Wednesday, February 4, 2009

HENTIKAN CAMPUR TANGAN 'BUKAN ARAB'

ABU DHABI - Mesyuarat Menteri-menteri Luar dari lapan negara Arab di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menggesa supaya ditamatkan sebarang campur tangan 'bukan Arab' dalam hal ehwal di rantau ini.
"Kami sedang bekerja keras untuk melalui fasa yang sukar kini dan mewujudkan konsensus Arab bagi menghentikan sebarang penglibatan dan campur tangan yang tidak konstruktif dan tidak diterima daripada pihak-pihak bukan Arab dalam hal ehwal kami," kata Menteri Luar UAE, Sheikh Abdullah Zayed al-Nayahan, yang secara tidak langsung merujuk kepada Iran.
Iran, satu-satunya negara bukan Arab yang bermazhab Ahlul Bait di rantau ini yang bertindak menyokong perjuangan Hamas dalam krisis politiknya dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas daripada pergerakan Fatah.
Keadaan ini jelas membahagikan rantau Arab kepada dua puak iaitu antara puak yang pro-Hamas diketuai Syria dan Qatar dan puak yang pro-Fatah didokong oleh Mesir dan Arab Saudi.
Sheikh Abdullah berkata demikian pada hari terakhir mesyuarat tertutup menteri-menteri luar berkenaan bagi mencari jalan untuk membina jambatan bagi menghapuskan perbezaan dan menjana lebih banyak sokongan kepada cadangan Liga Arab ke arah mewujudkan keamanan dengan Israel.
Anggota-anggota persidangan mengulangi sokongan mereka kepada Mahmoud Abbas yang mendapat sokongan negara-negara barat dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), sebagai satu-satunya pertubuhan sah bagi mewakili penduduk Palestin.
Menteri Luar Tunisia, Abdel Wahab Abdullah berkata, objektif utama mereka ialah 'berbincang untuk merumuskan jalan terbaik bagi mengatasi perbezaan pandangan dan menyumbang kepada perdamaian rakyat Palestin'.
Perundingan tersebut akan disambung pada mesyuarat majlis Liga Arab di Kaherah, Mesir pada 3 Mac ini diikuti dengan sidang kemuncak tahunan 22 ahli pertubuhan itu di Doha kemudian, katanya.

No comments: