Monday, August 10, 2009

TERIMA HUKUMAN KERAS - SAYYID ALI KHAMENEI

TEHERAN - Pemimpin tertinggi Iran (Rahbar), Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei menggesa supaya pemimpin yang menganjurkan protes di negara tersebut dihukum secara tegas, malahan dijatuhi hukuman mati sekiranya mereka didapati menentang sistem pemerintahan Islam.
Kenyataan Rahbar itu menggambarkan tindakan terbaru dan keras Iran bagi mematahkan tunjuk perasaan, dua minggu selepas berlangsungnya pilihan raya Presiden yang dipertikaikan.
Golongan yang kuat menyokong kerajaan sebelum ini telah mendesak supaya mereka yang terlibat dijatuhi hukuman penjara yang lama serta digantung dan sesetengah pihak (baca: musuh Islam) khuatir dengan kenyataan keras Khamenei itu akan mempengaruhi pihak mahkamah untuk menjatuhi hukuman yang keras ke atas mereka yang sedang menunggu perbicaraan.
''Sesiapa yang mengangkat senjata untuk menentang rakyat, patut dihukum bunuh,'' kata Rahbar ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Universiti Teheran baru-baru ini, yang disiarkan secara langsung di seluruh negara.
Menurut Rahbar lagi, sesiapa yang mengganggu ketenteraman awam dan merosakkan harta benda awam disifatkan sebagai 'mengisytiharkan perang terhadap Tuhan' dan wajar 'diadili tanpa belas kasihan'.
Rahbar turut mengecam wartawan asing sambil menuduh mereka telah menyiarkan laporan palsu. Beliau turut mengkritik Britain yang sebelum ini telah diambil tindakan oleh kerajaan Iran melalui penyingkiran dua diplomat British, diikuti tindakan balas oleh Britain menyingkirkan dua diplomat Iran.

No comments: