Wednesday, June 10, 2009

OBAMA, KAHERAH, SYI'AH DAN KHOMEINI

*Oleh : Zin Mahmud.

Baru-baru ini, penulis menerima kad undangan untuk menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Puteri Rasulullah (saw), Fatimah az-Zahra' (as) pada 15 Jun ini. Pada malam itu, turut diadakan majlis memperingati ulang tahun kelahiran Imam Khomeini (qs). Bagi para pengikut mazhab Ahlul Bait, bulan Jun adalah istimewa, kerana tarikh 3 Jun (sempena kewafatan Imam Khomeini) dan 15 Jun (sempena kelahiran Fatimah az-Zahra dan Imam Khomeini).
Bagi para pendokong mazhab Ahlus Sunnah Wal Jama'ah pula, bukan menjadi amalan dan tradisi mereka untuk meraikan ulang tahun kelahiran Fatimah az-Zahra' walaupun beliau turut amat dihormati.
Sementara, Imam Khomeini walaupun dianggap sebagai pemimpin besar Islam abad ini kerana mempelopori Revolusi Islam, tarikh pemergiannya hanya diperingati oleh mereka yang mendokong pemikiran dan perjuangan beliau. Imam Khomeini wafat pada 3 Jun 1989, iaitu 20 tahun yang lalu.
Pada tahun itu, penulis berkunjung ke Iran untuk menghadiri sebuah persidangan mengenai Afghanistan di Institut Kajian bagi Politik Antarabangsa (IPIS). Penulis sempat menziarahi makam Imam Khomeini sementara di rumah salah seorang diplomat Malaysia di Teheran, penulis juga sempat menonton video penuh upacara pengkebumian Imam Khomeini yang begitu mengkagumkan kerana penghormatan rakyatnya amat luar biasa.
Maka sepanjang 20 tahun lalu, pengaruh politik Iran telah mengubah landskap politik dunia, khususnya bagi pengikut mazhab Ahlul Bait. Umpamanya di Lebanon, mereka tidak lagi menjadi kaum terpinggir tetapi muncul sebagai kuasa politik terpenting melalui pertubuhan Hizbullah, yang bukan saja berani mencabar Israel tetapi juga Amerika Syarikat.
Baru-baru ini juga berlaku peristiwa penting yang berkaitan dengan hubungan di antara Amerika Syarikat dan umat Islam. Pendekatan terbaru Presiden Barack Obama dizahirkan melalui ucapannya di Dewan Besar Universiti Kaherah. Beliau berkata bahawa kunjungannya ke Kaherah merupakan permulaan baru bagi hubungan antara umat islam dan Amerika Syarikat.
Pemilihan beliau untuk berucap di Universiti Kaherah, Mesir juga mempunyai pengertiannya yang tersendiri. Mengapa beliau memilih untuk menyampaikan ucapannya yang bersejarah itu di Universiti Kaherah? Mesir dipilih untuk mewakili umat Islam dalam hubungannya dengan Amerika Syarikat. Kedudukan Mesir terutama Kaherah sebagai kota intelektual dunia Arab turut menjadikannya sebagai ibu tamadun dunia Islam zaman ini.
Walaupun Mesir sebuah negara Ahlus Sunnah Wal Jama'ah tetapi tradisi Syi'ahnya kuat. Ini kerana pada masa silam ia pernah diperintah oleh kerajaan Syi'ah yang bernama Fatimiyyah sempena nama puteri Rasulullah (saw). Kerajaan itu turut mengasaskan kota Kaherah dan menubuhkan Universiti al-Azhar, yang namanya juga berkaitan dengan az-Zahra', perkataan yang diminati oleh orang Syi'ah.
Universiti Kaherah yang ditubuhkan pada 1908 merupakan pusat pengajian tinggi bukan agama sebagai mengimbangi Universiti al-Azhar. Maka fakulti yang paling awal dan utama ialah perubatan dan kejuruteraan.
Namun begitu, mahasisiwa yang cenderung pada perjuangan Islam dan menganggotai Ikhwanul Muslimin pula datang dari fakulti-fakulti ini dan bukan semata-mata dari Universiti al-Azhar.
Iran dengan cepat menjawab ucapan Obama apabila pengganti Imam Khomeini, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei dalam ucapan memperingati pemergian Imam Khomeini menyatakan bahawa ucapan yang muluk-muluk tidak bererti tanpa perubahan tindakan yang bermakna.

No comments: