Thursday, July 31, 2008

KEHIDUPAN "JESUS" MENURUT KACAMATA PENGARAH FILEM MUSLIM IRAN


"Ini Jesus," kata seorang lelaki.
Jesus, yang ditunjuk pun duduk di samping temannya, Nader Talebzadeh. Nader ialah pengarah filem Iran yang mengarahkan filem "Jesus Spirit Of God", sebuah filem terbaru yang bertemakan kisah hidup Nabi 'Isa al-Masih (as) menurut versi Islam. Watak tokoh yang digelar "Messiah" oleh pengikut ajaran Kristian, "anak Tuhan" yang disiksa oleh kaum Judah dan yang mengkhabarkan tentang kedatangan Nabi Muhammad sebagai utusan terakhir, dilakonkan oleh "Ahmad Soleimani Nia." "Saya berdoa untuk pengikut ajaran Kristian. Mereka telah tersalah dalam memahami isu Nabi yang satu ini. Suatu hari, mereka akan menyedari kebenaran cerita yang sebenarnya," ujar Nader ketika diwawancara oleh "Los Angeles Times" pada bulan April 2008 yang lepas. Kini filem Nader telah ikut serta dalam beberapa festival filem di peringkat antarabangsa dan sedang dipasarkan secara meluas.
Untuk menggarap filem "Jesus Spirit Of God, Nader mengaku mengambil acuan dari naskah al-Qur'an dan ajaran Barnabas yang dianggap oleh para mahasiswa di negara-negara barat hanya sekadar dongeng dan bersifat mitos pada era pertengahan. Jalan cerita yang cuba dibawa melalui filem ini boleh dijangka. Jesus ialah penyebar kasih sayang dengan mukjizat yang penuh dengan keajaiban namun tidak mati apabila disalib dan tidak bangkit dari kematiannya. Nader memang ingin meninggalkan pesanan, bahawa ajaran Kristian yang menjadi anutan lebih dari 2 billion orang di seluruh dunia dan kebanyakan pemikiran serta falsafah barat adalah berdasarkan fakta yang salah. Nader yang membesar di Iran ketika pemerintahan Shah Mohammed Reza Pahlevi menceritakan bahawa pada tahun 1970 beliau telah berhijrah ke Amerika Syarikat dan menimba ilmu di American University, Washington DC dan Colombia University, New York. Beliau mengakui telah menyaksikan saat-saat protes anti perang terhadap Vietnam dan berundurnya Presiden Richard Nixon, di negara "Uncle Sam" tersebut.
Waktu itu, Iran masih menjadi sekutu kuat Amerika. Status istimewa tersebut akhirnya berubah sekelip mata pada tahun 1979 apabila Imam Khomeini (qs) memimpin revolusi Islam dan menempatkan para ulama di pucuk pimpinan serta menawan 52 orang warga negara Amerika selama 444 hari. "Saya kembali ke Iran dengan perasaan bahawa terdapat salah faham yang besar dan ketara dari dunia Barat terhadap negara saya. Iran sering dipropaganda secara jahat," ujar Nader. "Jika ada suatu perkara yang ingin saya lakukan dalam hidup, ianya adalah membuat filem ini," ungkap sutradara yang memenangi anugerah penghargaan "Dialog Antara Agama" di "Religion Today Film Festival", yang berlangsung di Itali pada tahun 2007. "Saya tidak berkata Jesus tidak disalib. Tuhan yang melakukannya. Itu semua ada di dalam al- Qur'an. Filem ini dibuat dengan keyakinan. Saya mencuba membuatnya dengan seindah mungkin yang saya mampu," tegasnya.
Ia sendiri berharap agar filem arahannya mampu menjadi pemangkin dalam memulakan dialog antara agama. "Kita perlu bergabung bersama dalam dunia informasi yang serba pantas, tidak sekadar untuk mengubah kefahaman dari maknanya yang asal . Kita perlu berkata, "Sudahkah anda melihat pintu ini untuk mengetahui kebenaran tentang Jesus?," ujar Nader. Beberapa orang rakyat Amerika telah ‘mengintip' melalui pintu Nader ini. Filem tersebut telah ditayangkan sebanyak empat kali di hadapan khalayak umum Amerika dan baru-baru ini dipilih untuk mengikuti Festival Filem Philadelphia di Amerika. Ia menegaskan bahawa pada hakikatnya ramai orang yang menerima dengan fikiran yang terbuka bahkan merasa terpukul dengan pertanyaan sejarah dan agama yang ditimbulkan. Filem "Jesus Spirit Of God" ini nyaris memakan masa lebih kurang sepuluh tahun untuk disiapkan. Filem ini muncul ketika berlaku perdebatan yang keras di antara Washington dan Tehran, perbezaan pandangan antara Islam dan Barat yang telah menghasilkan "website-website" yang berunsur jihad, bermacam rakaman pendedahan di DVD, kartun yang menghina Nabi Muhammad (saw), rakaman Osama bin Laden yang menentang Pope Benedict XVI akibat "perang salib baru" yang dihalakan ke arah Islam dan sebagainnya.
Sejak sekian lama, agama sering menjadi punca ketegangan di antara Timur dan Barat. Situasi tersebut bertambah parah dengan perang budaya yang lebih meluas. Lambang dan teks ajaran suci mula diserang dan dimanipulasi dalam internet, filem dan TV kabel. Filem Belanda terbaru yang dihasilkan oleh golongan sayap kanan misalnya cuba untuk membandingkan antara al-Qur'an dengan "Mein Kampf" milik Adolf Hitler. Filem tersebut menggambarkan Islam sebagai agama kekerasan. Sebagai balasan, seorang blogger yang berasal dari Arab Saudi mengirim sebuah rakaman video yang memaparkan bahawa kitab Injil boleh disifatkan sebagai "dokumen strategi perang". Nader turut menyedari bahawa watak Jesus yang dipaparkan melalui filemnya berada dalam suasana yang amat sensitif. Seorang blogger Kristian dengan perasaan yang marah telah menulis bahawa Nader telah melakukan banyak kesalahan dalam memahami watak sebenar Jesus dan ajaran Kristian. Tegas blogger tersebut, "Itu hanyalah salah satu propaganda syaitan yang sememangnya tidak memiliki matlamat yang jelas dalam kehidupannya."
Tempoh tayangan filem bersiri selama 1000 minit ini diedit dalam format DVD dan dijual dengan harga USD5 sekeping. Di samping itu, TV Iran turut menyiarkannya ke seluruh negara. Filem ini menyajikan ketokohan Nabi 'Isa (as) sebagai seorang Nabi yang menyampaikan ajaran agama, bergerak dengan cahaya yang lembut dan senandung yang kudus di tengah-tengah hiruk-pikuk kaum Bani Israel. Cerita dan dialog yang dipaparkan adalah berdasarkan ajaran Islam dan kitab Injil Barnabas, kitab terakhir yang menurut Nader telah disembunyikan oleh pihak berkuasa gereja agar tidak menggugat keimanan pengikut ajaran Kristian. Ramai kalangan mempercayai bahawa ajaran Kristian (tidak termasuk karya kanonik di awal Gereja Katolik) yang ditulis beberapa abad kemudian adalah saduran dari kitab Barnabas. Kitab tersebut memang mengungkapkan tentang cerita-cerita Mathius, Markus, Lukas, Yohannes namun tidak menulis tentang kedudukan Jesus sebagai "anak Tuhan". Cerita Barnabas beriringan dengan kaum Muslimin yang mempercayai ajaran Al Qur'an ketika menjelaskan bahawa Nabi 'Isa (as) lahir dari seorang wanita perawan dan suci dan baginda (as) bukan Tuhan melainkan salah seorang dari lima orang Rasul yang agung.
Dalam filem tersebut, Nader juga menggambarkan Jesus bangkit menuju syurga sebelum tentera Rom mendatanginya. Judas, salah seorang murid Jesus yang dituduh sebagai "pengkhianat" berubah wajahnya seperti Jesus dan dialah yang akhirnya disalib. Berdasarkan kepercayaan ajaran Islam, Jesus ketika ini masih hidup dan akan kembali untuk mengalahkan Iblis. "Barnabas ialah mata rantai yang hilang dan dunia masih belum siap untuk menerimanya kembali. Itu ialah bahagian teks yang perlu kita lihat dan kaji semula," kata Nader.Ahmad Soleimani Nia yang membawakan watak Jesus adalah seorang Muslim Iran yang sangat mirip dengan imej Jesus versi "Hollywood" bahkan versi "Renaisans". Ahmad Soleimani Nia telah memainkan peranan sebagai Jesus selama tujuh tahun, memelihara rambut dan janggutnya supaya sentiasa panjang. Melihat raut wajahnya, aktor utama yang sering dipanggil "Nia" ini sangat mirip dengan bintang rock pada tahun 1970an. Beliau tidak pernah berlakon sebelumnya namun kulitnya yang cerah dan sudut wajahnya yang tajam bercampur dengan ciri Timur Tengah mampu menggabungkan estetika Barat dan spiritual Timur. Dalam kehidupan seharian, Nia tinggal di kota Tehran. Beliau adalah bekas anggota tentera angkatan darat Iran dan juga menjadi pakar besi dalam Agensi Tenaga Atom Iran yang dituduh oleh George Bush sebagai pusat dalam mewujudkan senjata nuklear. Itu merupakan fakta yang ironi bagi masyarakat barat khususnya Amerika Syarikat.
Fakta ini mungkin bakal mengganggu beberapa kalangan masyarakat di Amerika namun tidak akan sampai mengganggu pesanan yang cuba disampaikan oleh filem itu sendiri iaitu Jesus tidak disalib dan tidak bangkit dari kematian. "Saya tidak pernah ingat mengapa saya begitu terlibat dengan peranan ini," kata Nia, jejaka yang lahir di bahagian barat Iran dalam wilayah Kurdistan Iraq. "Itu semua bermula ketika saya masih kecil, sewaktu berusia 7 atau 8 tahun. Saya melihat lukisan Leonardo da Vinci "Last Supper" dan saya dikenali dengan Jesus. Dia selalu bersama saya sejak itu. Dalam kehidupan harian saya, dengan rambut yang panjang dan janggut yang tebal, saya sering dianggap sebagai Jesus," tuturnya. Nader sendiri sempat bergurau ketika ia sedang sibuk mencari pemegang watak utama namun tak kunjung tiba. Penemuan Nia berlaku secara tidak sengaja. Menurut Nader, suatu hari, pembantunya menunjukkan ke arah Nia yang sedang melintas di sebuah jalan sambil berteriak. "Aku telah bertemu dengan Jesusmu!."

Tuesday, July 29, 2008

Sempena Memperingati Peristiwa MAB'ATH ar-RASUL (saw)

Ketika terjadi peperangan Uhud (perang antara Musyrikin Mekah dengan kaum Muslimin), ramai sekali dari kalangan tentera Islam yang mengalami kecederaan, termasuk Nabi Muhammad (saw) dan Imam Ali (as). Pihak kaum Musyrikin telah menyebarkan berita bahawa Nabi Muhammad (saw) telah syahid. Berita ini telah memberikan tamparan yang hebat dan menimbulkan kesedihan yang luar biasa di kalangan para Muslimah di kota Madinah. Lantas mereka bersegera keluar untuk mengesahkan berita yang diperolehi itu.
Salah seorang dari para Muslimah tersebut telah bertemu dengan seorang pemuda yang baru sahaja kembali dari medan perang. Lantas ia menemuinya seraya bertanya: "Bagaimana keadaan junjunganku, Nabi Muhammad (saw) ?." Oleh kerana mengetahui bahawa Nabi Muhammad (saw) selamat, pemuda tersebut tidak menjawab pertanyaan Muslimah itu namun ia berkata: "Wahai saudariku! Ayahmu telah mati syahid."
Muslimah itu sedikit terkedu namun masih tenang sebaik mendengar tentang kesyahidan ayahnya namun ia bertanya kembali : "Bagaimana keadaan junjunganku, Nabi Muhammad (saw) ?." Pemuda tersebut kembali tidak menjawab pertanyaan asal Muslimah itu, bahkan menambah: "Wahai saudariku! Saudaramu telah mati syahid."
Setelah mendengar khabar itu, ia seperti keadaan sebelumnya, tenang namun kembali bertanya : "Bagaimana keadaan junjunganku, Nabi (saw) ?." Pemuda itu seperti sebelumnya masih tidak mahu menjawab pertanyaan, namun ia berkata: "Wahai saudariku! Suamimu telah mati syahid."
Muslimah itu mula merasa marah akibat keengganan pemuda tersebut menjawab pertanyaannya lalu ia berkata : “Aku tidak ingin menanyakan kepadamu tentang keluargaku yang masih hidup ataupun yang telah menjadi syahid. Aku hanya ingin mengetahui keadaan junjunganku, Nabi (saw). Tolong beritahu aku bagaimana keadaannya? Setelah melihat ketegaran Muslimah tersebut lalu pemuda menjawab pertanyaannya seraya berkata : “Alhamdulillah Nabi Muhamad (saw) selamat”. Wajah Muslimah itu menjadi cerah dan ceria sekali sewaktu mendengar perihal keadaan Nabi Muhammad (saw). Kemudian ia berkata : “Persembahan kami tidaklah sia-sia”. Ya Rasulallah! Adrikna!

Sunday, July 27, 2008

SEMPENA MEMPERINGATI KESYAHIDAN IMAM MUSA AL-KAZHIM (as)


MENJEMPUT SYAHADAH DALAM KESUNYIAN

Suatu hari, Harun ar-Rasyid ingin menunaikan 'ibadah haji. Sebelum melaksanakannya, terlebih dahulu ia telah berkunjung ke Madinah, tempat kediaman Imam Musa (as). Tatkala tiba di pusara Rasulullah (saw), ia berkata, "Salam padamu wahai Rasulullah! Salam padamu wahai saudara sepupu!." Harun ar-Rasyid berkata demikian lantaran hendak menunjukkan kepada orang ramai bahawa ia layak untuk bergelar "Khalifah" kerana datuknya adalah 'Abbas, bapa saudara Rasulullah (saw). Imam Musa (as) juga turut hadir di masjid ketika itu dan langsung pergi ke makam Rasulullah (saw) dan berkata, "Salam padamu wahai Rasulullah! Salam padamu wahai ayah."
Imam Musa (as) ingin mengingatkan Harun bahawa yang paling dekat hubungan kekeluargaannya dengan Rasulullah (saw) ialah dirinya.

Mendengar rintihan tersebut, Harun menjadi amat gusar dan merasa irihati. Akhirnya, ia mengeluarkan perintah untuk menangkap Imam Musa bin Ja’far (as). Imam Musa (as) yang ketika itu berada di masjid, telah dihadapkan kepada Harun ar-Rasyid. Harun ar-Rasyid telah membina dua buah penjara yang salah satu daripadanya diperuntukkan khusus untuk Imam Musa (as). Imam Musa (as) yang berada dalam keadaan dirantai kedua tangan sucinya, kemudian disumbatkan pula ke salah sebuah penjara tersebut, yang tidak dapat diketahui oleh orang lain. Perkara ini dilakukan supaya umum tidak mengetahui siapa penghuni penjara tersebut sebenarnya. Tidak lama selepas itu, berlaku pemindahan penghuni penjara dari Madinah ke Kufah dan Basrah. Imam Musa (as) berada dalam kelompok yang dipindahkan ke Basrah dengan kawalan yang amat ketat. Gabenor Basrah ketika itu ialah 'Isa dan Imam Musa (as) telah diserahkan kepadanya.
Selama satu tahun, ia memenjarakan Imam Musa (as) sehingga tiba-tiba datanglah surat perintah dari Harun ar-Rasyid untuk membunuh Imam Musa (as). 'Isa mengutarakan isi kandungan surat perintah Harun kepada para Menteri dan bermusyawarah dengan para penasihatnya. Para penasihatnya mengatakan bahawa tidak ada sebarang kebaikan apabila Imam dibunuh dan meminta ia supaya berlepas diri dari terlibat dengan konspirasi untuk membunuh Imam (as) dan mencadangkan kepadanya supaya merayu kepada Harun untuk tidak melaksanakan perkara ini.
Selanjutnya, 'Isa menulis surat kepada Harun yang antara isi kandungannya menyatakan bahawa, “Beberapa kali aku saksikan ke dalam penjara Musa bin Ja’far (as), akan tetapi yang aku lihat dan saksikan tidak lain dan tidak bukan adalah beliau sentiasa dalam keadaan asyik beribadah. Aku juga telah mengutus seseorang untuk mendengarkan segala lafaz yang ia ucapkan, namun dalam doa-doa yang beliau lantunkan, tidak ada satu pun perkataannya, yang mengutuk dan mengharapkan keburukan ke atas diriku dan dirimu dan hanya keampunan dan kasih sayangNya yang diharapkan untuk dirinya. Oleh kerana itu, sekarang juga kirimkanlah seseorang untuk aku serahkan Musa bin Ja’far kepadanya. Sekiranya engkau tidak memenuhi permintaanku ini, maka aku akan membebaskannya, kerana aku tidak akan mampu lagi untuk menahannya dalam penjara ini.” Khusus pada bahagian ini, 'Isa juga mengutip perkataan beberapa orang yang pernah bertemu wajah dengannya sambil menukilkan bahawa mereka berkali-kali telah mendengar rintihan dan munajat Musa bin Ja’far sewaktu menyampaikan permintaannya, "Tuhanku, Engkau telah mengetahui bahawa aku mengharapkan tempat yang sunyi sepi dan hening untuk beribadah dan Engkau telah menyiapkan tempat seperti itu untukku, maka segala puji dan syukur aku panjatkan hanya kepadaMu.”
Kemudian Harun menyerahkan pula Imam Musa bin Ja’far (as) kepada Fadzl bin Rabi’ yang merupakan salah seorang Menterinya untuk membunuh Imam Musa bin Ja’far (as). Namun ia juga tidak sanggup melakukan pekerjaan durjana ini. Setelah Fadzl bin Rabi’, tiba pula giliran Fadzl bin Yahya yang diberi tugas untuk melakukan pembunuhan keji terhadap Imam Musa bin Ja’far (as) namun percubaan pada kali ini turut menyaksikan kegagalan di mana Fadzl bin Yahya turut cuba menghindari tindakan tidak berperikemanusiaan itu.
Setelah itu, Harun memberikan pula perintah kepada Sanadi bin Shahif, seorang yang di dalam hatinya sudah tidak tersisa sedikitpun rasa belas kasihan. Lalu ia menuju ke Baghdad dengan misi untuk membunuh Imam Musa bin Ja’far (as). Ia telah mencampur makanan yang akan dikirimkan ke penjara Imam dengan racun yang berbisa. Disebabkan kesan racun yang beliau makan, selama tiga hari, kesihatan Imam berada dalam keadaan yang amat kritikal dan genting. Akhirnya, pada 25 Rejab tahun 83 H, setelah bertahun-tahun lamanya melalui kesabaran dan menempuh pelbagai kesusahan dalam penjara, berada dalam situasi yang amat buruk serta dalam keadaan terzalimi, Imam Musa bin Ja’far (as) pun menjemput syahadah.
Assalaamu ‘alaika Ya Musa ibn Ja’far (as)!
Assalaamu ‘alaika Yabna Rasulillah!
Pusara suci Imam yang terletak di perkuburan Quraisy, tepatnya di Kadzimain merupakan tempat ziarah kaum Muslimin, khususnya para pecinta Ahlul Bait (as).
Khatib dalam "Tarikh Bahgdadi" mengutip dari 'Ali bin Khalal yang berkata, “Tidak ada permasalahan yang menyulitkan buatku, kemudian aku berziarah ke pusara Imam Musa al-Kazhim sambil bertawassul kepadanya, melainkan Tuhan akan memudahkan permasalahanku itu.”...
Ya Musa ibn Ja'far ! Adrikna!

Wednesday, July 23, 2008

MENELUSURI KEHEBATAN SAMIR KINTAR...

Samir Kintar adalah tawanan Arab yang paling lama meringkuk di penjara Zionis Israel. Tubuhnya yang tegap dan wajahnya yang garang tidak membuatkannya sukar untuk melemparkan senyuman. Dalam kelantangan suaranya tersimpan segudang keyakinan. Asam garam perjuangan telah melumuri sekujur tubuhnya.

Kintar ditangkap oleh tentera Israel pada tahun 1978. Pada waktu itu usianya baru sahaja mencecah 16 tahun 7 bulan. Bersama beberapa orang temannya, Kintar telah melancarkan sebuah operasi penculikan terhadap seorang pakar nuklear Israel yang menetap di Nahariya. Mereka ingin menukar ilmuwan tersebut dengan ratusan pejuang Arab yang masih ditawan oleh Israel ketika itu.

Malangnya, operasi tersebut menemui kegagalan. Samir Kintar akhirnya tertangkap bersama dengan dua orang rakannya yang lain. Seorang lagi temannya meninggal dunia kerana ditembak oleh tentera Israel. Ilmuwan nuklear itu dan anak gadisnya juga akhirnya mati akibat ditembusi peluru tentera Israel. Dalam sidang penghakiman, Kintar membantah tuduhan pihak Zionis bahawa beliau yang membunuh puteri kecil itu, dengan alasan bahawa pada waktu itu beliau telah kehabisan bekalan peluru dalam serbuan yang dilaksanakan beberapa jam sebelumnya.

Israel cuba membesar-besarkan isu kejadian penangkapan itu demi untuk menutup kegagalan pasukan tenteranya menumpaskan operasi bersenjata yang dilancarkan oleh seorang pejuang wanita Palestin yang bernama "Dalal Maghribi" beberapa bulan sebelumnya. Asy-Syahidah Dalal Maghribi dan 4 orang temannya telah berjaya membunuh seramai 30 orang tentera Zionis Israel dalam sebuah operasi bersenjata oleh gerakan penentangan Palestin yang paling hebat dan dramatik sepanjang tahun 1970-an.

Namun Allah (swt) telah menyiapkan peranan yang lain buat Samir Kintar iaitu "berjuang di balik tirai besi penjara". Pemuda itu membesar sebagai seorang musuh dalam selimut terhadap Israel. Beliau menjadi bom jangka yang menimbulkan igauan buruk kepada musuh namun menjadi lagenda di kalangan bangsa Arab.

Selama 30 tahun berada di dalam penjara, Kintar menolak untuk berjabat tangan dengan semua pihak musuh. Beliau berpegang dengan pendirian Syeikh Raghib Harb (salah seorang pengasas Hizbullah) yang menyatakan bahawa "berjabat tangan adalah sebuah pengakuan dan pengiktirafan. Pihak Israel adalah makhluk asing yang tidak patut diakui, diterima dan dilayan sebagai tetamu.

Pelbagai teknik penyiasatan dan penyiksaan yang dilakukan ke atas beliau sedikit pun tidak menimbulkan rasa gerun dan takut. Selama tempoh penahanannya, pihak Israel langsung tidak berjaya untuk mencungkil satu pun maklumat penting berkaitan dengan organisasi penentangan Lebanon dan Palestin. Bahkan, sejak berhubungan dengan Hizbullah (yang ditubuhkan pada tahun 1982) pada tahun 1988, pihak Israel tidak mampu untuk memperolehi sebarang daripadanya.

Kintar malah berjaya mengendalikan beberapa protes berskala besar dalam "penjara Haderim" dan menuntut pembaikan nasib para tahanan. Tuntutan terbesarnya yang kemudiannya terpaksa dipenuhi oleh pihak Israel ialah penghapusan peraturan yang melarang para tahanan untuk membaca buku dan meningkatkan tahap pendidikan mereka.

30 tahun menjadi tahanan Israel malah membuatkan seorang Kintar yang semakin besar dan berpengaruh. Pandangan-pandangannya sentiasa didengari oleh sebahagian besar kumpulan-kumpulan penentangan Palestin. Kedekatannya dengan Hizbullah telah berhasil dalam menjalinkan hubungan yang akrab di antara gerakan Hizbullah yang sering dituduh memiliki agenda yang berorientasikan mazhab oleh ejen-ejen Amerika Syarikat di Timur Tengah dengan kumpulan-kumpulan penentangan Palestin yang umumnya beraliran Ahlus Sunnah.

20 Julai 2008, Samir genap berusia 46 tahun. Sejumlah anggota Hizbullah merayakan ulang tahun Samir Kintar dengan menghadiahkannya senjata milik tentera Israel yang berjaya dirampas oleh Hizbullah dalam peperangan penuh dramatik pada tahun 2006. Kintar telah menitiskan air matanya sambil mencium senjata tersebut. Beliau lantas mengisytiharkan bahawa senjata itulah yang akan digunakannya untuk menebus kesyahidan 'Imad Mughniyah, komandan dan perancang utama yang mengetuai penculikan ke atas dua orang tentera Israel yang pada tarikh 16 Julai 2008 yang lepas telah ditukar dengan pembebasannya.

Samir Kintar juga menyatakan bahawa konflik antara dunia 'Arab dan Islam dengan Israel bukan sekadar konflik yang bersifat geografi semata-mata, bahkan merupakan konflik yang berdasarkan ideologi dan moral. “Sebagai seorang Muslim, seorang Arab dan seorang manusia, kita bertanggungjawab sepenuhnya untuk menentang regim yang bersifat perkauman, penindas dan penjajah seperti Israel. Berapa pun harga yang perlu dibayar, penentangan ini wajib terus berjalan sehingga regim yang dilahirkan oleh kaum imperialis ini hilang dari rantau kita.”

Wahai Samir! Selamat berjuang dalam kebebasan seperti sebelumnya anda sudah berjuang di dalam penjara. Orang sepertimu tidak mungkin terpenjara meskipun kaki dan tanganmu dibelenggu, sementara sebahagian besar kita terus terpenjara meskipun tubuh kita masih bebas bergerak. YA MEHDI! ADRIKNA!


Sunday, July 20, 2008

Samir Kintar : Israel Sedang Melalui Zaman Yang Paling Memalukan


Sehari selepas dibebaskan daripada penjara Israel dan pulang ke tanah airnya melalui “Operasi Al-Ridhwan”, Samir Kintar berbicara dengan TV al-Manar dalam satu temuramah khas, mengenai operasi berani yang dilakukannya pada tahun 1979, yang mana telah menyebabkannya ditangkap oleh pihak Israel. Menurut Kintar, pihak Israel telah mereka sebuah cerita yang berbeza mengenai operasi di Nahariya itu, (“Operasi Gamal ‘Abdul Nasser” mengambil sempena nama bekas Presiden Mesir) semata-mata untuk meraih simpati orang ramai.

“Saya tidak bersalah. Saya tidak membunuh gadis kecil yang berusia 4 tahun itu dan saya tidak mempertahankan diri semata-mata kerana takutkan pihak musuh,” tegas Kintar sambil menambah bahawa pihak Israel telah mengada-adakan cerita tersebut.

Israel mendakwa bahawa Kintar telah membunuh Danny Haran, seorang Saintis Nuklear, bersama-sama dengan anak perempuannya yang berumur 4 tahun.

Kintar menjelaskan bahawa sebaik tiba di pesisir pantai Nahariya melalui laut, beliau menuju ke rumah Haran dalam satu cubaan untuk menangkapnya sebagai tebusan dan pulang semula ke Lebanon. Beliau bersama-sama dengan rakan-rakannya telah membawa Haran dan juga anak perempuannya itu ke pantai selepas beliau sendiri (Haran) mahu membawa anaknya itu dan jika beliau tidak meminta sedemikian, pasti hanya Haran sahaja yang akan dibawa ke Lebanon. Sewaktu tiba di pantai, sebuah pertempuran yang panjang telah tercetus dengan pihak tentera Israel. Dua daripada rakannya telah terbunuh sementara 2 lagi tercedera.

Menurut Kintar, dia ada terbaca sebuah laporan daripada pihak Zionis mengenai insiden pada 1979 itu bahawa anak Haran telah terbunuh akibat terkena tembakan tentera Israel.

Di dalam temuramah itu juga, Kintar menonjolkan pengetahuan luasnya mengenai Israel serta kaedah-kaedah yang biasa digunakan di dalam operasinya.
Kintar juga menyelar negara-negara ‘Arab kerana tidak melakukan sebarang usaha yang mencukupi semasa berada dalam tahun-tahun konflik dengan Israel selama ini untuk membantu Palestin dan menambah bahawa mereka hanya sekadar menunjukkan unsur-unsur penyatuan sahaja tanpa sebarang tindakan yang jelas.

Wira yang baru dibebaskan itu juga meluahkan keinginannya untuk kembali ke Palestin dan berkata, “Saya berjanji bahawa saya akan kembali ke pangkuan keluarga dan semua yang menyayangi saya di Palestin termasuk saudara-saudara seperjuangan saya di dalam ‘Pasukan Penentangan Islam’. Saya pasti akan kembali ke sana semula”.

Kintar juga menegaskan bahawa “Operasi Al-Ridhwan” (diambil bersempena dengan nama gelaran asy-Syahid ‘Imad Mughniyah) adalah sebagai lanjutan daripada kemenangan yang dicapai oleh Hizbullah pada tahun 2006 dan menambah lagi bahawa Israel sedang melalui hari-hari yang paling memalukan dalam sejarah kewujudannya yang sudah menjangkau 60 tahun. Allahu Akbar !


Sumbangan : Abu Mardhiyyah




Friday, July 18, 2008

Sayyid Hasan Nasrullah...Pemimpin Yang Paling Dikagumi Oleh Sunni Dan Syi'ah


Hasil tinjauan pendapat yang dilakukan oleh "Saban Center" di Brookings Institution, Washington baru-baru ini menunjukkan bahawa pemimpin tertinggi Hizbullah Hujjatul Islam Sayyid Hasan Nasrullah menjadi tokoh pemimpin yang paling dikagumi di dunia Arab ketika ini.
Hasil tinjauan pendapat tersebut telah disiarkan pada 16 Julai 2008, bersamaan dengan berlangsungnya proses pertukaran tawanan di antara Israel dan Hizbullah. Kaji selidik itu turut melibatkan 4,000 responden dari negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim Sunni seperti Mesir, Arab Saudi, Lebanon, Maghribi, Jordan dan UAE.
Lebih kurang 26 peratus responden menyatakan bahawa pemimpin yang paling mereka kagumi ialah Sayyid Hasan Nasrullah.
Setelah Hasan Nasrullah, 16 peratus responden memilih Presiden Syria, Bashar al-Asad dan 10 peratus responden pula memilih Presiden Iran, Dr Mahmud Ahmadinejad sebagai pemimpin yang paling mereka kagumi ketika ini.

Wednesday, July 16, 2008

Allahu Akbar ! 3 Tentera Israel Cedera Parah Terkena Pelancar Roket Hizbullah

Akhbar Harian Israel, "Yediot Ahronot" terbitan 25 Februari 2008 melaporkan bahawa 3 orang tentera Zionis Israel telah mengalami kecederaan parah akibat ledakan RPG (pelancar bom yang diluncurkan menggunakan roket) milik Hizbullah yang mereka ambil sebagai rampasan perang pada tahun 2006 yang lepas.
Akhbar "Yediot Ahronot" menyatakan bahawa peristiwa aneh itu berlaku ketika beberapa orang tentera yang terdiri daripada para perajurit dan perwira Israel sedang menguji dan memeriksa keampuhan senjata RPG anti-kereta kebal milik Hizbullah itu. RPG yang sepatutnya sudah tidak berfungsi itu tiba-tiba meletup dengan amat kuat sekali. Akibatnya, 3 orang tentera yang terlibat dalam ujian tersebut cedera parah dan kehilangan sebahagian anggotanya, bahkan berada dalam situasi yang kritikal.
Ujian tersebut dilakukan sebagai sebahagian dari usaha Angkatan Bersenjata Israel (IDF) untuk mencari penyelesaian ke atas kelemahan kereta kebal "Merkava" generasi ke-3 dan ke-4 milik Israel dalam peperangan selama 33 hari dengan Hizbullah 2 tahun yang lalu. Kereta kebal kebanggaan Israel itu telah terbukti dengan mudah mampu dihancurkan oleh RPG milik Hizbullah.
Pihak IDF segera melakukan siasatan berkenaan dengan insiden memalukan yang terjadi di pengkalan "Rishon Lezion" itu. Pegawai tentera yang membuat ujian itu juga merasa amat terpukul dengan kejadian yang amat aneh ini. Sehingga kini, pihak IDF belum menemui apa-apa bahan yang luar biasa di dalam RPG milik Hizbullah itu yang dengan begitu mudah sekali mampu menghancurkan kereta kebal kebanggaan Israel tersebut. Allahu Akbar! Selawat!

Tuesday, July 15, 2008

IRAN SEDIA "POTONG TANGAN MUSUH"



TEHERAN : Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad semalam menyatakan sebelum musuh berjaya melepaskan tembakan, anggota tentera negaranya akan memotong tangan mereka.
Kenyataan itu dilakukan sehari selepas seorang pegawai kanan Iran berkata, negaranya akan menyerang Israel dan pengkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di rantau Teluk.
Menurut pegawai itu, serangan itu akan dilakukan jika negara tersebut diserang berhubung isu nuklear.
Para pemimpin AS sebelum ini tidak menafikan pilihan untuk melancarkan serangan jika pendekatan diplomatik gagal dilakukan untuk meredakan kebimbangan berhubung aktiviti nuklear.
"Sebelum musuh meletakkan jari ke picu (senjata), pihak tentera akan memotong tangan mereka," kata Mahmoud kepada pemberita.
Israel yang dikenali mempunyai senjata nuklear telah berikrar akan menghalang Iran daripada muncul sebagai kuasa senjata nuklear.
Pada bulan lalu, tentera Israel melakukan ujian yang meningkatkan spekulasi bahawa satu serangan mungkin dilancarkan ke atas tapak nuklear Iran.
Iran kemudian berikrar akan melancarkan serangan balas ke atas Tel Aviv di Israel termasuk kepentingan AS dan perkapalan jika diserang.
Mahmoud berkata, pertunjukan senjata yang dilakukan oleh pasukan Pengawal Revolusi Iran dalam latihan peluru berpandu baru-baru ini merupakan hanya sebahagian kecil daripada kekuatan sebenar pihak tenteranya.
"Latihan itu adalah keperluan, sebahagian daripada kemampuan pertahanan kami akan dipamerkan untuk dilihat oleh masyarakat dunia," katanya.

Thursday, July 10, 2008

SIAPA SEBENARNYA SAMIR KINTAR?


Nama Samir Kintar menjadi buah mulut ramai orang, khususnya di Lebanon. Berita mengenai dirinya sering memenuhi media-media massa di seluruh dunia. Namun tahukah anda siapa sebenarnya Samir Kintar? Namanya sering kali disebut oleh pemimpin tertinggi Hizbullah, Hujjatul Islam Sayyid Hasan Nasrullah sebagai tawanan yang wajib dibebaskan oleh regim Zionis Israel jika Tel Aviv menghendaki semula dua orang tenteranya yang ditangkap oleh pejuang Hizbullah pada bulan Julai 2006 hingga mencetuskan peperangan sengit selama 33 hari.
Samir Kintar adalah rakyat Lebanon yang paling lama berada di penjara regim Zionis Israel. Beliau lahir di perkampungan Eibah yang majoriti penduduknya adalah daripada etnik Druze. Perkampungan ini terletak di daerah Jabal Lubnan (Gunung Lebanon). Pada tahun 1978, Samir Kintar telah ditangkap oleh tentera Zionis ketika beliau ikut serta dalam operasi anti Zionis di bandar Nahariya, Israel. Tempoh yang begitu lama berada di penjara regim Zionis dan peranan pentingnya dalam operasi serangan ke atas Israel menjadikan beliau digelar sebagai "Panglima Para Tawanan". Operasi serangan di Nahariya berlaku pada 22 April 1978, ketika Samir baru berusia 16 tahun. Bersama tiga orang anggota Pertubuhan Barisan Rakyat Pembebasan Palestin; Abdul Majid Aslan, Mahna al-Muayyid dan Ahmad al-Abras, beliau menyusup ke dalam wilayah utara Israel. Setelah usaha penyusupan berjaya, mereka bertiga mula menyerang tempat kediaman seorang Zionis bernama Haran di bandar Nahariya. Dalam serangan yang amat berani, mereka berjaya menculik Haran. Namun langkah mereka terhenti ketika berhadapan dengan pihak polis Zionis. Pertempuran tidak dapat dielakkan lagi. Berlaku kejadian tembak menembak yang amat sengit antara kedua belah pihak. Tembak menembak terhenti setelah seorang anggota polis terbunuh, dua rakan Samir yang bernama Aslan dan Muayyid terbunuh, sementara Samir sendiri dan Ahmad al-Abras berjaya ditangkap oleh pihak polis. Pihak regim Zionis mendakwa bahawa Samir Kintar dan rakannya telah menembak mati tawanan mereka sebelum pihak polis menangkap mereka. Samir Kintar pertama kali ditangkap dan disumbat ke dalam penjara setelah ditahan atas tuduhan terlibat dalam rancangan menyusup ke daerah Baisan untuk menawan sebuah rombongan Zionis. Rencana tersebut jika berjaya, akan digunakan sebagai syarat pertukaran dengan tahanan Lebanon yang telah lama terkurung di penjara Israel. Akibatnya Samir Kintar dipenjara selama 11 bulan di Jordan. Sejak berada di penjara regim Zionis Israel, Samir Kintar menjalani proses pengadilan hingga akhirnya Mahkamah Israel pada 28 Januari 1985 telah menjatuhkan hukuman lima kali tempoh tahanan seumur hidup dan ditambah dengan 47 tahun penjara. Samir Kintar disabitkan dengan kesalahan kerana dituduh terlibat dalam serangan yang membunuh lima orang Zionis dan mencederakan seorang daripada mereka. Samir Kintar ketika ini ditempatkan di salah sebuah sel penjara Hedarim di Israel, sementara rakannya yang bernama Ahmad al-Abras telah dibebaskan oleh regim Zionis dalam proses pertukaran tawanan antara regim Zionis dan Pertubuhan Barisan Rakyat Pembebasan Palestin pada 21 Mei 1985. Pihak Israel telah menyerahkan al-Abras kepada markas kepemimpinan pusat gerakan Palestin tersebut. Regim Zionis Israel selama ini menolak desakan dan tuntutan pembebasan Samir Kintar dan menegaskan bahawa beliau hanya akan dibebaskan sekiranya pihak Lebanon memberikan maklumat tentang kedudukan Ron Arad, juruterbang Israel yang hilang dalam operasi penerbangan pada tahun 1986. Selama berada di penjara, Samir Kintar memanfaatkan waktunya dengan belajar. Beliau berjaya menamatkan pengajian sebagai mahasiswa pendidikan jarak jauh di Universiti Tel Aviv pada tahun 1988 dan memperolehi gelaran Sarjana Sastera dan Ilmu Sosial. Pada tahun 2004, ketika Jerman menjadi perantara dalam perundingan pertukaran tawanan antara Hizbullah Lebanon dan regim Zionis Israel, nama Samir Kintar tercatat sebagai salah seorang tahanan yang bakal dibebaskan. Namun Israel telah memungkiri janji dan Samir Kintar tidak dibebaskan. Akan tetapi setelah itu, Nasim Nasr, salah seorang tahanan penting yang berasal dari Lebanon telah dibebaskan oleh pihak Israel. Sebelum ini, Sayyid Hasan Nasrullah dalam salah sebuah pidatonya yang bersejarah telah menjanjikan pembebasan Samir Kintar. Janji itu disebutnya sebagai "Wa’d Shodiq" yang bererti "janji yang benar". Ketika proses rundingan pertukaran tawanan antara Hizbullah dan regim Zionis Israel sedang berlangsung, Sayyid Hasan Nasrullah telah menyampaikan pidatonya dan mengisytiharkan bahawa Hizbullah masih menyimpan jasad sejumlah tentera Israel yang terbunuh dalam peperangan 33 hari. Kenyataan pemimpin Hizbullah itu telah menggoncang kedudukan regim Zionis. Ini disebabkan, hingga ke saat itu, tidak ada sesiapa pun yang mengetahui tentang hal tersebut, bahkan ahli keluarga tentera-tentera yang mati itu juga tidak tahu menahu di mana anak dan saudara mereka berada setelah perang selesai. Sayyid Hasan Nasrullah tidak bergurau dalam bicaranya. Beliau menyebut bahawa regim Zionis Israel bersikap bodoh ketika mengkhianati kesepakatan pada tahun 2004 dengan menolak pembebasan tiga orang tahanan penting Lebanon iaitu Samir Kintar, Nasim Nasr dan Yahya Iskaf. Akibat pengkhianatan tersebut, Hizbullah telah melaksanakan operasi penculikan tentera Zionis untuk memaksa Israel membebaskan tahanan-tahanan penting itu. Operasi serangan yang diberi nama "Wa’d Shodiq" itu sekali lagi membuktikan bahawa Hizbullah dan pemimpinnya, Sayyid Hasan Nasrullah tidak pernah lupa untuk berusaha membebaskan para tahanan yang terkurung lama di penjara-penjara regim Zionis Israel. Allahu Akbar!

Tuesday, July 1, 2008

Benarkah Iran Akan Diserang?


Oleh : Reuters

Rabu, 02 Julai 2008

LATIHAN satu pasukan tentera udara yang berskala besar pada bulan lalu di Laut Mediterranen telah mencetuskan spekulasi bahawa Israel mungkin melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran.
Menurut gambaran Reuters, Israel mempunyai kira-kira 500 jet tempur termasuk F-15 dan F-16 buatan Amerika Syarikat (AS) yang mampu tiba di barat Iran untuk melakukan pengeboman.
Tentera udara Israel turut mempunyai peluru berpandu balistik yang mampu dilancarkan secara rahsia.
Israel dipercayai mempunyai berpuluh-puluh peluru berpandu jarak jauh yang direka untuk membawa peledak nuklear sehingga ke rantau Teluk.
Negara yang ditadbir oleh rejim Zionis itu tidak mempunyai sempadan dengan Iran.
Keadaan itu menjadikan serangan tentera darat tidak relevan untuk digunakan jika perang berlaku.
Jika berlaku serangan tentera udara Israel ke atas Iran, komando-komando mungkin menyelinap masuk untuk mengenal pasti sasaran dan memantau kemusnahan.
Israel mempunyai tiga kapal selam buatan Jerman yang dilengkapi enjin berkuasa diesel yang berlabuh di pelabuhan Haifa.
Secara teorinya, kapal selam itu mampu tiba di daratan Iran.
Setiap sebuah kapal selam itu mempunyai 10 lubang torpedo, empat daripadanya dibesarkan atas permintaan Israel.
Beberapa penganalisis percaya, ia bertujuan untuk menempatkan peluru berpandu yang mampu tiba di Iran jika tembakan dilancarkan dari Laut Mediterranean