Monday, February 26, 2007
Media Israel kebelakangan ini mula mencipta propaganda baru untuk melancarkan tekanan psikologi terhadap Republik Islam Iran. Propaganda ini cukup mengejutkan kerana menyatakan bahawa negara Oman, United Arab Emirate (UAE) dan Qatar secara tersirat telah mengizinkan Israel untuk menggunakan ruang udara mereka bagi menyerang Iran. Tiga negara Arab itu memang diketahui umum memiliki hubungan secara terbuka dan rahsia dengan Israel.
Bagi menambahkan lagi sensasi propaganda tersebut, akhbar as-Siyasah terbitan Kuwait turut menyebarkan propaganda itu dengan melaporkan semula apa yang telah dicetuskan oleh akhbar Haaretz terbitan Israel. Para pegawai Arab yang mempunyai kaitan dengan isu ini bertindak menutup mulut sehingga memperkuatkan desas desus yang dicanangkan oleh media Israel tersebut. Malangnya, keadaan ini tidak bertahan lama. Amr Moussa selaku Setiausaha Agung Liga Arab pada hari Ahad, 25 Februari 2007, telah memberikan reaksi terhadap laporan itu. Beliau mengulas bahawa kenyataan para Menteri Oman, Qatar dan UAE itu adalah bohong belaka.
Bagi Iran, benar atau tidaknya laporan itu tidaklah begitu penting. Iran amat menyedari bahawa Israel kini sedang bergelut dengan pelbagai persoalan dalaman dan pihak pemerintah di Tel Aviv tidak mampu menghadapi tekanan daripada pihak pembangkang. Dalam suasana seperti ini, penyebaran isu konfrontasi dengan Iran tidak lain hanya merupakan ciptaan regim Zionis untuk melepaskan diri dari pergolakan yang sedang mendorong mereka ke arah jurang kehancuran.
Adapun akhbar as-Siyasah, meskipun diterbitkan oleh Kuwait, tetapi sudah menjadi pengetahuan umum bahawa akhbar berbahasa Arab itu telah sekian lama ditaja oleh Zionis. Oleh kerana itu, tidak hairanlah jika akhbar tersebut turut sama menyebarkan propaganda Israel yang bertujuan mewujudkan krisis antara Iran dengan negara-negara Arab serta menimbulkan ketegangan di rantau Teluk Parsi.
Faktor lain yang menimbulkan keghairahan Israel untuk mencipta unsur perpecahan itu ialah imejnya yang semakin buruk di mata negara-negara Islam. Bertambahnya kezaliman dan keganasan Zionis di Palestin dan Lebanon serta kerja vandalismenya di Kompleks Masjid al-Aqsa telah membuatkan Israel kian dilihat oleh ummat Islam sedunia sebagai musuh nombor satu. Pada masa yang sama, Israel cuba mencipta senario bahawa ia tidak pernah terpencil di mata negara-negara Arab. Malangnya, Israel tidak segan silu mengaku bahawa mereka memiliki hubungan yang akrab dengan negara-negara Arab sehingga ke tahap negara-negara tersebut sanggup membiarkan bumi mereka dijadikan pengkalan untuk menyerang Iran.
Iran sejak dari awal lagi melihat provokasi tersebut amat bersifat hiprokrit. Iran tetap meyakini hubungan baiknya dengan negara-negara jirannya di rantau Teluk. Malah semua pihak mengetahui bahawa Iran bukanlah sebuah negara yang mudah digertak, apalagi oleh Israel yang kekuatannya sudah teruji dalam peperangan 33 harinya dengan Hizbullah. Israel langsung tidak berkemampuan ketika menghadapi pejuang-pejuang Hizbullah yang hanya terdiri daripada beberapa ribu orang sahaja. Oleh kerana itu, adalah amat melucukan sekiranya Israel mengaku telah bersiap sedia untuk berperang dengan Iran yang kini tampil dengan kekuatan yang amat mengkagumkan, samada secara fizikal mahupun spiritual.
Wednesday, February 21, 2007
Wawancara Dr Mahmud Ahmadinejad dengan stesen televisyen ABC :
ABC NEWS-12 Feb 2007
Dalam sebuah wawancara eksklusif dengan wartawan ABC, Diane Sawyer, Presiden Iran, Dr Mahmud Ahmadinejad menolak tuduhan bahawa negaranya terlibat dalam membekalkan senjata kepada militia-militia Iraq. Beliau bahkan menegaskan bahawa Iran hanya menginginkan perdamaian dan menentang keras segala bentuk konflik. Ahmadinejad mengelak untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan tentang pengiriman senjata dan berkeyakinan bahawa kunci untuk menstabilkan semula Iraq adalah berundurnya tentera Amerika dan semua tentera asing yang lain dari bumi Iraq.
Sawyer: Pihak Amerika mengatakan bahawa 170 orang tenteranya telah terbunuh dan lebih kurang 600 orang yang lainnya telah tercedera akibat senjata-senjata dari Iran. Apakah anda telah mengirim senjata-senjata ke Iraq untuk membunuh tentera-tentera Amerika?
Ahmadinejad: Izinkan saya mengucapkan “Selamat Pagi” terlebih dahulu kepada para penonton di seluruh pelusuk Amerika dan izinkan saya berkata kepada mereka bahawa kami di Iran kini sedang mengalami musim bunga. Saya berharap semoga musim bunga bakal meliputi ke seluruh dunia.
Kami menghindari konflik dan pertumpahan darah, kami juga turut bersedih dengan hal seperti itu. Kami menentang setiap bentuk konflik dan seperti yang seringkali kami utarakan, kami meyakini bahwa persoalan dunia ini hanya dapat diselesaikan melalui tindakan yang logik dan rasa persaudaraan. Tidak ada sebarang keperluan untuk menggunakan kekuatan.
Berkaitan dengan Iraq, sikap kami amat jelas bahawa ketidakamanan di sana memberi kesan yang amat buruk kepada Iran dan juga negara-negara di rantau ini. Selain pada zaman Saddam berkuasa, Iraq memiliki hubungan yang baik dengan kami. Kamilah sahabat bersejarah mereka. Rakyat kedua bangsa ini bahkan saling menjalin hubungan perkahwinan dan jutaan rakyat Iran serta Iraq sentiasa saling menziarahi antara satu sama lain.
Kedudukan kami dalam isu Iraq sangat jelas : kami menghendaki perdamaian, kami menghendaki keamanan, kami akan merasa sedih ketika melihat manusia terbunuh, tanpa mengira siapa pun. Kami akan merasa sedih apabila mendengar mereka (warga Iraq) dibunuh atau siapa pun yang dibawa secara paksa ke sana dan diletakkan di tengah-tengah konflik (maksudnya: tentera Amerika).
Sawyer: Tetapi bagaimana mungkin perkara ini dapat dipercayai? Amerika telah mengemukakan bukti. Mereka mendakwa telah menemui roket peluncur granit…apakah perkara ini bukan merupakan suatu bukti?
Ahmadinejad: Sangatlah mudah untuk membuat penilaian ketika anda tidak memiliki pertahanan yang baik atau membuat penilaian sebelah pihak. Menurut saya, Amerika telah melakukan kesilapan besar di Iraq. Malangnya mereka telah mengalami kekalahan. Keadaan ini tentu saja merupakan suatu keaiban besar bagi Amerika dan kerana itulah mereka kini berusaha untuk menuding kesalahan kepada pihak lain. Menuduh pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah. Menurut saya, kita perlu jujur dan menghadapi realiti.
Sawyer: Tetapi mereka (Amerika) mendakwa memiliki nombor siri senjata yang berasal dari Iran?
Ahmadinejad: Kami tidak memerlukan perkara-perkara seperti itu. Saya mampu mengemukakan kepada anda gambar dan perangkaan yang telah banyak diketahui umum, lebih daripada 160,000 orang tentera Amerika di Iraq dan lebih daripada 100 buah pesawat tempur, helikopter, …apa yang mereka telah lakukan di Iraq? Menurut saya, ketidakamanan Iraq adalah berpunca daripada perkara-perkara tersebut. Ketidakamanan inilah yang menjadi justifikasi dan alasan untuk memperpanjangkan keberadaan serta kewujudan mereka di Iraq.
Sawyer: Apakah anda sedang mengatakan bahawa tidak ada senjata Iran di Iraq? Apakah anda akan menutup sempadan? Adakah anda akan menghukum siapa saja yang didapati membawa masuk senjata?
Ahmadinejad: Anda harus melihat bahawa kedudukan sesuatu pemerintahan adalah penting. Kami menentang segala bentuk konflik di Iraq. Ia tidak memberi sebarang keuntungan kepada kami. Siapa pun yang terbunuh di Iraq akan membuat kami sedih, tanpa mengira dari agama mana ia berasal. Mampukah Amerika menutup sempadan-sempadan mereka yang luas? Tidak, kami menentang semua bentuk konflik dan juga kehadiran tentera-tentera asing di Iraq. Inilah yang menjadi punca kami bertentangan dengan Amerika. Kami menuntut mereka untuk mundur dari Iraq sehingga tidak ada lagi orang asing yang berada di bumi Iraq. Ketika itu, anda akan melihat wujudnya perdamaian sebenar di sana.
Sawyer: Adakah anda mengenakan sekatan kepada siapa pun yang cuba membawa masuk senjata-senjata Iran ke Iraq?
Ahmadinejad: Pemerintah Amerika dan Bush memiliki kebiasaan menuding kesalahan terhadap pihak-pihak lain. Buktinya anda menunjukkan kepada kami beberapa helai kertas dan anda dakwa itu sebagai dokumen. Semua itu tidak akan menyelesaikan persoalan. Haruslah ada sebuah pengadilan untuk membuktikan kesahihan persoalan ini.
Kedudukan pemerintahan Iran, sebagaimana yang telah saya nyatakan dan kedudukan Pengawal Revolusinya adalah sama. Kami semua menentang setiap konflik di Iraq. Kami tidak menghendaki kehadiran pasukan-pasukan bersenjata di Iraq dan tentera-tentera asing bersenjata di Iraq. Kami menghendaki kekuatan dan kestabilan dalam pemerintahan Iraq kerana pemerintahan inilah yang sah. Namun menurut kami, Amerika telah menempuh cara yang lain sambil berusaha untuk menutup kekalahan dan kegagalannya, dan itulah punca ia mengarahkan telunjuknya kepada pihak lain. Ini bukanlah sebuah penyelesaian sebenar bagi permasalahan ini.
Sawyer: Apakah Iran berhak untuk mengirim rakyatnya ke Iraq? Amerika mendakwa bahawa mereka memiliki senarai rakyat Iran yang menyamar dengan mencukur rambut mereka, adakah anda berusaha untuk menutup bukti?
Ahmadinejad: Saya tidak yakin bahawa dalam sistem kehakiman Amerika, anda memiliki kaedah berikut : apabila anda menahan seseorang, maka secara automatik anda telah mendakwanya. Hanya orang yang telah melakukan kesalahan saja yang perlu dibawa ke pengadilan. Menurut saya, ini adalah tindakan yang bersifat keanak-anakan. Ketika pemerintah Amerika menahan orang yang tidak berdaya, mereka tidak diizinkan untuk berbicara dengan orang lain. Dalam masa yang sama, maklumat yang berat sebelah turut disebarkan. Menurut saya, itu bukanlah penyelesaian kepada permasalahan di Iraq. Penyelesaiannya ada di tempat lain.
Diplomat-diplomat kami memang berada di Iraq, tetapi apa yang orang-orang Amerika lakukan di sana? Para diplomat kami memang kini berada di Iraq. Apa yang biasanya dilakukan oleh para diplomat? Apa tugas asasi sesebuah kedutaan? Kami memiliki hubungan diplomatik dengan Iraq. Kami memiliki hubungan diplomatik, politik dan budaya yang luas dengan Iraq. Setiap tahun, jutaan warga kami akan menyeberangi sempadan. Jadi pertanyaannya adalah, apa yang orang-orang Amerika lakukan di Iraq dan mengapa mereka melanggar hukum antarabangsa? Mereka menyerang pejabat konsul kami dan ini tidak akan menyelesaikan permasalahan.
Sawyer: Jadi, anda akan mengirim lebih ramai rakyat Iran ke Iraq? Apakah mereka melatih pasukan-pasukan militia?
Ahmadinejad: Saya tidak faham apa yang anda maksudkan dengan militia?
Sawyer: Saya sedang berbicara tentang militia-militia Syiah.
Ahmadinejad: Izinkan saya mengajukan sebuah pertanyaan kepada anda. Apakah mereka yang membunuh orang-orang Syiah itu diselenggara oleh pihak Amerika?
Sawyer: Sunni? Ba'ath?
Ahmadinejad: Siapa saja. Apakah orang-orang Ba'ath di Kuwait dikendalikan oleh pihak Amerika? Mengapa anda mengatakan tidak? Saya hanya mengemukakan sebuah pertanyaan kepada anda. Siapa yang mengendali dan mentadbir mereka? Kini, berdasarkan undang-undang antarabangsa, pasukan tentera penceroboh juga bertanggungjawab untuk menangani masalah keamanan dan terbukti Amerika telah gagal. Oleh kerana itulah mereka menuduh orang lain dan seperti yang telah saya katakan, hal ini tidak akan menyelesaikan sebarang permasalahan.
Anda lihat bahawa konflik di Iraq tidak berada dalam pengawasan kami. Ia berada di bawah kendalian Amerika. Menurut saya, Amerika perlu mengubah perilaku mereka supaya konflik tersebut akan berakhir. Iraq telah memiliki kedaulatannya sendiri. Ia telah memiliki parlimennya sendiri. Ia telah memiliki seorang Presiden yang terpilih secara demokrasi dan menurut saya, merekalah yang sepatutnya memiliki kuasa di sana. Akar ketidakamanan perlu dicari. Jika pemerintah Iraq meminta bantuan daripada kami, nescaya kami akan menghulurkan sokongan intelektual sehingga mereka mampu keluar dari permasalahan ini.
Sawyer: Apakah keberadaan anda di sini (Iraq) untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pemerintah Amerika di Iraq?
Ahmadinejad: Persoalan seperti ini mesti dibahas pada peringkat diplomatik. Anda hanyalah seorang wartawan. Tentu saja menurut kami, pemerintah Iraq telah meminta pemerintah Amerika untuk mewakilkan persoalan keamanan ini kepada pemerintah Iran. Menurut kami, keadaan inilah yang akan menolong kita dalam menyelesaikan masalah ini.
Kedudukan kami sudah jelas. Kami menentang segala bentuk penghasilan senjata pembunuh dan persenjataan nuklear. Kami percaya bahawa tempoh belum berakhir untuk kembali membahas persoalan persenjataan nuklear ini. Inilah waktunya untuk menggunakan logik dan rasionaliti demi sebuah peradaban. Kami berusaha untuk mencari cara-cara baru untuk mencintai masyarakat.
Ketika anda mendengar slogan-slogan anti Amerika, anda sendiri pasti tahu bahawa slogan-slogan itu tidak ditujukan kepada rakyat Amerika. Rakyat kami tidak memiliki masalah dengan rakyat Amerika bahkan kami memiliki hubungan persahabatan yang sangat erat dan hubungan ini sangatlah mulia, sehingga saya menulis sepucuk surat kepada pemerintah Amerika untuk meminta supaya mengadakan penerbangan langsung antara Tehran dan New York dan kami berkeinginan agar rakyat kedua negara dapat menikmati perjalanan mereka secara bebas. Kami tidak memiliki sebarang masalah dengan mana-mana rakyat. Kini, ramai para ilmuan dan ahli sukan kami yang sering berkunjung ke Amerika. Slogan anti Amerika yang anda sering dengar pada hakikatnya ditujukan kepada tindakan pemerintah dan ahli politik Amerika. Rakyat masih mengingati betapa ahli-ahli politik Amerika menyokong regim pemerintahan yang bersifat pembunuh. Sebagai contoh, Saddam Husain telah memerangi Iran selama 8 tahun dengan sokongan pemerintah Amerika pada ketika itu. Ratusan ribu pemuda Iran telah terbunuh dan pemerintah Amerika tiba-tiba telah memberi sokongan kepada Saddam. Dan, rakyat kini menghendaki kematian dan kehancuran bagi tindakan-tindakan seperti ini.