Sunday, June 7, 2009

HUSAIN FADHLULLAH MINTA OBAMA UBAH DASAR BERSEKUTU DENGAN ISRAEL

*Gambar : Marji' taqlid di Lebanon, Ayatullah al-Uzma Sayyid Muhammad Husain Fadhlullah.

Beirut : Ucapan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di Kaherah, Mesir yang ditujukan kepada dunia Islam walaupun dipandang positif tetap dipandang serong apabila Obama menyifatkan hubungan negaranya dengan Israel 'tidak mungkin dapat diputuskan'.
Seorang marji' taqlid di Lebanon yang rapat dengan pergerakan Hizbullah, Ayatullah al-Uzma Sayyid Muhammad Husain Fadhlullah, adalah antara tokoh yang menyatakan tidak setuju terhadap hubungan erat Amerika dan Israel.
Pandangannya itu disuarakan ketika Asia Barat berhadapan masalah kompleks dan konflik yang menyebabkan ramai yang ragu bahawa apa yang disampaikan Obama boleh membawa kepada kemajuan dalam proses damai.
Di Republik Islam Iran, seorang ulama menyuarakan kebimbangan masyarakat Islam jika pentadbiran Obama terus menyokong Israel. "Israel menyebabkan ketegangan dan pergaduhan di Asia Barat, menyebabkan penindasan dan membunuh penduduk yang tidak bersalah," kata Ayatullah Sayyid Ahmadi Jannati kepada jemaah solat Jumaat di Teheran.
"Israel melakukan apa yang mereka suka. Apa yang akan anda lakukan wahai Obama? Adakah anda akan menjawabnya?," tegas Jannati lagi
.
Ada juga kecewa kerana Obama tidak memohon maaf kerana tindakan negaranya melancarkan perang di Iraq dan Afghanistan. Lebih daripada itu, beberapa tokoh berpengaruh berkata, mereka melihat ketegasan Obama mengenai hubungan yang tidak pernah putus di antara Amerika dan Israel sebagai satu petanda bahawa tiada perubahan akan berlaku.
"Beliau masih komited kepada hubungan berterusan dengan rejim Zionis itu walaupun menghamburkan kata-kata manis dan lunak kepada negara-negara Arab dan masyarakat Islam," kata Husain Fadhlullah.
Ucapan Obama disiarkan oleh kebanyakan media Arab, dengan tajuk utama akhbar seperti 'Satu Permulaan Baru' dan kebanyakan ruangan lidah pengarang dan pendapat menganalisis setiap kata-kata beliau. Rangkaian berita serantau seperti al-Jazeera dan al-Arabiya terus menyiarkan petikan ucapan yang menguasai rancangan temubual politik bagi hari kedua.
Obama ketika satu lawatan ke Jerman sekali lagi mengulangi permintaan yang mahukan dua negara menyelesaikan konflik Israel-Palestin dan menangguhkan aktiviti penjajahan Yahudi di Tebing Barat. Obama berkata, beliau sedar isu politik berhubung Israel menyukarkannya menyelesaikan konflik berkenaan tetapi berkata, "Tiba masanya bagi kita untuk bertindak."

No comments: