Thursday, July 10, 2008

SIAPA SEBENARNYA SAMIR KINTAR?


Nama Samir Kintar menjadi buah mulut ramai orang, khususnya di Lebanon. Berita mengenai dirinya sering memenuhi media-media massa di seluruh dunia. Namun tahukah anda siapa sebenarnya Samir Kintar? Namanya sering kali disebut oleh pemimpin tertinggi Hizbullah, Hujjatul Islam Sayyid Hasan Nasrullah sebagai tawanan yang wajib dibebaskan oleh regim Zionis Israel jika Tel Aviv menghendaki semula dua orang tenteranya yang ditangkap oleh pejuang Hizbullah pada bulan Julai 2006 hingga mencetuskan peperangan sengit selama 33 hari.
Samir Kintar adalah rakyat Lebanon yang paling lama berada di penjara regim Zionis Israel. Beliau lahir di perkampungan Eibah yang majoriti penduduknya adalah daripada etnik Druze. Perkampungan ini terletak di daerah Jabal Lubnan (Gunung Lebanon). Pada tahun 1978, Samir Kintar telah ditangkap oleh tentera Zionis ketika beliau ikut serta dalam operasi anti Zionis di bandar Nahariya, Israel. Tempoh yang begitu lama berada di penjara regim Zionis dan peranan pentingnya dalam operasi serangan ke atas Israel menjadikan beliau digelar sebagai "Panglima Para Tawanan". Operasi serangan di Nahariya berlaku pada 22 April 1978, ketika Samir baru berusia 16 tahun. Bersama tiga orang anggota Pertubuhan Barisan Rakyat Pembebasan Palestin; Abdul Majid Aslan, Mahna al-Muayyid dan Ahmad al-Abras, beliau menyusup ke dalam wilayah utara Israel. Setelah usaha penyusupan berjaya, mereka bertiga mula menyerang tempat kediaman seorang Zionis bernama Haran di bandar Nahariya. Dalam serangan yang amat berani, mereka berjaya menculik Haran. Namun langkah mereka terhenti ketika berhadapan dengan pihak polis Zionis. Pertempuran tidak dapat dielakkan lagi. Berlaku kejadian tembak menembak yang amat sengit antara kedua belah pihak. Tembak menembak terhenti setelah seorang anggota polis terbunuh, dua rakan Samir yang bernama Aslan dan Muayyid terbunuh, sementara Samir sendiri dan Ahmad al-Abras berjaya ditangkap oleh pihak polis. Pihak regim Zionis mendakwa bahawa Samir Kintar dan rakannya telah menembak mati tawanan mereka sebelum pihak polis menangkap mereka. Samir Kintar pertama kali ditangkap dan disumbat ke dalam penjara setelah ditahan atas tuduhan terlibat dalam rancangan menyusup ke daerah Baisan untuk menawan sebuah rombongan Zionis. Rencana tersebut jika berjaya, akan digunakan sebagai syarat pertukaran dengan tahanan Lebanon yang telah lama terkurung di penjara Israel. Akibatnya Samir Kintar dipenjara selama 11 bulan di Jordan. Sejak berada di penjara regim Zionis Israel, Samir Kintar menjalani proses pengadilan hingga akhirnya Mahkamah Israel pada 28 Januari 1985 telah menjatuhkan hukuman lima kali tempoh tahanan seumur hidup dan ditambah dengan 47 tahun penjara. Samir Kintar disabitkan dengan kesalahan kerana dituduh terlibat dalam serangan yang membunuh lima orang Zionis dan mencederakan seorang daripada mereka. Samir Kintar ketika ini ditempatkan di salah sebuah sel penjara Hedarim di Israel, sementara rakannya yang bernama Ahmad al-Abras telah dibebaskan oleh regim Zionis dalam proses pertukaran tawanan antara regim Zionis dan Pertubuhan Barisan Rakyat Pembebasan Palestin pada 21 Mei 1985. Pihak Israel telah menyerahkan al-Abras kepada markas kepemimpinan pusat gerakan Palestin tersebut. Regim Zionis Israel selama ini menolak desakan dan tuntutan pembebasan Samir Kintar dan menegaskan bahawa beliau hanya akan dibebaskan sekiranya pihak Lebanon memberikan maklumat tentang kedudukan Ron Arad, juruterbang Israel yang hilang dalam operasi penerbangan pada tahun 1986. Selama berada di penjara, Samir Kintar memanfaatkan waktunya dengan belajar. Beliau berjaya menamatkan pengajian sebagai mahasiswa pendidikan jarak jauh di Universiti Tel Aviv pada tahun 1988 dan memperolehi gelaran Sarjana Sastera dan Ilmu Sosial. Pada tahun 2004, ketika Jerman menjadi perantara dalam perundingan pertukaran tawanan antara Hizbullah Lebanon dan regim Zionis Israel, nama Samir Kintar tercatat sebagai salah seorang tahanan yang bakal dibebaskan. Namun Israel telah memungkiri janji dan Samir Kintar tidak dibebaskan. Akan tetapi setelah itu, Nasim Nasr, salah seorang tahanan penting yang berasal dari Lebanon telah dibebaskan oleh pihak Israel. Sebelum ini, Sayyid Hasan Nasrullah dalam salah sebuah pidatonya yang bersejarah telah menjanjikan pembebasan Samir Kintar. Janji itu disebutnya sebagai "Wa’d Shodiq" yang bererti "janji yang benar". Ketika proses rundingan pertukaran tawanan antara Hizbullah dan regim Zionis Israel sedang berlangsung, Sayyid Hasan Nasrullah telah menyampaikan pidatonya dan mengisytiharkan bahawa Hizbullah masih menyimpan jasad sejumlah tentera Israel yang terbunuh dalam peperangan 33 hari. Kenyataan pemimpin Hizbullah itu telah menggoncang kedudukan regim Zionis. Ini disebabkan, hingga ke saat itu, tidak ada sesiapa pun yang mengetahui tentang hal tersebut, bahkan ahli keluarga tentera-tentera yang mati itu juga tidak tahu menahu di mana anak dan saudara mereka berada setelah perang selesai. Sayyid Hasan Nasrullah tidak bergurau dalam bicaranya. Beliau menyebut bahawa regim Zionis Israel bersikap bodoh ketika mengkhianati kesepakatan pada tahun 2004 dengan menolak pembebasan tiga orang tahanan penting Lebanon iaitu Samir Kintar, Nasim Nasr dan Yahya Iskaf. Akibat pengkhianatan tersebut, Hizbullah telah melaksanakan operasi penculikan tentera Zionis untuk memaksa Israel membebaskan tahanan-tahanan penting itu. Operasi serangan yang diberi nama "Wa’d Shodiq" itu sekali lagi membuktikan bahawa Hizbullah dan pemimpinnya, Sayyid Hasan Nasrullah tidak pernah lupa untuk berusaha membebaskan para tahanan yang terkurung lama di penjara-penjara regim Zionis Israel. Allahu Akbar!

No comments: