Saturday, January 31, 2009

REVOLUSI ISLAM IRAN UNTUK SELURUH DUNIA - AHMADINEJAD

TEHERAN : Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad menyifatkan revolusi Islam Iran tidak terhad di negaranya saja, ketika Teheran mengadakan majlis mengingati tokoh yang mengetuai gerakan menggulingkan Shah Iran 30 tahun lalu. “Revolusi masih hidup selepas 30 tahun. Kita berada pada permulaan laluan dan cabaran hebat menanti di depan,” kata Ahmadinejad pada majlis sempena ulang tahun kembalinya bapa revolusi, almarhum Imam Khomeini (qs) dari dalam buangan.
Turut sama pada majlis yang diadakan di makam almarhum Imam Khomeini yang terletak di selatan Teheran itu ialah pemimpin spiritual Iran, Ayatullah al-'Uzma Sayyid Ali Khamenei selain anggota kerajaan dan komander tentera.
Setiap tahun, bagi meraikan kepulangan Khomeini selepas 15 tahun dalam buangan, sekolah, kereta api dan bot membunyikan loceng tepat jam 9.33 pagi, saat pesawat yang membawa tokoh itu mendarat pada 1 Februari 1979. Negara itu mengadakan 10 hari keraian menyambut ulang tahun ke-30 penyingkiran kerajaan Shah Iran yang disokong Amerika Syarikat yang memerintah Iran hampir empat dekad tetapi melarikan diri dua minggu sebelum Khomeini pulang. Makam almarhum Imam Khomeini (qs) dihiasi poster besar ulama yang berusia 76 tahun ketika turun dari pesawat Air France dengan dibantu seorang pramugara, imej yang terukir dalam sejarah dunia.
Revolusi itu membawa kepada penubuhan kerajaan ulama yang semakin terpinggir dari pentas dunia. “Revolusi Islam adalah hasil pengorbanan para mujahidin,” tulisan pada kain rentang yang memaparkan antara petikan popular kata-kata almarhum Imam Khomeini.
Kami akan mengawal legasi hebat dan prinsip Imam Khomeini,” ikrar Khamenei pada satu lagi kain rentang mengenai mentornya yang meninggal dunia pada 1989. Sekumpulan tentera Basij merenjis air mawar pada kubur almarhum Imam Khomeini, adat Iran bagi menghormati si mati dan kemudian ditaburi bunga, lapor stesen televisyen kerajaan.
Perayaan tahun ini disambut empat bulan sebelum pilihan raya presiden, dengan Ahmadinejad bertanding untuk sepenggal lagi.

HAMAS PUJI KEBERANIAN ERDOGAN

ISTANBUL - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mendapat pujian daripada pergerakan Hamas kerana tindakannya mengecam Presiden Israel, Shimon Peres berhubung pembunuhan penduduk awam Palestin di Genting Gaza.
Erdogan menegaskan, semua perlu bersuara apabila melihat kezaliman dilakukan.
"Tiada siapa patut memaparkan pembunuhan kanak-kanak dan wanita sebagai kemalangan semata-mata. Membisu apabila berdepan dengan kezaliman adalah sama seperti melakukan kezaliman itu sendiri," kata beliau semasa merasmikan pembukaan sebuah stesen kereta api bawah tanah di sini.
Sementara itu, bendera Turki yang berwarna merah dan putih berkibaran di sisi bendera hijau Hamas pada rapat umum di seluruh Gaza serta di tengah-tengah runtuhan sebuah masjid yang dibom oleh Israel di kem pelarian Jabaliya di wilayah Palestin itu. Kira-kira 5,000 penyokong Hamas kemudian, berhimpun di depan bangunan Parlimen Palestin yang rosak teruk, dengan sebilangannya mengibarkan bendera Turki dan membawa potret Erdogan.
"Kami menganggap tindakan Perdana Menteri Turki itu sebagai menandakan pendirian yang berani dan bertanggungjawab, yang mencerminkan sentimen dan pandangan ummat Islam serta mengesahkan hak-hak rakyat Palestin," kata ahli Parlimen Hamas, Mushir al-Masri Mashir.
Beliau menganggap pendirian itu sebagai jauh lebih maju daripada apa yang diambil oleh kebanyakan negara Arab dan Islam.

ERDOGAN SUARA BARU DUNIA ARAB

*Gambar : Bendera Turki turut berkibaran di samping bendera Hamas semasa perhimpunan rakyat Palestin di Genting Gaza sebagai tanda penghargaan mereka terhadap keberanian Erdogan 'mengajar' Shimon Peres.

ISTANBUL - Tindakan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bertikam lidah dengan Presiden Israel di Forum Ekonomi Dunia di Davos, mungkin menjejaskan kedudukan Turki sebagai perantara proses damai Asia Barat tetapi ia membantu mengukuhkan pengaruh serantaunya dalam jangka masa panjang.
Apabila Shimon Peres menuding jarinya ke arah Erdogan semasa mempertahankan serangan Israel ke atas Gaza, beliau mungkin tidak menyedari sikap Erdogan yang pantang dicabar sedemikian. Erdogan semasa menjawab soalan Peres bagaimana beliau akan bertindak jika peluru roket ditembak ke Istanbul, yang pastinya bukan jawapan yang disediakannya tetapi tepat kepada maksudnya.
"Presiden Peres ! Awak lebih tua dari saya dan suara awak lebih nyaring,'' katanya kepada pemimpin Yahudi itu. ''Penyebab awak meninggikan suara adalah psikologi dari perasaan bersalah. Saya tidak akan meninggikan suara sebegitu. Apabila bercakap soal membunuh, awak lebih tahu bagaimana untuk membunuh. Saya amat maklum bagaimana anda menembak dan membunuh kanak-kanak di atas pantai,'' ujarnya pada Peres.
Ribuan rakyat Turki menyambut kepulangannya di Istanbul sambil mengibarkan bendera Turki dan Palestin. Orang ramai memuji beliau kerana berani berdepan dengan layanan tidak adil di forum antarabangsa tersebut dan berani memberitahu Israel apa yang dirasai oleh ramai rakyat Turki mengenai serangan ke atas Gaza.
''Untuk kebanyakan bangsa Turki dan bukan hanya penyokongnya dalam Parti AK, Erdogan akan dilihat sebagai seseorang yang telah membawa kebanggaan kepada Turki. Di peringkat tempatan, ia sekurang-kurangnya akan mengukuhkan imej dan kredibiliti beliau," kata Cengiz Candar, seorang pakar isu Turki dan Asia Barat.
Turki, sebuah negara Islam yang mengamalkan sistem sekular, berada dalam kedudukan unik di rantau ini kerana ia mempunyai hubungan rapat dengan Israel dan negara-negara Arab.
''Erdogan mungkin akan tercatat dalam sejarah diplomatik sebagai pemimpin Turki yang mengajar Presiden Israel, tetapi persoalannya apakah Turki akan mendapat manfaat daripadanya?,'' kata penulis kolum, Murat Yetkin dalam akhbar Radikal. ''Bukankah ciri-ciri paling penting dimiliki Turki ialah keupayaannya untuk berunding dengan Israel, Syria dan Iran secara serentak?'' tambah beliau.
Peres berkata, beliau sudah bercakap dengan Erdogan menerusi telefon selepas debat di Davos itu, mungkin satu petanda Israel masih menghargai peranan Turki.
Erdogan sedang berusaha untuk membina jambatan dengan negara-negara Arab menunjukkan kesukaran yang dihadapi Turki. Turki, sebagai anggota NATO yang juga mahu menyertai Kesatuan Eropah, telah meletakkan dirinya sebagai perantara dalam konflik Asia Barat. Dalam dunia Arab, tindakan Erdogan telah disambut baik tatkala pemimpin-pemimpin mereka sendiri dikritik kerana gagal menghentikan serangan Israel yang telah mengorbankan lebih 1,300 orang Palestin.
''Dengan satu tindakan, mungkin tidak disengajakan, Erdogan kini menjadi hero dalam dunia Arab. Beliau telah menjadi suara bagi orang Arab semasa ketiadaan suara berwibawa dari pemimpin Arab sendiri,'' kata Candar. Kerajaan-kerajaan Turki sebelum ini, secara umumnya menghindarkan diri daripada terlibat dengan dunia Arab dan memilih untuk menjalin hubungan lebih rapat dengan Barat.
''Daripada sudut pandangan politik, tindakan Erdogan adalah salah, mungkin juga bodoh tetapi seseorang perlu bersuara terhadap Israel dan saya gembira Erdogan telah berbuat demikian,'' kata Mustafa Aydin, 49, seorang tokoh tempatan di Istanbul.

Friday, January 30, 2009

PM TURKI TINGGALKAN SIDANG DAVOS SETELAH KECAM ISRAEL

*Gambar : Erdogan melambaikan tangan kepada rakyat Turki yang menyambut kepulangannya sebagai wira di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk di Istanbul. Perdana Menteri Turki itu bertindak meninggalkan sidang WEF di Davos setelah beliau dihalang meneruskan ucapannya berikutan tindakannya mengecam Presiden Israel, Shimon Peres dengan berkata : "Kamu membunuh orang."

DAVOS - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bertindak meninggalkan sidang Forum Ekonomi Dunia (WEF) di sini selepas terlibat dengan pertikaman lidah dengan Presiden Israel, Shimon Peres berhubung konflik di Genting Gaza. Erdogan berikrar tidak akan kembali semula menyertai forum itu yang dihadiri oleh golongan elit politik dan ahli perniagaan dunia.
*Gambar : Bengang...Recep Tayyip Erdogan berjalan keluar melintasi Peres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-Moon dan Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa (kanan sekali) selepas bertikam lidah dengan Presiden Israel, Shimon Peres mengenai isu keganasan rejim Zionis pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.
Dalam detik-detik paling dramatik yang jarang dilihat berlaku pada forum Davos, Erdogan berjalan keluar meninggalkan dewan di hadapan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon dan anggota panel lain dengan mendakwa, beliau telah dipaksa memendekkan kenyataannya mengenai perang itu.
"Saya tidak fikir saya akan kembali ke Davos selepas ini kerana anda tidak membenarkan saya bercakap," kata Perdana Menteri itu sebelum beredar, meskipun beliau kemudiannya menyatakan kesediaan untuk menimbangkan semula keputusannya itu.
Erdogan mengkritik para hadirin yang terdiri daripada tokoh korporat dan ahli politik antarabangsa kerana memberikan tepukan selepas Peres dengan penuh emosi mempertahankan serangan Israel ke atas Gaza, sehingga menyebabkan lebih 1,300 rakyat Palestin terkorban. Beliau yang mengetuai segelintir negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel menyifatkan apa yang dilakukan oleh Israel di Gaza sebagai tindakan 'tidak bertamadun'.
"Saya berasa sangat sedih kerana hadirin bertepuk tangan selepas Peres berucap kerana ramai penduduk Palestin telah terbunuh," katanya kepada Peres sebelum dicelah oleh pengerusi sesi iaitu wartawan Washington Post, David Ignatius.
"Kita tidak boleh memulakan perbahasan semula kerana kita kesuntukan masa," kata Ignatius kepada Perdana Menteri Turki itu.
Peres sebelum itu mendakwa Israel terpaksa melancarkan serangan ke atas Hamas kerana ribuan roket dan mortar telah dilancarkan ke wilayah Israel. Sambil meninggi suara dan menuding jari ke arah Erdogan, beliau berkata, Turki sudah tentu bertindak sama jika roket dilancarkan ke Istanbul.
Ki-Moon, Erdogan, Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Mussa dan Peres duduk dalam satu barisan untuk menyertai perbahasan itu dan kesemua mereka membuat kenyataan panjang lebar mengulas mengenai konflik tersebut.

7 PEGAWAI ISRAEL DISIASAT

MADRID - Mahkamah Tinggi Sepanyol akan melancarkan siasatan terhadap tujuh pegawai Israel berkaitan jenayah perang, termasuk seorang bekas Menteri Pertahanan, berhubung serangan yang membunuh 14 orang awam dan seorang komander Hamas di Genting Gaza pada tahun 2002.
Undang-undang Sepanyol membenarkan rakyat asing didakwa atas tuduhan jenayah seperti pembunuhan kaum, jenayah terhadap kemanusiaan dan penyeksaan yang dilakukan di mana-mana tempat di dunia.
Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak menyifatkan kes Gaza itu sebagai 'delusi.' Pusat Hak Asasi Manusia Palestin yang berpejabat di Gaza telah memfailkan kes tersebut terhadap bekas Menteri Pertahanan, Binyamin Ben-Eliezer serta enam pegawai tentera Israel yang kebanyakannya kini sudah bersara.
Mereka dikatakan terlibat dalam keputusan untuk menggugurkan sebuah bom seberat satu tan dari sebuah jet F-16 ke atas sebuah blok perumahan yang penuh sesak dengan penduduk pada 22 Julai 2002.
Letupan itu telah membunuh komander Hamas, Salah Shuhada tetapi Pusat Hak Asasi Manusia Palestin menyatakan bahawa kes itu difailkan bagi pihak keluarga kepada 14 penduduk awam yang terkorban, sembilan daripada mereka adalah kanak-kanak dan 96 lagi penduduk yang cedera.
"Jika Israel ingin menjadi sebuah negara bertamadun, ia perlulah mematuhi kedaulatan undang-undang dan kedaulatan undang-undang tidak ditegakkan dengan menggugurkan bom seberat 1,000 kilogram," kata peguam pertubuhan Palestin itu, Gonzalo Boye.

Thursday, January 29, 2009

HAMAS TOLAK SYARAT GENCATAN SENJATA ISRAEL

*Gambar : Lagi mangsa kezaliman Zionis...Dua kanak-kanak Palestin yang cedera parah dalam serangan terbaru tentera Israel di Khan Younis, Gaza dirawat di hospital bandar itu.

BEIRUT – Pemimpin Hamas yang hidup dalam buangan di Damsyik, Khaled Mesh'aal menolak syarat Israel untuk mengadakan gencatan senjata jangka panjang dengan pergerakan pejuang Palestin itu.
Khaled berkata, Hamas tidak akan menerima syarat Israel yang akan membuka pintu sempadan ke Genting Gaza hanya selepas Hamas membebaskan seorang askar Israel yang ditawan oleh pejuang Palestin di Gaza pada Jun 2006.
“Kami dimaklumkan baru-baru ini tentang syarat-syarat Israel untuk mewujudkan gencatan senjata. Kami menolak syarat-syarat itu dan sama sekali tidak akan menerimanya,” kata Khaled.


Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert berkata, pintu sempadan Gaza 'akan dibuka secara tetap' hanya selepas Sarjan Gilad Shalit dibebaskan.
Khaled mengulangi pendirian Hamas bahawa beribu-ribu tahanan Palestin hendaklah dibebaskan dari penjara Israel sebagai pertukaran dengan Shalit. Hamas enggan mengaitkan pembebasan askar Israel itu dengan pembukaan semula pintu sempadan.

Sebagai jawapan kepada pembunuh kanak-kanak bernama Olmert, saya dengan nama Hamas dan wira-wira yang menahan Shalit ingin menegaskan bahawa kami tidak akan menerima pembebasan Shalit sebagai syarat pembukaan sempadan,” kata Khaled.
Shalit ditawan dalam satu serangan oleh pejuang Palestin yang bersekutu dengan Hamas ke atas sebuah pos sempadan yang dikawal oleh unit kereta kebal Israel.

ISRAEL BEDIL BENGKEL SENJATA

*Gambar : Seorang kanak-kanak lelaki Palestin yang cedera dalam serangan terbaru Israel di bandar Khan Younis meraung menahan kesakitan ketika dirawat di hospital Khan Younis, selatan Gaza.

GAZA CITY - Pesawat perang Israel mengebom sebuah bengkel pengeluaran senjata di Genting Gaza, selepas pejuang Palestin melancarkan sebuah roket ke wilayah Israel. Israel melancarkan serangan itu, ketika Duta Khas Amerika Syarikat ke Asia Barat, George Mitchell berada di rantau ini dalam usaha mengukuhkan gencatan senjata yang diisytiharkan lebih 10 hari lalu.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam serangan itu yang dilancarkan oleh Israel sebelum subuh ke atas sasaran di bandar Rafah, dekat sempadan Gaza dengan Mesir. Saksi dan pejuang Hamas berkata, sebuah bengkel membuat acuan logam mengalami kerosakan.
Sejurus sebelum itu, sebuah kumpulan pejuang yang ada hubungan dengan Parti Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas mengaku bertanggungjawab melancarkan sebuah roket ke selatan Israel. Jet pejuang Israel kemudian melancarkan satu lagi serangan ke atas bandar Khan Younis mengakibatkan 18 cedera, termasuk 11 murid sekolah, seorang wanita mengandung dan seorang polis Hamas.
Serangan roket itu adalah yang pertama dari Gaza sejak Israel dan Hamas mengisytiharkan gencatan senjata berasingan pada 18 Januari lalu, bagi menamatkan kempen serangan Israel selama 23 hari ke atas wilayah Palestin tersebut. Walaupun serangan roket itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa di pihak Israel, para pemimpin Yahudi yang bakal menghadapi pilihan raya umum pada 10 Februari ini telah berikrar untuk membalas sebarang tembakan roket pejuang Palestin dari Gaza itu.
Rejim Yahudi itu telah memberi amaran akan mengambil tindakan lebih keras terhadap pembunuhan seorang askarnya dalam satu letupan dekat pagar sempadan Gaza baru-baru ini.

Sunday, January 25, 2009

SYEIKH YUSUF QARADHAWI : UMMAT ISLAM TIDAK MEMUSUHI YAHUDI TAPI ZIONIS

Syeikh Yusuf al-Qaradhawi menegaskan bahawa ummat Islam tidak memusuhi orang-orang Yahudi. Ummat Islam, kata Qaradhawi, hanya menentang gerakan orang-orang Zionis yang agresif dan menyebarkan permusuhan.
Qaradhawi yang juga mengetuai International Union for Muslims Scholars (IUMS)mengungkapkan perkara tersebut ketika menerima kunjungan tiga orang Rabai Yahudi Neturei Karta yang anti gerakan Zionisme.
Menurut Qaradhawi, "Selama berabad-abad orang-orang Yahudi hidup aman damai di negara-negara ummat Islam. Orang-orang Yahudi adalah bangsa yang paling kaya di Mesir dan banyak negara ummat Islam yang lain. Tidak ada permusuhan antara Muslim dan Yahudi," tegas Qaradhawi sewaktu menerima ketiga Rabai itu di rumahnya di Qatar.
Kenyataan Qaradhawi dibenarkan oleh Rabai Aharon Cohen, yang mengatakan bahawa orang-orang Yahudi yang tinggal di negara-negara ummat Islam tidak mengalami banyak masalah. Para Rabai Yahudi Neturei Karta yang mengunjungi Qaradhawi, mengenakan lencana bertuliskan 'Saya orang Yahudi, bukan Zionis'.
Syeikh Qaradhawi turut mengatakan bahawa Muslim dan Yahudi adalah sama-sama pengikut dua agama Ibrahim. Mereka adalah kelompok Yahudi yang meyakini kitab suci Taurat yang asli dan sangat dekat dengan ummat Islam. "Pengikut dua agama ini memiliki ritual dan ajaran agama yang sama seperti, kewajipan berkhatan bagi lelaki, memotong haiwan dengan cara yang halal, mengharamkan daging babi dan melarang patung-patung diletakkan di dalam masjid", tegas Qaradhawi. Ummat Islam dan Yahudi, tambah Qaradhawi, sama-sama diburu ketika kekuasaan Islam di Andalusia jatuh.
Kini, kata Qaradhawi, ummat Islam dan Yahudi yang sama-sama meyakini Tuhan Yang Maha Esa, seharusnya bekerjasama untuk memerangi ateisme, pornografi, lesbian dan homoseks serta ketidakadilan.
Ia juga menekankan betapa pentingnya memperkuatkan hubungan antara Muslim dan Yahudi, untuk menghadapi ancaman Zionisme dan negara Israel yang didirikan di atas kehancuran bangsa Palestin. "Ummat Islam menentang penjajahan dan gerakan Zionisme yang menindas, bukan orang-orang Yahudi," tegas Qaradhawi.

Rabai Cohen menambahkan, "Yudaisme, yang berdasarkan pada ajaran Taurat yang benar, tidak mengakui Zionisme. Taurat dan Yudaisme tidak membenarkan penjajahan, pembunuhan dan pengusiran orang dari rumah-rumah mereka."
Zionisme adalah gerakan politik antarabangsa yang bergerak untuk mencipta tanah air bagi orang-orang Yahudi Zionis di Palestin. Gerakan ini berjaya mewujudkan negara Zionis Israel pada 15 Mei 1948 dengan merampas tanah dan mengusir bangsa Palestin.
Jurucakap Neturei Karta, Rabai Yisrael Weiss menyatakan, ajaran-ajaran yang diamalkan oleh Israel bertentangan dengan ajaran Yudaisme. Neturei Karta sendiri adalah organisasi yang mewakili ratusan ribu penganut Yahudi Ortodoks di seluruh dunia yang menentang gerakan Yahudi Zionis. Neturei Karta meyakini, berdirinya negara Palestin dan dihapusnya negara Israel akan membawa perdamaian di Timur Tengah. "Taurat dan sejarah Yahudi mengatakan bahawa suatu hari negara Israel akan runtuh," tegas Rabbi Weiss.

BBC DICEMUH, AL-JAZEERA TARIK PENONTON AMERIKA SYARIKAT

*Gambar : Kanak-kanak Palestin bermain dekat kawasan kediaman mereka yang musnah dalam serangan Israel di Jabaliya, Gaza.

LONDON : Keengganan menyiarkan rayuan mengumpul dana untuk penduduk Palestin menyebabkan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) dikecam hebat manakala al-Jazeera mendapat perhatian penduduk Amerika Syarikat kerana menjadi stesen TV tunggal melaporkan serangan Israel di Gaza dari wilayah itu.
Dalam satu blog di laman webnya, Ketua Pengarah BBC, Mark Thompson menulis : "Gaza masih menjadi satu cerita besar yang berterusan di mana isu kemanusiaan menjadi cerita utama dan terus dibahaskan. Kadang kala ia bukan tempat yang sesuai tetapi kami mempunyai satu tugas untuk memastikan bahawa tiada risiko yang terpaksa diambil. Ia bertujuan melindungi dan kami membuat keputusan sukar berkenaan," kata Thompson.
*Gambar : Dua orang lelaki memakai topeng Presiden Mahmoud Abbas (kanan) dan Ismail Haniyeh, pemimpin Hamas, bersalam sebagai simbol menggesa puak Palestin bersatu di perkampungan Bilin, Ramallah di Tebing Barat.

Sementara itu, bilangan penonton Amerika bagi rangkaian al-Jazeera versi Inggeris meningkat secara mendadak ketika kempen serangan Israel ke atas Hamas berikutan hanya stesen itu mempunyai wartawan yang melaporkan perkembangan secara langsung dari Gaza. Penonton menontonnya melalui internet dengan memanfaatkan kemunculan media online seperti halaman web Twitter yang menyediakan maklumat terkini mengikut masa sebenar. Ketika konflik selama 22 hari itu berakhir hujung minggu lalu, stesen berkenaan dan rangkaian berbahasa Arab stesen itu menyiarkan lebih banyak gambar berbanding media Amerika mengenai bilangan kematian serta kecederaan wanita dan kanak-kanak Palestin.

*Gambar : Para penunjuk perasaan membawa sepanduk mengecam pendirian BBC tetapi memuji al-Jazeera dalam isu membantu penduduk Palestin di Gaza ketika membantah di London.

Secara keseluruhan video halaman web stesen itu menyaksikan kenaikan sehingga 600 peratus dari segi jumlah penonton di seluruh dunia ketika serangan Gaza dan kira-kira 60 peratus datangnya dari Amerika sendiri, berdasarkan bilangan dalaman stesen berkenaan sendiri.

KERAJAAN BRITAIN KECAM BBC

*Gambar : Para penunjuk perasaan berhimpun di hadapan bangunan BBC di London.

LONDON – Stesen Perbadanan Penyiaran British (BBC) dikecam hebat oleh kerajaan Britain dan para aktivis kerana berkeras dengan pendiriannya untuk tidak menyiarkan rayuan bantuan kecemasan bagi penduduk Palestin di Genting Gaza.
BBC yang memberi alasan penyiaran rayuan tersebut boleh menjejaskan sikap berkecualinya, juga mempersoalkan sama ada bantuan boleh disalurkan dengan berkesan kepada penduduk di Gaza. Bagaimanapun keputusan BBC itu mencetuskan kritikan hebat daripada kerajaan Perdana Menteri, Gordon Brown dan pertubuhan-pertubuhan Islam, sementara beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di luar pejabat BBC untuk memprotes pendirian tersebut.
BBC yang mendapat pembiayaan kerajaan kini satu-satunya stesen penyiaran bukan satelit yang enggan menyiarkan rayuan bantuan oleh Jawatankuasa Kecemasan Bencana (DEC).
Ketiga-tiga pesaing BBC menyatakan mereka akan menyiarkan rayuan tersebut
. DEC yang menggabungkan beberapa badan kebajikan seperti Palang Merah Britain dan Oxfam menekankan ia bukan sebuah pertubuhan politik dan usahanya semata-mata untuk memenuhi keperluan kemanusiaan.
Setiausaha Pembangunan Antarabangsa, Douglas Alexander menggesa BBC mengubah pendiriannya itu. “Saya fikir rakyat Britain boleh membezakan antara sokongan untuk bantuan kemanusiaan dengan sikap berat sebelah dalam sesuatu konflik,” katanya di radio BBC.
Alexander menambah, beliau mendapati sukar untuk mempercayai hujah BBC itu apabila melihat penderitaan penduduk yang sangat dahsyat di Gaza sekarang. Majlis Muslim Britain pula menyifatkan keputusan BBC itu sebagai pengabaian kewajipan yang sangat serius.

Saturday, January 24, 2009

HAMAS KEMBALI AKTIF SEMULA

*Gambar : Ketua Pertahanan Sivil Hamas, Yousef Zahar (tengah, bertopi), pada sidang media di Deir El-Balah, selatan Gaza, memaklumkan rancangan pergerakan itu.

GAZA : Pergerakan Hamas yang mendapat sokongan penduduk Gaza kembali aktif selain berjanji menjaga kebajikan warga wilayah itu bagi membina semula kehidupan penduduknya. Saksi berkata, dalam satu kes, seorang anggota Hamas berjanggut memberi lima wang keping USD100 (RM1,793.65) kepada seorang wanita yang rumahnya di Beit Lahiya musnah ketika serangan Israel baru-baru ini, bayaran bantuan pertama seperti dijanjikan oleh kumpulan itu. Di tempat lain, sebuah jentolak membersihkan runtuhan dan menimbus sebuah lubang akibat bom di mana seminggu sebelumnya seorang pemimpin atasan Hamas terbunuh dalam serangan udara Israel.
Sejak perjanjian damai mengambil alih minggu ini, mengakhiri kekejaman tiga minggu Israel, pemerintah Hamas di sini mengisytiharkan kejayaan dan bertindak sendiri bagi menunjukkan mereka berkuasa semula. Mereka sudah berjanji memberi bantuan berjumlah USD52 juta (RM186.54 juta) daripada dana kumpulan itu untuk membantu memulihkan semula kehidupan rakyat, wang yang diagihkan mengikut kategori. Hamas, dipercayai dibiayai hasil sumbangan dari dunia Islam dan Iran berkata, bantuan kecemasan termasuk USD1,300 (RM4,663.49) bagi satu kematian dalam keluarga, USD650 (RM2,331.74) bagi setiap kecederaan, USD5,200 (RM18,653.96 ) bagi sebuah rumah yang musnah dan USD2,600 (RM9,326.98) bagi sebuah rumah yang musnah.
Lebih 4,000 rumah musnah dan kira-kira 20,000 rosak, menurut anggaran pihak bebas. "Kami berkuasa dan kami pemenang," kata pembuat dasar Hamas, Mushir al-Masri mengisytiharkan minggu ini, selepas menghadiri pengebumian empat lelaki bersenjata Hamas. Namun, serangan Israel memusnahkan semua perkarangan keselamatan Hamas dan kebanyakan bangunan kerajaan. Dua pemimpin atasannya, Mahmoud Zahar dan Perdana Menteri Gaza, Ismail Haniyeh, masih tidak muncul di khalayak ramai. Israel mendakwa membunuh lebih 700 pejuang Hamas, sementara pejuang terbabit mengatakan mereka kehilangan kira-kira 280 lelaki bersenjata, majoriti besar anggota polis terbunuh dalam pengeboman mengejutkan pada hari pertama perang.

PERKAHWINAN DEMI DENDAM TERHADAP ISRAEL

*Gambar : Aida (kiri) ditemani rakannya menunggu ketibaan pengantin lelaki di sebuah pusat kecantikan di Bandar Gaza.

BANDAR GAZA : Tiada sebarang majlis keraian atau sambutan apabila Aida al-Qaddumi yang berusia 22 tahun berkahwin minggu ini. Malah, beliau langsung tidak menunjukkan rasa kesal sebaliknya berkata, bahawa perkahwinan beliau adalah semata-mata untuk menambahkan bilangan 'pejuang' dan hanya mahukan beliau mati sebagai seorang 'syahid' di Israel. Tiga minggu serangan maut Israel terhadap Semenanjung Gaza memaksa perkahwinan beliau yang sepatutnya berlangsung 7 Januari lalu ditangguhkan, tetapi tidak sedikitpun mengubah keinginan itu.
Pengantin perempuan itu, sebaliknya tetap ke sebuah salun kecantikan di daerah tengah bandar, Rimal untuk dandanan rambut dan solekan sempena hari bersejarahnya pada 22 Januari lalu. Manakala, pengantin lelaki, Fadel al-Ghul, yang juga adik Menteri Kehakiman Hamas, Faraj menjemput beliau beberapa jam selepas itu. Kedua mereka bersetuju sebagai menghormati kematian lebih 1,300 penduduk Palestin di Gaza untuk tidak mengadakan sebarang acara keraian mengikut tradisi mereka sempena perkahwinan kedua pasangan itu.
Selain angka kematian yang dahsyat itu, dewan perkahwinan yang sepatutnya disewa untuk majlis keraian pula musnah akibat bedilan bom Israel. Di salun, Aida ditemani rakannya yang bertudung litup dari kepala hingga hujung kaki yang hanya duduk di satu sudut. Pengantin perempuan mengenakan gaun labuh dihiasi labuci perak dengan wajahnya ditutup. Dengan suara perlahan, Aida menyatakan rasa gembira untuk berkahwin, tetapi sedih dengan kehancuran dan kematian yang berlaku. "Saya kehilangan abang dan beberapa sepupu. Kebanyakan keluarga kehilangan anak," katanya.
Kuarters Shujaiya yang menjadi tempat tinggal beliau adalah kubu kuat Hamas yang menjadi sasaran utama serangan tentera Israel. Berpuluh-puluh penduduk kebanyakannya adalah orang awam terbunuh, manakala puluhan rumah musnah. Mengikut adat tempatan, pasangan baru itu akan tinggal di rumah keluarga suami di daerah Nasser. "Ketika serangan, beberapa bangunan di sekeliling kami dibom. Syukur kepada Tuhan, rumah kami tidak kena bom. Kami tinggal dalam ketakutan setiap hari," kata Aida. Ketika ditanya impian kehidupan beliau, Aida hanya berkata: "Kehidupan saya di tangan Tuhan." Bagaimanapun setiap kali menyebut Israel, wanita itu meninggikan suaranya. "Mereka adalah pembohong. Tiada senjata di masjid atau sekolah, tetapi mereka masih mengebom di sana. Mereka membunuh kanak-kanak. Seluruh dunia melihat gambar, tetapi langsung tidak berbuat apa-apa," katanya. Israel mendakwa, pejuang Hamas bersembunyi di kalangan penduduk awam untuk melancarkan roket dan menyimpan senjata di masjid.
Aida berkata, anak beliau akan dibesarkan untuk menghormati Islam dan diajar dengan cara berkenaan supaya dapat memasuki syurga dengan mudah. "Saya mahukan anak saya menjadi pejuang di jalan Allah. Jika saya diberi peluang, saya akan mati ketika satu operasi di Israel," katanya. Fadel, 35, tiba tidak lama selepas itu memakai sepasang sut gelap. Beliau bekerja selama beberapa tahun dengan sebuah pertubuhan kebajikan utama yang ditubuhkan oleh pengasas Hamas, Sheikh Ahmed Yassin pada 1970-an.
Menentang Israel adalah satu tugas, kata Fadel. Menurutnya lagi, "Kami tinggal di tanah kami, tanah yang dipenuhi pejuang. Mereka mahu membunuh kami tetapi kami akan bunuh mereka terlebih dulu. Ketika operasi mereka akan memusnahkan bangunan, masjid dan rumah tetapi mereka tidak akan dapat memusnahkan kumpulan yang membawa penentangan."
Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat menyenaraikan Hamas sebagai sebuah pertubuhan pengganas dan enggan berunding dengan kumpulan yang memenangi pilihan raya Februari 2006 mengalahkan kumpulan Fatah yang diketuai Presiden Mahmoud Abbas.

KAPAL PERANCIS KE GAZA BANTERAS SELUDUP SENJATA

PARIS – Sebuah kapal tentera laut Perancis yang membawa sebuah helikopter sedang dalam perjalanan ke perairan antarabangsa di pesisiran pantai Genting Gaza untuk menyertai misi menangani penyeludupan senjata ke wilayah Palestin itu.
Kapal itu dihantar atas arahan Presiden Nicolas Sarkozy dalam satu kerjasama dengan Israel dan Mesir yang merupakan sebahagian usaha 'tindakan segera menentang penyeludupan senjata ke Gaza.'
Tentera Perancis berkata, kapal fregate Germinal itu yang menyertai misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertolak dari Lebanon. Perancis, Britain dan Jerman telah menawarkan bantuan untuk menghalang aktiviti penyeludupan ke Genting Gaza supaya gencatan senjata dapat diteruskan.

GAZA TIDAK DIBUKA SEPENUHNYA - ISRAEL

*Gambar :Sebahagian pelajar Palestin di sekolah yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Beit Lahia, beratur untuk memasuki kelas buat kali pertama selepas sesi persekolahan dimulakan semula setelah tentera Israel berundur dari Gaza.

GENTING GAZA - Israel menolak permintaan antarabangsa untuk membuka sepenuhnya sempadan di Genting Gaza. Bagaimanapun, pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memuji tindakan rejim Zionis berkenaan kerana membenarkan 120 trak yang membawa bekalan makanan dan ubatan memasuki Genting Gaza setiap hari.
Sementara itu, diplomat lain mengutuk sekatan ke atas keluli dan simen ke wilayah Palestin tersebut yang diperlukan untuk membaik pulih bangunan yang musnah akibat serangan Israel.
Israel turut menyekat pihak berkuasa Palestin daripada membuat penghantaran wang tunai ke Genting Gaza. "Mereka takut wang berkenaan akan disalurkan kepada Hamas," kata seorang pegawai kanan diplomat barat.
Seorang penasihat Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert, yang enggan dikenali berkata : "Jika tindakan itu akan mengukuhkan Hamas, kami tidak akan melakukannya." Israel percaya sekatan itu akan memberi pengaruh terhadap rundingan damai dengan Hamas anjuran Mesir bagi membebaskan tenteranya, Gilad Shalit yang ditangkap oleh pejuang Hamas pada 2006.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama baru-baru ini berkata, sempadan Genting Gaza harus dibuka semula bagi membolehkan kumpulan hak asasi manusia dan barangan keperluan disalurkan dengan 'dipantau oleh rejim' dan pihak berkuasa Palestin pimpinan Presiden Palestin Mahmoud Abbas.
Obama turut merancang menghantar duta Timur Tengahnya, George Mitchell ke wilayah berkenaan tidak lama lagi untuk menyokong gencatan senjata yang diisytiharkan Israel selepas Washington dan kuasa-kuasa Eropah berjanji untuk membantu menghentikan penyeludupan senjata kepada Hamas.

SAH! ISRAEL GUNA BOM KIMIA

*Gambar : Seorang kanak-kanak Palestin yang memulakan persekolahan semalam sedih melihat keadaan kelasnya yang musnah apabila sekolah milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dibom oleh tentera Israel, baru-baru ini.

Israel tolak permintaan antarabangsa untuk membuka sepenuhnya sempadan di Genting Gaza bagi memudahkan bantuan disalurkan. Amnesty International mengesahkan terdapat bukti tentera Israel menggunakan bom mengandungi 'fosforus putih' semasa menyerang Gaza.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama meminta Raja Arab Saudi, Raja Abdullah membantu menghentikan penyeludupan senjata ke Gaza.

Wednesday, January 21, 2009

PALESTIN BERHAK MILIKI AKSES SENJATA API

TEHERAN – Iran yang dituduh oleh rejim Zionis sebagai pembekal senjata kepada pejuang Hamas berkata, mana-mana kumpulan penentang di dunia yang melalui keadaan sebagaimana yang berlaku di Gaza, berhak untuk memiliki senjata bagi bertindak balas ke atas penjajah.
Sebuah kerajaan atau rakyat yang mahu mempertahankan diri mereka, tentulah akan mendapatkan senjata tidak kira dari mana sahaja,” kata Menteri Luar, Manouchehr Mottaki dalam ucapannya mengenai konflik di Gaza.

HAMAS RAI PENGUNDURAN ISRAEL

*Gambar : Penduduk Palestin membawa bendera Hamas sambil melaung-laungkan slogan anti-Israel semasa berarak di kawasan runtuhan bangunan di Jabaliya, Gaza.

GAZA - Pengisytiharan Hamas sebagai pemenang dalam menentang serangan pencerobohan habis-habisan tentera rejim zionis Israel baru-baru ini disambut dan dirai oleh ribuan penyokongnya dengan bendera Islam berwarna hijau berkibar megah di tengah lautan kemusnahan Gaza.
Dengan penuh kebencian para pejuang Islam menzahirkan cemuhan ke atas rejim zionis melalui sepanduk besar dalam bahasa Hebrew berbunyi - 'Kekalahan yang memalukan Yahudi Israel', 'Gaza hanya perlu membaling seketul batu untuk menyingkirkan negeri Yahudi'.
Pemimpin Hamas, Ismail Radwan ketika berucap dari tingkat atas dataran Gaza dengan membelakangkan bangunan parlimen yang musnah teruk pada perhimpunan raksasa itu berkata, "Hamas sekarang lebih berkuasa dan digeruni."
Hamas bagaimanapun tidak menyatakan sebarang rancangan pelan pembangunan semula Gaza yang habis ranap ekoran serangan pencerobohan lebih tiga minggu tentera rejim zionis Israel dan menyebabkan kerugian kira-kira USD2 bilion. Turut musnah ialah di kawasan sempadan Gaza antara Mesir dan Israel yang hanya akan dibuka semula jika para pejuang melepaskan kawalan mereka.
Beberapa meter daripada kawasan Hamas berhimpun, pemimpin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon meninjau ibu pejabat PBB di Gaza dan memeriksa kerosakan serta kemusnahan akibat pengeboman serta bedilan dalam serangan pencerobohan tentera rejim Israel minggu lalu. Kedai membaiki kereta dan tiga buah gudang penyimpanan tepung, minyak dan stok bekalan makanan untuk keperluan penduduk di situ turut musnah.
Lima hari selepas tamat serangan, semua bekalan beras, kekacang dan ubat-ubatan masih terbakar dan asap putih meluap ke udara, hanya beberapa meter sahaja dari tempat Ki-moon bercakap kepada pemberita dengan pesawat peninjau tanpa juruterbang Zionis terbang berhampiran.
Pemimpin tertinggi dunia itu 'benar-benar marah dan kecewa' dengan serangan ke atas gudang dan dua bangunan sekolah PBB dengan mengarah agar siasatan penuh dilakukan. Rejim zionis Israel bagaimanapun mendakwa serangan dibuat untuk membalas tembakan para pejuang di kawasan terlibat dan berjanji untuk membuat siasatannya sendiri.
Hasil lawatan tersebut Ki-Moon memberitahu bahawa ratusan tong bekalan makanan dan ubat-ubatan habis musnah dalam serangan Khamis lalu. "Ia betul-betul tidak berperikemanusiaan dan langsung tidak boleh diterima," katanya sambil menggelengkan kepalanya.
Ketika melawat bandar Sdetor di sempadan Israel yang menjadi sasaran serangan roket Hamas kemudiannya, dia hanya melahirkan simpati kepada penduduk setempat dengan berkata, "Hari-hari hidup anda ditemani bunyi dan letupan roket di udara. Tidak ada manusia yang boleh hidup dalam negeri seperti ini. Saya mengharap undang-undang hak asasi kemanusiaan dapat melindungi kehidupan orang-orang awam agar ia lebih diyakini dan dihormati."
Secara peribadi, Ki-Moon bersungguh-sungguh untuk berusaha menamatkan peperangan yang membunuh lebih 1,300 orang rakyat Palestin termasuk 900 orang awan dan 168 polis awam, menurut Pusat Hak Asasi Kemanusiaan Palestin (PCHR).
Di Gaza sahaja, menurut laporan itu, kira-kira 156 pejuang terbunuh termasuk 48 pejuang Hamas, 34 dari kumpulan Jihad Islam dan yang lain adalah kumpulan sokongan Fatah di bawah pimpinan Presiden Palestin Mahmoud Abbas.
Pegawai Kementerian Kesihatan Gaza, Dr. Moawiya Hassanain berkata, beliau yakin Hamas tidak melaporkan semua pejuangnya yang terkorban. Pemimpin Hamas tidak pernah memberi kenyataan mengenai angkatan pejuangnya yang terkorban kerana tidak mahu melemahkan semangat mereka. Hamas mempunyai kira-kira 20,000 orang pejuang. Cuma pada beberapa kes tertentu diisytiharkan oleh Hamas seperti pelancaran lebih 2,500 roket ke kawasan Israel sebagai serangan balas sepanjang dua minggu.

Sunday, January 18, 2009

ISRAEL HENTI SERANG GAZA

*Gambar : Penduduk Palestin pulang ke rumah masing-masing di Beit Lahia, Gaza selepas gencatan senjata diumum.

BANDAR GAZA : Tentera Israel di Semenanjung Gaza diarahkan untuk menghentikan serangan selepas Israel mengumumkan gencatan senjata sebelah pihak bertujuan menamatkan serangan kejam selama tiga minggu peperangan ke atas militan yang didakwa menyerang selatan Israel dengan roket.
Namun beberapa jam kemudian, pejuang Islam melepaskan 10 roket ke dalam Israel, sebelum mengeluarkan kenyataan untuk turut memulakan gencatan senjata selama seminggu ketika wakil negara-negara asing menuju ke Mesir untuk cuba mengukuhkan lagi gencatan senjata.
Di Gaza, penduduk mengisi van dan kereta keldai dengan selimut dan mula bertolak ke rumah mereka untuk melihat apa yang tinggal selepas serangan udara dan darat di jajahan tepi laut. Jengkaut mula menyodok runtuhan di bandar ini, pusat penduduk terbesar jajahan itu, bagi memberi laluan kepada kenderaan ketika pekerja perubatan mencari berpuluh mayat di sebalik runtuhan timbunan konkrit. Di selatan Israel, penduduk yang melarikan diri daripada serangan roket selama lapan tahun menuduh kerajaan menghentikan serangan lebih awal.
*Gambar : Sekumpulan tentera Yahudi melintas masuk ke Israel selepas gencatan senjata diumumkan oleh Perdana Menteri, Ehud Olmert.

Israel menghentikan serangan bersenjata dan pesawat pejuang sebelum mencapai penyelesaian panjang terhadap masalah penyeludupan senjata ke Gaza, satu daripada sasaran perang terbabit. Malah, perisytiharan Israel untuk menempatkan tenteranya di Gaza sehingga pejuang Islam menghentikan serangan menambah prospek pertembungan lanjut dengan Hamas, yang berkata mereka akan berjuang sehingga semua askar Israel berundur.
Gencatan senjata itu berkuat kuasa pukul 2 pagi waktu tempatan selepas 22 hari serangan yang membunuh kira-kira 1,200 rakyat Palestin, separuh daripadanya orang awam, menurut pegawai Palestin dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Seramai 13 warga Israel turut maut. Sementara itu, anggota perubatan Palestin membawa 95 mayat daripada timbunan bangunan di Gaza, satu daripadanya membabitkan seorang remaja wanita berusia 14 tahun.
Majoritinya ditemui di bandar Jabaliya dan Beit Lahiya serta ada juga di Zeitun, kata Dr Muawiya Hassanein, ketua pentadbiran kecemasan di Gaza. Israel membuat keputusan menangguhkan serangan beberapa hari sebelum perisytiharan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat 20 Januari ini. Setiausaha Negara Amerika yang bakal berundur Condoleezza Rice berkata pentadbiran Bush mengalu-alukan keputusan Israel.

GAZA SUDAH HANCUR

*Gambar : Kemusnahan bangunan disaksikan oleh seorang lelaki Palestin yang pulang ke Rafah.

BANDAR GAZA : Gaza, satu daripada kawasan paling miskin di dunia, semakin bermasalah selepas kawasan tanaman gandum yang meluas di jajahan itu penuh dengan runtuhan bangunan selepas tiga minggu dibedil Israel.
Menurut statistik biro pusat Palestin, kerosakan infrastruktur saja bernilai USD476 juta (RM1.7 bilion). Pengeboman dan serangan kereta kebal Israel meratakan segala-galanya daripada gudang milik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sekolah dan hospital sejak 'Operation Cast Lead' dilancarkan 27 Disember lalu. Bekalan air bertukar kepada titisan selepas kerosakan kepada loji rawatan utama sementara serangan ke atas jaringan kabel dan kebanyakan stesen cawangan menyebabkan kebanyakan isi rumah tanpa bekalan elektrik pada kemuncak musim sejuk.
Ketika Israel menegaskan ia melakukan segala usaha untuk hanya mensasarkan militan Hamas, 'kerosakan cagaran' akibat perang yang ditentang hebat di kejiranan penuh sesak di bandar ini dan kem pelarian semakin hebat.
Gaza adalah satu daripada kawasan paling padat di dunia di atas muka bumi ini dengan kira-kira 1.5 juta orang bersesak dalam kawasan berkeluasan 362 kilometer persegi. Lebih separuh daripada penduduknya berusia bawah 18 tahun. Lebih 1,200 orang, separuh daripadanya dianggarkan orang awam, maut sejak bermulanya perang. Perkhidmatan kecemasan menjangka angka itu akan bertambah apabila mereka akhirnya berpeluang menyelusuri runtuhan di kawasan yang amat berbahaya untuk dimasuki.
Menurut laporan koordinator kemanusiaan PBB di Gaza, bekalan makanan, gas memasak, air dan minyak berada pada 'tahap kritikal.' Sebahagian besar orang awam terperangkap di dalam rumah sementara beribu lagi mencari perlindungan dengan keluarga angkat dan kawasan perlindungan kecemasan PBB. Air, sanitasi dan sistem elektrik dalam keadaan daif.
Tugas paling mendesak ialah mengagihkan makanan kepada penduduk kebuluran, dengan keadaan keselamatan ketika konflik menjadikannya agak sukar kepada pemandu mengangkut bekalan. Kira-kira separuh daripada penduduk Gaza bergantung kepada bantuan makanan agensi PBB bagi pelarian Palestin (UNRWA).

ASKAR ISRAEL RASA BERSALAH

*Gambar : Seorang tentera Israel menjerit lega selepas keluar dari Semenanjung Gaza berikutan pengumuman gencatan senjata.

BAITULMAQDIS : Askar Israel yang terbabit dalam operasi terhadap penduduk Palestin mengalami rasa bersalah, tidak senang hati, bencikan diri sendiri dan menyesal kerana tidak pasti apakah mereka berada pada pihak yang benar. Satu penyelidikan mendedahkan keadaan emosi dan psikologi tentera Israel mengalami trauma dan gangguan tekanan kerana berperang dengan penduduk Palestin.
Penyelidik Israel, Dr Avi Bleich, Dr Mark Gelkopf, Rony Berger dan Profesor Zahava Solomon daripada Pusat Trauma Israel bagi Mangsa Keganasan dan Perang (Natal), Universiti Tel Aviv dan Universiti Haifa menyiarkan kajian mereka dalam isu Disember Jurnal Persatuan Perubatan Israel (IMAJ). Walaupun kajian memberikan tumpuan kepada veteran perang yang berurusan secara langsung dengan penduduk Palestin ketika Intifada kedua dan meninggalkan perkhidmatan sejak 10 tahun lalu, ia boleh dibuat anggaran berdasarkan fakta pendedahan tentera kepada penduduk awam Palestin dalam kempen terbaru di Gaza.
Artikel berkenaan berdasarkan temu bual dengan hampir 230 anggota tentera lelaki dan wanita. Anggota terbabit berdepan secara langsung dengan penduduk Palestin, terutama mereka yang berasa berbelah bagi mengenai kebenaran moral tugas mereka, lebih berkemungkinan menderita rasa bersalah, tidak senang hati, malu, bencikan diri sendiri dan menyesal berbanding rakan yang tidak melakukan operasi terhadap warga Palestin.
Kira-kira separuh daripada askar ditempatkan di lintasan sempadan dan tempat lain yang memerlukan mereka berurusan dengan penduduk awam Palestin yang menjadi mangsa kejadian keganasan berkaitan penduduk awam, manakala satu pertiga mengaku melakukan jenayah terhadap penduduk awam dan 17.4 peratus menyedari tingkah laku mereka memalukan. Kebanyakan askar yang terdedah kepada trauma itu tidak mendapatkan bantuan psikologi. Penulis merumuskan 'untuk mengelakkan keganasan dan kadang-kadang tindak tanduk memalukan' terhadap penduduk Palestin, 'pendidikan psikologi bersesuaian dan persediaan tingkah laku perlu disediakan' oleh pemerintah tentera. Penyelidik menulis ketika kajian dibuat mengenai kesan psikologi ke atas penduduk Palestin berikutan konflik berterusan, tiada satu pun penyelidikan mengenai kesannya kepada anggota tentera.
Mereka menjelaskan, disebabkan ancaman pengganas di sempadan lintasan, penduduk Palestin yang menunggu untuk masuk ke Israel bagi bekerja, mendapatkan rawatan atau atas tujuan lain selalunya berbaris selama berjam-jam.

HERET ISRAEL KE MAHKAMAH JENAYAH ANTARABANGSA (ICC)

*Gambar : Penduduk mengeluarkan mayat seorang budak perempuan yang tertimbus hampir dua minggu dalam runtuhan sebuah rumah selepas tentera Israel membedil kawasan penempatan di Semenanjung Gaza itu pada 5 Januari lalu.

GENEVA : Sekumpulan peguam dan juri antarabangsa memulakan inisiatif bagi memohon Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyiasat dan mendakwa Israel terhadap tuduhan melakukan jenayah perang serta jenayah kemanusiaan di Semenanjung Gaza. Kumpulan itu mengadakan rundingan di Geneva untuk mencapai perincian terakhir berhubung serangan Israel di Gaza bagi menghasilkan dokumen mengenai pencabulan hak asasi manusia oleh tentera rejim Yahudi itu.
Jurucakap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Arab, Haytham Manna, berkata permohonan itu akan dikemukakan di The Hague pada 21 Januari ini. Suruhanjaya itu adalah antara 300 kumpulan hak asasi manusia yang merancang menghantar maklumat setebal 37 muka surat kepada ICC yang berpejabat di Belanda. ICC mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan berhubung jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai sejak 2002. Ia boleh membicarakan individu jika jenayah didakwa dilakukan ke atas jajahan atau negara atau parti negara anggota.
Walaupun Israel bukan negara anggota, kumpulan peguam dan juri itu berkata, ICC masih boleh mendakwa individu yang bertanggungjawab dalam serangan ganas itu. Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert, sendiri mendedahkan sekurang-kurangnya 1,300 penduduk Gaza termasuk terlebih 400 kanak-kanak maut, manakala 5,300 lagi cedera dalam serangan 22 hari tentera Yahudi itu yang turut menyebabkan banyak kemusnahan bangunan dan kediaman. Manna berkata, sesetengah negara anggota seperti Venezuela dan Bolivia turut berminat merujuk Israel kepada ICC. Malah, Bolivia sedang bersedia untuk meminta Israel didakwa oleh ICC dan mahu mengumpul sokongan di kalangan rakan serantau bagi memastikan 'pemimpin politik dan tentera Yahudi yang bertanggungjawab ke atas serangan di Gaza' dihadapkan ke muka pengadilan.
Baru-baru ini, Venezuela dan Bolivia memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel berikutan kekejaman rejim itu di Gaza dan keengganannya mematuhi gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata lebih awal.

GAZA TENANG KETIKA TENTERA ISRAEL MULA BERUNDUR

GAZA CITY : Gaza menikmati ketenangan untuk malam kedua ketika tentera Israel mula berundur selepas serangan ganas 22 hari dihentikan oleh gencatan senjata rapuh yang diisytiharkan oleh pihak Israel. Ketika rakyat Palestin mula menilai kesan daripada serangan paling hebat Israel terhadap wilayah itu, pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh berkata, mereka mencapai "kemenangan besar" dalam peperangan tiga minggu yang menyebabkan banyak kemusnahan.
Israel pula menegaskan ia mahu meninggalkan Gaza secepat yang mungkin dengan Hamas dan kumpulan pejuang lain berkata mereka tidak akan menembak selama seminggu bagi membenarkan askar Yahudi berundur.
"Tuhan sudah memberi kita kemenangan besar bukan hanya kepada kumpulan tertentu tetapi kepada semua rakyat. Kita sudah menghentikan keganasan dan musuh gagal mencapai sebarang matlamat mereka," kata Haniyeh dalam perutusan yang disiarkan menerusi televisyen.

HAMAS TUNTUT ASKAR ZIONIS UNDUR SEGERA

GAZA - Pejuang Hamas berkata, pihaknya tidak akan menerima kehadiran walau seorang pun tentera Israel di Genting Gaza, tatkala Perdana Menteri rejim, Ehud Olmert mengumumkan itu adalah gencatan senjata sebelah pihak.
"Penjenayah Zionis mesti menghentikan semua bentuk keganasan, keluar dari Genting Gaza sepenuhnya, hentikan segala kepungan dan buka kawasan sempadan," kata jurucakap Hamas, Fawzi Barhum.
"Hamas masih wujud, penentangan masih berlaku dan kepimpinannya tidak terjejas" kata Olmert semasa mengumumkan gencatan senjata sebelah pihak, tetapi berkata tenteranya akan kekal di kawasan yang diserang dan akan membalas jika diserang oleh pejuang Palestin.
Menurut Barhum, pengisytiharan oleh pihak musuh itu mengesahkan bahawa ia adalah perang unilateral yang dilancarkan ke satu arah sahaja.
Kumpulan Jihad Islam, yang bersama pejuang Hamas telah melancarkan beratus-ratus roket ke selatan Israel sejak permulaan perang, berkata ia akan 'memberi tindak balas' terhadap jenayah yang dilakukan oleh Israel.
"Apa pun keputusan dan tindakan rejim Zionis langsung tidak memberi makna, sebaliknya akan ada tindak balas terhadap jenayah yang dilakukan di kawasan taklukan mereka,'' kata anggota kanan Jihad Islam, Khadr Habib. "Jihad Islam akan terus bersama kumpulan penentang sehingga keganasan dihentikan dan kami mencapai matlamat membuka kepungan dan sempadan,'' katanya.
Sebelum ini, Hamas berkata ia hanya akan mematuhi gencatan senjata seandainya Israel menarik keluar tenteranya dan membuka sempadan, yang telah ditutup kepada semua kecuali bantuan kemanusiaan sejak Hamas berkuasa di Gaza pada Jun 2007.
Serangan pencerobohan ketenteraan dari udara, darat dan laut rejim Zionis selama tiga munggu berturut-turut telah membunuh lebih 1,200 orang rakyat Palestin dengan satu pertiga daripadanya kanak-kanak serta melumpuhkan seluruh wilayah berkenaan, kata para pegawai perubatan Gaza.

HAMAS SETUJU GENJATAN SENJATA

GAZA – Hamas turut mengumumkan gencatan senjata membabitkan pejuang mereka dan kumpulan sekutunya di Tebing Gaza. Pemimpin kanan Hamas, Ayman Taha turut memberi masa seminggu kepada Israel untuk mengundurkan tentera mereka.
Pergerakan Hamas dan sekutu kami mengumumkan gencatan senjata berkuat kuasa serta merta dan memberikan masa selama seminggu untuk tentera Israel berundur dari negara kami. Kami juga menuntut Israel membuka semula pintu sempadan bagi membenarkan penghantaran bantuan yang sangat diperlukan oleh penduduk kami,” kata Ayman.
Israel sebelum ini tidak mengumumkan tarikh khusus bila mereka akan berundur dari Gaza melainkan Hamas segera menghentikan serangan ke wilayah mereka. Dalam pada itu Amerika Syarikat mengalu-alukan gencatan senjata yang dilakukan kedua-dua pihak dan berharap ia akan berterusan.
“Kedua-dua pihak perlu menghormati gencatan senjata ini bagi mengembalikan kestabilan dan kedamaian di Gaza. Amerika menghargai usaha gencatan ini yang dimulakan oleh Mesir namun kami masih bimbang dengan kesengsaraan yang dialami oleh penduduk di Gaza,” kata Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon turut menyatakan sokongan ke atas gencatan senjata ini dan meminta Israel segera mengundurkan tenteranya.
“Saya berasa lega dengan gencatan senjata ini dan ia merupakan langkah awal kepada pengunduran semua tentera Israel dari Gaza,” kata Ki-moon.

ISRAEL UMUM GENCATAN SENJATA

*Gambar : Seorang ibu mendukung anak lelakinya semasa meninjau kawasan rumahnya yang musnah akibat serangan udara tentera Israel di Jabaliya, di utara Tebing Gaza, selepas Israel mengumumkan gencatan senjata ke atas kawasan tersebut.

GAZA - Israel telah mengumumkan gencatan senjata dan menghentikan serangan ke atas Genting Gaza, namun pertempuran tercetus beberapa jam selepas itu, sekali gus menggoyahkan ketenangan sementara yang dinikmati penduduk Palestin selepas 22 hari dibedil rejim Yahudi.
Gencatan senjata berkenaan telah diluluskan dan mula berkuat kuasa, jet-jet pejuang Israel masih berlegar di ruang udara Gaza namun bunyi senjata api dan letupan sejak tiga minggu lalu tidak lagi kedengaran.
Bagaimanapun jet pejuang Israel melancarkan serangan pertama ke atas sekumpulan pelancar roket Hamas yang telah melepaskan lima serangan roket, seterusnya menimbulkan kebimbangan pertempuran bersambung semula.
Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert memberi amaran bahawa gencatan senjata sebelah pihak yang dimulakan beberapa jam sebelum ini adalah rapuh dan dinilai semula dengan kerap.
"Keputusan kerajaan untuk membenarkan Israel bertindak balas dan melancarkan serangan baru ke atas musuh di Genting Gaza sekiranya mereka terus menembak roket. Hari ini mereka sekali lagi membuktikan gencatan senjata adalah rapuh dan perlu dinilai semula minit demi minit. Kami harap serangan dihentikan kerana sekiranya berterusan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) akan bertindak balas. Ia bersedia dikerahkan untuk berbuat demikian," tegas Olmert lagi.
Insiden berlaku ketika Mesir menggandakan usaha diplomatik agar gencatan senjata Israel itu dapat dijadikan perjanjian damai berterusan dengan Presiden Hosni Mubarak mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri pemimpin Britain, Perancis, Jerman, Itali, Jordan, Sepanyol dan Turki.
Menteri Infrastruktur Israel, Benjamin Ben-Eliezer menjelaskan, pertempuran terbaru itu tidak semestinya membawa kepada serangan besar-besaran dan ia mengambil masa dua hingga tiga hari untuk segalanya tamat di mana Hamas perlu faham bahawa senario baru sedang berlaku.
Hamas menegaskan bahawa ia tidak akan menerima kehadiran walau seorang askar Israel pun di Gaza.
"Kami telah jelas menyatakan pendirian, sekiranya askar Israel terus berada di Gaza, maka wujud kemungkinan besar penentangan dilakukan terhadap penjajahan ini," kata wakil Hamas di Lebanon, Osama Hamdan dalam satu temubual dengan al-Jazeera.
Sementara itu, pasukan perubatan Palestin mengambil kesempatan waktu tenang tanpa serangan untuk menjalankan misi mencari dan menyelamat yang mana berjaya menemui sekurang-kurangnya 40 mayat termasuk beberapa orang kanak-kanak di utara Gaza.
Operasi Cast Lead yang dimulakan Israel sejak 27 Disember lalu, ditamatkan oleh Olmert pada hari ke-22 serangan dan telah meragut sekurang-kurangnya 1,245 nyawa dan 5,300 yang lain cedera. Sebanyak 700 daripada jumlah korban adalah orang awam termasuk lebih 400 orang kanak-kanak. Di pihak Israel, hanya tiga orang awam dan 10 askar terbunuh akibat pertempuran dan serangan roket.

Friday, January 16, 2009

BAN KI MOON TEMPELAK MENTERI PERTAHANAN ISRAEL

*Gambar : Aktivis Filipina membantah sokongan Amerika kepada Israel dalam kempen di Gaza ketika mengadakan bantahan di Manila.

PARIS : Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki Moon, mengetuai bantahan antarabangsa selepas Israel mensasarkan hospital, bangunan media dan pekarangan pejabat agensi PBB serta menyifatkan angka kematian mangsa Palestin sebagai 'sesuatu yang tidak dapat diterima'. "Saya menyampaikan bantahan kuat dan kemarahan saya dan mendesak penjelasan penuh daripada Menteri Pertahanan (Ehud Barak) dan Menteri Luarnya (Tzipi Livni)," kata Ban kepada wartawan di Tel Aviv selepas serangan dilakukan ke atas bangunan PBB di Gaza.
Agensi bantuan PBB menggantung operasinya di Gaza selepas kawasan bangunan pertubuhan itu dibedil oleh Israel, mengakibatkan dua gudangnya terbakar dan membantutkan penyampaian bantuan yang begitu diperlukan. Serangan Zionis yang lain menyebabkan sebahagian daripada sebuah hospital terbakar dan mencederakan dua jurukamera di bangunan yang menempatkan anggota media Arab dan negara asing. "Jumlah mangsa sudah sampai ke tahap yang tidak dapat diterima lagi," kata Ban.
*Gambar : Penunjuk perasaan Korea Selatan di Seoul membawa gambar dan patung yang melambangkan kanak-kanak Gaza menjadi mangsa kekejaman Israel.

Presiden Jawatankuasa Antarabangsa Persatuan Palang Merah (ICRC), Jakob Kellenberger, yang turut melawat kawasan kependudukan itu dan Israel, juga mengutuk serangan berkenaan. Menurutnya, apa yang berlaku 'tidak boleh diterima' kerana ia meletakkan pesakit yang mendapat rawatan di hospital dalam bahaya. Berikutan pengeboman kawasan PBB, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice bercakap dengan Barak dan Livni menerusi telefon, kata jurucakapnya, Sean McCormack. Sementara itu, Perhimpunan Agung PBB memulakan sesi tergempar dengan presidennya, Miguel d'Escoto menuduh Israel mencabuli undang-undang antarabangsa dengan meneruskan serangan mautnya.
*Gambar : Seorang penunjuk perasaan membawa sepanduk bermaksud 'Saya Yahudi. Jangan Membunuh Atas Nama Saya', dalam protes di Buenos Aires terhadap serangan Israel di Gaza.

"Gaza sudah hangus. Ia sudah jadi seperti neraka yang terbakar," kata D'Escoto. "Pencabulan undang-undang antarabangsa begitu jelas dalam tindakan Israel yang dilakukan ke atas Gaza termasuk bilangan anggota tentera yang lebih ramai khususnya serangan ke atas sasaran awam meliputi rumah, masjid, universiti dan sekolah," tambahnya. Sejak Israel melancarkan serangan pada 27 Disember lalu, sekurang-kurangnya 1,133 orang termasuk kanak-kanak, terkorban di wilayah ditakluki itu, kata ketua perkhidmatan kecemasan, Moawiya Hassanein. Seramai 5,200 lagi cedera.

BUSH DIAKUI BUDAK SURUHAN ISRAEL

*Gambar : Seorang budak Palestin di Nablus menunjukkan gambar Olmert sebagai 'dracula' ketika membantah serangan di Gaza.

TEL AVIV : Pihak yang tidak terbabit dalam perbezaan pendapat antara Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice mendedahkan Olmert bercakap benar apabila beliau menyatakan Presiden George W. Bush mengikut cakapnya supaya berkecuali dalam undian resolusi Majlis Keselamatan minggu lalu. Resolusi gencatan senjata di Gaza tajaan Libya, dikemukakan kepada anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk diundi.
Israel tidak bimbang kerana menyangka Amerika Syarikat akan menggunakan kuasa vetonya untuk menolak resolusi itu. Namun, Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin (PA), Salam Fayyad, berjaya mempengaruhi Amerika supaya menyokong versi lebih lembut resolusi itu yang menggesa diadakan segera gencatan senjata. Britain dan Perancis bersetuju dengan resolusi itu seperti diminta Fayyad. Rice memberi isyarat kepada rakannya dari Perancis dan Britain, Bernard Kouchner dan David Miliband beliau juga akan menyokong.
Sehingga malam Jumaat minggu lalu, jelas kepada diplomat Eropah dan pegawai PBB bahawa Amerika seperti 14 anggota Majlis Keselamatan lain akan menyokong resolusi yang diperlembutkan itu. Mereka juga berkata, Rice berjanji kepada rakannya dari negara Eropah untuk menyokong. Bagaimanapun, di Baitulmaqdis, pegawai Israel beranggapan Amerika hanya menyokong gencatan senjata kemanusiaan selama 48 jam. Namun, pada jam 1 pagi, pengesahan terakhir diterima dari New York bahawa Amerika berjanji tiada resolusi gencatan senjata yang akan segera diundi. Kira-kira sejam setengah kemudian, jelas bukan saja Majlis Keselamatan akan mengundi resolusi gencatan senjata itu pada bila-bila masa saja, tapi Rice mengarahkan duta Amerika di PBB menyokongnya.
Olmert dengan pantas menghubungi Presiden Bush menerusi telefon untuk mengadu tingkah laku Rice dan mendesak presiden berkenaan menahannya. Apa yang dikatakan Bush kepada Rice tidak diketahui, namun Amerika tiba-tiba mengubah undian daripada 'ya' kepada 'berkecuali'. Segalanya mungkin berakhir dengan baik jika Olmert bersikap seperti orang dewasa yang dapat menahan nalurinya. Pembantunya juga mengakui Olmert tidak patut menunjuk-nunjuk beliau boleh mempengaruhi Bush membuat keputusan bagi mengatasi Rice.

KERETA KEBAL ISRAEL BEDIL HOSPITAL

*Gambar : Penduduk Palestin mengusung jenazah ahli keluarga Menteri Dalam Negeri Hamas, Sa'id Siyam semasa pengkebumian di Bandar Gaza.

BANDAR GAZA - Tentera-tentera rejim Zionis membedil sebuah hospital di bandar Gaza menggunakan peluru meriam yang mengandungi fosforus putih. Serangan tersebut menyebabkan bangunan hospital tersebut terbakar dan beratus-ratus penduduk Palestin yang dirawat di hospital itu lari menyelamatkan diri.
Ini merupakan kali kedua Israel menggunakan senjata yang diharamkan itu. Pada Ahad lepas, tiga penduduk Palestin terbunuh, manakala berpuluh-puluh lagi cedera akibat tembakan meriam kereta kebal Israel di Genting Gaza, sesetengahnya dipercayai terkena bom mengandungi fosforus putih.
Serangan tersebut dilancarkan semasa berlangsungnya Sidang Tergempar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) yang mengambil pendirian mengecam tindak-tanduk rejim Zionis itu. Dalam kejadian itu, beratus-ratus pesakit yang berkerusi roda dan terlantar berpusu-pusu cuba keluar dari bangunan Hospital Al-Quds yang terbakar itu.
Dalam suasana kelam-kabut, pesakit yang cedera dalam serangan Israel sebelum ini berusaha sedaya upaya untuk bangun dari katil mereka dan keluar dari bangunan tersebut, walaupun menghadapi cuaca dingin. Sekurang-kurangnya tiga orang bayi di dalam inkubator dan tiga pesakit yang menggunakan alat bantuan pernafasan berjaya dibawa keluar dari hospital itu menggunakan kerusi roda, kata seorang jurugambar AFP.
Berpuluh-puluh keluarga mencari perlindungan di hospital itu pada waktu subuh dengan membawa bayi dan kanak-kanak kecil, selepas puluhan kereta kebal Israel memasuki kawasan kediaman mereka dan mencetuskan pertempuran sengit dengan pejuang Palestin.
Sepanjang hari suasana bingit dengan bunyi tembakan meriam kereta kebal, letupan peluru berpandu, bedilan helikopter dan senjata automatik berpunca daripada pertempuran yang berlaku kurang 300 meter dari hospital itu.
Apabila pertempuran bertambah sengit, berpuluh-puluh lagi keluarga tiba di hospital itu dan cuba mencari tempat berlindung tanpa menjangka kebakaran yang bakal berlaku akibat tembakan Israel. Kebakaran di kawasan perubatan berjaya dipadamkan tetapi bangunan pentadbiran masih terbakar.
Pegawai hospital berkata, kebakaran itu berpunca daripada peluru meriam mengandungi fosforus putih, menyebabkan sukar untuk memadamkannya. Serangan itu mengancam kira-kira 500 pesakit dan kakitangan perubatan, menurut Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa.

KUMPULAN ISLAM AMERIKA SYARIKAT TUNTUT ISRAEL DIKENAKAN TINDAKAN

WASHINGTON - Sebuah kumpulan kebangsaan bagi membela hak ummat Islam, mahu supaya Pertubuhan Bangsa-Bersatu (PBB) merujuk Israel kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague kerana kekejamannya di Gaza.
Majlis Perhubungan Rakyat Amerika- Islam (CAIR) yang berpejabat di sini membuat gesaan itu setelah Israel bukan saja mengebom pejabat PBB di Gaza tetapi juga beberapa hospital dan pusat media. CAIR mengulangi desakannya supaya pentadbiran Bush mengambil tindakan segera membawa pulang rakyat Amerika dan keluarga mereka yang terperangkap di Gaza akibat serangan Israel itu.
Beberapa kumpulan lain juga meminta rakyat Amerika supaya bertindak dengan membuat rayuan menerusi telefon kepada Presiden George W. Bush, bakal Presiden Barak Obama dan wakil-wakil di Kongres.
Pada Sabtu lepas, beribu-ribu rakyat Amerika terdiri daripada ummat Islam dan bukan Islam, berarak di sini bagi melahirkan sokongan terhadap penduduk Gaza.

CHAVEZ BERI AMARAN AKAN TERUS LAWAN AMERIKA SYARIKAT

*Gambar : Chavez bersalaman dengan para penyokongnya semasa mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parti Sosialis Bersatu Venezuela pimpinannya di Caracas.

CARACAS - Presiden Venezuela, Hugo Chavez memberi amaran akan terus berjuang menentang 'kuasa empayar' Amerika Syarikat di bawah pentadbiran baru Barack Obama. Chavez sering menggunakan istilah 'kuasa empayar' untuk menggambarkan Amerika yang didakwanya cuba menguasai negara-negara lain melalui pelbagai cara termasuk ketenteraan.
"Kami akan menunggu sehingga 'ketibaan' Obama di White House untuk melihat apa tindakan yang akan beliau ambil termasuk 'kuasa empayar' yang dimiliki. Kerajaan ini akan terus berjuang memerangi mereka. Soal siapa yang memimpin sama ada daripada keturunan kulit putih atau hitam bukan persoalannya," kata Presiden itu dalam ucapannya kepada penyokong- penyokongnya di Caracas.
Chavez pernah melahirkan harapan agar hubungan negara itu dengan Amerika bertambah baik di bawah pentadbiran Obama, tetapi Presiden baru Amerika itu baru-baru ini menuduh Venezuela antara negara yang terlibat dengan aktiviti keganasan termasuk menghalang kemajuan di Amerika Latin.
Menurut Chaves, Amerika perlu menghormati Venezuela, Presiden dan rakyat negara ini untuk menjalinkan semula hubungan diplomatik. "Masih ada masa untuk Obama memikirkan atau membetulkan keadaan dalam usaha menjalinkan kerjasama dengan negara ini," katanya.

Thursday, January 15, 2009

HARAM BELI PRODUK ISRAEL - IMAM ALI KHAMENEI


TEHERAN - Pemimpin tertinggi Republik Islam Iran, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei telah mengeluarkan fatwa mengharamkan pembelian produk buatan Israel atau mengadakan sebarang urusan perdagangan dengan negara Yahudi tersebut. Beliau mendesak semua ummat Islam di seluruh dunia agar tidak membeli barangan yang akan memberi keuntungan kepada Israel.
Iran tidak mengiktiraf Israel dan tidak mempunyai sebarang hubungan dagang dengannya, namun fatwa terbaru itu turut dikenakan ke atas syarikat antarabangsa yang beroperasi di Iran dan luar Iran yang mana pemegang saham mereka adalah warga Israel.
Sementara itu, televisyen tempatan melaporkan, tentera laut Israel telah memintas sebuah kapal Iran yang menuju ke Gaza dengan bekalan perubatan, makanan dan pakaian serta mengarahkan kapal itu mengubah haluan ke pelabuhan Mesir.
Ketua kumpulan bantuan kemanusiaan yang menaja penghantaran tersebut, Ahmad Navabi berkata, kapal itu berada sekitar 30 kilometer dari Gaza sebelum dipintas dan diarah berpatah balik. Kapal 'Syahid' itu memulakan pelayaran dari pelabuhan Abbas di sini dua minggu lalu.
Ahmad menjelaskan bahawa bantuan tersebut akan cuba disampaikan melalui bantuan kemanusiaan melalui sempadan Rafah yang menghubungkan Mesir dengan Gaza.

Wednesday, January 14, 2009

MAYAT RAKYAT PALESTIN BERTERBANGAN

*Gambar : Kawasan perkuburan turut menjadi sasaran serangan tentera rejim Zionis. Penduduk Palestin melihat serpihan batu nisan di tanah perkuburan Syeikh Ridwan, di bandar Gaza yang musnah selepas dibedil peluru rejim Zionis.

GAZA - Sebuah jet Israel mengebom satu tanah perkuburan di Gaza menyebabkan sejumlah anggota badan manusia berterbangan ke kediaman penduduk berhampiran. Selepas serangan itu, beberapa penduduk mengutip bahagian badan manusia yang bertaburan sebelum meletakkan ke dalam sebuah lubang besar yang terbentuk akibat letupan bom tersebut.
"Keseluruhan Gaza kini menjadi tanah perkuburan," kata seorang penggali kubur, Salman Omar.
*Gambar : Sebahagian penduduk melihat kawah yang terbentuk akibat dibom jet Israel di kawasan perkuburan Syeikh Ridwan, Bandar Gaza.

Seorang penduduk berkata, kawasan itu kini berbau busuk yang berpunca daripada mayat yang reput dan hangus terbakar. "Daging serta organ dalaman manusia bertaburan di atas bumbung dan kami meletakkan ia ke dalam beg plastik," kata seorang penduduk, Ahmad Abu Jarbou.
Ahmad memberitahu bahawa seorang jirannya menemui tangan seorang wanita yang telah mati bertahun-tahun dahulu di kediamannya. "Jiran saya juga terpijak cebisan daging manusia ketika dia keluar untuk melihat apa yang berlaku," jelasnya.
Tentera Israel berkata, pihaknya mengebom sebuah tempat simpanan senjata yang terletak berhampiran dengan tanah perkuburan tersebut. Menurutnya, satu lagi serangan berhampiran menyasarkan satu lokasi yang digunakan oleh pejuang Hamas untuk melancarkan serangan roket ke wilayah Israel. Serangan tentera Israel masih diteruskan dengan angka kematian melepasi 1,000 orang.

TIADA LAGI TEMPAT SELAMAT DI GAZA

*Gambar : Seorang wanita Palestin menutup hidung selepas letupan tentera Yahudi dekat kota Gaza.

GAZA : Pegawai agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya melindungi orang awam Gaza kerana tiada lagi tempat selamat di wilayah berkenaan. "Perkara pertama dan terakhir semua orang berkata kepada saya ialah, 'Tolonglah! Kami perlukan perlindungan, tiada lagi tempat yang selamat'," kata Pengarah Operasi Agensi Penyelamat PBB, John Ging, kepada pemberita dari Geneva menerusi lintasan video. Angka kematian rakyat Palestin meningkat kepada 1025, lapor Kementerian Kesihatan Gaza, termasuk 400 wanita dan kanak-kanak. Israel berkata, 10 askarnya maut dan tiga orang awam yang diserang roket juga terbunuh.

*Gambar : Askar Israel dalam unit kereta kebal mengawasi keadaan di sempadan dan memantau pelancaran roket Hamas.

Seorang jeneral kanan Israel berkata, banyak lagi perlu dilakukan dalam serangan terhadap Hamas di Semenanjung Gaza yang memasuki hari ke-19, ketika kereta kebal Israel serta askarnya semakin dekat ke bandaraya Gaza. "Bunyi letupan dan mesingan bergema di seluruh Gaza, sebuah bandar raya dengan 500,000 penduduk, selepas kereta kebal Israel mara semakin dekat ke kawasan padat penduduk, tapi tidak memasukinya," kata saksi. Kereta kebal itu nampak seolah-olah sedang menguji reaksi pejuang Hamas. Bunyi letupan dapat didengar sehingga lewat malam di sekitar Semenanjung Gaza, walaupun tiada laporan kecederaan terbaru.
Talat Jad, seorang penduduk berusia 30 tahun dari kawasan Tal al-Hawa di pinggir selatan Bandaraya Gaza, berkata dia dan 15 anggota keluarganya berkumpul dalam sebuah bilik di rumah mereka dan terlalu takut menjenguk ke luar tingkap. "Kami juga mematikan bunyi telefon bimbit kerana bimbang askar di kereta kebal dapat mendengarnya," kata Jad. Kakitangan perubatan berkata, 23 pejuang Palestin, kebanyakannya anggota Hamas dan tujuh orang awam, terkorban dalam pertempuran terbaru. Di Kaherah, wakil Hamas menyambung perbincangan mengenai gencatan senjata yang dicadangkan Mesir, yang bersempadan dengan Semenanjung Gaza dan Israel.

*Gambar : Penduduk memeriksa kemusnahan bangunan yang dilakukan askar Zionis di kawasan Sheikh Radwan.

Pesawat tempur Israel menyerang 60 sasaran, termasuk terowong yang digunakan pejuang untuk membawa masuk senjata dari kawasan sempadan Mesir. Dua roket meletup di Beersheba di selatan Israel tanpa mengakibatkan kecederaan. "Kami sudah memperoleh kejayaan besar ketika menyerang Hamas dan infrastrukturnya, sayap pemerintahan dan bersenjatanya, tapi banyak lagi perlu dilakukan selepas ini," kata Panglima Tentera Israel, Leftenan Jeneral Gabi Ashkenazi kepada jawatankuasa Parlimen. Ashkenazi berkata, pesawat Israel melakukan lebih 2,300 serangan sejak ia dimulakan pada 27 Disember lalu, yang paling hebat terhadap penduduk Palestin dalam dekad ini.
Hamas berkata, Israel mesti menarik balik semua askarnya di bawah cadangan gencatan senjata dan menamatkan halangan ke Semenanjung Gaza yang diperketatkan selepas pergerakan berkenaan merampasnya daripada puak yang setia kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada 2007. Pegawai Hamas, Mousa Abu Marzouq memberitahu al-Jazeera bahawa Hamas sedang melakukan 'pemerhatian rapi' mengenai rancangan gencatan senjata anjuran Mesir.

PERANG DI GAZA : DUNIA ARAB BERTELAGAH

KAHERAH - Negara-negara Arab bertelagah sesama sendiri berhubung rancangan mengadakan sidang kemuncak untuk membincangkan krisis terkini di wilayah Palestin. Negara rantau Asia Barat yang besar seperti Mesir dan Arab Saudi yang menentang penguasaan Hamas ke atas Gaza, menggesa ke arah gencatan senjata segera serta menyatakan kesediaan menghadiri sidang kemuncak Liga Arab di Kuwait.
Cadangan Kuwait itu akan menggabungkan perbincangan mengenai serangan Israel ke atas Gaza, yang masuk hari ke-19 dengan sidang kemuncak ekonomi yang telah dirancangkan lebih awal. Qatar pula meminta kesemua 22 anggota Liga Arab di Kaherah agar mengadakan sidang tergempar mengenai Gaza dan ia mendapat sokongan daripada Syria yang merupakan penyokong kuat Hamas.
Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Mussa memberitahu pemberita bahawa pertubuhan itu menerima 12 persetujuan mengenai perlunya sidang kemuncak mengenai Gaza diadakan.
Namun, ramai diplomat yang mendakwa Mesir dan Arab Saudi merasakan sidang sedemikian tidak membuahkan hasil, malah memberi gambaran bahawa pemimpin Arab sebagai tidak cekap. Pegawai Mesir turut menuduh Qatar dan Syria sebagai cuba mencari jalan untuk memalukan Kaherah.
Duta Arab Saudi ke Liga Arab sebelum ini pernah menyatakan rasa tidak senang dengan cadangan Qatar dan menyifatkannya sebagai 'bukan kepentingan terhadap perpaduan Arab' untuk mengadakan dua sidang kemuncak pada satu masa.
Mesir pada awalnya bersetuju untuk satu rundingan tidak rasmi antara pemimpin Arab dalam sidang kemuncak ekonomi di Kuwait pada 18 Januari ini dan Arab Saudi juga membuat keputusan serupa.