Thursday, July 31, 2008
KEHIDUPAN "JESUS" MENURUT KACAMATA PENGARAH FILEM MUSLIM IRAN
"Ini Jesus," kata seorang lelaki.
Jesus, yang ditunjuk pun duduk di samping temannya, Nader Talebzadeh. Nader ialah pengarah filem Iran yang mengarahkan filem "Jesus Spirit Of God", sebuah filem terbaru yang bertemakan kisah hidup Nabi 'Isa al-Masih (as) menurut versi Islam. Watak tokoh yang digelar "Messiah" oleh pengikut ajaran Kristian, "anak Tuhan" yang disiksa oleh kaum Judah dan yang mengkhabarkan tentang kedatangan Nabi Muhammad sebagai utusan terakhir, dilakonkan oleh "Ahmad Soleimani Nia." "Saya berdoa untuk pengikut ajaran Kristian. Mereka telah tersalah dalam memahami isu Nabi yang satu ini. Suatu hari, mereka akan menyedari kebenaran cerita yang sebenarnya," ujar Nader ketika diwawancara oleh "Los Angeles Times" pada bulan April 2008 yang lepas. Kini filem Nader telah ikut serta dalam beberapa festival filem di peringkat antarabangsa dan sedang dipasarkan secara meluas.
Untuk menggarap filem "Jesus Spirit Of God, Nader mengaku mengambil acuan dari naskah al-Qur'an dan ajaran Barnabas yang dianggap oleh para mahasiswa di negara-negara barat hanya sekadar dongeng dan bersifat mitos pada era pertengahan. Jalan cerita yang cuba dibawa melalui filem ini boleh dijangka. Jesus ialah penyebar kasih sayang dengan mukjizat yang penuh dengan keajaiban namun tidak mati apabila disalib dan tidak bangkit dari kematiannya. Nader memang ingin meninggalkan pesanan, bahawa ajaran Kristian yang menjadi anutan lebih dari 2 billion orang di seluruh dunia dan kebanyakan pemikiran serta falsafah barat adalah berdasarkan fakta yang salah. Nader yang membesar di Iran ketika pemerintahan Shah Mohammed Reza Pahlevi menceritakan bahawa pada tahun 1970 beliau telah berhijrah ke Amerika Syarikat dan menimba ilmu di American University, Washington DC dan Colombia University, New York. Beliau mengakui telah menyaksikan saat-saat protes anti perang terhadap Vietnam dan berundurnya Presiden Richard Nixon, di negara "Uncle Sam" tersebut.
Waktu itu, Iran masih menjadi sekutu kuat Amerika. Status istimewa tersebut akhirnya berubah sekelip mata pada tahun 1979 apabila Imam Khomeini (qs) memimpin revolusi Islam dan menempatkan para ulama di pucuk pimpinan serta menawan 52 orang warga negara Amerika selama 444 hari. "Saya kembali ke Iran dengan perasaan bahawa terdapat salah faham yang besar dan ketara dari dunia Barat terhadap negara saya. Iran sering dipropaganda secara jahat," ujar Nader. "Jika ada suatu perkara yang ingin saya lakukan dalam hidup, ianya adalah membuat filem ini," ungkap sutradara yang memenangi anugerah penghargaan "Dialog Antara Agama" di "Religion Today Film Festival", yang berlangsung di Itali pada tahun 2007. "Saya tidak berkata Jesus tidak disalib. Tuhan yang melakukannya. Itu semua ada di dalam al- Qur'an. Filem ini dibuat dengan keyakinan. Saya mencuba membuatnya dengan seindah mungkin yang saya mampu," tegasnya.
Ia sendiri berharap agar filem arahannya mampu menjadi pemangkin dalam memulakan dialog antara agama. "Kita perlu bergabung bersama dalam dunia informasi yang serba pantas, tidak sekadar untuk mengubah kefahaman dari maknanya yang asal . Kita perlu berkata, "Sudahkah anda melihat pintu ini untuk mengetahui kebenaran tentang Jesus?," ujar Nader. Beberapa orang rakyat Amerika telah ‘mengintip' melalui pintu Nader ini. Filem tersebut telah ditayangkan sebanyak empat kali di hadapan khalayak umum Amerika dan baru-baru ini dipilih untuk mengikuti Festival Filem Philadelphia di Amerika. Ia menegaskan bahawa pada hakikatnya ramai orang yang menerima dengan fikiran yang terbuka bahkan merasa terpukul dengan pertanyaan sejarah dan agama yang ditimbulkan. Filem "Jesus Spirit Of God" ini nyaris memakan masa lebih kurang sepuluh tahun untuk disiapkan. Filem ini muncul ketika berlaku perdebatan yang keras di antara Washington dan Tehran, perbezaan pandangan antara Islam dan Barat yang telah menghasilkan "website-website" yang berunsur jihad, bermacam rakaman pendedahan di DVD, kartun yang menghina Nabi Muhammad (saw), rakaman Osama bin Laden yang menentang Pope Benedict XVI akibat "perang salib baru" yang dihalakan ke arah Islam dan sebagainnya.
Sejak sekian lama, agama sering menjadi punca ketegangan di antara Timur dan Barat. Situasi tersebut bertambah parah dengan perang budaya yang lebih meluas. Lambang dan teks ajaran suci mula diserang dan dimanipulasi dalam internet, filem dan TV kabel. Filem Belanda terbaru yang dihasilkan oleh golongan sayap kanan misalnya cuba untuk membandingkan antara al-Qur'an dengan "Mein Kampf" milik Adolf Hitler. Filem tersebut menggambarkan Islam sebagai agama kekerasan. Sebagai balasan, seorang blogger yang berasal dari Arab Saudi mengirim sebuah rakaman video yang memaparkan bahawa kitab Injil boleh disifatkan sebagai "dokumen strategi perang". Nader turut menyedari bahawa watak Jesus yang dipaparkan melalui filemnya berada dalam suasana yang amat sensitif. Seorang blogger Kristian dengan perasaan yang marah telah menulis bahawa Nader telah melakukan banyak kesalahan dalam memahami watak sebenar Jesus dan ajaran Kristian. Tegas blogger tersebut, "Itu hanyalah salah satu propaganda syaitan yang sememangnya tidak memiliki matlamat yang jelas dalam kehidupannya."
Tempoh tayangan filem bersiri selama 1000 minit ini diedit dalam format DVD dan dijual dengan harga USD5 sekeping. Di samping itu, TV Iran turut menyiarkannya ke seluruh negara. Filem ini menyajikan ketokohan Nabi 'Isa (as) sebagai seorang Nabi yang menyampaikan ajaran agama, bergerak dengan cahaya yang lembut dan senandung yang kudus di tengah-tengah hiruk-pikuk kaum Bani Israel. Cerita dan dialog yang dipaparkan adalah berdasarkan ajaran Islam dan kitab Injil Barnabas, kitab terakhir yang menurut Nader telah disembunyikan oleh pihak berkuasa gereja agar tidak menggugat keimanan pengikut ajaran Kristian. Ramai kalangan mempercayai bahawa ajaran Kristian (tidak termasuk karya kanonik di awal Gereja Katolik) yang ditulis beberapa abad kemudian adalah saduran dari kitab Barnabas. Kitab tersebut memang mengungkapkan tentang cerita-cerita Mathius, Markus, Lukas, Yohannes namun tidak menulis tentang kedudukan Jesus sebagai "anak Tuhan". Cerita Barnabas beriringan dengan kaum Muslimin yang mempercayai ajaran Al Qur'an ketika menjelaskan bahawa Nabi 'Isa (as) lahir dari seorang wanita perawan dan suci dan baginda (as) bukan Tuhan melainkan salah seorang dari lima orang Rasul yang agung.
Dalam filem tersebut, Nader juga menggambarkan Jesus bangkit menuju syurga sebelum tentera Rom mendatanginya. Judas, salah seorang murid Jesus yang dituduh sebagai "pengkhianat" berubah wajahnya seperti Jesus dan dialah yang akhirnya disalib. Berdasarkan kepercayaan ajaran Islam, Jesus ketika ini masih hidup dan akan kembali untuk mengalahkan Iblis. "Barnabas ialah mata rantai yang hilang dan dunia masih belum siap untuk menerimanya kembali. Itu ialah bahagian teks yang perlu kita lihat dan kaji semula," kata Nader.Ahmad Soleimani Nia yang membawakan watak Jesus adalah seorang Muslim Iran yang sangat mirip dengan imej Jesus versi "Hollywood" bahkan versi "Renaisans". Ahmad Soleimani Nia telah memainkan peranan sebagai Jesus selama tujuh tahun, memelihara rambut dan janggutnya supaya sentiasa panjang. Melihat raut wajahnya, aktor utama yang sering dipanggil "Nia" ini sangat mirip dengan bintang rock pada tahun 1970an. Beliau tidak pernah berlakon sebelumnya namun kulitnya yang cerah dan sudut wajahnya yang tajam bercampur dengan ciri Timur Tengah mampu menggabungkan estetika Barat dan spiritual Timur. Dalam kehidupan seharian, Nia tinggal di kota Tehran. Beliau adalah bekas anggota tentera angkatan darat Iran dan juga menjadi pakar besi dalam Agensi Tenaga Atom Iran yang dituduh oleh George Bush sebagai pusat dalam mewujudkan senjata nuklear. Itu merupakan fakta yang ironi bagi masyarakat barat khususnya Amerika Syarikat.
Fakta ini mungkin bakal mengganggu beberapa kalangan masyarakat di Amerika namun tidak akan sampai mengganggu pesanan yang cuba disampaikan oleh filem itu sendiri iaitu Jesus tidak disalib dan tidak bangkit dari kematian. "Saya tidak pernah ingat mengapa saya begitu terlibat dengan peranan ini," kata Nia, jejaka yang lahir di bahagian barat Iran dalam wilayah Kurdistan Iraq. "Itu semua bermula ketika saya masih kecil, sewaktu berusia 7 atau 8 tahun. Saya melihat lukisan Leonardo da Vinci "Last Supper" dan saya dikenali dengan Jesus. Dia selalu bersama saya sejak itu. Dalam kehidupan harian saya, dengan rambut yang panjang dan janggut yang tebal, saya sering dianggap sebagai Jesus," tuturnya. Nader sendiri sempat bergurau ketika ia sedang sibuk mencari pemegang watak utama namun tak kunjung tiba. Penemuan Nia berlaku secara tidak sengaja. Menurut Nader, suatu hari, pembantunya menunjukkan ke arah Nia yang sedang melintas di sebuah jalan sambil berteriak. "Aku telah bertemu dengan Jesusmu!."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment