Monday, September 7, 2009

REMAJA MURTAD CETUS PERBALAHAN DI FLORIDA

*Gambar: Rifqa memasuki mahkamah Florida di Orlando. Gambar kecil menunjukkan ibu Rifqa, 'Aisha, menangis dalam mahkamah melihat anaknya.
ORLANDO: Seorang remaja perempuan Muslimah yang lari dari rumah dan murtad untuk memeluk agama Kristian mencetuskan perebutan hak penjagaan di mahkamah Florida di antara muballigh Kristian dan keluarga Islam remaja itu. Kes membabitkan hak penjagaan remaja berusia 17 tahun yang berasal dari Sri Lanka itu akan diputuskan di mahkamah Florida.
Kumpulan muballigh Kristian terbabit menganggap kes itu membabitkan isu kebebasan beragama, manakala kumpulan Islam berkata ia hanyalah masalah keluarga. "Kami kesal (kes ini diperbesarkan) kerana ia hanyalah satu masalah keluarga,” kata Pengarah Pusat Islam Orlando,” Imam Tariq Rasheed. "Cara ia dipaparkan media lebih mirip kepada usaha memburukkan Islam dengan memberi gambaran negatif mengenai agama ini,” katanya.
Remaja berkenaan, Rifqa Mohamed Bary, meninggalkan keluarganya di Ohio Julai lalu dan pergi ke Orlando untuk memeluk agama Kristian. Rifqa yang kini tinggal di rumah keluarga seorang paderi berkata beliau bimbang tentang keselamatannya jika pulang ke pangkuan keluarganya. Bagaimanapun, bapa remaja itu berkata anak perempuannya itu tidak perlu bimbang kerana beliau bebas untuk mengamalkan agama barunya. Katanya, keluarga itu hanya mahu remaja itu pulang. Aktivis Kristian di Florida sedang melancarkan kempen untuk membenarkan remaja itu tinggal di negeri itu dengan menyatakan ia membabitkan isu kebebasan beragama kerana mereka mendakwa al-Quran memerintahkan hukuman mati terhadap mereka yang murtad.
Kumpulan Islam menafikan hujah berkenaan. "Tidak ada satu ayat pun dalam al-Quran yang menghalang seseorang daripada menggunakan haknya untuk memilih agama yang dianutinya. Juga tidak disentuh mengenai hukuman terhadap orang yang murtad,” kata Imam Rasheed.
Seorang Profesor Madya dalam bidang agama di Universiti Florida, Gwendolyn Zoharah Simmons, berkata isu itu mungkin berpunca daripada kebimbangan yang tidak rasional di kalangan mereka yang tidak memahami Islam. Menurutnya, "Apa yang lebih memalukan dalam isu ini ialah mereka yang sepatutnya lebih berilmu dan mempunyai nilai yang tinggi, sanggup menggunakan tanggapan salah untuk memperdayakan yang jahil dan menggalakkan keganasan.”

PENDUDUK UIGHUR TIDAK DIGALAKKAN BERPUASA

URUMQI: Pihak berkuasa di wilayah Xinjiang didakwa mengeluarkan notis tidak menggalakkan pekerja Uighur berpuasa di bulan Ramadan. Langkah juga didakwa diambil pihak berkuasa di wilayah yang menempatkan penduduk Islam etnik Uighur untuk memaksa mereka tidak mematuhi amalan agama ketika Ramadan. "Makanan tengah hari, teh dan kopi percuma yang disifatkan pihak berkuasa sebagai 'sagu hati daripada kerajaan' atau elaun sara hidup ditawarkan dalam jabatan dan syarikat tempatan. Bagaimanapun, ia sebenarnya satu usaha mengenal pasti siapa yang berpuasa," kata Dilxat Raxit, jurucakap Kongres Dunia Uighur. Dilxat berkata, pekerja Parti Komunis Uighur di seluruh Xinjiang dipaksa menandatangani surat aku janji tidak berpuasa atau melaksanakan aktiviti agama yang lain. Buat pertama kali, operasi berkenaan diperluas kepada ahli Parti Komunis bersara. Pekerja sedia ada dikehendaki melawat mereka untuk menggalakkan mereka tidak berpuasa. Pemilik restoran juga didakwa diarah membuka perniagaan ketika Ramadan atau lesen perniagaan dibatalkan.

IRAN TIDAK TUNDUK TERHADAP TEKANAN BARAT

TEHERAN: Iran memberi amaran tidak akan tunduk kepada 'ancaman dan tekanan' bagi memenuhi tempoh yang ditetapkan oleh kuasa dunia untuk mengadakan perbincangan mengenai program nuklearnya yang kontroversi.
"Negara kami percaya kepada jalan dialog dan interaksi, tapi jika mereka (enam kuasa dunia) mahu menetapkan tempoh tertentu dengan menggunakan ancaman dan tekanan, kami tidak akan menerimanya," kata jurucakap Kementerian Luar, Hassan Ghashghavi.
Reaksi Iran itu dibuat selepas Amerika Syarikat dan lima kuasa dunia lain mendesak Republik Islam berkenaan supaya menerima tawaran untuk bersemuka mengenai program nuklear sebelum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akhir bulan ini.
Di Frankfurt, enam negara kuasa dunia berkenaan mengadakan pertemuan di Jerman bagi membincangkan isu nuklear Iran itu. Mesyuarat tertutup itu berlangsung berhampiran Frankfurt dan membabitkan pegawai Kementerian Luar dari Amerika Syarikat, Perancis, Britain, Rusia, China dan Jerman.
"Keenam-enam negara itu menekankan pintu masih terbuka untuk mencari penyelesaian kepada isu yang dirunding," kata seorang diplomat tertinggi Jerman. Beliau menggesa Teheran supaya bersetuju untuk berunding mengenai isu berkenaan sebelum Perhimpunan Agung PBB penghujung bulan ini.
Baru-baru ini, perunding utama Iran, Sa'eed Jalili berkata negaranya akan mengemukakan cadangan baru dan akan mengadakan perbincangan bagi meredakan kebimbangan pada peringkat antarabangsa.