Tuesday, June 30, 2009

IRAN KUTUK MEDIA ANTARABANGSA

*Gambar : Para penyokong Ahmadinejad mengibarkan bendera Iran dan bendera lambang agama ketika meraikan kemenangan presiden itu di tengah Teheran baru-baru ini.

KAHERAH - Pihak berkuasa Iran mengkritik laporan media antarabangsa dan mengambil langkah mengawal aliran maklumat daripada sumber berita bebas, ketika rusuhan anti kerajaan menular di negara tersebut.
Syarikat penyiaran British Broadcasting Co. (BBC) memaklumkan bahawa laporan berita elektroniknya mengalami kesesakan dan ia semakin serius, sekali gus mengakibatkan gangguan perkhidmatan kepada penonton serta pendengar BBC di Iran, Asia Barat dan Eropah.
BBC melaporkan bahawa pihaknya turut mengesan sekatan pada isyarat satelit yang menyiarkan perkhidmatan dalam bahasa Parsi ke satu lokasi di Iran.
Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad, menyelar media sejurus memenangi pilihan raya Presiden, setelah pengkritik menegaskan ia melibatkan penipuan pengundi. Pada satu sidang media baru-baru ini, Ahmadinejad menuduh media antarabangsa melancarkan 'perang psikologi' terhadap Iran.
Selain perkhidmatan telefon bimbit yang telah dibaik pulih selepas terganggu selama beberapa hari di Teheran, jaringan komunikasi turut terjejas sejak hari pengundian, termasuk yang boleh digunakan untuk menganjurkan tunjuk perasaan.

RAPAT UMUM PEMBANGKANG DIHARAMKAN DI IRAN

TEHERAN - Kementerian Dalam Negeri Iran mengharamkan rapat umum yang dianjurkan oleh para penyokong calon Presiden yang tewas, Mir Hossein Mousavi.
Keputusan kementerian tersebut dibantah keras oleh Mousavi dalam satu laman web kendalian penyokong beliau.
Kekacauan menggegarkan Teheran dan bandar-bandar lain apabila Kementerian Dalam Negeri menyiarkan keputusan yang menunjukkan Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad mengalahkan Mousavi dengan kelebihan undi yang besar dalam pilihan raya Presiden baru-baru ini.

MEDIA BARAT KECEWA AHMADINEJAD MENANG

*Catatan Abu Wajihah : Berikut saya paparkan sebuah rencana berkaitan isu terkini di Iran yang ditulis oleh Ismail Hashim Yahaya, seorang pensyarah di Pusat Pengajian Komunikasi, USM, Pulau Pinang. Meskipun saya kurang bersetuju dengan beberapa pandangannya tentang Mir Hussein Mousavi yang jelas menunjukkan kekeliruannya berhubung perjuangan Mousavi, namun beliau jujur ketika membicarakan berkenaan Ahmadinejad. Selamat Membaca!

Kemenangan besar Dr Mahmoud Ahmadinejad yang dilantik semula sebagai Presiden Iran nampaknya tidak disukai Barat. Malah banyak fitnah disebarkan oleh media Barat berhubung dengan perjalanan pilihan raya yang didakwa sebagai tidak bersih dan penuh dengan penipuan.
Tujuan media Barat ialah menabur fitnah dan keraguan di kalangan masyarakat antarabangsa mengenai ketulusan pilihan raya tersebut. Sebagai contohnya, Bill Schneider, penganalisis politik kanan CNN dalam liputannya menyoal kesahihan kerajaan Iran.
Walaupun mungkin terdapat beberapa penipuan semasa proses pilihan raya, tetapi media Barat tidak berhak mempertikaikan kesahihan keseluruhan kerajaan Iran. Bagaimanakah jika kita pula mempertikaikan keseluruhan kabinet dan kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Presiden Barack Obama?
Nampaknya kempen Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat yang menabur fitnah ke atas kemenangan Hamas dalam pilihan raya Palestin akan menjalar ke Iran pula. Sebagaimana mereka tidak menerima hakikat kemenangan Hamas dan kekalahan Fatah, mereka tidak dapat menerima kenyataan kemenangan Ahmadinejad dalam suatu proses pengundian demokrasi.
Laporan-laporan cetek yang sekadar memaparkan demonstrasi, kebakaran sampah dan tayar di jalan-jalan raya Teheran oleh penyokong reformasi yang kecewa di atas kekalahan calon mereka tidak mewakili keseluruhan pengundian rakyat Iran.
Media Amerika Syarikat dan Barat telah membesar-besarkan peristiwa tersebut dan tindakan polis ke atas perusuh. Laporan lintas langsung wartawan BBC, John Simpson membesarkan kejadian dengan menyebut, adakah apa yang beliau lihat sekarang merupakan awal kepada revolusi menentang rejim memerintah - daripada perusuh sekitar 3,000 orang itu?
Terdapat laporan bahawa 100 orang ditahan termasuk 10 orang pemimpin dua kumpulan yang mendukungi Mir Hussein Mousavi. Pada satu ketika dilaporkan Mousavi telah ditahan tetapi dinafikan isterinya.
Para pegawai pilihan raya mengisytiharkan Ahmadinejad meraih 62.6 peratus undi hampir dua kali ganda daripada Mousavi yang mendapat 33.75 peratus undi.
Perkataan reformis atau pembaharu yang diletakkan kepada Mousavi oleh media Barat, seorang calon yang mencabar Ahmadinejad tidak bererti beliau akan pro-Barat atau menjadi boneka Barat.
Ini juga tidak bermakna Mousavi akan menghentikan program nuklear Iran dan tunduk kepada Amerika Syarikat dan Israel dalam semua dasar jika menang jawatan presiden. Apakah maksud reformis kepada media Barat dan kepada rakyat Iran?
Reformasi kepada warga Iran atau kepada Mousavi sendiri bermakna membaiki ekonomi Iran dan bukan berada di bawah telunjuk Barat.
Mungkin para penyokong Iran bertindak di luar batasan adalah kerana kekalahan teruk calon mereka bahkan Mousavi telah meminta penyokong bertenang tetapi corak pemaparan media Barat seolah-olah menunjukkan Mousavi adalah calon boneka Barat.
Media Barat juga tidak melaporkan cara hidup sederhana presiden Ahmadinejad yang serius menangani rasuah semasa menjadi Datuk Bandar Teheran dahulu. Kekecewaan media Barat terutamanya Amerika Syarikat dapat dilihat apabila Amerika Syarikat enggan menerima kemenangan besar Ahmadinejad dalam pilihan raya Presiden Iran dan menyatakan yang ia akan menyiasat dakwaan berlakunya penipuan undi.
Sebarang harapan pentadbiran Presiden Obama untuk memperoleh keputusan serupa dengan pilihan raya Lebanon baru-baru ini yang dimenangi pakatan sederhana yang mendapat sokongan Barat, nampaknya tidak menjadi kenyataan.
"Kita sedang memantau situasi di Iran, namun kami, seperti mana semua pihak di seluruh dunia, sedang menunggu dan melihat keputusan rakyat Iran," kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton pada satu sidang akhbar bersama Menteri Luar Kanada, Lawrence Cannon.
Beberapa minit kemudian, White House mengeluarkan kenyataan dua baris ayat yang memuji 'perbincangan sihat dan minat yang tercetus daripada pilihan raya ini, terutamanya di kalangan golongan muda Iran', namun menyatakan kebimbangan mengenai 'beberapa perkara yang tidak kena'.
Ahmadinejad berkata, pemilihannya semula sebagai Presiden Iran adalah 'tulus dan bebas' dan tidak boleh dipertikaikan.
Ahmadinejad mengeluarkan kenyataan itu pada sidang akhbar pertamanya sejak kerajaan mengumumkan beliau dipilih semula menjadi Presiden untuk penggal yang kedua. Beliau turut menuduh media luar melancarkan 'perang psikologi' menentang negaranya.

Monday, June 29, 2009

WARGA IRAN DIBERI AMARAN JANGAN BERTINDAK KETERLALUAN - HISHAMUDDIN

KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini memberi amaran kepada warga Iran supaya tidak bertindak keterlaluan ketika berada di bumi Malaysia.
Beliau berkata, apa yang penting adalah keselamatan rakyat dan kestabilan negara dan pihaknya tidak akan membenarkan isu-isu luaran dibawa oleh warga asing ke jalan-jalan raya di negara ini.
“Saya nak beri amaran bahawa jangan dengan sewenang-wenangnya melihat Malaysia ini sebagai satu medan untuk mereka mewujudkan satu keadaan huru-hara dan saya telah minta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kerana keselamatan jalan raya, keselamatan rakyat kita, perjalanan orang ramai, janganlah dibawa masuk secara langsung ke dalam kancah politik negara mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen di sini ketika mengulas kekecohan yang berlaku di hadapan Wisma Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Jalan Semantan di sini, apabila kira-kira 700 rakyat Iran mengadakan perhimpunan haram membantah kemenangan Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad pada pilihan raya presiden baru-baru ini.

700 WARGA IRAN BERHIMPUN BANTAH KEMENANGAN AHMADINEJAD

KUALA LUMPUR - Kira-kira 700 warga Iran baru-baru ini menimbulkan kekecohan apabila berhimpun beramai-ramai di luar pekarangan Wisma Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Jalan Semantan, Pusat Bandar Damansara, bagi membantah keputusan pilihan raya Presiden Iran, 13 Jun lalu.
Berikutan itu, polis terpaksa melepaskan sembilan das tembakan dan bom pemedih mata ke arah kumpulan terbabit yang masih enggan bersurai meskipun selepas dibenarkan polis untuk menghantar satu memorandum ke pejabat tersebut.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan tersebut bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Katanya, seramai kira-kira 50 anggota polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah dikerahkan untuk berkawal di kawasan tersebut.
Menurut beliau, perhimpunan itu kebanyakannya disertai oleh penuntut-penuntut warga Iran yang belajar di universiti dan kolej tempatan di sini.
''Pada mulanya kita mendapat maklumat kira-kira 500 warga Iran akan berkumpul di pekarangan pejabat PBB, namun jumlahnya meningkat kepada 700 orang," katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.
Pada 12 Jun lalu, Dr Mahmoud Ahmadinejad memperolehi kemenangan besar pada pilihan raya Presiden Iran, sekaligus mempertahankan jawatannya untuk mengetuai kerajaan bagi tempoh empat tahun lagi.
Tambah Wan Abdul Bari, pihaknya telah memberi amaran bersurai sebanyak tiga kali selepas menghantar memorandum tetapi tidak diendahkan oleh kumpulan terbabit sehingga pihaknya terpaksa mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya, pihaknya tidak dapat membenarkan hasrat wakil kumpulan itu untuk berucap selama 30 minit di pekarangan pejabat
.
''Jika mereka ingin berucap juga, ia merupakan satu kesalahan kerana mengadakan perhimpunan tanpa permit selain boleh menimbulkan kekecohan. Oleh itu, kita tidak membenarkan mereka berucap dan mereka berang lalu berarak ke Wisma Perintis bersebelahan pejabat PBB," katanya.
Sementara itu, salah seorang wakil warga Iran, Ehsan, 24 berkata, antara isi kandungan memorandum itu adalah untuk menyatakan berlaku penyelewengan undian rakyat Iran.
Jelasnya, dengan keputusan pilihan raya itu, seluruh rakyat Iran berasa tidak gembira dan rasa tertipu.
''Kami tahu bahawa undian kami telah ditukar dan memihak kepadanya (Ahmadinejad),'' katanya.

KEMENANGAN YANG "TULUS DAN BEBAS" - AHMADINEJAD

TEHERAN - Dr Mahmoud Ahmadinejad berkata, pemilihannya semula sebagai Presiden Iran adalah 'tulus dan bebas' dan tidak boleh dipertikaikan. Ahmadinejad mengeluarkan kenyataan itu pada sidang akhbar pertamanya sejak kerajaan mengumumkan beliau dipilih semula menjadi Presiden untuk penggal yang kedua.
Kira-kira 1.6 kilometer daripada tempat sidang akhbar diadakan, sekumpulan para pemuda Iran merusuh sambil membakar bekas sampah dan tayar, manakala pasukan polis menggunakan kayu belantan untuk menyuraikan mereka.
Ahmadinejad turut menuduh media luar melancarkan 'perang psikologikal' menentang negaranya.
Sementara itu, Ahmadinejad terus menerima ucapan tahniah daripada beberapa pemimpin serantau dan sekutu rapat.
Speaker Parlimen, Ali Larijani mengucapkan tahniah kepada Ahmadinejad dan menyatakan akan memberi kerjasama kepada kerajaan baru itu. Menurutnya, ini adalah peluang bagi Ahmadinejad untuk menyelesaikan beberapa masalah dalaman.
Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad as-Sabah turut mengucapkan tahniah kepada Ahmadinejad dan menyifatkan Iran sebagai negara rakan.
Pergerakan Hizbullah juga sempat mengutus mesej tahniah kepada Ahmadinejad, pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei dan seluruh rakyat Iran.
President Iraq, Jalal Talabani tidak ketinggalan mendoakan kejayaan buat Iran dan kerajaan barunya.
Ahmadinejad turut menerima ucap tahniah daripada Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari dan Perdana Menterinya, Yousuf Reza Gilani.
Ucapan tahniah turut diterima daripada sekutu rapat beliau, Presiden Venezuela, Hugo Chavez.

AMERIKA SYARIKAT TIDAK IKTIRAF KEMENANGAN AHMADINEJAD

NIAGARA FALLS, Kanada - Amerika Syarikat enggan menerima kemenangan besar Dr Mahmoud Ahmadinejad dalam pilihan raya Presiden Iran dan menyatakan yang ia akan menyiasat dakwaan berlakunya penipuan undi.
Sebarang harapan pentadbiran Presiden Barack Obama untuk memperoleh keputusan serupa dengan pilihan raya Lebanon baru-baru ini yang dimenangi pakatan sederhana yang mendapat sokongan Barat, nampaknya tidak menjadi kenyataan.
"Kita sedang memantau situasi di Iran, namun kami, seperti mana semua pihak di seluruh dunia, sedang menunggu dan melihat keputusan rakyat Iran," kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton pada satu sidang akhbar bersama Menteri Luar Kanada, Lawrence Cannon.
Beberapa minit kemudian, White House mengeluarkan kenyataan dua baris ayat yang memuji 'perbincangan sihat dan minat yang tercetus daripada pilihan raya ini, terutamanya di kalangan golongan muda Iran', namun menyatakan kebimbangan mengenai 'beberapa perkara yang tidak kena'.

Sunday, June 28, 2009

100 REFORMIS IRAN DITAHAN

*Gambar : Para penyokong Mir Hossein Mousavi membakar sampah dan motosikal di sebatang jalan di Teheran bagi membantah kekalahan calon mereka pada Pilihan Raya Presiden Iran baru-baru ini.

TEHERAN - Lebih 100 reformis, termasuk Mohammad Reza Khatami, adik kepada bekas Presiden Iran, Mohammad Khatami telah ditahan baru-baru ini selepas satu tunjuk perasaan yang dilancarkan oleh golongan reformis ekoran kekalahan calon pilihan mereka, Mir Hossein Mousavi pada pilihan raya Presiden.
Menurut pemimpin reformasi yang juga bekas Timbalan Presiden, Mohammad Ali Abtahi, anggota-anggota reformis daripada Parti Mosharekat itu ditahan di rumah mereka. Seorang anggota Barisan Penyertaan Islam Iran (IIPF), Rajab Ali Mazroei pula berkata, sekurang-kurangnya 10 pemimpin daripada dua kumpulan reformasi Iran IIPF dan Organisasi Mujahidin Revolusi Islam (IRMO) turut ditahan. Beberapa orang yang ditahan itu pernah memegang jawatan kanan dalam kerajaan semasa pentadbiran Khatami dari tahun 1997 hingga 2005.
Antara mereka yang ditahan ialah bekas Timbalan Speaker Parlimen, Behzad Nabavi; ketua IIPF, Mohsen Mirdamadi dan jurucakap Khatami, Abdollah Ramezanzadeh. Pegawai-pegawai lain yang turut ditahan ialah Mostafa Tajzadeh, Mohsen Aminzadeh, Zoherh Aghajari, Saeed Shariati dan Zahra Mojaradi.
Sementara itu, agensi berita IRNA melaporkan, dua daripada mereka yang ditahan iaitu Tajzadeh dan Aminzadeh didapati terlibat merancang bantahan besar-besaran di seluruh Teheran, yang dilancarkan selepas keputusan pilihan raya diketahui.
Pesaing-pesaing Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad menyifatkan, pemilihan semula pemimpin itu melalui undian yang dimanipulasikan, telah membawa kepada rusuhan pada skala yang tidak pernah dilihat di Iran sejak sedekad lalu.
Kumpulan reformasi menyatakan sokongan padu mereka terhadap Mir Hossein setelah keputusan pilihan raya yang dipertikaikan itu menyaksikan bekas Perdana Menteri tersebut hanya memperoleh 34 peratus undian berbanding 63 peratus yang dimenangi Ahmadinejad.
Sementara itu, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei meminta rakyat Iran supaya menghormati kemenangan Ahmadinejad pada pilihan raya presiden itu.
Mir Hossein dalam pada itu turut menggesa penyokongnya mengelakkan kekacauan selepas satu tunjuk perasaan yang dilancarkan. ''Pencabulan dalam pilihan raya adalah sesuatu yang amat serius. Namun saya menyeru kepada anda semua supaya jangan mendatangkan bahaya kepada mana-mana individu atau kumpulan,'' katanya menerusi satu kenyataan yang dipaparkan dalam laman web kempennya.

AHMADINEJAD MENANG BESAR

TEHERAN – Dr Mahmoud Ahmadinejad memperolehi kemenangan besar pada pilihan raya Presiden Iran baru-baru ini, sekali gus mempertahankan jawatannya untuk mengetuai kerajaan bagi tempoh empat tahun lagi, di sebalik dakwaan pencabar utamanya berlaku banyak penyelewengan.
Sokongan besar terhadap Ahmadinejad, kira-kira dua kali jumlah undi yang dimenangi oleh bekas Perdana Menteri, Mir Hossein Mousavi, mengejutkan penganalisis politik, yang sebelum ini meramalkan persaingan sengit antara kedua-dua calon tersebut dan mengheret mereka untuk bertarung dalam pengundian pusingan kedua.
“Dr Ahmadinejad, yang memperolehi majoriti undi, telah menjadi pemenang mutlak pada pilihan raya Presiden (Iran) ke-10,” lapor agensi berita rasmi Iran, IRNA sementara penyokong beliau membanjiri jalan raya untuk meraikan kemenangan itu.

Friday, June 19, 2009

GELOMBANG PERUBAHAN POLITIK IRAN?

Pemilihan Presiden Iran baru-baru ini berlangsung dalam andaian yang kuat bahawa satu transisi kuasa bakal berlaku di negara Islam itu. Figura Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad yang selama ini menjadi simbol kekuatan negara berkenaan dilihat seolah-olah semakin terhakis pengaruhnya menjelang detik-detik pengundian.
Kelibat Ahmadinejad dibayangi oleh bekas Perdana Menteri, Mir Hossein Mousavi. Sepanjang berkempen, Mousavi memperlihatkan pendiriannya sebagai pejuang kebebasan hak-hak rakyat, mengutamakan kepentingan negara dan terbuka dengan dunia luar. Kerana prinsip itu juga, Mousavi dikatakan mendapat dokongan kuat daripada tokoh berpengaruh Iran, Mohammad Khatami.
Selain Ahmadinejad dan Mousavi, dua lagi calon Presiden pada pemilihan tersebut ialah Mohsen Rezae dan Mehdi Karoubi. Empat calon ini membentuk dua blok aliran pemikiran politik dengan Ahmadinejad dan Mohsen mewakili kumpulan konservatif manakala Mousavi dan Karoubi mengetuai kumpulan reformis.
Mendapat sokongan penuh pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei dan gerakan Islam, kumpulan konservatif sangat vokal serta tegas dalam menyuarakan masalah umat Islam sejagat. Berbeza dengan reformis, aliran pemikiran ini (reformis) pula lebih bersikap terbuka. Isu-isu yang ditumpukan menjurus kepada polemik setempat seperti pemulihan ekonomi serta kebebasan hak-hak wanita dan kerajaan.
Umumnya, pertembungan antara kumpulan konservatif dengan moderate yang mahukan perubahan di pentas pemilihan Presiden Iran bukanlah sesuatu yang baru. Namun, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai apatah lagi kumpulan konservatif masih menguasai Parlimen.
Kerana itu juga, sejak dari awal ramai penganalisis berpendapat, pemilihan presiden sekali lagi akan dimenangi oleh kumpulan konservatif atau lebih tepatnya Ahmadinejad. Sentimen kebanyakan rakyat Iran masih mahukan pemimpin yang lantang dan berani mengkritik barat khususnya Amerika Syarikat dan sekutunya, Israel. Sikap dan pendirian beliau dalam memperjuangkan keadilan dan maruah Iran amat mendapat sokongan.
Imej Iran yang dianggap musuh barat memerlukan kehadiran Ahmadinejad kerana beliau dilihat satu-satunya pemimpin yang berani mengkritik barat secara terbuka dan konsisten.

Dari perspektif yang lain, kemenangan Ahmadinejad sebenarnya lebih diharapkan oleh para pemimpin negara-negara Arab berbanding Mousavi. Ini kerana, negara-negara Arab memerlukan Ahmadinejad untuk dijadikan 'kambing hitam' dalam setiap permasalahan yang berlaku di rantau Timur Tengah. Kebangkitan kumpulan pejuang pembebasan Islam seperti Hamas dan Hizbullah misalnya akan terus dikaitkan dengan Ahmadinejad sebagai penaja keganasan.
Begitu juga dengan kedegilan Iran dalam isu nuklear yang memberi kelebihan dari sudut ekonomi, politik dan keselamatan negara Timur Tengah lain dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat. Hidup Islam!!!

Monday, June 15, 2009

PARTI PRO BARAT MENANG DI LEBANON NAMUN HIZBULLAH TERUS BERTAMBAH KUAT

*Gambar : Saad al-Hariri (kiri) memeluk seorang calon Parlimen, Nohad Machnouk selepas pakatan pro-Barat menang pada pilihan raya Parlimen Lebanon di Beirut baru-baru ini.

BEIRUT - Parti perikatan pro-Barat memperoleh kemenangan pada pilihan raya Parlimen Lebanon baru-baru ini dengan menewaskan pakatan pimpinan Hizbullah yang mendapat sokongan Iran dan Syria.
Blok pro-Barat itu memenangi 69 daripada 128 kerusi Parlimen pada pilihan raya tersebut sementara pakatan Hizbullah memenangi 57 kerusi dan 2 kerusi dimenangi oleh calon bebas yang cenderung kepada blok pro-Barat.
Penyokong blok itu meraikan kemenangan mereka selepas pengundi memperbaharui majoriti mereka di Parlimen, empat tahun selepas 'Revolusi Cedar' yang membantu mengusir tentera Syria dari Lebanon dan membolehkan kem pro-Barat mengambil alih kerajaan.
Keputusan itu didakwa memberi tamparan kepada Syria dan Iran yang menyokong kuat Hizbullah tetapi disambut baik oleh Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Mesir yang menyokong blok '14 Mac', sempena tarikh rapat umum besar-besaran membantah kehadiran tentera Syria di Lebanon pada 2005.
Hizbullah dan sekutu-sekutunya menyapu bersih undi di kawasan majoriti Syiah tetapi kekalahan sekutu Kristian mereka, Michel Aoun di dua daerah penting menghalang perikatan tersebut daripada menguasai majoriti yang telah diramalkan oleh banyak pihak.
Pemimpin blok '14 Mac', Sa'ad al-Hariri, seorang penganut Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, muncul selepas pilihan raya sebagai calon pilihan untuk mengetuai kerajaan baru, sekaligus mengikut jejak langkah bapanya yang mati dibunuh, Rafiq al-Hariri.
"Tahniah kepada Lebanon, tahniah kepada demokrasi, tahniah kepada kebebasan. Tidak ada pihak yang menang dan pihak yang kalah pada pilihan raya ini, satu-satunya pemenang ialah demokrasi dan pemenang terbesar ialah Lebanon," kata Hariri, 39, ketika menyampaikan ucapan sempena kemenangan beliau di kediaman mewahnya di sini.
Kem-kem politik di Lebanon berbalah mengenai para pejuang Hizbullah yang memiliki keupayaan senjata lebih besar daripada tentera Lebanon, serta hubungan pergerakan Syiah itu dengan Syria yang menguasai Lebanon selama tiga dekad sehingga 2005.
Keputusan itu dijangka membawa kepada sebuah lagi kerajaan 'perpaduan negara' sekalipun pembentukannya mungkin tidak berjalan lancar jika kem Hizbullah berkeras mahukan kuasa veto. Hidup Hizbullah!!!

2 WARGA IRAN DITAHAN DI KLIA, SYABU BERNILAI RM5.1 JUTA DIRAMPAS

*Gambar : Md. Hassim Pardi (dua dari kiri) bersama Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik, Mohd. Subri Awang (dua dari kanan) menunjukkan dadah eramin-5 dan ekstasi yang dirampas pada sidang akhbar di Nilai, Negeri Sembilan.

NILAI - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk dadah jenis syabu oleh dua lelaki warga Iran setelah merampas 20.4 kilogram dadah itu bernilai RM5.1 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Kesemua dadah tersebut ditemui disorokkan dalam lapisan rahsia bagasi kedua-dua lelaki terbabit yang baru tiba dari Dubai, pada pukul 4.15 petang.
Penolong Ketua Pengarah KDRM (Penguatkuasaan), Datuk Md. Hassim Pardi berkata, lelaki rakyat Iran yang berusia 27 dan 30 tahun itu ditahan untuk pemeriksaan sebaik sahaja tiba dengan sebuah pesawat di KLIA.
Beliau memberitahu, sebaik sahaja kandungan bagasi mereka itu diperiksa, ia dikesan mengandungi barangan seludup yang kemudiannya disahkan dadah jenis syabu.
"Hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui dadah jenis syabu seberat 20.4 kilogram dengan harga pasaran yang dianggarkan bernilai RM5.1 juta dalam bagasi yang dibawa mereka. Penangkapan kedua-dua lelaki dari Iran itu merupakan yang pertama membabitkan rakyat negara tersebut yang dikesan menyeludup dadah melalui negara ini," katanya.
Menurut Md. Hassim, kedua-dua lelaki berkenaan kini direman tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Sunday, June 14, 2009

AHMADINEJAD PRESIDEN IRAN KE-10

Oleh : Mohd Sayuti Omar (MSO).

Pilihan raya Presiden Republik Islam Iran ke-10 saya tidak ikut dengan cerap dan menyungguh. Hanya sesekali menyilau dan membaca laporan di akhbar dan internet seimbas lalu. Tidak mengikuti dari awal, maksudnya sebermula kempen pilihan raya berkenaan. Maka susah untuk membuat telahan siapa yang akan memenangi jawatan itu.
Laporan-laporan berita mengatakan pilihan raya presiden Iran kali ini sengit dan hebat. Dr Mahmoud Ahmadinejad dikatakan tercabar dan kemungkinan akan kehilangan jawatan itu. Beliau dicabar oleh tiga calon lain. Bagaimanapun, calon yang mengikut rapat dan dikira akan memberi tentangan ialah Mir Hossein Moussavi. Moussavi dikatakan reformis yang ingin membawa pembaharuan di Iran. Membuka Iran dari dunia terlungkupnya kepada dunia global dan liberal.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri terakhir di zaman revolusi dikatakan mampu membawa keamanan di Iran serta mengurangkan ketegangan hubungan Iran dengan Barat khususnya Amerika Syarikat. Moussavi juga dikatakan mendapat sokongan dari kalangan orang muda. Inilah modal atau pun aset yang mengatakan Moussavi akan menang.
Manakala Ahmadinejad pula lebih dilihat konservatif yang mempertahankan dasar dan polisi Iran yang bersifat anti Barat selama ini di samping akan meneruskan projek pembinaan tenaga nuklear yang ditentang Barat.
Saya bukan menyokong Ahmadinejad tetapi suka kepada kesederhanaan wataknya yang nampak tulus dan jujur. Wajahnya juga menggambarkan dia seorang pemimpin berwajah rakyat dan tidak hipokrit. Dari wajahnya tidak menunjukkan dia keturunan bangsawan dan suka bermewah atau bercakap besar. Karektornya juga sangat sesuai untuk memimpin rakyat Iran yang bermati-matian mempertahankan satu-satunya negara legasi umat Islam di dunia ini dari disulupi pengaruh Barat.
Jadi apabila mendengar laporan Moussavi akan beroleh kemenangan apa lagi sudah ada dakwaan daripada pengurus kempennya yang bekas PM Iran itu menang besar, hati sedikit terkedu. Dapat dibayangkan kalau Moussavi menang, Iran akan dijajah seluruhnya oleh pemikiran dan politik Barat.
Bagaimanapun, atas prinsip sesuatu itu tidak akan mutlak selagi ianya tidak diumumkan oleh panitia pemilih, berita itu saya terima sebagai angin lalu saja di samping hati terus berdoa agar Ahmadinejad memperolehi kemenangan.
Laporan terkini ternyata berpihak kepada Ahmadinejad. Daripada 78% jumlah undi yang dikira sehingga ini Ahmadinejad sudah mendapat 64.9% undi berbanding dengan Moussavi yang memperolehi 32% undi. Kira-kira tidak sampai 25% undi saja yang belum kira. Setakat ini menurut Menteri Dalam Negeri Iran, Sayed Sadeq Mahsouli, seramai 70% daripada 46 juta rakyat Iran yang layak mengundi telah keluar mengundi.
Keputusan tersebut tentulah mengejutkan Moussavi dan para penyokongnya. Ternyata provokasi dan psywar yang dilakukan sebelum ini tidak menjadi dan merombak keputusan mutlak yang ditetapkan Tuhan. Kepada Mossavi dan penyokong, hendaklah menerima dengan redha dan gentlemen terhadap keputusan rakyat Iran itu dan jangan pula selepas ini ada dakwa dakwi mengatakan proses pemilihan itu tidak telus atau berlaku penyelewengan dan sebagainya. Terimalah hakikat kekalahan. Jangan sampai menaikkan sepanduk atau kain pemidang yang mengelirukan rakyat.

