Tuesday, July 15, 2008

IRAN SEDIA "POTONG TANGAN MUSUH"



TEHERAN : Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad semalam menyatakan sebelum musuh berjaya melepaskan tembakan, anggota tentera negaranya akan memotong tangan mereka.
Kenyataan itu dilakukan sehari selepas seorang pegawai kanan Iran berkata, negaranya akan menyerang Israel dan pengkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di rantau Teluk.
Menurut pegawai itu, serangan itu akan dilakukan jika negara tersebut diserang berhubung isu nuklear.
Para pemimpin AS sebelum ini tidak menafikan pilihan untuk melancarkan serangan jika pendekatan diplomatik gagal dilakukan untuk meredakan kebimbangan berhubung aktiviti nuklear.
"Sebelum musuh meletakkan jari ke picu (senjata), pihak tentera akan memotong tangan mereka," kata Mahmoud kepada pemberita.
Israel yang dikenali mempunyai senjata nuklear telah berikrar akan menghalang Iran daripada muncul sebagai kuasa senjata nuklear.
Pada bulan lalu, tentera Israel melakukan ujian yang meningkatkan spekulasi bahawa satu serangan mungkin dilancarkan ke atas tapak nuklear Iran.
Iran kemudian berikrar akan melancarkan serangan balas ke atas Tel Aviv di Israel termasuk kepentingan AS dan perkapalan jika diserang.
Mahmoud berkata, pertunjukan senjata yang dilakukan oleh pasukan Pengawal Revolusi Iran dalam latihan peluru berpandu baru-baru ini merupakan hanya sebahagian kecil daripada kekuatan sebenar pihak tenteranya.
"Latihan itu adalah keperluan, sebahagian daripada kemampuan pertahanan kami akan dipamerkan untuk dilihat oleh masyarakat dunia," katanya.

No comments: