Tuesday, February 3, 2009

ZIONIS ISRAEL LANCAR SERANGAN TERBARU

*Gambar : Seorang pejuang Hamas memerhati bangunan keselamatan Hamas termasuk sebuah penjara yang musnah dibedil oleh pesawat perang Israel di Bandar Gaza, hampir seminggu selepas Israel dan Hamas melaksanakan gencatan senjata berasingan di Genting Gaza.

GAZA - Israel telah melancarkan serangan udara baru ke atas Genting Gaza yang disasarkan ke atas sebuah kompleks sekuriti Hamas dan terowong rahsia yang didakwa digunakan untuk menyeludup senjata, setelah rejim Zionis itu sebelum ini 'bersumpah' akan membalas serangan roket pejuang Palestin ke wilayahnya.
Sumber keselamatan dan orang ramai berkata, seorang penduduk Palestin terbunuh sementara empat yang lain cedera dalam salah satu serangan ke atas bandar Rafah yang bersempadan dengan Mesir.
Negara Yahudi itu turut mengugut untuk melakukan lebih banyak serangan sekiranya serangan roket tidak dihentikan. "Kami akan terus menyerang balas. Kami tahu kebanyakan serangan tidak dilakukan oleh Hamas tetapi didalangi oleh kumpulan kecil lain, namun Hamas tetap bertanggungjawab dan perlu menghentikannya. Kami memerlukan keamanan di selatan dan ini adalah ujiannya. Sekiranya keadaan tenang tidak tercapai, maka kami akan bertindak sekali lagi," kata Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak.
Kira-kira enam bedilan dilepaskan oleh tiga jet pejuang Israel selepas seorang rakyat dan dua askar Yahudi cedera akibat tembakan mortar. Satu lagi serangan ke atas balai polis Hamas di tengah Gaza tidak meragut sebarang korban selepas penduduk Palestin menerima panggilan amaran Israel supaya meninggalkan bangunan yang menempatkan senjata.
Kenyataan tentera Israel menjelaskan bahawa serangan dilancarkan sebagai balasan kepada serangan roket dan mortar yang ditujukan ke atas beberapa sasaran di Genting Gaza termasuk enam terowong dan sebuah bangunan Hamas. Hamas mengesahkan lima terowong rahsia telah dibedil oleh tentera rejim Zionis Israel.

No comments: