Monday, August 10, 2009

AMERIKA SYARIKAT DAN JERMAN KUTUK IRAN

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Canselor Jerman, Angela Merkel, mengalu-alukan tindakan penyokong pembangkang mengadakan tunjuk perasaan di Iran baru-baru ini dan mengutuk keganasan yang dilakukan oleh kerajaan Republik Islam itu terhadap mereka.
''Keberanian mereka (penunjuk perasaan) berdepan dengan kekejaman merupakan satu bukti bagi mendapatkan keadilan. Keganasan yang dilakukan terhadap mereka juga sangat mengejutkan. Di sebalik usaha kerajaan Iran untuk menghalang dunia menyaksikan keganasan itu, kami melihat dan mengutuknya,'' kata Obama pada satu sidang akhbar bersama dengan Merkel, selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan tertutup di White House baru-baru ini.
Antara yang dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin itu adalah proses mempercepatkan perdamaian di Asia Barat, memerangi isu militan di Afghanistan dan mewujudkan hubungan substantif dengan Rusia.
Ini merupakan pertemuan kali ketiga antara mereka selepas Obama dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat.
Merkel pada sidang akhbar itu menyokong pendirian Obama dengan berkata, Iran perlu dihalang daripada mendapatkan senjata nuklear. Beliau turut meminta supaya mangsa-mangsa keganasan di Iran dikenal pasti serta nasib yang menimpa mereka dibela.
''Iran tidak boleh mengharapkan dunia akan menutup mata terhadap apa yang telah dilakukan terhadap penunjuk perasaan. Kami tidak akan lupakannya,'' ujar beliau.

No comments: