Sunday, June 28, 2009

100 REFORMIS IRAN DITAHAN

*Gambar : Para penyokong Mir Hossein Mousavi membakar sampah dan motosikal di sebatang jalan di Teheran bagi membantah kekalahan calon mereka pada Pilihan Raya Presiden Iran baru-baru ini.

TEHERAN - Lebih 100 reformis, termasuk Mohammad Reza Khatami, adik kepada bekas Presiden Iran, Mohammad Khatami telah ditahan baru-baru ini selepas satu tunjuk perasaan yang dilancarkan oleh golongan reformis ekoran kekalahan calon pilihan mereka, Mir Hossein Mousavi pada pilihan raya Presiden.
Menurut pemimpin reformasi yang juga bekas Timbalan Presiden, Mohammad Ali Abtahi, anggota-anggota reformis daripada Parti Mosharekat itu ditahan di rumah mereka. Seorang anggota Barisan Penyertaan Islam Iran (IIPF), Rajab Ali Mazroei pula berkata, sekurang-kurangnya 10 pemimpin daripada dua kumpulan reformasi Iran IIPF dan Organisasi Mujahidin Revolusi Islam (IRMO) turut ditahan. Beberapa orang yang ditahan itu pernah memegang jawatan kanan dalam kerajaan semasa pentadbiran Khatami dari tahun 1997 hingga 2005.
Antara mereka yang ditahan ialah bekas Timbalan Speaker Parlimen, Behzad Nabavi; ketua IIPF, Mohsen Mirdamadi dan jurucakap Khatami, Abdollah Ramezanzadeh. Pegawai-pegawai lain yang turut ditahan ialah Mostafa Tajzadeh, Mohsen Aminzadeh, Zoherh Aghajari, Saeed Shariati dan Zahra Mojaradi.
Sementara itu, agensi berita IRNA melaporkan, dua daripada mereka yang ditahan iaitu Tajzadeh dan Aminzadeh didapati terlibat merancang bantahan besar-besaran di seluruh Teheran, yang dilancarkan selepas keputusan pilihan raya diketahui.
Pesaing-pesaing Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad menyifatkan, pemilihan semula pemimpin itu melalui undian yang dimanipulasikan, telah membawa kepada rusuhan pada skala yang tidak pernah dilihat di Iran sejak sedekad lalu.
Kumpulan reformasi menyatakan sokongan padu mereka terhadap Mir Hossein setelah keputusan pilihan raya yang dipertikaikan itu menyaksikan bekas Perdana Menteri tersebut hanya memperoleh 34 peratus undian berbanding 63 peratus yang dimenangi Ahmadinejad.
Sementara itu, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei meminta rakyat Iran supaya menghormati kemenangan Ahmadinejad pada pilihan raya presiden itu.
Mir Hossein dalam pada itu turut menggesa penyokongnya mengelakkan kekacauan selepas satu tunjuk perasaan yang dilancarkan. ''Pencabulan dalam pilihan raya adalah sesuatu yang amat serius. Namun saya menyeru kepada anda semua supaya jangan mendatangkan bahaya kepada mana-mana individu atau kumpulan,'' katanya menerusi satu kenyataan yang dipaparkan dalam laman web kempennya.

No comments: