Sunday, July 20, 2008

Samir Kintar : Israel Sedang Melalui Zaman Yang Paling Memalukan


Sehari selepas dibebaskan daripada penjara Israel dan pulang ke tanah airnya melalui “Operasi Al-Ridhwan”, Samir Kintar berbicara dengan TV al-Manar dalam satu temuramah khas, mengenai operasi berani yang dilakukannya pada tahun 1979, yang mana telah menyebabkannya ditangkap oleh pihak Israel. Menurut Kintar, pihak Israel telah mereka sebuah cerita yang berbeza mengenai operasi di Nahariya itu, (“Operasi Gamal ‘Abdul Nasser” mengambil sempena nama bekas Presiden Mesir) semata-mata untuk meraih simpati orang ramai.

“Saya tidak bersalah. Saya tidak membunuh gadis kecil yang berusia 4 tahun itu dan saya tidak mempertahankan diri semata-mata kerana takutkan pihak musuh,” tegas Kintar sambil menambah bahawa pihak Israel telah mengada-adakan cerita tersebut.

Israel mendakwa bahawa Kintar telah membunuh Danny Haran, seorang Saintis Nuklear, bersama-sama dengan anak perempuannya yang berumur 4 tahun.

Kintar menjelaskan bahawa sebaik tiba di pesisir pantai Nahariya melalui laut, beliau menuju ke rumah Haran dalam satu cubaan untuk menangkapnya sebagai tebusan dan pulang semula ke Lebanon. Beliau bersama-sama dengan rakan-rakannya telah membawa Haran dan juga anak perempuannya itu ke pantai selepas beliau sendiri (Haran) mahu membawa anaknya itu dan jika beliau tidak meminta sedemikian, pasti hanya Haran sahaja yang akan dibawa ke Lebanon. Sewaktu tiba di pantai, sebuah pertempuran yang panjang telah tercetus dengan pihak tentera Israel. Dua daripada rakannya telah terbunuh sementara 2 lagi tercedera.

Menurut Kintar, dia ada terbaca sebuah laporan daripada pihak Zionis mengenai insiden pada 1979 itu bahawa anak Haran telah terbunuh akibat terkena tembakan tentera Israel.

Di dalam temuramah itu juga, Kintar menonjolkan pengetahuan luasnya mengenai Israel serta kaedah-kaedah yang biasa digunakan di dalam operasinya.
Kintar juga menyelar negara-negara ‘Arab kerana tidak melakukan sebarang usaha yang mencukupi semasa berada dalam tahun-tahun konflik dengan Israel selama ini untuk membantu Palestin dan menambah bahawa mereka hanya sekadar menunjukkan unsur-unsur penyatuan sahaja tanpa sebarang tindakan yang jelas.

Wira yang baru dibebaskan itu juga meluahkan keinginannya untuk kembali ke Palestin dan berkata, “Saya berjanji bahawa saya akan kembali ke pangkuan keluarga dan semua yang menyayangi saya di Palestin termasuk saudara-saudara seperjuangan saya di dalam ‘Pasukan Penentangan Islam’. Saya pasti akan kembali ke sana semula”.

Kintar juga menegaskan bahawa “Operasi Al-Ridhwan” (diambil bersempena dengan nama gelaran asy-Syahid ‘Imad Mughniyah) adalah sebagai lanjutan daripada kemenangan yang dicapai oleh Hizbullah pada tahun 2006 dan menambah lagi bahawa Israel sedang melalui hari-hari yang paling memalukan dalam sejarah kewujudannya yang sudah menjangkau 60 tahun. Allahu Akbar !


Sumbangan : Abu Mardhiyyah




No comments: