merupakan bukti keunggulan kekuatan spiritual ke atas kekuatan material. Angkatan Bersenjata Republik Islam Iran perlu menyedari kekuatan keimanan dan spiritual yang luar biasa."
Sambil mengisyaratkan keberanian, keimanan, kegigihan dan pengorbanan rakyat Iran dalam menghadapi ancaman musuh, Rahbar mengingatkan, "Di awal Revolusi Islam Iran, pihak musuh tidak menduga bahawa rakyat Iran mampu menghadapi badai tekanan dan penentangan mereka. Dengan pengalaman selama 30 tahun, pihak musuh baru terpaksa akur dan mengakui bahawa Republik Islam Iran dan Angkatan Bersenjata Iran kini memiliki kekuatan yang amat hebat."
Di depan makam lapan orang syuhada' dalam peperangan Iraq-Iran, Rahbar memberikan penghormatan khusus dan membacakan surat al-Fatihah kepada mereka. Dalam majlis tersebut, Rahbar turut memberikan penghargaan kepada para pensyarah dan mahasiswa tentera yang mencapai prestasi cemerlang.

SAYYID HASAN NASRULLAH AKAN LEPAS JAWATAN DALAM HIZBULLAH?

Menteri Buruh Lebanon, Muhammad Fniesh menafikan isu tentang perubahan mekanisme kepemimpinan tertinggi Hizbullah. Katanya, perubahan mekanisme pemilihan pemimpin tertinggi Hizbullah akan hanya dilakukan berdasarkan tatacara yang khusus. Tegasnya lagi, isu perubahan kepemimpinan Hizbullah adalah propaganda yang sengaja disebarkan oleh pihak musuh.
Sementara itu, akhbar al-Mustaqbal di Lebanon baru-baru ini mendakwa bahawa mengikut peraturan, jawatan pemimpin tertinggi Hizbullah tidak boleh disandang oleh seseorang selama tiga penggal berturut-turut, maka dijangkakan kedudukan terkini Hujjatul Islam Sayyid Hasan Nasrullah bakal dipegang oleh orang lain.

WARTAWAN ISRAEL : ZIONIS ADALAH DALANG UTAMA DI SEBALIK PEMBUNUHAN IMAD MUGHNIYAH


Seorang wartawan penyiasatan Israel, Ronen Bergman dalam sebuah bukunya yang baru saja diterbitkan berjudul 'The Secret War With Iran' mendedahkan bahawa Zionis Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesyahidan Komander Hizbullah, asy-Syahid 'Imad Mughniyah di Damsyik, Syria pada bulan Februari 2008 yang lepas. Dalam buku tersebut yang memuatkan sebahagian peristiwa yang berlaku selama dua tahun setengah yang lalu, beliau percaya bahawa pembunuhan ke atas 'Imad Mughniyah bertujuan untuk mengembalikan keyakinan diri para ejen Badan Perisikan Israel dan sekaligus juga untuk menakut-nakutkan negara lain tentang kewujudan badan tersebut. 'Imad Mughniyah yang lebih dikenali dengan panggilan 'Haji Ridhwan' ialah seorang Komander Kanan Hizbullah yang telah gugur sebagai syahid pada 12 Februari 2008 dalam sebuah serangan bom yang didalangi oleh ejen Mossad Israel. Pemimpin Tertinggi Hizbullah, Hujjatul Islam Sayyid Hasan Nasrullah dalam berbagai ceramahnya berikrar dan mengumumkan bahawa Hizbullah akan membalas semula serangan yang tidak bertanggungjawab oleh Israel terhadap Mughniyah itu.

MESIR AKHIRNYA MENERIMA KESAN KRISIS KEWANGAN DUNIA

Menteri Penasihat Ekonomi Mesir, Usman Mohammad Usman menyatakan, "Kerajaan Mesir mengalami kerugian sebanyak USD 8 bilion akibat krisis kewangan dunia. Krisis tersebut mengakibatkan eksport kerajaan Mesir mengalami kerugian sebanyak USD 6 bilion. Adapun sektor import mengalami kerugian sebanyak USD 2 bilion. Perkara ini terjadi kerana perjalanan ekonomi Mesir banyak bergantung kepada Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah."
Beliau menambah lagi, "1/3 eksport Mesir dikirim ke Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah sementara 1/3 pelaburan asing di Mesir dibuat oleh negara-negara tersebut. Oleh kerana itu, krisis ekonomi yang melanda Amerika turut memberi kesan buruk terhadap ekonomi Mesir."

PARA PADERI KRISTIAN AKAN TEMUI AYATULLAH AL-UZMA SAYYID SISTANI

Para paderi dan tokoh Kristian Iraq akan mengadakan pertemuan dengan marji' mazhab Ahlul Bait di Iraq, Ayatullah al-Uzma Sayyid Sistani, di Najaf, Iraq.
Ketua Persatuan Masyarakat Kristian Iraq, Abdullah Naufal menyatakan, "Masalah serangan terhadap masyarakat Kristian di wilayah Nainawa Utara merupakan topik utama yang akan dibincangkan oleh para perwakilan Kristian dalam pertemuan tersebut."
Ayatullah al-Uzma Sayyid Sistani mengecam keras tindakan sekumpulan pengganas terhadap masyarakat Kristian Iraq di Mosul yang menyebabkan ribuan masyarakat tempatan menjadi pelarian. Katanya, "Semua rakyat Iraq dengan latar belakang bangsa dan agama yang berbeza adalah warga negara yang terhormat. Untuk itu, kerajaan perlu melaksanakan pengawasan yang diperlukan serta menjamin keamanan dan keselamatan masyarakat setempat."
Perdana Menteri Iraq, Nouri Maliki dilaporkan telah membentuk sebuah badan khusus yang terdiri dari tujuh orang menteri kabinet bagi menangani semua masalah yang berbangkit di wilayah Nainawa.

MUQTADA SADR KERAHKAN SEJUTA ORANG TENTANG AMERIKA SEDANGKAN WAHABI TERUS MARAKKAN API PERPECAHAN ANTARA MAZHAB


*Berpuluh ribu para pengikut mazhab Ahlul Bait yang merupakan penyokong Hujjatul Islam Sayyid Muqtada al-Sadr menyertai perarakan di Baghdad bagi membantah pendudukan Amerika Syarikat di Iraq.

Para pengikut mazhab Ahlul Bait yang dibakar api kemarahan melaungkan slogan mengutuk Amerika Syarikat dan membakar patung pemimpin Amerika dalam satu perarakan besar-besaran di Baghdad, Iraq. Perarakan itu dianjurkan oleh Hujjatul Islam, Sayyid Muqtada al-Sadr yang mendesak kerajaan Iraq supaya menolak pelan keselamatan Amerika-Iraq.
Patung Presiden George W. Bush dan Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice dibakar bersama beberapa bendera Amerika ketika puluhan ribu para pengikut mazhab Ahlul Bait berarak dari Bandar Sadr di timur Baghdad menuju sehingga ke Dataran Mustansiriyah.
"Katakan tidak kepada Amerika! Katakan tidak kepada syaitan," laung sekumpulan lelaki, wanita dan kanak-kanak dalam perarakan tersebut. Sambil mengibarkan bendera Iraq dan sepanduk pergerakan Muqtada, para penunjuk perasaan mahu penjajahan Amerika di Iraq ditamatkan segera. Sebilangan besar para penyokong Muqtada telah berkumpul sejak awal malam di Dataran Muzhaffar di Bandar Sadr iaitu tempat perarakan bermula namun ramai lagi yang tiba kemudian dari beberapa kawasan lain.
"Kami melancarkan demonstrasi untuk menentang penjajahan. Kenapa Amerika mahu menjajah negara lain? Adakah Amerika suka melihat anak-anak mereka diserang? Kenapa mereka menjajah kita? Mereka telah menipu sejak lima tahun lalu. Mereka sebelum ini berjanji hanya datang untuk membebaskan kami dan akan beredar namun mereka masih lagi di sini," kata salah seorang penunjuk perasaan, Karim Kazhim yang berasal dari Najaf.

Saturday, October 18, 2008

ISRAEL PEMBELI UTAMA SENJATA DI TIMUR TENGAH

Regim Zionis Israel menduduki tempat pertama dalam senarai pembeli senjata di rantau Timur Tengah. Akhbar 'Jerusalem Post' dalam sebuah laporan terbarunya menulis, bagi tahun 2008, Israel mengatasi Arab Saudi dalam jumlah pembelian senjata. Pada tahun-tahun yang terdahulu, Arab Saudi merupakan pembeli senjata terbesar di rantau Timur Tengah.
Menurut sumber tersebut, Jabatan Pertahanan Amerika telah bersetuju ke atas pembelian senjata oleh Israel bernilai USD 20 bilion. Kontrak pembelian senjata oleh Israel itu meliputi pesawat tempur Amerika Syarikat yang terbaru, pesawat pengangkut tentera, kapal perang dan bom pintar.
Israel turut dikatakan sedang berusaha untuk menggantikan nama 'Laut Mati' (Dead Sea). Beberapa orang ahli perniagaan Israel termasuk yang terlibat dalam perniagaan kosmetik, yang memperolehi bahan mentahnya dari 'Laut Mati' meminta kerajaan Tel Aviv supaya mengubah nama 'Laut Mati' kerana aktiviti perniagaan mereka amat besar di kawasan tersebut.
Menurut akhbar 'Yediot Aharonot', Menteri Kehakiman Israel merupakan orang pertama yang mencetuskan gagasan tersebut dan beliau merancang untuk membentuk sebuah badan khusus bagi membahaskan persoalan tersebut pada bulan November 2008 yang akan datang.
Menurut sumber itu lagi, sekiranya cadangan tersebut dipersetujui, maka nama 'Laut Mati' akan dihapuskan dari semua dokumen regim Zionis Israel.