Sunday, May 25, 2008


George Galloway: “ Tanpa Hizbullah dan Nasrullah, Lebanon Pasti Telah Terjajah”

George Galloway, salah seorang ahli Parlimen Britain dalam wawancara dengan akhbar terbitan Jordan, "Algad" menyatakan: “Sayyid Hasan Nasrullah adalah seorang peribadi yang amat jarang ditemui, ketika dia berbicara maka dia bakal berbicara atas nama kebenaran". Andaikata Hizbullah dan Nasrullah tidak ada, nescaya Lebanon sudah terjajah”.
Ahli Parlimen Britain yang kontroversi itu menambah lagi : “Menuduh Hizbullah mempunyai hubungan dengan Iran dan Syria hanyalah bermotif politik untuk mengalihkan perhatian dunia, sedangkan pada masa yang sama kebanyakan negara-negara Arab menjadi pendukung utama terhadap Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya”.
George Galloway juga menyatakan, "Krisis di Lebanon adalah tanggungjawab kerajaan Fuad Seniora. Kerajaan Seniora telah membuat kesilapan besar apabila cuba melucutkan senjata Hizbullah sehingga Hizbullah tidak mampu mempertahankan dirinya".
Menanggapi tuduhan bahawa Hizbullah ingin menguasai Lebanon beliau menyatakan: ”Hizbullah sememangnya mampu untuk menguasai Lebanon tetapi mereka amat memahami aneka ragam bangsa, qabilah dan mazhab yang ada di Lebanon. Negara-negara Arab sangat lantang membicarakan tentang pendudukan Hizbullah ke atas jalan Khamra dan Beirut tetapi ketika berbicara tentang penjajahan Israel dan Amerika ke atas Palestin dan Iraq, lidah mereka kelu dan tidak mampu berbicara sama sekali.
Di akhir wawancaranya George Galloway menegaskan lagi: "Sayyid Hasan Nasrullah dan Hizbullah adalah dari Lebanon dan beliau selalu mempertahankan kedaulatan setiap inci bumi Lebanon dan tanpa mereka, tentu Lebanon sudah menjadi negara yang terjajah".

Ulasan Abu Wajihah:
"George Galloway adalah seorang yang beragama Kristian namun memiliki kejernihan pandangan dalam menanggapi isu-isu di Timur Tengah khususnya isu-isu yang berkaitan dengan Hizbullah dan Iran.Beliau seorang pengamat dan penganalisa politik yang bijaksana dan adil. Adalah sesuatu yang amat menyedihkan dan sekaligus memalukan apabila masih ada orang yang menaruh sangsi terhadap sumbangan besar Hizbullah dan Iran terhadap kedaulatan dan keselamatan Islam dan ummatnya di seluruh dunia"

Thursday, May 1, 2008

Sekilas Mengenai Mazhab Ahlul Bait Di Oman

Masyarakat yang bermazhab Ahlul Bait di Oman hidup dalam suasana yang amat selesa dan kondusif. Penduduk Oman berjumlah lebih kurang 4.5 juta orang dan 60,000 orang daripadanya adalah terdiri dari pengamal mazhab Ahlul Bait. Jumlah mereka semakin bertambah ramai dari sehari ke sehari. Menurut laporan, masyarakat yang bermazhab Ahlul Bait di Oman terdiri dari rakyat yang berbangsa India, Khojeh, Bahrain dan Iran.
3 orang Menteri Oman dan Datuk Bandar Maqat adalah dari kalangan pengamal mazhab Ahlul Bait. Dari aspek politik, Oman termasuk negara yang agak tertutup. Masyarakat yang bermazhab Ahlul Bait di negara tersebut tidak melakukan sebarang aktiviti politik. Namun hal ini berbeza di sektor kebudayaan di mana mereka sangat aktif kerana di bidang ini mereka diberi kebebasan.
Kedai buku yang terbaik di negara Oman adalah milik seorang pendokong mazhab Ahlul Bait. Lebih kurang 90% dari mereka bertaklid kepada Ayatullah al-'Uzhma Sayyid Ali Sistani. Kadangkala mereka mengirimkan pesawat peribadi kepada Jawad Shahrestani yang merupakan menantu dan wakil Ayatullah al-'Uzhma Sayyid Ali Sistani di Iran untuk datang melawat ke negara Oman.
Sementara itu, buku fatwa Ayatullah al-Uzhma Sayyid Ali Khamenei juga dapat ditemui dengan mudah di negara ini.
Majlis sempena memperingati hari 'Asyura sering diadakan oleh masyarakat bermazhab Ahlul Bait di sana. Bahkan Raja Oman,Sultan Qaboos bin Said pernah memberikan salah seekor kudanya kepada mereka untuk digunakan dalam majlis tersebut.
Mazhab rasmi negara Oman adalah Ibadhiah. Mazhab ini pada asalnya adalah Khawarij namun telah mengalami perubahan yang cukup signifikan dan penting. Mazhab Ibadhiah sangat bersikap toleransi dengan perbezaan pandangan. Mazhab ini sangat tidak dapat menerima fahaman Wahabi atau Salafi. Situasi ini amat membantu perkembangan dan penyebaran mazhab Ahlul Bait di sana.
Masyarakat Ahlul Bait yang beraliran Khojeh terdiri dari kalangan orang-orang yang kaya di negeri ini dan mempunyai pengaruh dan kedudukan yang baik di sisi masyarakat umum. Di masa lalu, ketika suasana ekonomi pemerintah tidak begitu baik, masyarakat Ahlul Bait yang beraliran Khojeh ini turut membantu pemerintah dari aspek ekonomi sehingga menjalinkan hubungan yang amat baik dan akrab di antara pemerintah dengan masyarakat yang bermazhab Ahlul Bait.
Mufti Oman yang bermazhab Ahlus Sunnah, Syeikh Ahmad Khalili pernah menulis sebuah puisi yang mengandungi pujian kepada Imam Khomeini (qs) serta menunjukkan kecintaannya yang mendalam.
Sejumlah pelajar-pelajar yang bermazhab Ahlul Bait dari Oman ketika ini sedang menuntut ilmu Ahlul Bait di Qom, Iran bahkan di Oman sendiri terdapat hauzah (madrasah) yang dimiliki oleh masyarakat Ahlul Bait.