Monday, August 10, 2009

8 KAKITANGAN KEDUTAAN BRITAIN DITAHAN

TEHERAN - Iran telah menahan 8 kakitangan warga tempatan di Kedutaan Britain baru-baru ini, dalam tindakan yang pasti akan menegangkan lagi hubungannya dengan Barat berhubung kekecohan selepas pilihan raya di Republik Islam itu.
Ia adalah tindak balas terbaru terhadap Britain yang dituduh Iran sebagai mencetuskan ketegangan yang melanda selepas pilihan raya Presiden memihak kepada Dr Mahmoud Ahmadinejad untuk kekal memegang jawatan itu.
"8 kakitangan tempatan di Kedutaan Britain yang memainkan peranan dalam rusuhan terbaru telah ditahan," lapor agensi berita Fars.
Menteri Luar, Manouchehr Mottaki memberi amaran bahawa Iran mungkin menurunkan taraf hubungannya dengan Britan selepas kedua-dua kerajaan saling mengusir diplomat. Iran juga telah mengusir koresponden BBC di Teheran dan menangkap seorang wartawan Britain serta sebilangan pemegang pasport Britain yang didakwa terlibat dalam rusuhan.
Mir Hossein Mousavi, seteru kepada Ahmadinejad dalam proses demokrasi 12 Jun lalu, menegaskan pilihan raya baru perlu diadakan sementara seorang lagi calon yang tewas, Mehdi Karroubi mendesak panel bebas diwujudkan untuk menyiasat perkara yang tidak kena dalam pengundian.
Penentangan mereka seolah-olah mencabar permintaan badan timbang tara politik tertinggi Iran, Majlis Kewajaran yang menyeru semua calon memberi kerjasama dengan panel yang ditubuhkan oleh pemantau pilihan raya, Majlis Pengawal.
Berdepan dengan ancaman terburuk sejak 30 tahun lalu, Iran cuba menangani rasa tidak puas hati yang timbul mengenai keputusan pilihan raya dengan mengumumkan kiraan semula sebahagian undi.

No comments: