Showing posts with label Malaysia...8 Mei 2009. Show all posts
Showing posts with label Malaysia...8 Mei 2009. Show all posts

Friday, May 8, 2009

SYARIKAT IRAN MAHU BUKA KILANG BIR TANPA ALKOHOL DI MALAYSIA

*Gambar : Pengunjung Mihas mencuba 'Istak', minuman bir tanpa alkohol keluaran Arpanoosh di Pameran Halal Antarabangsa 2009 di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Malaysian Iranian Corporation Sdn. Bhd. (MICSB), pemegang hak eksklusif bagi pengedaran minuman bir tanpa alkohol jenama 'Istak' dari Iran, bakal membuka sebuah kilang di negara ini dengan pelaburan hampir RM50 juta.
Pengarah Urusan MICSB, Mahdi Bagherian berkata, pelaburan itu merupakan langkah pertama untuk produknya meneroka pasaran Malaysia dan Asia Tenggara.
Tiga lokasi yang dicadangkan bagi pembinaan kilang itu ialah di Pelabuhan Klang, Melaka dan Johor Bahru, katanya.
"Minuman tanpa alkohol atau halal ini merupakan produk terbaru yang dipasarkan ke negara ini malah permintaan terhadapnya amat menggalakkan terutamanya bagi pelanggan bukan Islam dan penggemar minuman alkohol yang mahu mencari alternatif lain," katanya lagi.
Istak dihasilkan melalui pemilihan malt (bijirin biasanya barli yang diperam) paling berkualiti dan dikeluarkan menerusi syarikat yang berpengkalan di Iran, Arpanoosh Industrial Co. yang berpangkalan di Iran.
Syarikat dengan keupayaan pengeluaran 35,000 botol sejam itu memiliki barisan pengeluaran terbesar di samping keupayaan teknologi mesin paling terkini dari Jerman.
Menurut Bagherian, produk tersebut masih baru di pasaran tempatan namun produk tersebut akan dijual di pasar raya besar, pasar raya dan hotel-hotel di seluruh negara.
Katanya, ketika ini syarikat yang beroperasi di Putrajaya itu mengimport kira-kira 20 buah kontena yang mengandungi 1.2 juta botol minuman Istak untuk dipasarkan ke Malaysia.
Melalui pembinaan kilang yang bakal dibina itu, beliau memberitahu, keupayaan untuk mengeluarkan minuman itu boleh mencapai dua kali ganda jika penggunaan teknologi sama seperti di Iran diguna di negara ini.
"Jenama 'Istak' ini bukan jenama asing di luar negara kerana Arpanoosh telah mengeksport minuman itu ke Jerman, Afghanistan, Palestin, Lebanon, Azerbaijan dan Australia," katanya.
Jika perancangan untuk membuka kilang baru di negara ini menjadi kenyataan, 'Istak' akan dieksport ke Indonesia, Thailand, Singapura manakala di Vietnam jenama minuman tersebut telah pun dijual baru-baru ini.
Bagi mengukuhkan jenama itu di rantau ini, MICSB telah menaja sebuah pasukan rali-SR Motorsports bagi meningkatkan kesedaran jenama itu di kalangan pengguna, selain meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna remaja tentang kebaikan minuman tanpa alkohol di dalam sukan.
Selain itu, minuman itu didakwa baik untuk kesihatan termasuk mampu mengelakkan sakit buah pinggang, mengurangkan tekanan, membina tenaga dan mampu mengurangkan kolesterol.

MINUMAN MALT TANPA ALKOHOL DI MIHAS

KUALA LUMPUR - Malt adalah salah satu ramuan dalam pembuatan minuman beralkohol. Biarpun begitu, anda berpeluang untuk menikmati 'Istak', minuman malt yang disahkan 100 peratus halal tanpa alkohol di Pameran Halal Antarabangsa 2009 (Mihas 2009).
Ketua Pengarah Malaysian Iranian Corporation (MIC) Sdn. Bhd., Mahdi Bagherian berkata, minuman malt yang dibuat di Iran itu mempunyai 10 perisa termasuk perisa asli malt, epal, mangga, nenas, lemon, buah pear, strawberi dan delima.
Menurutnya, "Kami berbangga kerana syarikat ini merupakan satu-satunya wakil tunggal eksklusif di Asia Pasifik yang bertanggungjawab memasarkan 'Istak' yang dihasilkan oleh Arpanoosh Industrial Company, syarikat pembuatan Iran. 'Istak' diproses di Iran menggunakan Bavarian malt dan teknologi terkini dari Jerman."
Sementara itu, Ketua Eksekutifnya, Qutren Nada Ahmad berkata, Malaysia dipilih sebagai hab pemasaran antarabangsa bagi memasarkan 'Istak'. Malaysia ialah sebuah negara Islam moden yang mempunyai lebih 13 juta penduduk Islam. Kami melihat Malaysia sebagai destinasi terbaik untuk memasarkan 'Istak' ke negara jiran berhampiran termasuk Brunei dan Indonesia. Selain itu, konsep halal juga diterima oleh semua Muslim dan bukan Muslim di negara ini," katanya.
Qutren Nada menambah, konsep pemasaran yang dibawa 'Istak' adalah 'Drink & Drive' yang mana pemandu tidak perlu risau untuk memandu sekiranya meminumnya kerana ia tidak memabukkan.
"Malah, 'Istak' kaya dengan vitamin, dapat mencegah pembentukan batu karang, mengurangkan tekanan, membina tenaga, membakar lemak dan mengurangkan 10 hingga 15 peratus kolesterol dalam darah," jelasnya.
Sehubungan itu, MIC akan menaja pasukan rali SR Motorsport dalam Malaysian Rally Championship yang dijadualkan berlangsung di Perlis selama dua hari bermula 30 Mei ini sebagai usaha untuk meningkatkan publisiti 'Istak'.
Mihas 2009 berjaya menarik penyertaan 30 buah negara termasuk Iran, China, Palestin, Indonesia, Singapura, Thailand, Mesir , Afrika Selatan, Amerika Syarikat dan United Kingdom.