Monday, June 15, 2009

PARTI PRO BARAT MENANG DI LEBANON NAMUN HIZBULLAH TERUS BERTAMBAH KUAT

*Gambar : Saad al-Hariri (kiri) memeluk seorang calon Parlimen, Nohad Machnouk selepas pakatan pro-Barat menang pada pilihan raya Parlimen Lebanon di Beirut baru-baru ini.

BEIRUT - Parti perikatan pro-Barat memperoleh kemenangan pada pilihan raya Parlimen Lebanon baru-baru ini dengan menewaskan pakatan pimpinan Hizbullah yang mendapat sokongan Iran dan Syria.
Blok pro-Barat itu memenangi 69 daripada 128 kerusi Parlimen pada pilihan raya tersebut sementara pakatan Hizbullah memenangi 57 kerusi dan 2 kerusi dimenangi oleh calon bebas yang cenderung kepada blok pro-Barat.
Penyokong blok itu meraikan kemenangan mereka selepas pengundi memperbaharui majoriti mereka di Parlimen, empat tahun selepas 'Revolusi Cedar' yang membantu mengusir tentera Syria dari Lebanon dan membolehkan kem pro-Barat mengambil alih kerajaan.
Keputusan itu didakwa memberi tamparan kepada Syria dan Iran yang menyokong kuat Hizbullah tetapi disambut baik oleh Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Mesir yang menyokong blok '14 Mac', sempena tarikh rapat umum besar-besaran membantah kehadiran tentera Syria di Lebanon pada 2005.
Hizbullah dan sekutu-sekutunya menyapu bersih undi di kawasan majoriti Syiah tetapi kekalahan sekutu Kristian mereka, Michel Aoun di dua daerah penting menghalang perikatan tersebut daripada menguasai majoriti yang telah diramalkan oleh banyak pihak.
Pemimpin blok '14 Mac', Sa'ad al-Hariri, seorang penganut Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, muncul selepas pilihan raya sebagai calon pilihan untuk mengetuai kerajaan baru, sekaligus mengikut jejak langkah bapanya yang mati dibunuh, Rafiq al-Hariri.
"Tahniah kepada Lebanon, tahniah kepada demokrasi, tahniah kepada kebebasan. Tidak ada pihak yang menang dan pihak yang kalah pada pilihan raya ini, satu-satunya pemenang ialah demokrasi dan pemenang terbesar ialah Lebanon," kata Hariri, 39, ketika menyampaikan ucapan sempena kemenangan beliau di kediaman mewahnya di sini.
Kem-kem politik di Lebanon berbalah mengenai para pejuang Hizbullah yang memiliki keupayaan senjata lebih besar daripada tentera Lebanon, serta hubungan pergerakan Syiah itu dengan Syria yang menguasai Lebanon selama tiga dekad sehingga 2005.
Keputusan itu dijangka membawa kepada sebuah lagi kerajaan 'perpaduan negara' sekalipun pembentukannya mungkin tidak berjalan lancar jika kem Hizbullah berkeras mahukan kuasa veto. Hidup Hizbullah!!!

No comments: