Tuesday, August 11, 2009

TENTERA AMERIKA SYARIKAT MULA BERUNDUR DARI IRAQ

*Gambar : Penduduk Iraq di Baghdad meraikan pengunduran peringkat pertama tentera Amerika Syarikat dari bandar-bandar di negara itu sehingga 2011.

BAGHDAD - Tentera Iraq secara rasmi mengambil alih kawalan ke atas Baghdad dan bandar-bandar lain selepas tentera Amerika Syarikat menyerahkan kawalan keselamatan di kawasan bandar, dalam satu langkah ke arah menamatkan peranan tempur mereka di negara tersebut.
Pengunduran tentera Amerika Syarikat itu turut disiarkan melalui stesen televisyen Iraq.
''Pengunduran tentera Amerika Syarikat kini lengkap di semua bandar. Kita sedang meraikan pemulihan kedaulatan negara,'' kata penasihat kanan kepada Perdana Menteri, Nuri al-Maliki, Sadiq al-Rikabi.
Pentagon, bagaimanapun tidak memberi sebarang ulasan sebagai menandakan berakhirnya pengunduran itu.
Percikan bunga api menerangi ibu negara itu, ketika ribuan rakyat Iraq menghadiri satu majlis sambutan di sebuah taman yang turut mengadakan persembahan lagu-lagu patriotik oleh penyanyi-penyanyi tempatan.
Pembesar suara di balai-balai polis dan tempat pemeriksaan keselamatan tentera turut memainkan rakaman lagu yang sama sepanjang hari, ketika kenderaan-kenderaan tentera Iraq yang dihiasi bunga serta bendera Iraq meronda di sekitar kawasan ibu negara.
''Kami semua sangat gembira termasuk masyarakat Syiah, Sunnah dan Kurdis. Amerika Syarikat telah merosakkan dan menghina kami secara keterlaluan,'' kata seorang rakyat Iraq, Waleed al-Bahadili.
Nuri turut mengumumkan cuti umum selain mengisytiharkan tarikh 30 Jun sebagai Hari Kedaulatan Kebangsaan.
Pengunduran tentera Amerika Syarikat seperti yang dipersetujui dalam perjanjian keselamatan Amerika Syarikat-Iraq, menandakan satu langkah pertama ke arah pengunduran semua tentera negara tersebut dari Iraq menjelang 31 Disember 2011.
Pengambilan alih kuasa oleh tentera Iraq membanggakan rakyat negara ini, namun mereka juga khuatir sekiranya tentera kerajaan tidak bersedia, di samping kebimbangan keganasan akan meningkat.

No comments: