Sunday, July 27, 2008
SEMPENA MEMPERINGATI KESYAHIDAN IMAM MUSA AL-KAZHIM (as)
MENJEMPUT SYAHADAH DALAM KESUNYIAN
Suatu hari, Harun ar-Rasyid ingin menunaikan 'ibadah haji. Sebelum melaksanakannya, terlebih dahulu ia telah berkunjung ke Madinah, tempat kediaman Imam Musa (as). Tatkala tiba di pusara Rasulullah (saw), ia berkata, "Salam padamu wahai Rasulullah! Salam padamu wahai saudara sepupu!." Harun ar-Rasyid berkata demikian lantaran hendak menunjukkan kepada orang ramai bahawa ia layak untuk bergelar "Khalifah" kerana datuknya adalah 'Abbas, bapa saudara Rasulullah (saw). Imam Musa (as) juga turut hadir di masjid ketika itu dan langsung pergi ke makam Rasulullah (saw) dan berkata, "Salam padamu wahai Rasulullah! Salam padamu wahai ayah." Imam Musa (as) ingin mengingatkan Harun bahawa yang paling dekat hubungan kekeluargaannya dengan Rasulullah (saw) ialah dirinya.
Mendengar rintihan tersebut, Harun menjadi amat gusar dan merasa irihati. Akhirnya, ia mengeluarkan perintah untuk menangkap Imam Musa bin Ja’far (as). Imam Musa (as) yang ketika itu berada di masjid, telah dihadapkan kepada Harun ar-Rasyid. Harun ar-Rasyid telah membina dua buah penjara yang salah satu daripadanya diperuntukkan khusus untuk Imam Musa (as). Imam Musa (as) yang berada dalam keadaan dirantai kedua tangan sucinya, kemudian disumbatkan pula ke salah sebuah penjara tersebut, yang tidak dapat diketahui oleh orang lain. Perkara ini dilakukan supaya umum tidak mengetahui siapa penghuni penjara tersebut sebenarnya. Tidak lama selepas itu, berlaku pemindahan penghuni penjara dari Madinah ke Kufah dan Basrah. Imam Musa (as) berada dalam kelompok yang dipindahkan ke Basrah dengan kawalan yang amat ketat. Gabenor Basrah ketika itu ialah 'Isa dan Imam Musa (as) telah diserahkan kepadanya.
Selama satu tahun, ia memenjarakan Imam Musa (as) sehingga tiba-tiba datanglah surat perintah dari Harun ar-Rasyid untuk membunuh Imam Musa (as). 'Isa mengutarakan isi kandungan surat perintah Harun kepada para Menteri dan bermusyawarah dengan para penasihatnya. Para penasihatnya mengatakan bahawa tidak ada sebarang kebaikan apabila Imam dibunuh dan meminta ia supaya berlepas diri dari terlibat dengan konspirasi untuk membunuh Imam (as) dan mencadangkan kepadanya supaya merayu kepada Harun untuk tidak melaksanakan perkara ini.
Selanjutnya, 'Isa menulis surat kepada Harun yang antara isi kandungannya menyatakan bahawa, “Beberapa kali aku saksikan ke dalam penjara Musa bin Ja’far (as), akan tetapi yang aku lihat dan saksikan tidak lain dan tidak bukan adalah beliau sentiasa dalam keadaan asyik beribadah. Aku juga telah mengutus seseorang untuk mendengarkan segala lafaz yang ia ucapkan, namun dalam doa-doa yang beliau lantunkan, tidak ada satu pun perkataannya, yang mengutuk dan mengharapkan keburukan ke atas diriku dan dirimu dan hanya keampunan dan kasih sayangNya yang diharapkan untuk dirinya. Oleh kerana itu, sekarang juga kirimkanlah seseorang untuk aku serahkan Musa bin Ja’far kepadanya. Sekiranya engkau tidak memenuhi permintaanku ini, maka aku akan membebaskannya, kerana aku tidak akan mampu lagi untuk menahannya dalam penjara ini.” Khusus pada bahagian ini, 'Isa juga mengutip perkataan beberapa orang yang pernah bertemu wajah dengannya sambil menukilkan bahawa mereka berkali-kali telah mendengar rintihan dan munajat Musa bin Ja’far sewaktu menyampaikan permintaannya, "Tuhanku, Engkau telah mengetahui bahawa aku mengharapkan tempat yang sunyi sepi dan hening untuk beribadah dan Engkau telah menyiapkan tempat seperti itu untukku, maka segala puji dan syukur aku panjatkan hanya kepadaMu.”
Kemudian Harun menyerahkan pula Imam Musa bin Ja’far (as) kepada Fadzl bin Rabi’ yang merupakan salah seorang Menterinya untuk membunuh Imam Musa bin Ja’far (as). Namun ia juga tidak sanggup melakukan pekerjaan durjana ini. Setelah Fadzl bin Rabi’, tiba pula giliran Fadzl bin Yahya yang diberi tugas untuk melakukan pembunuhan keji terhadap Imam Musa bin Ja’far (as) namun percubaan pada kali ini turut menyaksikan kegagalan di mana Fadzl bin Yahya turut cuba menghindari tindakan tidak berperikemanusiaan itu.
Setelah itu, Harun memberikan pula perintah kepada Sanadi bin Shahif, seorang yang di dalam hatinya sudah tidak tersisa sedikitpun rasa belas kasihan. Lalu ia menuju ke Baghdad dengan misi untuk membunuh Imam Musa bin Ja’far (as). Ia telah mencampur makanan yang akan dikirimkan ke penjara Imam dengan racun yang berbisa. Disebabkan kesan racun yang beliau makan, selama tiga hari, kesihatan Imam berada dalam keadaan yang amat kritikal dan genting. Akhirnya, pada 25 Rejab tahun 83 H, setelah bertahun-tahun lamanya melalui kesabaran dan menempuh pelbagai kesusahan dalam penjara, berada dalam situasi yang amat buruk serta dalam keadaan terzalimi, Imam Musa bin Ja’far (as) pun menjemput syahadah.
Assalaamu ‘alaika Ya Musa ibn Ja’far (as)!
Assalaamu ‘alaika Yabna Rasulillah!
Pusara suci Imam yang terletak di perkuburan Quraisy, tepatnya di Kadzimain merupakan tempat ziarah kaum Muslimin, khususnya para pecinta Ahlul Bait (as).
Khatib dalam "Tarikh Bahgdadi" mengutip dari 'Ali bin Khalal yang berkata, “Tidak ada permasalahan yang menyulitkan buatku, kemudian aku berziarah ke pusara Imam Musa al-Kazhim sambil bertawassul kepadanya, melainkan Tuhan akan memudahkan permasalahanku itu.”...
Ya Musa ibn Ja'far ! Adrikna!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment