Wednesday, August 26, 2009

WANITA DIPENJARA DAN DISEBAT DI ARAB SAUDI

JEDDAH: Biasanya lelaki yang dipersalahkan kerana menipu untuk berkahwin tetapi dalam satu kes di Arab Saudi, seorang hakim mengenakan hukuman dua tahun penjara dan 300 sebatan terhadap seorang wanita kerana menipu beberapa lelaki dengan mengahwini mereka secara berasingan. Wanita terbabit menyamar sebagai seorang bujang memberi persetujuan untuk berkahwin melalui konsep perkahwinan 'misyar' (baca: mis-yar) dengan beberapa lelaki berkenaan tetapi bertindak melarikan diri selepas menerima bayaran mas kahwin, lapor akhbar Saudi Gazette. 'Misyar' adalah perkahwinan kontrak yang menetapkan pasangan akan hidup berasingan tetapi mereka masih berjumpa.
Konsep perkahwinan itu adalah bagi membolehkan seseorang lelaki mengelak kos perkahwinan yang mahal, bayaran mas kahwin yang tinggi selain tidak perlu menyediakan rumah kepada isteri
. Satu sumber mahkamah berkata, wanita berkenaan sudah berkahwin dengan seorang lelaki Arab Saudi yang lanjut usia. Tertuduh mencari suami 'misyar' dengan bantuan seorang ejen pencari jodoh untuk wanita dan seorang lelaki yang berusia 30 tahun.
Pencari jodoh wanita dan lelaki itu akan merundingkan perkahwinan 'misyar' bagi pihak wanita yang dijatuhi hukuman penjara dan sebat itu. Lelaki yang terbabit bersubahat dengan wanita dalam kes itu turut dijatuhi hukuman penjara setahun dan 150 sebatan kerana menipu. Selepas menerima mas kahwin dan melakukan upacara perkahwinan itu, 'isteri terbabit' akan hilang bersama wang berkenaan. Tertuduh mengaku bersalah terhadap semua dakwaan terhadapnya. Wanita berkenaan ditahan selepas suaminya memfailkan aduan kepada polis bahawa isterinya itu mempunyai hubungan dengan beberapa lelaki lain dan sengaja menipu melalui beberapa perkahwinan 'misyar'.
Sementara itu, mangsa penipuan pesalah berkenaan dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut ganti rugi wang yang dibayar mereka dalam bentuk mas kahwin kepada wanita terbabit.

No comments: