Saturday, January 31, 2009

REVOLUSI ISLAM IRAN UNTUK SELURUH DUNIA - AHMADINEJAD

TEHERAN : Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad menyifatkan revolusi Islam Iran tidak terhad di negaranya saja, ketika Teheran mengadakan majlis mengingati tokoh yang mengetuai gerakan menggulingkan Shah Iran 30 tahun lalu. “Revolusi masih hidup selepas 30 tahun. Kita berada pada permulaan laluan dan cabaran hebat menanti di depan,” kata Ahmadinejad pada majlis sempena ulang tahun kembalinya bapa revolusi, almarhum Imam Khomeini (qs) dari dalam buangan.
Turut sama pada majlis yang diadakan di makam almarhum Imam Khomeini yang terletak di selatan Teheran itu ialah pemimpin spiritual Iran, Ayatullah al-'Uzma Sayyid Ali Khamenei selain anggota kerajaan dan komander tentera.
Setiap tahun, bagi meraikan kepulangan Khomeini selepas 15 tahun dalam buangan, sekolah, kereta api dan bot membunyikan loceng tepat jam 9.33 pagi, saat pesawat yang membawa tokoh itu mendarat pada 1 Februari 1979. Negara itu mengadakan 10 hari keraian menyambut ulang tahun ke-30 penyingkiran kerajaan Shah Iran yang disokong Amerika Syarikat yang memerintah Iran hampir empat dekad tetapi melarikan diri dua minggu sebelum Khomeini pulang. Makam almarhum Imam Khomeini (qs) dihiasi poster besar ulama yang berusia 76 tahun ketika turun dari pesawat Air France dengan dibantu seorang pramugara, imej yang terukir dalam sejarah dunia.
Revolusi itu membawa kepada penubuhan kerajaan ulama yang semakin terpinggir dari pentas dunia. “Revolusi Islam adalah hasil pengorbanan para mujahidin,” tulisan pada kain rentang yang memaparkan antara petikan popular kata-kata almarhum Imam Khomeini.
Kami akan mengawal legasi hebat dan prinsip Imam Khomeini,” ikrar Khamenei pada satu lagi kain rentang mengenai mentornya yang meninggal dunia pada 1989. Sekumpulan tentera Basij merenjis air mawar pada kubur almarhum Imam Khomeini, adat Iran bagi menghormati si mati dan kemudian ditaburi bunga, lapor stesen televisyen kerajaan.
Perayaan tahun ini disambut empat bulan sebelum pilihan raya presiden, dengan Ahmadinejad bertanding untuk sepenggal lagi.

No comments: