Showing posts with label Iran...28 Jun 2009. Show all posts
Showing posts with label Iran...28 Jun 2009. Show all posts

Monday, August 10, 2009

TERIMA HUKUMAN KERAS - SAYYID ALI KHAMENEI

TEHERAN - Pemimpin tertinggi Iran (Rahbar), Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei menggesa supaya pemimpin yang menganjurkan protes di negara tersebut dihukum secara tegas, malahan dijatuhi hukuman mati sekiranya mereka didapati menentang sistem pemerintahan Islam.
Kenyataan Rahbar itu menggambarkan tindakan terbaru dan keras Iran bagi mematahkan tunjuk perasaan, dua minggu selepas berlangsungnya pilihan raya Presiden yang dipertikaikan.
Golongan yang kuat menyokong kerajaan sebelum ini telah mendesak supaya mereka yang terlibat dijatuhi hukuman penjara yang lama serta digantung dan sesetengah pihak (baca: musuh Islam) khuatir dengan kenyataan keras Khamenei itu akan mempengaruhi pihak mahkamah untuk menjatuhi hukuman yang keras ke atas mereka yang sedang menunggu perbicaraan.
''Sesiapa yang mengangkat senjata untuk menentang rakyat, patut dihukum bunuh,'' kata Rahbar ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Universiti Teheran baru-baru ini, yang disiarkan secara langsung di seluruh negara.
Menurut Rahbar lagi, sesiapa yang mengganggu ketenteraman awam dan merosakkan harta benda awam disifatkan sebagai 'mengisytiharkan perang terhadap Tuhan' dan wajar 'diadili tanpa belas kasihan'.
Rahbar turut mengecam wartawan asing sambil menuduh mereka telah menyiarkan laporan palsu. Beliau turut mengkritik Britain yang sebelum ini telah diambil tindakan oleh kerajaan Iran melalui penyingkiran dua diplomat British, diikuti tindakan balas oleh Britain menyingkirkan dua diplomat Iran.

AMERIKA SYARIKAT DAN JERMAN KUTUK IRAN

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Canselor Jerman, Angela Merkel, mengalu-alukan tindakan penyokong pembangkang mengadakan tunjuk perasaan di Iran baru-baru ini dan mengutuk keganasan yang dilakukan oleh kerajaan Republik Islam itu terhadap mereka.
''Keberanian mereka (penunjuk perasaan) berdepan dengan kekejaman merupakan satu bukti bagi mendapatkan keadilan. Keganasan yang dilakukan terhadap mereka juga sangat mengejutkan. Di sebalik usaha kerajaan Iran untuk menghalang dunia menyaksikan keganasan itu, kami melihat dan mengutuknya,'' kata Obama pada satu sidang akhbar bersama dengan Merkel, selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan tertutup di White House baru-baru ini.
Antara yang dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin itu adalah proses mempercepatkan perdamaian di Asia Barat, memerangi isu militan di Afghanistan dan mewujudkan hubungan substantif dengan Rusia.
Ini merupakan pertemuan kali ketiga antara mereka selepas Obama dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat.
Merkel pada sidang akhbar itu menyokong pendirian Obama dengan berkata, Iran perlu dihalang daripada mendapatkan senjata nuklear. Beliau turut meminta supaya mangsa-mangsa keganasan di Iran dikenal pasti serta nasib yang menimpa mereka dibela.
''Iran tidak boleh mengharapkan dunia akan menutup mata terhadap apa yang telah dilakukan terhadap penunjuk perasaan. Kami tidak akan lupakannya,'' ujar beliau.

MENILAI KONFLIK POLITIK DI IRAN

Oleh : Mazlan Nordin.

Para pelajar yang mengikuti mata pelajaran sejarah di sekolah dalam masa penjajahan dulu kadang-kala diajar hal-hal yang diputarbelitkan atau pendapat berat sebelah. Lalu kami diberitahu, 'orang Greece adalah pahlawan dan bangsa Parsi adalah orang jahat'.
Cerita sepenuhnya tidak disampaikan, termasuk kisah Alexander the Great selepas kemenangannya di medan perang, seperti dicatat oleh sejarawan kemudiannya, "Setelah menduduki takhta Darius, maka beliau menoleh ke arah Greece lalu melihat keadaan-keadaan yang baginya tidak wajar, iaitu setelah melihat negeri lain bagi kali pertama. Banyak hal di Parsi terpaksa dikaguminya dan beberapa perkara negara sendiri dikritik. Interaksi kebudayaan Parsi dan Greece mendorong lebih 10,000 askar dan pegawai mereka berkahwin dengan wanita-wanita Parsi."
Kisah-kisah seperti ini kembali dalam ingatan ketika mengikuti laporan-laporan pihak media Barat mengenai keadaan di Iran kini, iaitu berita-berita demonstrasi demi demonstrasi dan pertembungan dengan pihak polis. Segalanya berlaku selepas pilihan raya 12 Jun lalu yang dimenangi oleh Presiden Ahmadinejad sekali lagi.
Antara tajuk-tajuk laporan akhbar dan televisyen pihak Barat, 'Sikap anti-kerajaan paling meluas sejak Revolusi Islam 1979', 'Penunjuk perasaan mengejek dari bumbung-bumbung bangunan', 'Iran tuduh Amerika dan Britain campur tangan hal dalam negeri Iran', 'Wartawan BBC London diusir', 'Iran tutup biro televisyen al-Arabiya', 'Tunjuk perasaan sokongan di New York, Washington, Los Angeles', 'Perpecahan pendapat di kalangan pemimpin Iran', 'Amerika punyai pelarian bangsa Iran paling ramai', 'Siaran BBC London dalam bahasa Parsi disekat', 'Demonstrasi bawa akibat buruk kepada ekonomi Iran'.
Juga dilaporkan ialah adanya 20,000 orang Yahudi masih bermastautin di Iran. Kenyataan rasmi Iran mengenai 11 juta rakyatnya mengundi juga disiarkan.
Sebelum itu dilaporkan kritikan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, Canselor Jerman, Angela Merkel dan Perdana Menteri Britain, Gordon Brown.
Setelah kerajaan Iran mengusir sebilangan ramai wartawan asing, salah satu stesen televisyen menyiarkan kenyataan, "Kirimlah gambar-gambar Iran kepada kami." Juga diminta ialah berita-berita dari 'citizen journalists', iaitu bukan wartawan.
Berulang disiarkan ialah kenyataan Mir Hussein Mousavi yang tewas dalam pilihan raya bahawa ia 'sedia mati syahid'. Beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 1980-1988 semasa berlaku peperangan di antara Iran dan Iraq yang waktu itu dipimpin oleh Presiden Saddam Hussein.
Sementara itu, Presiden Barack Obama dikritik di Amerika oleh Republikan kerana tidak berkeras mengkritik Iran. Serangan ke atasnya terutama dari golongan neo-konservatif yang bertanggungjawab menyerang Iraq pada tahun 2003.
Dalam melaporkan demonstrasi yang berlaku, ada wartawan-wartawan Barat menulis kononnya muncul sekularisme di Iran menentang Revolusi Islam. Tetapi sebenarnya tidak ada pemimpin sekular di Iran.
Dalam ingatan saya ialah kenyataan bekas Presiden Iran, Muhammad Khatami, "Pengaruh Revolusi Islam telah merebak ke seluruh dunia Islam. Ia membawa harapan baru kepada orang Islam dan mereka yang ditindas mencari kebebasan serta keadilan lalu dengan itu mewarnai iklim intelektual dan politik dunia."
Juga diungkit kembali ialah saranan supaya Israel mengebom pangkalan-pangkalan bersenjata Iran seperti telah dilakukan dulu ke atas Iraq. Tetapi pihak lain mengingatkan bahawa serangan seperti itu hanya akan melipatganda keazaman Iran yang tentunya mendapat sokongan lebih meluas dari rakyat.
Bagi tukang catat ini ialah kenangan lawatan ke Iran pada awal 1990-an dan persinggahan di makam Imam Khomeini di Beheshti Zahra serta kunjungan ke bandar Esfahan yang didirikan pada abad ke-4. Ia kemudian menjadi 'twin city' Kuala Lumpur.
Diziarahi semasa di Esfahan ialah Makam Bunga Pahlawan Mati Syahid selepas maghrib. Ia adalah perkuburan bagi beribu perajurit yang mati syahid semasa perjuangan Revolusi Islam dan perang selama 8 tahun dengan Iraq. Kelihatan ramai saudara mara menyiram air. Pada tiap kubur terdapat gambar perajurit yang bersemadi di situ.
*Gambar : Makam Omar Khayyam di Neisyabur, Iran.
*Gambar : Replika Omar Khayyam.
*Gambar : Makam Ferdausi di Thus, Iran
Iran, dulunya Persia diminati oleh sesetengah yang telah membawa puisi romantis Omar Khayyam dan Ferdausi yang menulis puisi 'Shah Nameh' 8 abad lalu - 60,000 rangkap ditulis selama 30 tahun. Antara sajaknya:
Andainya bumi membuka rahsianya,
dari awal hingga akhir,
tentunya terdedah tubuh raja-raja bermahkota,
dan darah pahlawan-pahlawan di sebelahnya,
ini dunia yang sementara,
tanamlah budi yang baik.
Seperti kata seorang jurucakap rasmi Iran baru-baru ini, "Kami tidak akan membenarkan permata menjadi batu."