Sunday, June 7, 2009

PELAN SERANG IRAN SUDAH DIRANCANG?

*Gambar fail menunjukkan seorang pegawal keselamatan mengawasi sebuah loji nuklear di Bushehr, Iran pada 25 Februari lalu.

TEL AVIV - Israel menafikan laporan sebuah akhbar Britain bahawa satu serangan besar-besaran dari udara terhadap kemudahan-kemudahan nuklear Iran akan dilancarkan dalam tempoh terdekat.
Baru-baru ini, akhbar 'The Times' di Britain melaporkan Pasukan Pertahanan Israel sedang melakukan persediaan untuk menyerang infrastruktur nuklear Iran dalam tempoh terdekat.
Antara persediaan yang dilakukan adalah membeli tiga buah pesawat kawalan jauh. Serangan itu dilaporkan melibatkan sejumlah besar sasaran termasuk kemudahan utama nuklear di Natanz, Esfahan dan Arak.
Sumber-sumber yang rapat dengan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak berkata, artikel akhbar 'The Times' itu hanya merupakan satu spekulasi yang tidak berasas dan disiarkan dengan tujuan untuk meminggirkan komuniti penduduk negara tersebut di peringkat antarabangsa.
Sebarang serangan terhadap Iran memerlukan kerjasama Amerika Syarikat dengan melibatkan jet-jet pejuang tentera Israel terbang melalui ruang udara di Jordan serta Iraq yang dikawal Amerika Syarikat.
Israel telah menuduh Iran melakukan proses pengayaan uranium pada gred yang boleh mengeluarkan senjata nuklear. Bagaimanapun, Iran menegaskan ia hanya mengeluarkan uranium gred rendah dengan tujuan untuk menjana tenaga elektrik.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang kembali berkuasa pada 1 April lalu menyokong tindakan ketenteraan ke atas Iran.
Presiden Israel, Shimon Peres pada awalnya menyokong serangan ke atas kemudahan nuklear Iran tetapi kemudian memutuskan bahawa penyelesaian di negara itu bukannya dengan menggunakan pendekatan ketenteraan.
Keputusan untuk mengelak perang dengan Iran itu diputuskan sehari selepas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates memberi amaran supaya Israel tidak melancarkan serangan udara bersendirian terhadap Iran.
Washington menyatakan ia membuka lembaran baru selepas pentadbiran Presiden Barack Obama berjanji untuk memulakan hubungan baru dengan Iran.