Thursday, June 11, 2009

AHMADINEJAD DAN MIR HOSSEIN BERSAING HEBAT

*Poster Mir Hossein (atas) dan Mohsen (bawah) ditampalkan di dinding sebuah lokasi di Teheran.

TEHERAN - Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad memperuntukkan dana yang besar untuk mencetak poster, risalah, bendera, belon, cakera video digital (DVD) dan pesanan khidmat ringkas (SMS) dalam kempen pilihan raya presiden. Pilihan raya presiden yang akan menentukan sama ada beliau mengekalkan jawatannya itu bakal diadakan pada 12 Jun 2009.
Mahmoud dan bekas Perdana Menteri, Mir Hossein Mousavi menghidupkan demam pilihan raya dengan menjadikan suasana di jalan-jalan raya Iran seperti karnival raksasa. Calon presiden yang lain, Mohsen Rezai dan Mehdi Karroubi didapati kurang menonjol dalam kempen kali ini.
Tingkap-tingkap kedai memaparkan poster calon manakala cermin hadapan kereta turut dihias pelekat sehingga pihak polis mengeluarkan amaran mengenai amalan berbahaya tersebut.
Jumlah dana yang terbabit dalam pilihan raya presiden kali ini tidak dapat dipastikan.
*Seorang lelaki menghiasi kepalanya dengan gambar Mahmoud di Universiti Sharif, Teheran.

"Pejabat pilihan raya kami dikendalikan oleh orang biasa. Setiap orang mencetak dan mengedarkannya," kata seorang pekerja kempen Mahmoud. Dalam satu ceramah di Teheran baru-baru ini, kumpulan sukarelawan pilihan raya Mahmoud mengedarkan beribu-ribu cakera padat, bendera Iran, poster dan akhbar kempen.
"Kempen pilihan raya Mir Hossein mungkin mencecah sehingga USD40 juta (RM140 juta)," kata seorang pegawai pilihan rayanya.
Di beberapa kedai di Teheran, sejumlah kedai kosong dan dijadikan pusat kempen yang disewa sehingga USD4,000 (RM13,960) sebulan.
Setiap tengah hari dan petang, sejumlah penyokong muda berkumpul di luar pusat-pusat kempen untuk mengedar sejumlah barangan pilihan raya kepada pemandu kenderaan.
"Kebanyakan remaja yang datang membantu mengedarkan bahan pilihan raya bekerja secara percuma," kata seorang pekerja kempen Mir Hossein.
Pesaing-pesaing Mir Hossein mendakwa beliau mendapat bantuan daripada sejumlah ahli perniagaan.
Akhbar-akhbar di Iran juga mula memihak kepada calon yang disukai. Sebulan lalu, penyokong Mir Hossein melancarkan akhbar 'Andishe Nu' (Pemikiran Baru) dan 'Kalameh Sabz' (Dunia Hijau).
Mahmoud pula disokong akhbar 'Vatan-e-Emruz' (Harian Nasional) manakala akhbar kerajaan, 'Kayhan' turut menyokong beliau walaupun masing-masing adalah milik awam.
Mengikut laporan akhbar, jumlah SMS semasa kempen pemilihan presiden meningkat daripada 60 juta kepada 100 juta sehari.

No comments: