Showing posts with label Iran...13 Jun 2009. Show all posts
Showing posts with label Iran...13 Jun 2009. Show all posts

Friday, June 19, 2009

GELOMBANG PERUBAHAN POLITIK IRAN?

Pemilihan Presiden Iran baru-baru ini berlangsung dalam andaian yang kuat bahawa satu transisi kuasa bakal berlaku di negara Islam itu. Figura Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad yang selama ini menjadi simbol kekuatan negara berkenaan dilihat seolah-olah semakin terhakis pengaruhnya menjelang detik-detik pengundian.
Kelibat Ahmadinejad dibayangi oleh bekas Perdana Menteri, Mir Hossein Mousavi. Sepanjang berkempen, Mousavi memperlihatkan pendiriannya sebagai pejuang kebebasan hak-hak rakyat, mengutamakan kepentingan negara dan terbuka dengan dunia luar. Kerana prinsip itu juga, Mousavi dikatakan mendapat dokongan kuat daripada tokoh berpengaruh Iran, Mohammad Khatami.
Selain Ahmadinejad dan Mousavi, dua lagi calon Presiden pada pemilihan tersebut ialah Mohsen Rezae dan Mehdi Karoubi. Empat calon ini membentuk dua blok aliran pemikiran politik dengan Ahmadinejad dan Mohsen mewakili kumpulan konservatif manakala Mousavi dan Karoubi mengetuai kumpulan reformis.
Mendapat sokongan penuh pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei dan gerakan Islam, kumpulan konservatif sangat vokal serta tegas dalam menyuarakan masalah umat Islam sejagat. Berbeza dengan reformis, aliran pemikiran ini (reformis) pula lebih bersikap terbuka. Isu-isu yang ditumpukan menjurus kepada polemik setempat seperti pemulihan ekonomi serta kebebasan hak-hak wanita dan kerajaan.
Umumnya, pertembungan antara kumpulan konservatif dengan moderate yang mahukan perubahan di pentas pemilihan Presiden Iran bukanlah sesuatu yang baru. Namun, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai apatah lagi kumpulan konservatif masih menguasai Parlimen.
Kerana itu juga, sejak dari awal ramai penganalisis berpendapat, pemilihan presiden sekali lagi akan dimenangi oleh kumpulan konservatif atau lebih tepatnya Ahmadinejad. Sentimen kebanyakan rakyat Iran masih mahukan pemimpin yang lantang dan berani mengkritik barat khususnya Amerika Syarikat dan sekutunya, Israel. Sikap dan pendirian beliau dalam memperjuangkan keadilan dan maruah Iran amat mendapat sokongan.
Imej Iran yang dianggap musuh barat memerlukan kehadiran Ahmadinejad kerana beliau dilihat satu-satunya pemimpin yang berani mengkritik barat secara terbuka dan konsisten.

Dari perspektif yang lain, kemenangan Ahmadinejad sebenarnya lebih diharapkan oleh para pemimpin negara-negara Arab berbanding Mousavi. Ini kerana, negara-negara Arab memerlukan Ahmadinejad untuk dijadikan 'kambing hitam' dalam setiap permasalahan yang berlaku di rantau Timur Tengah. Kebangkitan kumpulan pejuang pembebasan Islam seperti Hamas dan Hizbullah misalnya akan terus dikaitkan dengan Ahmadinejad sebagai penaja keganasan.
Begitu juga dengan kedegilan Iran dalam isu nuklear yang memberi kelebihan dari sudut ekonomi, politik dan keselamatan negara Timur Tengah lain dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat. Hidup Islam!!!

Sunday, June 14, 2009

AHMADINEJAD PRESIDEN IRAN KE-10

Oleh : Mohd Sayuti Omar (MSO).

Pilihan raya Presiden Republik Islam Iran ke-10 saya tidak ikut dengan cerap dan menyungguh. Hanya sesekali menyilau dan membaca laporan di akhbar dan internet seimbas lalu. Tidak mengikuti dari awal, maksudnya sebermula kempen pilihan raya berkenaan. Maka susah untuk membuat telahan siapa yang akan memenangi jawatan itu.
Laporan-laporan berita mengatakan pilihan raya presiden Iran kali ini sengit dan hebat. Dr Mahmoud Ahmadinejad dikatakan tercabar dan kemungkinan akan kehilangan jawatan itu. Beliau dicabar oleh tiga calon lain. Bagaimanapun, calon yang mengikut rapat dan dikira akan memberi tentangan ialah Mir Hossein Moussavi. Moussavi dikatakan reformis yang ingin membawa pembaharuan di Iran. Membuka Iran dari dunia terlungkupnya kepada dunia global dan liberal.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri terakhir di zaman revolusi dikatakan mampu membawa keamanan di Iran serta mengurangkan ketegangan hubungan Iran dengan Barat khususnya Amerika Syarikat. Moussavi juga dikatakan mendapat sokongan dari kalangan orang muda. Inilah modal atau pun aset yang mengatakan Moussavi akan menang.
Manakala Ahmadinejad pula lebih dilihat konservatif yang mempertahankan dasar dan polisi Iran yang bersifat anti Barat selama ini di samping akan meneruskan projek pembinaan tenaga nuklear yang ditentang Barat.
Saya bukan menyokong Ahmadinejad tetapi suka kepada kesederhanaan wataknya yang nampak tulus dan jujur. Wajahnya juga menggambarkan dia seorang pemimpin berwajah rakyat dan tidak hipokrit. Dari wajahnya tidak menunjukkan dia keturunan bangsawan dan suka bermewah atau bercakap besar. Karektornya juga sangat sesuai untuk memimpin rakyat Iran yang bermati-matian mempertahankan satu-satunya negara legasi umat Islam di dunia ini dari disulupi pengaruh Barat.
Jadi apabila mendengar laporan Moussavi akan beroleh kemenangan apa lagi sudah ada dakwaan daripada pengurus kempennya yang bekas PM Iran itu menang besar, hati sedikit terkedu. Dapat dibayangkan kalau Moussavi menang, Iran akan dijajah seluruhnya oleh pemikiran dan politik Barat.
Bagaimanapun, atas prinsip sesuatu itu tidak akan mutlak selagi ianya tidak diumumkan oleh panitia pemilih, berita itu saya terima sebagai angin lalu saja di samping hati terus berdoa agar Ahmadinejad memperolehi kemenangan.
Laporan terkini ternyata berpihak kepada Ahmadinejad. Daripada 78% jumlah undi yang dikira sehingga ini Ahmadinejad sudah mendapat 64.9% undi berbanding dengan Moussavi yang memperolehi 32% undi. Kira-kira tidak sampai 25% undi saja yang belum kira. Setakat ini menurut Menteri Dalam Negeri Iran, Sayed Sadeq Mahsouli, seramai 70% daripada 46 juta rakyat Iran yang layak mengundi telah keluar mengundi.
Keputusan tersebut tentulah mengejutkan Moussavi dan para penyokongnya. Ternyata provokasi dan psywar yang dilakukan sebelum ini tidak menjadi dan merombak keputusan mutlak yang ditetapkan Tuhan. Kepada Mossavi dan penyokong, hendaklah menerima dengan redha dan gentlemen terhadap keputusan rakyat Iran itu dan jangan pula selepas ini ada dakwa dakwi mengatakan proses pemilihan itu tidak telus atau berlaku penyelewengan dan sebagainya. Terimalah hakikat kekalahan. Jangan sampai menaikkan sepanduk atau kain pemidang yang mengelirukan rakyat.