Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau tidak pernah mendokong fahaman Wahabi seperti tanggapan umum terhadapnya selama ini. Oleh itu, beliau menolak tanggapan bahawa beliau terbabit dalam usaha untuk mengembangkan fahaman tersebut ketika menjadi Mufti Perlis. Sebaliknya, kata tokoh agama yang sering mengundang kontroversi itu, Wahabi tidak pernah bertapak di Perlis.
Menurutnya, fahaman Wahabi juga tidak sama dengan 'Sunnah Perlis' yang diamalkan oleh sebahagian penduduk Perlis sekarang. 'Sunnah Perlis' bukanlah Wahabi, sebaliknya satu aliran pembaharuan bagi memajukan umat Islam dalam pelbagai bidang," katanya lagi.
"Perlis tidak pernah menjadi Wahabi. Buku-buku tokoh Wahabi seperti Syeikh Muhammad Abdul Wahab tidak pernah diajarkan di Perlis. Pandangannya tidak pernah timbul dan dirujuk. Beliau bukanlah seorang ahli fekah. Kalau tanya orang Perlis siapa Muhammad Abdul Wahab, mereka pun tidak kenal," katanya.
Tokoh agama muda itu mengulas kekeliruan berhubung penggunaan istilah 'Wahabi' bagi merujuk kepada beberapa pandangan dan pengamalan agama negeri itu yang berbeza dengan pengamalan di negeri-negeri lain. Dr Mohd Asri turut menjelaskan, istilah yang tepat bagi menggambarkan pengamalan agama di Perlis adalah 'Kaum Muda'. Katanya, gerakan pembaharuan 'Kaum Muda' dikembangkan oleh tokoh-tokoh yang mendapat pendidikan agama di Timur Tengah, seperti Syed Syeikh al-Hadi sebelum kemerdekaan negara pada tahun 1957. Gerakan itu, tambahnya, mahu menggerakkan perubahan dalam pelbagai aspek masyarakat seperti pendidikan dan penindasan terhadap kaum wanita.
Beliau berpendapat, pendekatan pembaharuan yang diperkenalkan oleh Syeikh Muhammad Abdul Wahab di Arab Saudi pada tahun 1701 tidak sesuai untuk digunapakai di Malaysia kerana cirinya yang keras, akibat 'situasi padang pasir' ketika itu.
Beliau berpendapat, pendekatan pembaharuan yang diperkenalkan oleh Syeikh Muhammad Abdul Wahab di Arab Saudi pada tahun 1701 tidak sesuai untuk digunapakai di Malaysia kerana cirinya yang keras, akibat 'situasi padang pasir' ketika itu.
“Di Barat, Wahabi ini selalu dikaitkan dengan keganasan,” jelas beliau yang dilantik sebagai ahli Majlis Agama Islam Perlis baru-baru ini. Ditanya kenapa perdebatan agama di Perlis hanya melibatkan isu-isu kecil fekah semata-mata, Dr Mohd Asri berkata, perkara itu mungkin disebabkan tidak banyak tokoh-tokoh besar Kaum Muda di negeri itu.
“Mungkin kita banyak tokoh-tokoh kecil di Perlis. Bukan hendak kata mereka salah. Tetapi tokoh-tokoh kecil ini melihat perkara-perkara yang kecil. “Sebab itu, waktu saya dulu (ketika jadi Mufti), saya cuba menimbulkan isu-isu yang lebih besar dan sejagat,” jelasnya.
Perdebatan agama sentiasa tercetus di Perlis apabila terdapat beberapa fatwa dan pengamalan fekah yang berbeza diamalkan, antaranya seperti melaungkan azan hanya sekali untuk solat Jumaat, tidak membaca talqin untuk jenazah dan tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh.
Pada 7 Oktober 2008, Dr Mohd Asri memutuskan bersara mengejut akibat 'tidak selesa dengan permainan politik' oleh beberapa pihak dalam kerajaan negeri berhubung pengendalian kontrak perkhidmatannya. Tempatnya itu digantikan oleh Timbalan Mufti Sarawak, Dr Juanda Jaya yang dikatakan mempunyai pandangan agama yang sealiran dengannya.
No comments:
Post a Comment