Thursday, June 11, 2009

AHMADINEJAD DAN MIR HOSSEIN BERSAING HEBAT

*Poster Mir Hossein (atas) dan Mohsen (bawah) ditampalkan di dinding sebuah lokasi di Teheran.

TEHERAN - Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad memperuntukkan dana yang besar untuk mencetak poster, risalah, bendera, belon, cakera video digital (DVD) dan pesanan khidmat ringkas (SMS) dalam kempen pilihan raya presiden. Pilihan raya presiden yang akan menentukan sama ada beliau mengekalkan jawatannya itu bakal diadakan pada 12 Jun 2009.
Mahmoud dan bekas Perdana Menteri, Mir Hossein Mousavi menghidupkan demam pilihan raya dengan menjadikan suasana di jalan-jalan raya Iran seperti karnival raksasa. Calon presiden yang lain, Mohsen Rezai dan Mehdi Karroubi didapati kurang menonjol dalam kempen kali ini.
Tingkap-tingkap kedai memaparkan poster calon manakala cermin hadapan kereta turut dihias pelekat sehingga pihak polis mengeluarkan amaran mengenai amalan berbahaya tersebut.
Jumlah dana yang terbabit dalam pilihan raya presiden kali ini tidak dapat dipastikan.
*Seorang lelaki menghiasi kepalanya dengan gambar Mahmoud di Universiti Sharif, Teheran.

"Pejabat pilihan raya kami dikendalikan oleh orang biasa. Setiap orang mencetak dan mengedarkannya," kata seorang pekerja kempen Mahmoud. Dalam satu ceramah di Teheran baru-baru ini, kumpulan sukarelawan pilihan raya Mahmoud mengedarkan beribu-ribu cakera padat, bendera Iran, poster dan akhbar kempen.
"Kempen pilihan raya Mir Hossein mungkin mencecah sehingga USD40 juta (RM140 juta)," kata seorang pegawai pilihan rayanya.
Di beberapa kedai di Teheran, sejumlah kedai kosong dan dijadikan pusat kempen yang disewa sehingga USD4,000 (RM13,960) sebulan.
Setiap tengah hari dan petang, sejumlah penyokong muda berkumpul di luar pusat-pusat kempen untuk mengedar sejumlah barangan pilihan raya kepada pemandu kenderaan.
"Kebanyakan remaja yang datang membantu mengedarkan bahan pilihan raya bekerja secara percuma," kata seorang pekerja kempen Mir Hossein.
Pesaing-pesaing Mir Hossein mendakwa beliau mendapat bantuan daripada sejumlah ahli perniagaan.
Akhbar-akhbar di Iran juga mula memihak kepada calon yang disukai. Sebulan lalu, penyokong Mir Hossein melancarkan akhbar 'Andishe Nu' (Pemikiran Baru) dan 'Kalameh Sabz' (Dunia Hijau).
Mahmoud pula disokong akhbar 'Vatan-e-Emruz' (Harian Nasional) manakala akhbar kerajaan, 'Kayhan' turut menyokong beliau walaupun masing-masing adalah milik awam.
Mengikut laporan akhbar, jumlah SMS semasa kempen pemilihan presiden meningkat daripada 60 juta kepada 100 juta sehari.

TEMPOH BERKEMPEN PILIHAN RAYA PRESIDEN IRAN BERAKHIR

Suruhanjaya Pilihan Raya Republik Islam Iran dalam kenyataannya mengumumkan bahawa tempoh kempen para calun pilihan raya presiden telah berakhir. Dalam laman web Kementerian Dalam Negeri Iran, Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan, berdasarkan fasal 66 undang-undang pilihan raya presiden, tempoh berkempen para calun presiden berakhir pada 11 Jun 2009, pukul 8.00 pagi (waktu Iran).
Suruhanjaya Pilihan Raya turut mengingatkan warga Iran untuk menghindari segala bentuk kempen termasuk membawa poster, gambar, risalah atau sepanduk, mulai 11 Jun sehingga tempoh pengundian berakhir. Pilihan raya presiden Iran kali ke-10 akan diadakan pada hari Juma'at, 12 Jun 2009.

Wednesday, June 10, 2009

OBAMA, KAHERAH, SYI'AH DAN KHOMEINI

*Oleh : Zin Mahmud.

Baru-baru ini, penulis menerima kad undangan untuk menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Puteri Rasulullah (saw), Fatimah az-Zahra' (as) pada 15 Jun ini. Pada malam itu, turut diadakan majlis memperingati ulang tahun kelahiran Imam Khomeini (qs). Bagi para pengikut mazhab Ahlul Bait, bulan Jun adalah istimewa, kerana tarikh 3 Jun (sempena kewafatan Imam Khomeini) dan 15 Jun (sempena kelahiran Fatimah az-Zahra dan Imam Khomeini).
Bagi para pendokong mazhab Ahlus Sunnah Wal Jama'ah pula, bukan menjadi amalan dan tradisi mereka untuk meraikan ulang tahun kelahiran Fatimah az-Zahra' walaupun beliau turut amat dihormati.
Sementara, Imam Khomeini walaupun dianggap sebagai pemimpin besar Islam abad ini kerana mempelopori Revolusi Islam, tarikh pemergiannya hanya diperingati oleh mereka yang mendokong pemikiran dan perjuangan beliau. Imam Khomeini wafat pada 3 Jun 1989, iaitu 20 tahun yang lalu.
Pada tahun itu, penulis berkunjung ke Iran untuk menghadiri sebuah persidangan mengenai Afghanistan di Institut Kajian bagi Politik Antarabangsa (IPIS). Penulis sempat menziarahi makam Imam Khomeini sementara di rumah salah seorang diplomat Malaysia di Teheran, penulis juga sempat menonton video penuh upacara pengkebumian Imam Khomeini yang begitu mengkagumkan kerana penghormatan rakyatnya amat luar biasa.
Maka sepanjang 20 tahun lalu, pengaruh politik Iran telah mengubah landskap politik dunia, khususnya bagi pengikut mazhab Ahlul Bait. Umpamanya di Lebanon, mereka tidak lagi menjadi kaum terpinggir tetapi muncul sebagai kuasa politik terpenting melalui pertubuhan Hizbullah, yang bukan saja berani mencabar Israel tetapi juga Amerika Syarikat.
Baru-baru ini juga berlaku peristiwa penting yang berkaitan dengan hubungan di antara Amerika Syarikat dan umat Islam. Pendekatan terbaru Presiden Barack Obama dizahirkan melalui ucapannya di Dewan Besar Universiti Kaherah. Beliau berkata bahawa kunjungannya ke Kaherah merupakan permulaan baru bagi hubungan antara umat islam dan Amerika Syarikat.
Pemilihan beliau untuk berucap di Universiti Kaherah, Mesir juga mempunyai pengertiannya yang tersendiri. Mengapa beliau memilih untuk menyampaikan ucapannya yang bersejarah itu di Universiti Kaherah? Mesir dipilih untuk mewakili umat Islam dalam hubungannya dengan Amerika Syarikat. Kedudukan Mesir terutama Kaherah sebagai kota intelektual dunia Arab turut menjadikannya sebagai ibu tamadun dunia Islam zaman ini.
Walaupun Mesir sebuah negara Ahlus Sunnah Wal Jama'ah tetapi tradisi Syi'ahnya kuat. Ini kerana pada masa silam ia pernah diperintah oleh kerajaan Syi'ah yang bernama Fatimiyyah sempena nama puteri Rasulullah (saw). Kerajaan itu turut mengasaskan kota Kaherah dan menubuhkan Universiti al-Azhar, yang namanya juga berkaitan dengan az-Zahra', perkataan yang diminati oleh orang Syi'ah.
Universiti Kaherah yang ditubuhkan pada 1908 merupakan pusat pengajian tinggi bukan agama sebagai mengimbangi Universiti al-Azhar. Maka fakulti yang paling awal dan utama ialah perubatan dan kejuruteraan.
Namun begitu, mahasisiwa yang cenderung pada perjuangan Islam dan menganggotai Ikhwanul Muslimin pula datang dari fakulti-fakulti ini dan bukan semata-mata dari Universiti al-Azhar.
Iran dengan cepat menjawab ucapan Obama apabila pengganti Imam Khomeini, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei dalam ucapan memperingati pemergian Imam Khomeini menyatakan bahawa ucapan yang muluk-muluk tidak bererti tanpa perubahan tindakan yang bermakna.

Sunday, June 7, 2009

PELAN SERANG IRAN SUDAH DIRANCANG?

*Gambar fail menunjukkan seorang pegawal keselamatan mengawasi sebuah loji nuklear di Bushehr, Iran pada 25 Februari lalu.

TEL AVIV - Israel menafikan laporan sebuah akhbar Britain bahawa satu serangan besar-besaran dari udara terhadap kemudahan-kemudahan nuklear Iran akan dilancarkan dalam tempoh terdekat.
Baru-baru ini, akhbar 'The Times' di Britain melaporkan Pasukan Pertahanan Israel sedang melakukan persediaan untuk menyerang infrastruktur nuklear Iran dalam tempoh terdekat.
Antara persediaan yang dilakukan adalah membeli tiga buah pesawat kawalan jauh. Serangan itu dilaporkan melibatkan sejumlah besar sasaran termasuk kemudahan utama nuklear di Natanz, Esfahan dan Arak.
Sumber-sumber yang rapat dengan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak berkata, artikel akhbar 'The Times' itu hanya merupakan satu spekulasi yang tidak berasas dan disiarkan dengan tujuan untuk meminggirkan komuniti penduduk negara tersebut di peringkat antarabangsa.
Sebarang serangan terhadap Iran memerlukan kerjasama Amerika Syarikat dengan melibatkan jet-jet pejuang tentera Israel terbang melalui ruang udara di Jordan serta Iraq yang dikawal Amerika Syarikat.
Israel telah menuduh Iran melakukan proses pengayaan uranium pada gred yang boleh mengeluarkan senjata nuklear. Bagaimanapun, Iran menegaskan ia hanya mengeluarkan uranium gred rendah dengan tujuan untuk menjana tenaga elektrik.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang kembali berkuasa pada 1 April lalu menyokong tindakan ketenteraan ke atas Iran.
Presiden Israel, Shimon Peres pada awalnya menyokong serangan ke atas kemudahan nuklear Iran tetapi kemudian memutuskan bahawa penyelesaian di negara itu bukannya dengan menggunakan pendekatan ketenteraan.
Keputusan untuk mengelak perang dengan Iran itu diputuskan sehari selepas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates memberi amaran supaya Israel tidak melancarkan serangan udara bersendirian terhadap Iran.
Washington menyatakan ia membuka lembaran baru selepas pentadbiran Presiden Barack Obama berjanji untuk memulakan hubungan baru dengan Iran.

HUSAIN FADHLULLAH MINTA OBAMA UBAH DASAR BERSEKUTU DENGAN ISRAEL

*Gambar : Marji' taqlid di Lebanon, Ayatullah al-Uzma Sayyid Muhammad Husain Fadhlullah.

Beirut : Ucapan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di Kaherah, Mesir yang ditujukan kepada dunia Islam walaupun dipandang positif tetap dipandang serong apabila Obama menyifatkan hubungan negaranya dengan Israel 'tidak mungkin dapat diputuskan'.
Seorang marji' taqlid di Lebanon yang rapat dengan pergerakan Hizbullah, Ayatullah al-Uzma Sayyid Muhammad Husain Fadhlullah, adalah antara tokoh yang menyatakan tidak setuju terhadap hubungan erat Amerika dan Israel.
Pandangannya itu disuarakan ketika Asia Barat berhadapan masalah kompleks dan konflik yang menyebabkan ramai yang ragu bahawa apa yang disampaikan Obama boleh membawa kepada kemajuan dalam proses damai.
Di Republik Islam Iran, seorang ulama menyuarakan kebimbangan masyarakat Islam jika pentadbiran Obama terus menyokong Israel. "Israel menyebabkan ketegangan dan pergaduhan di Asia Barat, menyebabkan penindasan dan membunuh penduduk yang tidak bersalah," kata Ayatullah Sayyid Ahmadi Jannati kepada jemaah solat Jumaat di Teheran.
"Israel melakukan apa yang mereka suka. Apa yang akan anda lakukan wahai Obama? Adakah anda akan menjawabnya?," tegas Jannati lagi
.
Ada juga kecewa kerana Obama tidak memohon maaf kerana tindakan negaranya melancarkan perang di Iraq dan Afghanistan. Lebih daripada itu, beberapa tokoh berpengaruh berkata, mereka melihat ketegasan Obama mengenai hubungan yang tidak pernah putus di antara Amerika dan Israel sebagai satu petanda bahawa tiada perubahan akan berlaku.
"Beliau masih komited kepada hubungan berterusan dengan rejim Zionis itu walaupun menghamburkan kata-kata manis dan lunak kepada negara-negara Arab dan masyarakat Islam," kata Husain Fadhlullah.
Ucapan Obama disiarkan oleh kebanyakan media Arab, dengan tajuk utama akhbar seperti 'Satu Permulaan Baru' dan kebanyakan ruangan lidah pengarang dan pendapat menganalisis setiap kata-kata beliau. Rangkaian berita serantau seperti al-Jazeera dan al-Arabiya terus menyiarkan petikan ucapan yang menguasai rancangan temubual politik bagi hari kedua.
Obama ketika satu lawatan ke Jerman sekali lagi mengulangi permintaan yang mahukan dua negara menyelesaikan konflik Israel-Palestin dan menangguhkan aktiviti penjajahan Yahudi di Tebing Barat. Obama berkata, beliau sedar isu politik berhubung Israel menyukarkannya menyelesaikan konflik berkenaan tetapi berkata, "Tiba masanya bagi kita untuk bertindak."

KELUARGA RAFSANJANI SAMAN PRESIDEN IRAN

TEHERAN : Keluarga bekas Presiden Iran, Ayatullah Syeikh Ali Akbar Hashemi Rafsanjani akan memfailkan kes undang-undang terhadap Dr Mahmoud Ahmadinejad atas kenyataannya mengenai mereka ketika satu debat televisyen, kata abang Ayatullah Rafsanjani.
Aduan perundangan itu akan difailkan keluarga Ayatullah Rafsanjani selepas pilihan raya presiden 12 Jun ini, kata Mohammad Hashemi. Beliau berkata, kes itu akan difailkan selepas pilihan raya supaya penyokong Presiden Ahmadinejad tidak berasa beliau menjadi mangsa.
Ketika majlis debat baru-baru ini dengan calon lawan, Mir Hossein Mousavi, Ahmadinejad mendakwa sesetengah penyokong bekas Perdana Menteri terutama anak lelaki Ayatullah Rafsanjani, menerima bantuan kewangan pada masa lalu. Dalam maklum balas tegas terhadap kenyataan Ahmadinejad, Majlis Kepentingan yang diketuai Ayatullah Rafsanjani mengemukakan bantahan menerusi satu surat kepada ketua penyiar debat, Ezatollah Zarghami.
"Dalam debat itu Ahmadinejad didakwa membuat tuduhan dan penipuan berulang kali ke atas Ayatullah Hashemi Rafsanjani dan anak lelakinya yang mencetuskan keraguan menjelang pilihan raya," kata surat majlis.

Thursday, June 4, 2009

KEBENCIAN MENDALAM IRAN PADA AMERIKA SYARIKAT

TEHERAN - Pemimpin tertinggi Republik Islam Iran, Ayatullah al-Uzma Sayyid Ali Khamenei berkata, negara-negara di Asia Barat menaruh 'kebencian mendalam' terhadap Amerika Syarikat.
Beliau melemparkan kecaman terbarunya terhadap musuh ketat Iran itu ketika Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama tiba di Kaherah untuk menyampaikan ucapannya kepada dunia Islam dalam usaha memulihkan hubungan Amerika dengan 1.5 bilion umat Islam di serata dunia.
Dalam kenyataan yang dipercayai ditujukan kepada Presiden Amerika Syarikat itu, Sayyid Ali Khamenei berkata, 'ucapan yang muluk-muluk' sahaja tidak akan dapat memperbaiki imej Amerika di dunia Islam.
Sayyid Ali Khamenei berucap sempena hari ulang tahun ke-20 kewafatan Imam Khomeini (qs), pengasas revolusi yang menggulingkan Shah Iran pada 1979 dan menubuhkan sebuah republik Islam.
"Negara-negara di rantau ini membenci Amerika Syarikat dari lubuk hati mereka kerana mereka telah menyaksikan keganasan, campur tangan tentera dan diskriminasi. Kerajaan baru Amerika mahu mengubah imej ini. Saya ingin menegaskan perubahan ini tidak akan dicapai menerusi percakapan, ucapan dan slogan," kata Sayyid Ali Khamenei di makam Imam Khomeini.