Monday, February 20, 2012

ALI STONE : SAYA AKAN MEMBUAT FILEM MENGENAI TRAGEDI KARBALA

Ali Stone, pengarah filem Hollywood yang baru sahaja memeluk agama Islam di Iran baru-baru ini mengatakan, "Di Iran ini saya memiliki perancangan untuk membuat lima filem dokumentari dan masih lagi dalam peringkat tinjauan dan penelitian."
"Di antara filem yang ingin saya buat adalah mengenai biografi Maulana Rumi, seorang tokoh besar Iran yang amat dikagumi di dunia Barat. Maulana Rumi memiliki ramai peminat di seluruh dunia dan tentu sekali sangat bermanfaat jika biografinya difilemkan. Namun bagi saya peristiwa 'Asyura jauh lebih menakjubkan, lebih banyak memiliki pencinta di seluruh dunia dan manfaat pembikinan filemnya jauh lebih besar. Justeru saya bertekad untuk membuat filem mengenai 'Asyura suatu hari nanti."
Sean Stone, 27 tahun yang setelah memeluk Islam menggantikan namanya menjadi Ali Stone mengakui banyak mengenali para mahasiswa Iran dari jurusan Sejarah dan Perbandingan Agama.
Katanya, "Tugas saya ketika di Iran memerlukan banyak interaksi dengan mereka. Sebelum ini saya sudah mengenali agama Yahudi dan Kristien kerana saya membesar dari keluarga yang memadukan antara dua agama besar tersebut. Yang menarik dari ajaran Islam adalah penjelasan mengenai hubungan antara Tuhan dan manusia. Dalam Islam manusia mampu berhubung secara langsung dengan Tuhan tanpa melalui perantaraan. Hal ini sangat menakjubkan bagi saya."
Sewaktu ditanya mengenai ketertarikannya untuk membuat filem mengenai 'Asyura, beliau menegaskan, "Islam tidak boleh dipisahkan dari peristiwa 'Asyura. Oleh kerana itu, umat Islam di Iran sentiasa menghidupkan 'Asyura dengan pelbagai majlis dan perayaan. Dari peristiwa 'Asyuralah saya melihat semangat pembebasan dan cinta keadilan itu lahir dan tumbuh."
Tegas beliau lagi, "Saya kagum terhadap negara Iran yang memberikan kebebasan untuk memiliki keyakinan terhadap setiap rakyatnya. Meskipun majoriti rakyat Iran adalah bermazhab Syiah, namun ada rakyat negara ini yang berpegang dan beramal dengan mazhab lain. Setiap orang melaksanakan sesuatu amalan berdasarkan keyakinan masing-masing tanpa perlu bersengketa. Jika ada yang berselisih faham, ianya bukan disebabkan oleh perbezaan mazhab tetapi sekadar perselisihan peribadi."
Ketika ditanya mengapa beliau memilih nama Ali sebagai nama barunya, Ali Stone menjelaskan, "Imam Ali as adalah tokoh pembebasan yang sangat diagungkan dalam mazhab Syiah. Saya sejak dahulu lagi telah memakai rantai yang berbentuk pedang kecil yang tertulis nama Ali. Saya sudah mengkaguminya sejak sekian lama."

Terjemahan : Rohaizad Ibrahim

No comments: