Monday, June 29, 2009

700 WARGA IRAN BERHIMPUN BANTAH KEMENANGAN AHMADINEJAD

KUALA LUMPUR - Kira-kira 700 warga Iran baru-baru ini menimbulkan kekecohan apabila berhimpun beramai-ramai di luar pekarangan Wisma Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Jalan Semantan, Pusat Bandar Damansara, bagi membantah keputusan pilihan raya Presiden Iran, 13 Jun lalu.
Berikutan itu, polis terpaksa melepaskan sembilan das tembakan dan bom pemedih mata ke arah kumpulan terbabit yang masih enggan bersurai meskipun selepas dibenarkan polis untuk menghantar satu memorandum ke pejabat tersebut.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan tersebut bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Katanya, seramai kira-kira 50 anggota polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah dikerahkan untuk berkawal di kawasan tersebut.
Menurut beliau, perhimpunan itu kebanyakannya disertai oleh penuntut-penuntut warga Iran yang belajar di universiti dan kolej tempatan di sini.
''Pada mulanya kita mendapat maklumat kira-kira 500 warga Iran akan berkumpul di pekarangan pejabat PBB, namun jumlahnya meningkat kepada 700 orang," katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.
Pada 12 Jun lalu, Dr Mahmoud Ahmadinejad memperolehi kemenangan besar pada pilihan raya Presiden Iran, sekaligus mempertahankan jawatannya untuk mengetuai kerajaan bagi tempoh empat tahun lagi.
Tambah Wan Abdul Bari, pihaknya telah memberi amaran bersurai sebanyak tiga kali selepas menghantar memorandum tetapi tidak diendahkan oleh kumpulan terbabit sehingga pihaknya terpaksa mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya, pihaknya tidak dapat membenarkan hasrat wakil kumpulan itu untuk berucap selama 30 minit di pekarangan pejabat
.
''Jika mereka ingin berucap juga, ia merupakan satu kesalahan kerana mengadakan perhimpunan tanpa permit selain boleh menimbulkan kekecohan. Oleh itu, kita tidak membenarkan mereka berucap dan mereka berang lalu berarak ke Wisma Perintis bersebelahan pejabat PBB," katanya.
Sementara itu, salah seorang wakil warga Iran, Ehsan, 24 berkata, antara isi kandungan memorandum itu adalah untuk menyatakan berlaku penyelewengan undian rakyat Iran.
Jelasnya, dengan keputusan pilihan raya itu, seluruh rakyat Iran berasa tidak gembira dan rasa tertipu.
''Kami tahu bahawa undian kami telah ditukar dan memihak kepadanya (Ahmadinejad),'' katanya.

No comments: