Ancaman Israel Terhadap Iran
Media Israel kebelakangan ini mula mencipta propaganda baru untuk melancarkan tekanan psikologi terhadap Republik Islam Iran. Propaganda ini cukup mengejutkan kerana menyatakan bahawa negara Oman, United Arab Emirate (UAE) dan Qatar secara tersirat telah mengizinkan Israel untuk menggunakan ruang udara mereka bagi menyerang Iran. Tiga negara Arab itu memang diketahui umum memiliki hubungan secara terbuka dan rahsia dengan Israel.
Bagi menambahkan lagi sensasi propaganda tersebut, akhbar as-Siyasah terbitan Kuwait turut menyebarkan propaganda itu dengan melaporkan semula apa yang telah dicetuskan oleh akhbar Haaretz terbitan Israel. Para pegawai Arab yang mempunyai kaitan dengan isu ini bertindak menutup mulut sehingga memperkuatkan desas desus yang dicanangkan oleh media Israel tersebut. Malangnya, keadaan ini tidak bertahan lama. Amr Moussa selaku Setiausaha Agung Liga Arab pada hari Ahad, 25 Februari 2007, telah memberikan reaksi terhadap laporan itu. Beliau mengulas bahawa kenyataan para Menteri Oman, Qatar dan UAE itu adalah bohong belaka.
Bagi Iran, benar atau tidaknya laporan itu tidaklah begitu penting. Iran amat menyedari bahawa Israel kini sedang bergelut dengan pelbagai persoalan dalaman dan pihak pemerintah di Tel Aviv tidak mampu menghadapi tekanan daripada pihak pembangkang. Dalam suasana seperti ini, penyebaran isu konfrontasi dengan Iran tidak lain hanya merupakan ciptaan regim Zionis untuk melepaskan diri dari pergolakan yang sedang mendorong mereka ke arah jurang kehancuran.
Adapun akhbar as-Siyasah, meskipun diterbitkan oleh Kuwait, tetapi sudah menjadi pengetahuan umum bahawa akhbar berbahasa Arab itu telah sekian lama ditaja oleh Zionis. Oleh kerana itu, tidak hairanlah jika akhbar tersebut turut sama menyebarkan propaganda Israel yang bertujuan mewujudkan krisis antara Iran dengan negara-negara Arab serta menimbulkan ketegangan di rantau Teluk Parsi.
Faktor lain yang menimbulkan keghairahan Israel untuk mencipta unsur perpecahan itu ialah imejnya yang semakin buruk di mata negara-negara Islam. Bertambahnya kezaliman dan keganasan Zionis di Palestin dan Lebanon serta kerja vandalismenya di Kompleks Masjid al-Aqsa telah membuatkan Israel kian dilihat oleh ummat Islam sedunia sebagai musuh nombor satu. Pada masa yang sama, Israel cuba mencipta senario bahawa ia tidak pernah terpencil di mata negara-negara Arab. Malangnya, Israel tidak segan silu mengaku bahawa mereka memiliki hubungan yang akrab dengan negara-negara Arab sehingga ke tahap negara-negara tersebut sanggup membiarkan bumi mereka dijadikan pengkalan untuk menyerang Iran.
Iran sejak dari awal lagi melihat provokasi tersebut amat bersifat hiprokrit. Iran tetap meyakini hubungan baiknya dengan negara-negara jirannya di rantau Teluk. Malah semua pihak mengetahui bahawa Iran bukanlah sebuah negara yang mudah digertak, apalagi oleh Israel yang kekuatannya sudah teruji dalam peperangan 33 harinya dengan Hizbullah. Israel langsung tidak berkemampuan ketika menghadapi pejuang-pejuang Hizbullah yang hanya terdiri daripada beberapa ribu orang sahaja. Oleh kerana itu, adalah amat melucukan sekiranya Israel mengaku telah bersiap sedia untuk berperang dengan Iran yang kini tampil dengan kekuatan yang amat mengkagumkan, samada secara fizikal mahupun spiritual.
Monday, February 26, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment