Wednesday, July 23, 2008

MENELUSURI KEHEBATAN SAMIR KINTAR...

Samir Kintar adalah tawanan Arab yang paling lama meringkuk di penjara Zionis Israel. Tubuhnya yang tegap dan wajahnya yang garang tidak membuatkannya sukar untuk melemparkan senyuman. Dalam kelantangan suaranya tersimpan segudang keyakinan. Asam garam perjuangan telah melumuri sekujur tubuhnya.

Kintar ditangkap oleh tentera Israel pada tahun 1978. Pada waktu itu usianya baru sahaja mencecah 16 tahun 7 bulan. Bersama beberapa orang temannya, Kintar telah melancarkan sebuah operasi penculikan terhadap seorang pakar nuklear Israel yang menetap di Nahariya. Mereka ingin menukar ilmuwan tersebut dengan ratusan pejuang Arab yang masih ditawan oleh Israel ketika itu.

Malangnya, operasi tersebut menemui kegagalan. Samir Kintar akhirnya tertangkap bersama dengan dua orang rakannya yang lain. Seorang lagi temannya meninggal dunia kerana ditembak oleh tentera Israel. Ilmuwan nuklear itu dan anak gadisnya juga akhirnya mati akibat ditembusi peluru tentera Israel. Dalam sidang penghakiman, Kintar membantah tuduhan pihak Zionis bahawa beliau yang membunuh puteri kecil itu, dengan alasan bahawa pada waktu itu beliau telah kehabisan bekalan peluru dalam serbuan yang dilaksanakan beberapa jam sebelumnya.

Israel cuba membesar-besarkan isu kejadian penangkapan itu demi untuk menutup kegagalan pasukan tenteranya menumpaskan operasi bersenjata yang dilancarkan oleh seorang pejuang wanita Palestin yang bernama "Dalal Maghribi" beberapa bulan sebelumnya. Asy-Syahidah Dalal Maghribi dan 4 orang temannya telah berjaya membunuh seramai 30 orang tentera Zionis Israel dalam sebuah operasi bersenjata oleh gerakan penentangan Palestin yang paling hebat dan dramatik sepanjang tahun 1970-an.

Namun Allah (swt) telah menyiapkan peranan yang lain buat Samir Kintar iaitu "berjuang di balik tirai besi penjara". Pemuda itu membesar sebagai seorang musuh dalam selimut terhadap Israel. Beliau menjadi bom jangka yang menimbulkan igauan buruk kepada musuh namun menjadi lagenda di kalangan bangsa Arab.

Selama 30 tahun berada di dalam penjara, Kintar menolak untuk berjabat tangan dengan semua pihak musuh. Beliau berpegang dengan pendirian Syeikh Raghib Harb (salah seorang pengasas Hizbullah) yang menyatakan bahawa "berjabat tangan adalah sebuah pengakuan dan pengiktirafan. Pihak Israel adalah makhluk asing yang tidak patut diakui, diterima dan dilayan sebagai tetamu.

Pelbagai teknik penyiasatan dan penyiksaan yang dilakukan ke atas beliau sedikit pun tidak menimbulkan rasa gerun dan takut. Selama tempoh penahanannya, pihak Israel langsung tidak berjaya untuk mencungkil satu pun maklumat penting berkaitan dengan organisasi penentangan Lebanon dan Palestin. Bahkan, sejak berhubungan dengan Hizbullah (yang ditubuhkan pada tahun 1982) pada tahun 1988, pihak Israel tidak mampu untuk memperolehi sebarang daripadanya.

Kintar malah berjaya mengendalikan beberapa protes berskala besar dalam "penjara Haderim" dan menuntut pembaikan nasib para tahanan. Tuntutan terbesarnya yang kemudiannya terpaksa dipenuhi oleh pihak Israel ialah penghapusan peraturan yang melarang para tahanan untuk membaca buku dan meningkatkan tahap pendidikan mereka.

30 tahun menjadi tahanan Israel malah membuatkan seorang Kintar yang semakin besar dan berpengaruh. Pandangan-pandangannya sentiasa didengari oleh sebahagian besar kumpulan-kumpulan penentangan Palestin. Kedekatannya dengan Hizbullah telah berhasil dalam menjalinkan hubungan yang akrab di antara gerakan Hizbullah yang sering dituduh memiliki agenda yang berorientasikan mazhab oleh ejen-ejen Amerika Syarikat di Timur Tengah dengan kumpulan-kumpulan penentangan Palestin yang umumnya beraliran Ahlus Sunnah.

20 Julai 2008, Samir genap berusia 46 tahun. Sejumlah anggota Hizbullah merayakan ulang tahun Samir Kintar dengan menghadiahkannya senjata milik tentera Israel yang berjaya dirampas oleh Hizbullah dalam peperangan penuh dramatik pada tahun 2006. Kintar telah menitiskan air matanya sambil mencium senjata tersebut. Beliau lantas mengisytiharkan bahawa senjata itulah yang akan digunakannya untuk menebus kesyahidan 'Imad Mughniyah, komandan dan perancang utama yang mengetuai penculikan ke atas dua orang tentera Israel yang pada tarikh 16 Julai 2008 yang lepas telah ditukar dengan pembebasannya.

Samir Kintar juga menyatakan bahawa konflik antara dunia 'Arab dan Islam dengan Israel bukan sekadar konflik yang bersifat geografi semata-mata, bahkan merupakan konflik yang berdasarkan ideologi dan moral. “Sebagai seorang Muslim, seorang Arab dan seorang manusia, kita bertanggungjawab sepenuhnya untuk menentang regim yang bersifat perkauman, penindas dan penjajah seperti Israel. Berapa pun harga yang perlu dibayar, penentangan ini wajib terus berjalan sehingga regim yang dilahirkan oleh kaum imperialis ini hilang dari rantau kita.”

Wahai Samir! Selamat berjuang dalam kebebasan seperti sebelumnya anda sudah berjuang di dalam penjara. Orang sepertimu tidak mungkin terpenjara meskipun kaki dan tanganmu dibelenggu, sementara sebahagian besar kita terus terpenjara meskipun tubuh kita masih bebas bergerak. YA MEHDI! ADRIKNA!


No comments: